Monday, February 23, 2015

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan politik antarabangsa.


Oleh Tuan Nasaie Ismail

Ramai yang menyebut Tuan Guru Haji Hadi lunak dengan syiah, lunak dengan Iran apabila dia memberi pandangan berbeza dalam isu Syria. Bahkan ada yang agak kasar menyebut bahawa Tuan Guru takut kerajaan Iran tidak jemput lagi ke sebarang program di Iran yang bagi mereka satu keistimewaan. Suatu yang memilukan apabila pandangan sebegitu keluar daripada mulut orang yang kuat membela Tuan Guru sebelumnya

Pengalaman saya mengikuti Tuan Guru ke Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam di Tehran pada tahun 2011 boleh memberi sedikit kejelasan. Bermula dengan surat bantahan atau teguran Presiden ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur apabila Iran mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar yang berdepan kebangkitan rakyat ketika itu. Iran menjemput beliau ke Tehran untuk memberikan pandangan. Persidangan ini melibatkan kesemua gerakan Islam di dunia termasuk Ikhwan, Jemaat Islami, An Nahdah dan juga tokoh-tokoh akedemik dari Al Azhar dan Qom Iran. 

Turut hadir Jemaah Islami Iran yang merupakan gerakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iran. Diantara tokoh-tokoh yang memberi ucapan ialah Dr Burhanuddin Rabbani bekas pemimpin Mujahidin Afghanistan. Beliau mati dibunuh selepas dua hari kami bertemu beliau di Tehran. Qazi Husin Ahmad (Pakistan), Dr Kamal Halbawi (Ikhwan), Dr Ramadhan Abdullah (Jihad Islami Palestin), Dr Musa Abu Marzuk (Hamas) dan Tuan Guru Haji Hadi sendiri.Di dalam ucapannya yang disaksikan oleh pemimpin Iran khususnya Ahmadinajad dan Ali Khomene'ie sendiri, beliau tegas menyebut bahawa gerakan Islam antarabangsa berbangga dengan kebangkitan rovolusi Iran 1979 yang telah menumbangkan rejim zalim Pro-Amerika Shah Reza Pahlawi yang memerintah Iran sebelum ini. Kebangkitan yang membunuh ribuan nyawa di zaman moden itu menjadi inspirasi kepada dunia Islam ketika itu.

Walaubagaimana pun beliau menegaskan bahawa Iran jangan mengambil kesempatan diatas kejayaan revolusi itu untuk mempromosikan Syiah di negara negara ahli sunnah. Ini kerana ia akan membawa perpecahan dan hilangnya fokus utama kita untuk berdepan musuh yang nyata Amerika dan Israel. 

Perkara yang sama disebut oleh Sheikh Mehdi Akif (mantan Mursyidul Am Ikhwan) ketika datang ke Malaysia beberapa tahun lalu. Beliau menyebut bahawa beliau memboikot persidangan di Iran sebagai bantahan terhadap kenyataan Iran menyokong kerajaan Syria tetapi rakannya Sheikh Abdul Hadi hadir ke Iran dan menyatakan sikap yang tegas secara berdepan. Maknanya kata Sheikh Mehdi diantara beliau dan Tuan Guru Haji Hadi mempunyai pandangan yang sama tetapi pendekatan yang berbeza.

Tuan Guru juga memberi penekanan bahawa dalam menguruskan kebangkitan Islam pasca kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia, gerakan Islam mesti menyelesaikan dahulu isu Syria secara bijaksana. Apa yang berlaku di Syria ialah rakyat yang bangkit menentang pemerintahan Bashar Asaad yang sangat zalim. Namun kuasa kuasa besar dan kuasa serantau menjadikan Syria sebagai tempat persaingan kuasa yang akhirnya memangsakan rakyat Syria yang tidak berdosa.

Selesai masalah di Syria kerana ia pintu ke Palestin. Kami berlepas ke Iran sekitar jam 12 tengahari dan sampai di sana sekitar jam 7 petang. Terus ke penginapan berehat. Keesokan paginya persidangan bermula, sebelah malamnya juga ada aktiviti. Hari ketiga persidangan bersambung. Tamat sekitar jam 12 tengahari terus ke Airport Tehran dan pulang ke Kuala Lumpur. Tidak singgah ke sebarang kedai, pasaraya, tempat pelancongan atau kerehatan.

Apa yang saya nak sampaikan ialah, tohmahan yang mengatakan Tuan Guru Presiden lunak dengan Syiah tidak benar, kerana kehadiran dia ke sebarang persidangan sentiasa membawa penegasan sebagaimana yang saya sebutkan tentang ucapannya di atas. 

Keduanya, tohmahan yang mengatakan beliau kerap ke luar negara untuk berehat dan berseronok juga tidak benar, kerana untuk membeli sebiji gula gula pun saya tidak sempat.InsyaAllah saya akan menyambung lagi beberapa penulisan berkait pemikiran Tuan Guru Presiden berkait hubungan antarabangsa jika ada kerehatan dan kenapa beliau menjadi sasaran dunia Barat sehari dua ini khususnya dengan penulisan di akhbar Al Watan Mesir tentang beliau beberapa hari lalu. Semoga Allah terus memelihara usia beliau kerana dunia sangat memerlukannya.

Kembali semula kepada persoalan mengapa Tuan Guru Haji Hadi menjadi sasaran dunia Barat khususnya dengan penyiaran berita bahawa beliau adalah Mursyidul Am Ikhwan Antarabangsa. Dalam kes Aceh lawan kerajaan Indonesia. Beliau telah bertemu Teuku Hasan Di Tiro pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menyeru berdamai dengan kerajaan Indonesia pasca Tsunami 2004. Walaupun GAM awalnya agak keras sikapnya terhadap Jakarta, sampai tahap mengkafirkan kerajaan Jakarta, tetapi berjaya dilunakkan untuk menyertai Indonesia secara autonomi. Alhamdulillah dengan bantuan PKS dan rakan-rakan di Indonesia, PAS berjaya hentikan konflik berdarah puluhan tahun di Aceh.

Begitu juga dengan konflik Yaman diantara penduduk Syiah Zaidiah dengan kerajaan Yaman. Kuasa politik serantau mengambil kesempatan. Kerajaan Saudi memberi sokongan kepada tentera Yaman dan Iran memberi sokongan kepada penduduk Syiah Zaidiah. Suasana sebeginilah disukai Amerika dan sekutunya. Jika konflik berlarutan, peperangan besar akan meletus dan dunia hilang perhatian kepada Palestin dan tertumpu di Yaman yang lebih dekat dengan Makkah dan Madinah.

Atas permintaan Dr Yusuf Al Qardhawi, Tuan Guru Haji Hadi pergi ke Yaman bertemu Timbalan Presiden Yaman dan juga wakil penduduk yang memberontak. Ternyata isunya bukanlah peperangan mazhab, tetapi kawasan tersebut dianaktirikan daripada pembangunan seumpama Kelantan lah di Malaysia. Lalu beliau ke Iran dan Saudi untuk mengajak ke meja rundingan. Dalam masa yang singkat berjaya didamaikan dan peperangan dihentikan. Gagallah hasrat Amerika untuk melihat peperangan meletus di Yaman.

Begitu juga dalam peperangan Telok pertama diantara Iraq dengan Iran dan Perang Telok kedua antara Iraq dengan Kuwait. Beliau ke Saudi, Jordan, Iraq, PBB dan lain lain bersama Almarhum Dr Najmudin Erbakan(Turki), Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mesir) dan Abdullah Gul (Turki) untuk mendamaikan peperangan yang berlaku.Mutakhir ini pasca meletusnya kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria, sekali lagi Tuan Guru Haji Hadi dilibatkan dalam memberikan pandangan ke arah menyelesaikan konflik ini dengan jalan damai. Pokoknya beliau bersama gerakan Islam sedunia merintis jalan damai dalam penyelesaian konflik di seluruh dunia hari ini.

Perkara inilah yang tidak disukai Amerika dan Israel. Mereka suka mengheret kumpulan Islam dan negaranya menyelesaikan konflik dengan peperangan yang natijahnya adalah kemusnahan besar, yang menang perang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Tauladan Afghanistan sudah cukup menjadi contoh apabila puluhan tahun lamanya masih dibawah konflik. Negara semakin mundur, kematian semakin ramai. Untuk membangunkan semula negara mengambil jalan yang panjang. 

Dalam masa yang sama Amerika dan Barat terus berkembang maju negara dan kekuasaannya.Dalam konflik di Mesir pasca penggulingan Dr Mursi, mereka gagal mengheret Ikhwan ke kancah perang bersenjata walaupun diacah beberapa kali. Diantara watak penting yang sentiasa berkongsi pendapat dengan Ikhwan dan lain lain gerakan supaya kekal dengan jalan damai dan selesaikan kembali secara demokrasi, adalah Tuan Guru Haji Hadi. Banyak lagi konflik yang menanti seperti Mindanao, Selatan Thailand dan lain-lain. Maka watak seperti ini mesti disekat, bahkan tidak mustahil dihapuskan sebagaimana mereka menghapuskan Dr Abdullah Azzam, Burhanuddin Rabbani dan terdekat Dr Mohd Said Ramadhan Al Butti yang ketiganya ada kesamaan dengan jalan dirintis Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


Institusi pendidikan tahfiz tidak sebar ideologi militan IS - PITAS

KUALA LUMPUR: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menolak sekeras-kerasnya tanggapan kononnya institusi pendidikan tahfiz di Selangor terlibat secara langsung dalam penyebaran ideologi jihad militan IS di negara ini.

Pengerusinya, Ashri Lateh Al-Muqril berkata, 160 buah sekolah tahfiz yang berdaftar di negeri itu tidak pernah memberi galakan kepada pelajar mereka untuk menyertai mana-mana kumpulan militan termasuk IS (Islamic States).

"Kumpulan militan itu bukan hanya bercanggah dengan falsafah pendidikan tahfiz malah terpesong jauh dari ajaran agama Islam sebenar," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah sekolah tahfiz itu, 130 buah dengan bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang bernaung di bawah PITAS.

Sekolah berkenaan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Pendidikan tahfiz berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan 'Rabani' yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

"Selain berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

"Jihad dalam aliran tahfiz tidak sampai kepada tahap memikul senjata dan keluar berperang.

"Sebaliknya menuntut ilmu yang berguna seperti ilmu menghafal Al-Quran yang merupakan jihad yang lebih besar pada dunia akhir zaman ini," kata Ashri.

Ashri berkata kes membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun ditangkap dalam perjalanan menyertai jihad IS di Syria baru-baru ini adalah bersifat individu serta terpencil dan tidak mencerminkan seluruh pelajar tahfiz di Selangor ataupun di negara ini.

"Saya terkejut apabila membaca berita seorang pelajar tahfiz perempuan ditangkap polis apabila cuba berjihad ke Syria dan ini adalah kes pertama melibatkan pelajar aliran tahfiz.

"Saya percaya bahawa pelajar terbabit terpengaruh dengan dakyah IS ketika berada di luar sekolah atau pada waktu cuti kerana kebanyakan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajarnya melayari internet walaupun kami ada menyediakan kelas komputer," katanya.

Gadis berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Rabu lepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu adalah pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ashri berkata isu gadis itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung PITAS bulan depan bagi mencari jalan untuk menyekat fahaman IS dari terus menular dan meracuni pemikiran pelajar tahfiz.

"Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga...kita perlu ambil langkah pencegahan awal bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan JAIS. - BERNAMA

Thursday, February 12, 2015

Hilangnya Sebutir Lagi Mutiara...

Selamat jalan kami ucapkan semoga Tuan Guru berbahagia menghadap Allah SWA. Kami pasti akan merinduimu.

Ya Allah, 

Engkau terimalah kembali hambaMu, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat... pemimpin kami, guru dan ulamak yang kami sayangi dengan rahmatMu. Ampunkanlah segala salah dan dosanya, rahmatilah rohnya. Berilah kepadanya balasan yang baik kerana jasanya mendidik dan memimpin kami yang tiada mengenal penat dan jemu.

Ya Allah... Engkau kurniakanlah kepadanya keberkatan dan permudahlanlah segala urusannya. Berilah ketabahan kepada isteri, anak-anak dan ahli-ahli keluarganya. Engkau berikanlah kepadanya tempat tinggal yang baik bersama orang yang soleh, suhada dan orang-orang yang benar. 

Ya Allah... Berilah kepadanya dan kepada kami pengampunan. Sesungguhnya kami kehilangan seorang pemimpin dan seorang guru yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada kami. Maka gantilah kepada kami orang yang selayaknya untuk memimpin kami dan berilah kepada kami kekuatan, kesabaran dan kelapangan hati untuk mengikuti kepimpinannya kelak.

Ameen.

Wednesday, February 11, 2015

PAS Ada Matlamat Perjuangan.

Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yg sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ni ibarat mereka yg menebok kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putra Jaya pergilah ke bahtera UMNO.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya. Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian. Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali. Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh Tok tok Guru Pondok. Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim. Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Markas Air Kuning, Taiping
25.01.2015

Tuesday, February 10, 2015

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

20 Rabiul Akhir 1436 / 10 Februari 2015

"TERUSKAN PERJUANGAN MENEGAKKAN KEADILAN"

PAS merakamkan takziah dan simpati terhadap Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas ujian hukuman yang dijatuhkan kepadanya.

Hari ini menjadi satu lagi sejarah hitam negara, mengulangi tragedi sama yang pernah ditanggung beliau sebelum ini. Untuk itu, rakyat perlu melihat bahawa kemaraan dan konsisten politik Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dipasung dari terus menjadi pejuang rakyat.

Ia juga mengingatkan kita semua, hanya Undang-undang Syariah sahaja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini.

Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam.

Kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, ahli keluarga, seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat, semoga kita terus sabar dan istiqamah untuk kekal melangsungkan memperjuangkan menegakkan keadilan bagi negara ini.

Oleh itu, perlunya kita bersatu-padu secara penuh harmoni dalam kemajmukan, agar menjadi kuat untuk teguh menumbangkan BN.

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Sunday, February 8, 2015

terimakasih Kepada Penyumbang Tabung Mangsa Banjir Kelantan

Penyerahan Rumah Budiman dari PKHL oleh YB DR Che Rosli kepada mangsa banjir Kelantan disaksikan oleh Ketua PAS Cawangan Kg Kemubu Dabong. Beliau juga adalah Imam Masjid Kg Kemubu. Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah AJK PAS Cawangan berkenaan.

 

Saturday, February 7, 2015

YB Hj Razaly Memenuhi Undangan Masyarakat India Di Taman Cuepacs

Kenapa Kita Bersama Perjuangan Parti Islam Semalaysia PAS?

1. Perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik Islam adalah perjuangan berasaskan Aqidah Islam yang mengajar hakikat bahawa Allah adalah RABB yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam dan bahawa Allah adalah ILAAH yang mesti diberikan kepadaNya sepenuh ketaatan dan ketundukan pengabdian diri.
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ 
"Tiada sebenar-benar urustadbir melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu jangan mengabdikan diri melainkan kepada-Nya. Itulah agama ketundukan yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Surah Yusof; 40.

2. Setiap ahli PAS yang menggabungkan diri mereka ke dalam parti Islam meyakini bahawa penglibatan mereka dalam PAS adalah tuntutan Aqidah Islam yang menyeru mereka memperjuangkan negara dan masyarakat yang beriman dengan Islam dan beramal dengan sistem Islam dalam pengurusan kenegaraan samada pengurusan politik, ekonomi, sosial dan kebajikan.
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
"Dan hendaklah kamu mengurustadbir/memerintah di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dan berwaspadalah bimbang mereka memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu". Surah al-Maidah; 49.

3. Setiap ahli PAS meyakini bahawa kewajipan mereka ialah meneruskan legasi pemerintahan Nabi saw dengan menegakkan kerajaan Islam yang bermatlamatkan "menegakkan Agama Islam dan mentadbir negara dan bumi dengan Agama Islam" seperti penegasan para Alim Ulamak 
الخلافة خلافة عن النبوة في  إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Khilafah itu adalah penggantian terhadap kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama".

4. Setiap ahli PAS meyakini bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah dan menghindarkan diri mereka daripada neraka. Perjuangan mereka adalah untuk bahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat. Perjuangan mereka ialah untuk berkongsi kebahagiaan yang diperolehi menerusi Islam dan pemerintahan Islam dengan manusia sejagat. Itulah asas moto "PAS untuk Semua".

5. Setiap ahli PAS meyakini bahawa segala tindak-tanduk serta strategi perjuangan  mereka mestilah berlandaskan hukum halal dan haram dan berlandaskan panduan al-Quran dan Sunnah, Ijma' dan Qiyas yang dihurai dan dijelaskan oleh para alim ulamak yang berilmu dan soleh. Maka begitulah strategi politik termasuk kerjasama politik dengan mana-mana parti yang tidak Islam dilakukan berlandaskan hukum dan rujukan al-Quran dan Sunnah bermatlamat menegakkan Islam dan dakwah Islam.

6. Aqidah ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir oleh hamba-hamba yang beriman dengan Aqidah Islam, yang beramal dengan Syariat Islam, yang berakhlak dengan Akhlak Islam. Dan untuk itu dan ke arah itu mereka berjuang kerana Allah berfirman;
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا 
"Dan sama sekali Allah tidak membiarkan bagi orang kafir jalan menguasai orang-orang beriman"
Surah al-Nisa'; 56.

7. Aqidah dan keyakinan serta pegangan Ahli-ahli PAS ialah bahawa bumi ini mesti diperintah dan ditadbir dengan Islam sama ada dalam pengurusan pentadbiran politiknya, mahupun pengurusan ekonomi kewangannya ataupun pengurusan sosial kemasyarakatannya.

8. Aqidah dan keyakinan serta pegangan ahli-ahli PAS ialah bahawa hanya Islam yang sebenar-benar mampu memberikan keadilan kepada manusia.

9. Kebajikan yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah kebajikan berasaskan kaca mata Islam dan bukan kebajikan pada kacamata sosialis atau komunis atau demokratis atau sekularis.

10. Keadilan sosial dan ekonomi yang diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS ialah keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kacamata Islam dan bukannya keadilan pada sudut pandangan sekular atau sosialis atau liberalis atau komunis atau demokratis.

Maka marilah kita istiqamah meneruskan perjuangan suci dan murni ini agar hidup kita terus dirahmati.

Nukilan; 
Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sabtu 7 Februari 2015 / 17 Rabiulakhir 1436H jam 12.30 tghri.