Friday, November 30, 2012

Sumbangan Terbesar UmNo Kepada Warga Felda


Harga saham FGV terus merudum dan kini RM4.55.... berapakah harga saham Felda masa akan datang? Apakah nasib pemegang saham Felda pada masa akan datang? Apa nasib mereka yang meminjam bank untuk memiliki saham FGV? Siapakah yang akan membela nasib mereka?

Kalau dahulu Tun Razak membangunkan ekonomi warga Felda. Kini zaman anak Tun Razak hudup warga Felda semakin tertekan.... dan terus dijadikan 'alat' untuk mempertahankan kuasa UmNo.

Ubah sebelum parah..... Tinggalkan UmNo dan kembalikan hak anda dengan menyokong Pakatan Rakyat.

Apa Maksud : 'Derma politik RM40 juta Umno Sabah terlalu kecil'

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Beberapa ahli Umno hari ini menolak kontroversi terhadap dana RM40 juta Umno Sabah sebagai “terlalu kecil” untuk keseluruhan Sabah menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Arsit Sedi @ Sidik, perwakilan dari Putatan menjelaskan, jumlah itu umpama “a very small dot” dan berkata, bagi Bahagian Putatan sendiri Umno memerlukan sehingga RM6 juta ketika pilihan raya.

“RM40 juta itu jumlah yang kecil, saya tidak rasa ia mencukupi untuk pilihan raya akan datang.

“Jumlah yang diperlukan sangat tinggi, terutamanya Sabah. Jika berbicara soal RM40 juta, memang tidak cukup untuk menggerakkan jentera. Ia hanya umpama “dot yang kecil.” katanya kepada The Malaysian Insider selepas sesi perbahasan ucapan dasar  presiden berhenti rehat untuk solat Jumaat ketika Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini.

Nota : Kalau Bahagian Putatan memerlukan RM6 juta untuk pilihanraya.... Bayangkan berapa yang dibelanjakan untuk Bahagian Titiwangsa? Tidak hairan kalau UmNo berada dalam keadaan ketakutan yang amat sangat kalah dalam PRU13. Sehingga mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk terus berkuasa di Putrajaya.

Saya yakin kalau sekali UmNo kalah mumgkin ia memerlukan 100 tahun untuk hidup semula.... itu pun kalau mereka ada kekuatan untuk terus hidup tanpa dana kerajaan, tanpa media perdana dan tanpa petugas.

Ceramah Umum : Salahuddin Ayub

Program penerangan PAS diteruskan bagi menerangkan hak dan tanggungjawab masyarakat untuk memperolehi kerajaan yang adil dan bertanggungjawab. Kesedaran rakyat telah mengubah lanskap politik negara selepas PRU12 dan membentuk satu kuasa baru dalam Parlimen. Kuasa yang diamanahkan ini digunakan sepenuhnya bagi membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat.

Akibat tekanan dari Pakatan Rakyat, BN telah mengeluarkan pelbagai peruntukkan kerajaan bagi diagih-agihkan kepada seluruh lapisan masyarakat. Ini amat berbeza semasa BN berkuasa penuh diParlimen. Bila BN kuat rakyat menjadi hamba, apabila BN lemah rakyat menjadi raja. Mungkin selepas BN tidak lagi menjadi pemerintah lebih banyak manfaat diperolehi oleh rakyat. 

Sehingga tertubuhnya kerajaan baru yang lebih adil dan bertanggungjawab makan menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk memperjuangkan cita-cita itu. Hanya kerajaan yang baik mampu melahirkan masyarakat yang baik dan pemerintahan yang adil










Monday, November 19, 2012

Unit Amal Terus Berbakti...




Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS

KOTA BHARU: Seorang bekas polis yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) selama 25 tahun, Abdullah Omar memohon maaf atas segala dosa yang beliau lakukan terhadap PAS sepanjang bertugas sebagai polis.

"Dosa apa yang saya tak buat terhadap PAS sepanjang lima pilihan raya yang lepas...saya tidak mahu sebut di sini, biar saya dan Allah sahaja yang tahu.

"Tetapi maafkanlah saya, saya sudah bertaubat," katanya yang tampil sebagai perwakilan Taiping yang menyokong usul Pilihan Raya yang dibawa PAS Pusat.

Abdullah juga merupakan bekas OCPD Taiping pernah bertugas sebagai SB selama 25 tahun berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima beliau yang pernah berdosa dengan PAS dan rakyat.

"Saya berbesar hati hari ini diangkat untuk berucap di Muktamar walau pun baru dua tahun bersama PAS, paling terharu PAS boleh terima orang yang berdosa seperti saya," katanya.

Cabar Majlis Fatwa

Pada masa sama beliau yang juga bekas OCPD itu turut mencabar Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa tentang gaji yang diperoleh oleh mana-mana calon yang menang pilihan raya melalui penipuan pilihan raya.

"Saya nak cabar Majlis Fatwa dan Mufti, kalau menipu dalam pilihan raya kemudian menang. Jadi Perdana Menteri, jadi menteri-menteri, bagaimana dengan gaji mereka.

"Saya tanya tuan-tuan gaji yang mereka dapat halal atau haram?" soal Abdullah terus dijawab para perwakil 'haram'.

"Kalau haram, kenapa Majlis Fatwa tidak keluarkan Fatwa?"

"Ya gaji yang mereka dapat tidak halal, jawablah di akhirat esok," soalnya balik ketika berucap menyokong usul pilihan raya oleh PAS Pusat.

Tambahnya, daripada banyak-banyak pilihan raya negara diadakan Malaysialah yang paling teruk.

Ditambah pula katanya, pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar dan paling malang mereka ini didaftarkan sebagai pengundi.

Beliau juga membayangkan jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih sudah lama Umno BN terkubur.

"Kalau bersih! sudah tentu kita sapu bersih Umno BN. Kita sudah lama jadi pemerintah," tegasnya diringi takbir para perwakilan.

Friday, November 16, 2012

TERKINI : JALAN TELAH DIBUKA SEMULA - Tanah runtuh, jalan Ampang-Hulu Langat




Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau, Bukit Ampang petang tadi.
   
Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lepas.

"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya kepada Bernama malam tadi.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.
   
Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang tadi.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.

"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya.

- Bernama

Thursday, November 8, 2012

Akar umbi Umno menyertai Pakatan dalam melawan AES


KUALA LUMPUR, 8 Nov — Tindakan keras kerajaan untuk meneruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) melahirkan penentangan daripada akar umbi Umno dengan satu blog dan akaun Facebook diwujudkan minggu ini untuk menentang kamera kelajuan tersebut, menandakan kamera kelajuan beralih menjadi lumpur jerlus politik bagi Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat (PR) sudah memberikan notis tentang niat mereka untuk mengeksploitasi kontroversi AES dengan pilihan raya yang perlu diadakan beberapa bulan lagi, akar umbi Umno kini beralih menyertai penentangan terhadap apa yang telah dilihat sebagai inisiatif MCA.

aes-malaysia.blogspot.com, sebuah blog yang diwujudkan oleh penyokong Umno tanpa nama minggu ini, menggunakan skrip pembangkang persekutuan dalam posting menyerang kamera AES.

Dalam tulisan terbaru, penulis blog tersebut memasukkan dua gambar – salah satunya jalan raya utama Gambang-Maran di Kuantan yang terdedah kepada kemalangan, dan satu lagi lebuh raya utama ke Putrajaya.

Jalan di Gambang-Maran tidak mempunyai kamera AES dipasang akan tetapi kamera kelajuan itu dipasang di lebuhraya Putrajaya.

“Adakah masuk akal jalan dua lorang sehala di Putrajaya kelajuannya 70KM/J, sedangkan jalan persekutuan yang dua hala dari Gambang ke Maran yang terdedah dengan pelbagai simpang, orang melintas, lembu melintas, diletakkan had laju 90KM/J? Tiada AES.

“Jalan selebar ini di Putrajaya hanya diletakkan had laju 70 KM/J dan diletakkan AES. Berapa orang telah mati di jalan ini?”

Kecurigaan meluas bahawa pengenalan AES didorong oleh keuntungan dan bukan keselamatan jalan raya digunakan sebagai kempen PR dan kemarahan orang ramai semakin meningkat.

Beberapa ahli politik BN juga bimbang isu ini akan menjadi bahan kempen besar bagi pembangkang dalam pilihan raya akan datang dan menuntut kerajaan supaya menangguhkan AES.

Pada awal minggu ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai penentangan terhadap AES.

“Kita perlu mengkaji (AES) ... adalah pelaksanaan yang hanya membawa keuntungan kepada sesetengah pihak? Seolah-olah ia hanya berorientasikan keuntungan. Itu yang sedang dipertikaikan,” katanya awal minggu ini.

Dua syarikat yang menerima kontrak untuk melaksanakan sistem penguatkuasaan tersebut – ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap kedua-duanya – akan membelanjakan diantara RM300 juta dan RM400 juta untuk memasang kamera trafik di 831 “lokasi hitam” di seluruh negara.

Kedua-dua Ates dan Beta Tegap berhak menerima RM16 bagi setiap saman sah bagi lima juta pertama dikeluarkan. Mereka kemudiannya akan membahagikan baki hasil sekata dengan kerajaan sehingga masing-masing mendapat sebanyak RM270 juta.

Kedua-dua syarikat akan mendapat 7.5 peratus daripada baki keuntungan dan kerajaan akan menyimpan selebihnya.

PR mengatakan syarikat berkait MCA dan Umno yang mendapat projek ini akan tetapi telah dinafikan.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa penyumberan luar kamera kelajuan dan saman kelajuan diilhamkan semasa pentadbiran Abdullah Badawi dan walaupun bantahan daripada beberapa menteri yang berhujah bahawa penguatkuasaan dan saman harus kekal dalam domain kerajaan, projek itu telah diteruskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Projek ini dicadangkan semasa Tan Sri Chan Kong Choy – kini menghadapi perbicaraan di atas tuduhan menipu dalam isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) – adalah menteri, tetapi telah dimuktamadkan semasa Datuk Seri Ong Tee Keat pada menerajui kementerian tersebut.

Datuk Seri Kong Cho Ha, kini Menteri Pengangkutan, telah menjadi penyokong paling lantang AES.

Selain aes-malaysia.blogspot.com, beberapa blog pro-BN lain yang mewakili kepentingan Umno telah mula menentang AES.

Sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Tangguh-AES juga telah diwujudkan bulan ini oleh kumpulan tanpa nama yang menggelarkan diri mereka kumpulan penyokong kerajaan.

Blog aes-malaysia.blogspot.com juga menyediakan pautan kepada berita dari Amerika Syarikat, Britain dan Australia tentang bagaimana kamera kelajuan telah menjadi bahan membuat wang bagi majlis tempatan.

Hujah-hujah dikemukakan oleh penyokong Umno menyerupai PR, menunjukkan kebimbangan bahawa kontroversi AES dapat menyatukan pengundi di belakang pembangkang persekutuan.

“Jika AES dibenarkan untuk diteruskan, akan menjadi sangat sukar bagi kita untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang. Ini adalah salah satu isu yang berpotensi menyatukan semua kaum melawan BN,” kata seorang pemimpin Umno  bahagian dari Perak kepada The Malaysian Insider.

Ketika Kong dan pemimpin lain kerajaan mempertahankan AES diatas nama keselamatan jalan raya, kedua-dua syarikat berkenaan berdiam diri tentang kamera kontroversi tersebut.

Berdasarkan model perniagaan ini, kedua-dua syarikat akan mengumpul RM80 juta bagi setiap lima juta pertama saman yang dikeluarkan oleh setiap syarikat. Ini membolehkan sebanyak RM160 juta dikumpulkan.

Di bawah peringkat kedua perjanjian itu, syarikat akan mendapat sejumlah RM540 juta, menjadikan jumlah diterima kedua-dua syarikat kepada RM700 juta.

Berdasarkan pembahagian keuntungan dengan kerajaan, angka RM540 juta mewakili 3.6 juta saman RM300 setiap satu.

Untuk mencecah RM700 juta keuntungan diatas modal, sejumlah 13.6 juta saman RM300 setiap satu bagi kesalahan memandu laju perlu dikeluarkan melalui kamera AES.

Kedua-dua syarikat akan mempunyai lima tahun untuk mendapatkan 13.6 juta saman titik pulang modal sebelum keseluruhan sistem dikembalikan kepada kerajaan.

Bagi memastikan syarikat mendapat keuntungan daripada perjanjian dengan kerajaan, mereka hampir pasti perlu mengeluarkan lebih daripada 13.6 juta saman setahun.

Semua saman tambahan itu akan menyebabkan kedua-dua syarikat masing-masing menerima potongan 7.5 peratus.

Mengandaikan kedua-dua syarikat telah mensasarkan jumlah keuntungan sebanyak RM100 juta selepas lima tahun, yang akan menjadi 7.5 peratus daripada RM1.4 bilion daripada saman berjumlah RM300 setiap satu.

Ini memerlukan 4.6 juta saman lagi, menjadikan jumlah 18.2 juta saman bagi kesalahan memandu laju dan lain-lain kesalahan serius untuk kedua-dua syarikat mendapatkan RM50 juta setiap satu dalam keuntungan selepas lima tahun.

Menurut anggaran persekutuan dalam Bajet 2013, kerajaan menjangkakan untuk melihat tambahan RM1.02 bilion pendapatan daripada penguatkuasaan AES, tetapi tidak dinyatakan berapa banyak yang akan dibayar kepada kedua-dua syarikat.

Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat di kalangan ahli-ahli politik BN yang berkeras AES boleh menyebabkan BN menanggung akibat dalam pilihan raya – perlu dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang.

Minggu lepas, Ahli Parlimen Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin menyeberangi jurang politik dan menyokong pakatan pembangkang PR dalam mendesak Putrajaya untuk menggantung menguatkuasakan AES, mengatakan ia boleh digunakan sebagai bahan kempen menentang BN.

Bung Mokhtar, ahli parlimen Umno yang berpengalaman, adalah ahli parti pemerintah paling kanan selepas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan persekutuan untuk menangguhkan penguatkuasaan sistem penguatkuasaan trafik baru itu.

Kedah, Penang, Kelantan dan Selangor – kesemuanya diperintah PR – telah memutuskan untuk menagguhkan kelulusan AES yang mengesan kelajuan dan mengeluarkan saman.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berpengaruh termasuk badan payung mewakili penjawat awam, Cuepacs, juga telah menentang penguatkuasaan, mengatakan sistem tidak sesuai buat masa ini.

Mereka juga mahu kerajaan mengkaji lokasi di mana AES akan beroperasi.

Wednesday, November 7, 2012

Tunisia, Rashid Ghannushi dan Demokrasi

Apabila Rashid Ghannushi bertemu Zine el-Abidine Ben Ali - sebelum Ghannushi dengan bijaknya membuang dirinya ke London sebagai musuh pemerintahan diktator - satu perkara yang sangat ganjil berlaku. "Dia tidak melihat ke mata saya," ujar Ghannouchi. "Dia tidak begitu banyak bercakap. Tetapi apabila saya bersama dengan dia, mereka membawakan kopi untuk kami berdua.”

"Saya bercakap dan dia senyap mendengar, kemudian tiba-tiba dia mengejutkan saya. Dia menukarkan cawan kopi kami berdua. Kopi saya diambil beliau, dan beliau mengambil kopi saya, seraya berkata: 'Adakah kamu berasa sangsi dengan kopi ini?' Tetapi perkara berkenaan tidak pernah terlintas di fikiran saya! Jadi saya menukarkan semula cawan kopi kami dan mengambil semula cawan yang diberikan kepada saya pada awalnya."

Aneh sekali. Semestinya ia adalah kali pertama dalam sejarah bahawa seorang diktator berfikir tetamunya takut diracun. Dan ketika kami sedang berbual, seorang wanita memasuki pejabat Ghannushi dengan membawakan kopi. Jangan tukarkan cawan, ujar saya kepadanya. Unsur lawaknya jelas. Namun Ghannushi bukanlah seorang lelaki yang semula jadi bersikap lucu dan dia banyak menghabiskan masa cuba memujuk lawannya bahawa - sebagai pengasas dan pemimpin parti terbesar di Tunisia, Ennahda - beliau tidak mahu sebuah negara Islam di Tunisia.
 
Umpan

Hanya 24 jam sebelumnya, seorang profesor undang-undang Tunisia, Jamil Sayah, telah menulis satu artikel panjang yang tidak begitu menyenangkan di La Presse de Tunis, mengatakan perbezaan antara Ghannushi dan majoriti warga Tunisia adalah "Ketua Ennahda mahu mengislamisasikan kemodenan manakala rakyat Tunisia mahu memodenkan Islam". Saya tidak fikir Ghannushi membaca artikel tersebut- yang seperti kebanyakan laporan dalam akhbar Tunisia, panjangnya sekurang-kurang 2,000 patah perkataan - tetapi dia termakan umpannya.

"Dia  (Sayah)  yang mahukan perkara ini," ujar Gannushi. "Saya tidak percaya warga Tunisia mahu mengubah Islam tetapi mereka mahu menjadi moden dan pada masa yang sama menjadi Muslim. Islam adalah agama yang moden, kita tidak memerlukan sebarang pengubahan ke atas Islam untuk menjadikan ia moden. Dari awal, Islam adalah agama yang pluralistik. Dari awal, Islam percaya dengan kebebasan beragama dan hati nurani, dalam kesahan negara berdasarkan kontrak antara rakyat dan pemerintah."

Bagaimana pula dengan video misteri - soalan terakhir dalam senarai saya tetapi bukanlah sebagai perangkap - awal tahun ini yang menunjukkan Ghannushi yang sedikit gempal beramah mesra dengan ketua puak Salafi dan telah mengundang ribuan kutukan ke atas Gannushi?

Video berkenaan, yang versi asalnya dibuat Mac lalu dan disiarkan di YouTube - kemudian diubah untuk menampakkan Ennahda sebagai ancaman kepada Tunisia yang sekular - telah tersebar meluas di seluruh Tunisia. Dan penjelasan Ghannushi menunjukkan beliau seorang yang tidak mempunyai belas kasihan, sepertimana dia kelihatan seorang yang pragmatik.

"Konteks perjumpaan tersebut adalah perbahasan besar di Tunisia sekitar isu syariah, sama ada untuk memasukkan syariah sebagai sumber dalam perlembagaan atau tidak," katanya.

"Puak Salafi telah menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut syariah sebagai sumber perlembagaan, dan pada masa yang sama golongan elit sekular berasa terancam dengan tuntutan ini."

Tunisia berpecah dengan teruk sekali. Bahkan dalam Ennahda, terdapat banyak kumpulan, dan pemimpinnya yang berusia 71 tahun - yang kembali selepas 20 tahun dalam buangan untuk menyertai revolusi negaranya - berkata bahawa dia terpaksa untuk bertindak "tegas" dan memulakan banyak rundingan dengan puak Salafi.

"Saya terpaksa meyakinkan mereka," ujarnya, "bahawa cara masyarakat memahami syariah adalah tidak begitu tepat - dan bahawa istilah 'syariah' telah dikaitkan dengan banyak aplikasi yang salah di Afghanistan dan di beberapa tempat yang lain.”

"Saya takut bahawa syariah dikhutbahkan sama seperti hak anti-wanita, hak anti-manusia, anti-kesaksamaan dan anti-kebebasan. Saya cuba untuk meyakinkan mereka [puak Salafi] bahawa perlembagaan tidak berdasarkan apa yang membahagikan rakyat tetapi apa yang menyatukan mereka. Jadi, jika ada kekurangan pemahaman mengenai isu syariah, dan jika terdapat pelbagai pandangan berkenaannya, maka ia tidak sepatutnya dijadikan sumber perlembagaan.

“Saya cuba meyakinkan mereka bahawa revolusi telah menyediakan kebebasan untuk mereka. Dulunya mereka dipenjarakan, tetapi sekarang mereka mempunyai kebebasan untuk bergiat dalam masyarakat melalui pertubuhan masyarakat, melalui masjid dan dengan menubuhkan badan amal dan persatuan."
 
Pertumpahan darah

Kemudian datang bahagian kira-kira. "Kami cuba untuk meyakinkan mereka bahawa keadaan adalah sangat lemah dan jika mereka mendesak perkara-perkara hingga ke batasannya, perkara tersebut boleh hancur. Saya mengingatkan mereka bahawa pihak Islamis di Algeria [Barisan Penyelamat Islam] mendapat 80 peratus dari undi - tetapi mereka hilang segala-galanya kerana mereka tidak membaca imbangan kuasa dengan betul. Terdapat pertumpahan darah. Mungkin mereka yang kalah dalam pilihan raya di Algeria hanya mendapat 20 peratus [dari undi] tetapi mereka memegang kuasa negara tersebut. "

Malah, pusingan kedua pilihan raya Algeria telah dibatalkan oleh pihak tentera selepas pihak Islamis memenangi pusingan pertama, menyebabkan perang saudara sepanjang tahun 1990-an – yang keganasan dan penyeksaannya hampir tiada tandingan -mengakibatkan 250,000 warga Algeria mati. Amaran yang jelas untuk puak Salafi Tunisia. Dan mungkin untuk Tunisia sendiri.

"Saya cuba memahamkan dan menyedarkan mereka bahawa mereka tidak harus memandang rendah pihak yang menentang mereka, walaupun bilangannya sedikit. Kerana apabila mereka [puak Salafi] keluar berdemonstrasi dalam jumlah yang besar, mereka fikir tiada siapa yang lebih berkuasa daripada mereka.

“Mereka lupa adanya jenis kuasa yang lain di negara ini. Formula politik di negara ini tidak hanya berdasarkan nombor tetapi kepada faktor-faktor lain juga. Jadi, berbeza dengan amaran tentang saya yang cuba ditonjolkan dalam video tersebut, sebenarnya tiada apa-apa isu terhadap demokrasi atau terhadap komitmen kepada hak asasi manusia, kesaksamaan jantina dan sebagainya. "

Kemudian timbul isu berkenaan serangan ke atas sekolah dan kedutaan Amerika Syarikat di Tunis pada 14 September. Ramai penyerang memakai pakaian kebiasaan puak Salafi; berjanggut, jubah putih dan sandal. Empat warga Tunisia terbunuh, 70 tercedera dan 140 ditangkap.

"Terdapat dua kumpulan yang dituduh  bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku," ujar Ghannushi. "Pertama, kumpulan penjenayah dan kedua, puak Salafi yang ganas. Terdapat rakaman menunjukkan penyerang merompak harta benda sekolah dan kedutaan Amerika Syarikat,termasuk kantin yang menjual alkohol di kedutaan, dan kebanyakan penyerang minum alkohol tersebut. Saya tidak fikir mereka adalah puak Salafi. Terdapat pihak yang ingin menyerang kami menggunakan puak Salafi, dan mereka mahu kami untuk menentang mereka, dan menyerang mereka semula."

Ghannushi menegaskan bahawa puak Salafi tidak tertarik berjuang di bawah bendera Ennahda. "Ia tidak cukup Islamik bagi mereka," katanya, walaupun terdapat ramai rakyat Tunisia yang tidak bersetuju dengan hal ini. Beliau menambah bahawa kini terdapat beberapa parti Islam termasuk parti beliau sendiri. Komen "Ia tidak cukup Islamik bagi mereka," itudatang tanpa disangka-sangka dari seorang lelaki yang sering digambarkan - akhbar Perancis sangat bagus dalam hal ini - sebagai pejuang Islam berbahaya yang hanya menunggu masa untuk menjadikan negara ini sebuah republik Islam.
 
Masa

"Kami faham demokrasi bukan hanya sebagai alat untuk memerintah tetapi juga untuk mendidik. Saya berada di Paris pada tahun 1968 dan zaman tersebut adalah zaman revolusi. Salah seorang pemimpin revolusi mereka, Cohn-Bendit,  sekarang di Parlimen Eropah. Terdapat contoh yang kononnya pelampau di Eropah, seperti Red Army dan Action Directe,mereka dapat dijinakkan dan dididik semula melalui demokrasi.

“Jadi mengapa kita tidak boleh bayangkan bahawa kita juga boleh menjinakkan puak ganas di negara kita. Melalui demokrasi, mereka akan perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada demokrasi, bukannya menghancurkan demokrasi. Saya selalu memberitahu beberapa rakan-rakan kami di Eropah bahawa melalui demokrasi mereka dapat menjinakkan binatang buas mereka- jadi mengapa kamu tidak memberikan kami masa untuk melakukan perkara yang sama dengan binatang buas kami?

"Ini tidak bermakna bahawa kami tidak mahu menjadi tegas dengan mereka. Kita mesti tegas dengan mereka yang melanggar undang-undang. Beberapa lawan kami, mereka mahukan kami menggunakan kaedah yang sama seperti Ben Ali, membuka kem penjara, menangkap ribuan orang dan menggunakan penyeksaan dan mahkamah kanggaru hanya kerana mereka tergolong dalam kumpulan tersebut.

“Kami mengatakan bahawa undang-undang melihat masyarakat sebagai individu, bukan sebagai kumpulan. Jika pemandu tidak berhenti di lampu isyarat merah, dia tidak perlu ditanya apakah ideologi beliau, tetapi hanya perlu diberitahu bahawa dia telah melanggar undang-undang. "
 
Hujah sejarah Encik Ghannouchi adalah sedikit cacat tetapi dia dapat mengimbau kembali saat dia berada di London pada 7 Julai.

"Saya berada di UK semasa serangan yang mengakibatkan lebih daripada 50 orang terbunuh pada hari tersebut. Saya kagum dengan pihak polis - kerana tiada tangkapan besar-besaran, walaupun terdapat banyak tekanan untuk mereka berbuat demikian - ya, terdapat beberapa tangkapan telah dibuat dan apabila mereka dibuktikan bersalah mereka dihantar ke penjara. Dan jika mereka tidak bersalah, mereka dibebaskan. "

Pemimpin Ennahda tersebut tidak berfikir revolusi Arab akan bertukar arah - walaupun dia ada menyebut dengan sedikit sugul tentang mereka yang inginkan revolusi balas di Tunisia. Dan selepas beliau memanggil Syria sebagai "tragedi", beliau mengingatkan saya bahawa Eropah tidak memperoleh kebebasan mereka dalam sekelip mata.

"Terdapat revolusi di Eropah dan mereka membuat pengorbanan supaya mereka mendapat kebebasan," katanya. "Di Eropah, beberapa raja dipancung kepala, bukankah begitu?" Tepat sekali.

* Diterjemah oleh Mohamad Yahya.

Sunday, November 4, 2012

DAP vs MCA

 Sekiranya anda diberi pilihan untuk mengundi mereka siapakah pilihan anda? Adakah yang terang-terangan menentang Islam atau berikrar untuk mempertahankan Islam...?



________________________________________
SEREMBAN: DAP menyatakan ikrar untuk mempertahankan Islam sekiranya terdapat pihak yang cuba menghina agama itu.

Ketua DAPSY, Anthony Loke berkata isu berkaitan agama akan dipertahankan oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat.

Berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin, Anthony yang juga Ketua DAPSY Negeri Sembilan, menegaskan Pakatan Rakyat menolak sebarang politik perkauman.

"BN sering menggunakan politik perkauman dalam menarik perhatian rakyat. Mereka sering mengeluarkan kenyataan jika Pakatan Rakyat memerintah negara, Melayu akan hilang kuasa.  Sedangkan yang akan hilang kuasa adalah BN.

"Sesiapa sahaja yang menghina Islam, DAP akan membela agama Islam. Sesiapa sahaja yang cuba menghina Islam, DAP akan pertahankan Islam," kata beliau disambut sorakan semangat daripada para hadirin.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung kenyataan Menteri Besar itu yang sengaja dimanipulasikan Wanita MCA sebelum ini.

Dalam pada itu, Anthony yang merupakan ahli parlimen Rasah turut menyifatkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai seorang yang paling 'celaka'.

Thursday, November 1, 2012

Adakah Ini Sebenarnya Yang Diperjuangkan Oleh JATI?

 Dicanang kononnya JATI mempertahankan Islam, Melayu dan Raja. Adakah yang dikatakan Soi Lek itu bukan penghinaan terhadap Islam? Ataupun pengerusi kedai perabut ini dah jadi UmNo walaupun mendakwa tidak akan masuk UmNo.

Apakah tidak boleh dia sanggah apa yang diperkatakan oleh Soi Lek? Susah ke nak faham bahasa Soi Lek itu? Kalau tak faham kenapa tak tanya Soi Lek maksud ucapannya itu?

Umum kita faham bahawa kalau nak duduk dalam UmNo segala yang disebut didalamnya atau sekutunya tidak tertakluk kepada undang-undang dan peraturan selain dari undang-undang UmNo. Sebab itu rasuah dalam UmNo dipanggil politik wang. Kesalahan dalam umno tidak boleh didakwa dimahkamah kerana ini masalah dalaman..... Sesiapa yang menyanggah akan dipecat keahlian.

Apa lagi yang diharapkan dari UmNo?
____________________________
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menyerahkan kepada ulama Umno bagi berbincang mengenai rakan mereka dalam BN, MCA, berhubung isu hudud yang dibangkitkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ditanya adakah wajar Umno mengadakan perbincangan mengenai hubungan dengan MCA, Hasan berkata, beliau tidak akan campurtangan mengenai perkara itu.

"Soal Umno nak kaji, tak kaji, apalah Hasan Ali boleh buat. Dalam Umno ada ulama dan mereka ini yang sepatutnya berbincang.

"Hasan Ali tidak akan campurtangan dalam perkara itu," katanya pada sidang media selepas pelancaran IMR Network di Shah Alam petang tadi.

Mahfuz: Jangan bayar saman AES


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini menyeru orang ramai tidak membayar saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sebaliknya hadir mempertahankan diri di mahkamah.

Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE) itu berkata, pihaknya sudah menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu, lapor Harakahdaily.

"Kerajaan perlu tarik balik saman yang telah dikeluarkan sejak 13 Oktober 2012.

"Jika kerajaan enggan berbuat demikian saya seru mereka yang sudah menerima saman AES untuk tidak membuat bayaran kompaun sebanyak RM300 itu, ikut arahan yang tertera di kertas saman untuk pergi ke mahkamah dan KASE sedia beberapa orang peguam untuk bantu dalam kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli parlimen Pokok Sena itu turut berkata, saman yang dikeluarkan mengelirukan apabila terdapat saman yang diterima menggunakan seksyen79(2) tetapi kesalahan dinyatakan sebagai melebihi had laju.

"Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas. Di kertas saman itu juga tertera kompaun minima adalah RM300, tetapi sebenarnya adalah tidak melebihi RM500.

"Mengikut seksyen ini juga pengguna jalan raya boleh menggunakan budi bicara mahkamah yang mana kemungkinan kompaun itu boleh dikurangkan menjadi RM50 atau boleh dibebaskan dengan amaran. Saman ini celaru dan keliru, oleh itu jangan bayar kita sedia peguam," beliau dipetik sebagai berkata.