Wednesday, September 30, 2009

Calon PAS - Zulkefly Mohamad Omar

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zulkefly berkata Pakatan Rakyat (PR) akan membuat perubahan bersama dengan kehendak rakyat.

“Kita bertanding untuk membela rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Zulkefly berkata, terpulang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Beliau yakin pengundi bijak untuk memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk membela mereka.

Ditanya harapannya dalam piliharnaya kecil kali ini memandangkan beliau bukan anak tempatan, Zulkefly yang pernah tiga kali bertanding sebelum ini berkata:

“Saya anak watan Negeri Sembilan, cuma lain daerah sahaja. Kita boleh capai kemenangan untuk bawa perubahan kepada rakyat.”.

Ditanya mengenai calon BN - Tan Sri Isa Samad yang merupakan calon popular dan mendapat sokongan akar umbi - Zulkefly sekali lagi mengulangi bahawa terpulang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.

Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS memilih Zulkefly kerana beliau merupakan calon terbaik, muda dan berpendidikan tinggi.

Kepimpinan PAS, tegasnya, sebulat suara memilih Zulkefly bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Ditanya mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi berkata: “Tunggu dulu”.

Hadi juga ditanya mengenai kemungkinan masalah dalaman Pakatan Rakyat di Selangor - ekoran teguran pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan - akan dijadikan isu di Bagan Pinang.

Menjawab soalan tersebut, Hadi berkata: "Masalah dalaman yang ditimbulkan oleh media akan diselesaikan. Tidak jadi masalah."

Hadi juga ditanya mengenai peluang PAS menang dengan meletakkan pesuruhjaya negeri itu sendiri bertanding di Bagan Pinang, memandangkan dalam pilihanraya umum tahun lalu, parti itu tewas di 12 daripada 13 kerusi DUN yang ditandinginya di Negeri Sembilan.

Dalam jawapannya, presiden PAS itu berkata: “Kita melihat perubahan, tujuh daripada lapan pilihanraya kecil (sejak pilihanraya umum tahun lalu) kita menang, ini satu perubahan, adanya anjakan paradigma di kalangan pengundi di Semenanjung.”

Ditanya mengenai pengundi pos yang berjumlah lebih 4,000 orang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Hadi berkata, terserah kepada pemilih yang mempunyai hak untuk mengundi.

Tuesday, September 29, 2009

Kempen Pilihanraya BN Bermula Dengan Ini....

Bandar tentera udara, laut, polis, FRU, SPRM, SPR bila lagi?

_____________________________
Port Dickson diisytihar Bandar Tentera Darat: Najib


PORT DICKSON: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bandar Port Dickson kini diisytiharkan sebagai bandar tentera darat sebagai mengenang serta menghargai sumbangan tentera darat kepada negara.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, sebentar tadi.

Isa Samad calon BN di Bagan Pinang


Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Isa merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, katanya, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa, katanya, sudah didapati bersalah dan kalau Umno letak beliau sebagai calon, ia juga bermakna bahawa Umno tidak ambil berat tentang kes-kes semacam itu.

Dr Mahathir berkata, kalau pun Isa boleh menang tetapi Umno "kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno".

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

PETALING JAYA: PAS dan DAP - dua rakan sekutu dalam politik Malaysia yang sedang berkrisis di Negeri Selangor pada saat ini telah mencapai kata sepakat untuk duduk semeja pada 7 Oktober ini untuk membenamkan segala perbezaan yang tercetus di antara mereka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahrir kepada mStar Online.

Perbincangan meja bulat itu adalah yang julung-julung kalinya diadakan sejak Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bertelagah secara terbuka dengan para pemimpin DAP dan juga PKR sejak tiga bulan yang lalu.

Usaha itu dilihat sebagai langkah terbaru bagi menjernihkan hubungan 'keruh' antara pemimpin DAP dan PAS khususnya di Negeri Selangor, yang jelas kelihatan tidak harmoni dengan masing-masing saling bercanggah pendapat mengenai pelbagai isu termasuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengecam dan mengkritik di antara satu sama lain.

Pada petang Isnin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim dari DAP mendakwa Dr Hasan sengaja menumpukan kepada isu remeh-temeh di negeri itu sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pentadbirannya.

Malah Teng dalam serangan paling pedas ke atas Exco dari PAS itu berkata, Dr Hasan cuba untuk menggambarkan Khalid sebagai seorang yang tidak cekap, tidak tegas dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut Teng, apa yang dilakukan oleh Dr Hasan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan yang beliau mahu menyusahkan Khalid dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Teng semalam berhubung ketidakpuasan hatinya ke atas tindak tanduk Dr Hasan merupakan yang paling keras dan pedas berbanding kenyataan-kenyataan sebelum ini.

Sepanjang tiga bulan lalu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP secara terbuka berhadapan dengan krisis pertembungan pendirian khususnya dalam isu larangan jualan minuman keras di Shah Alan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Teng merupakan Pengerusi Selcat.

Jadi kedua-dua parti itu tidak mempunyai banyak pilihan melainkan duduk semeja bagi mencari titik persamaan baru dalam menerajui Kerajaan Negeri Selangor yang kini dikongsi secara bersama dengan PKR.

Pertemuan ini juga nampaknya diadakan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan telahpun bermula. Kempen pilihan raya kecil bermula 3 Oktober manakala pengundian adalah pada 11 Oktober.

"Perbincangan meja bulat ini diadakan bagi membuktikan bahawa anggapan wujudnya krisis kepercayaan dalam Pakatan Rakyat khususnya antara DAP dan PAS, lebih-lebih selepas tercetusnya isu pengharaman penjuakan minuman keras di Shah Alam, adalah tidak benar.

"Idea usaha ini ialah menggambarkan hubungan kami masih baik dan kami masih boleh duduk berbincang, dan perbezaan pandangan tidak harus disalah ertikan oleh mana-mana pihak sebagai satu krisis," kata Roslan.

Pertemuan meja bulat ini yang akan dihadiri oleh 10 pemimpin mewakili setiap parti.

PAS Selangor akan diwakili oleh Hasan sendiri.

Roslan memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan meja bulat kedua jika perlu, bergantung pada hasil pertemuan pertama.

"Sama ada akan dikeluarkan apa-apa resolusi, ia akan diputuskan pada pertemuan Rabu depan," katanya.

Khalid Samad sedia hadapi Jawatankuasa Disiplin PAS

PETALING JAYA: Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad bersedia untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib pusat parti itu sambil menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan apabila membuat kenyataan bahawa Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali patut meletakkan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Khalid juga berkata, beliau tidak tahu bahawa adanya usaha PAS Selangor yang dilaporkan mahu merujuknya kepada Jawatankuasa Tatatertib.

"Saya tidak tahu adanya langkah sedemikian. Jika ada, mereka sepatutnya memaklumkan kepada saya ketika mesyuarat Badan Perhubungan Negeri semalam tetapi hakikatnya saya tidak dimaklumkan.

"Tak mengapa, saya akan tunggu dan melihat. Saya sedia dihadapkan ke ke jawatankuasa ini," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam ketika dihubungi oleh Mstar Online.

Minggu lalu Khalid telah meminta Hasan yang juga Exco kanan kerajaan negeri meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Khalid memberitahu, "nampaknya langkah mereka bukan merupakan satu tindakan tidak gentlemen kerana mereka seharusnya telah memaklumkan saya tentang tindakan yang hendak diambil."

Kata Khalid, beliau hanya melahirkan pandangan bahawa Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor seharusnya meletakkan jawatan jika tidak dapat berperanan sebagai rakan sepasukan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru itu katanya, jika kenyataannya itu disifatkan sebagai "salah", beliau bersedia untuk berhadapan dengan Jawatankuasa Tatatertib jika dipanggil.

Sambil mengulangi bahawa perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Badan Perhubungan Negeri PAS Selangor semalam, Khalid berkata, kemungkinan ia telah disentuh dalam mesyuarat Dewan Harian yang menyusul selepas pertemuan itu.

PAS Selangor juga mengadakan mesyuarat Dewan Harian malam kelmarin.

"Saya difahamkan ada satu mesyuarat Dewan Harian selepas mesyuarat Badan Perhubungan Negeri semalam, saya tidak pasti.... saya difahamkan.

"Mungkin ia dibincangkan dalam mesyuarat itu, saya tidak tahu," katanya.

Monday, September 28, 2009

Isu Selcat: Hasan Ali perlu tegas menyatakan pendiriannya yang Islamik, kata Dr Asri

PETALING JAYA: Kritikan Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) turut mendapat reaksi dari mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

“Saya berpendapat YB Dato Dr Hasan Ali mestilah terus bertegas menyatakan sikap yang telus dan pendiriannya yang Islamik walaupun mungkin bertentangan dengan Kerajaan Negeri. Itu sebagai tanggungjawab ‘hisbah’ atau membetulkan perjalanan pemerintahan," jelas beliau pagi tadi.

Menurut Dr Asri, kerajaan-kerajaan yang baru diberi mandat oleh rakyat jangan dibiarkan merasa begitu 'complacent' dan berani untuk buat apa sahaja yang akhirnya penyakit-penyakit lama dalam politik dulu akan diwarisi oleh kerajaan-kerajaan yang baru.

"PAS sebagai parti yang selama ini melaungkan slogan Islam tidak boleh tenggelam dalam permainan politik sehingga melupai prinsip-prinsip yang pernah dinyatakan," kata tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya menyuarakan pendapat dan tidak berpihak pada mana-mana parti politik.

Kata Dr Asri lagi, jika selama ini PAS lantang mengkritik Kerajaan BN, apakah wajar untuk PAS membisukan apabila melihat kecacatan yang nyata dalam kerajaan yang dikongsinya dengan orang lain.

"Selama PAS menyatakan prinsipnya dan sikapnya yang Islamik, maka PAS akan dianggap berpendirian dan tidak hanyut dalam permainan politik semata,” jelas Dr Asri.

Sebelum ini, Hasan mempertahankan kritikannya terhadap tatacara Selcat dan menyifatkan kritikan itu sebagai satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor baru-baru ini.

Pendirian Hassan yang terus-terusan mempertikaikan isu Selcat telah mencetuskan polemik baru dan mendapat rekasi pelbagai dari beberapa pihak.

Namun, PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini, tidak bercadang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Dr Hassan. Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan iaitu Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa juga berpendapat usul supaya Hasan harus dikenakan tindakan cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat.

"Ianya bukan menunjukkan ada usaha mahu menjatuhkan beliau. Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki. Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin," jelas Nasharudin.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

Saturday, September 26, 2009

Pemuda PAS khuatir isu Selcat bawa kejatuhan Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pusat memberi amaran kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah" berikutan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat).

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu.

Pada 12 November 2007, kerajaan negeri ketika itu pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri," kata Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Nasrudin melahirkan pendiriannya ini ketika banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali keluar Pakatan Rakyat negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

"Walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, jangan sampai beliau dipancung, jangan beliau dibuang.

"Perbezaan pandangan ini mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Hasan telah melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).

Malah, pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

Ketika diminta mengulas lanjut, Nasrudin memberitahu, sekiranya pegawai-pegawai kerajaan negeri merasakan mereka diaibkan dengan sesi soal siasat secara terbuka dan tidak mengikut kesusilaan, ia boleh menyebabkan perasaan membenci terhadap kerajaan negeri.

"Kalau mereka sudah menanam perasaan benci... mereka diperlekeh, dipersenda, saya bimbang mereka yang ada pengaruh ini (kakitangan kerajaan), mereka akan menyebabkan pulangan yang negatif kepada keraajan negeri.

"Tidak keterlaluan saya boleh katakan ia akan mengancam kemantapan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Saya minta jangan hanya menuding jari atas konflik yang berlaku ini, tetapi kita perlu mendengar pandangan semua pihak secara terbuka," kata beliau sambil menambah, "kita mahu satu pasukan kerajaan yang mesra pemerintah."

"Walaupun Selcat adalah satu jawatankuasa yang sah dan ada hak untuk memanggil kakitangan tetapi ia perlu dibuat secara adab dan susila yang sesuai supaya tidak aibkan dan memalukan mereka," katanya lagi.

Khalid akan mempengerusikan mesyuarat khas Isnin ini bagi menangani isu Selcat membabitkan anggota Selcat, Exco dan pegawai-pegawai daerah yang disoal siasat oleh jawatankuasa itu.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ia kini menyiasat penggunaan dana oleh wakil-wakil rakyat BN Selangor beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Sebelum 1 Syawal lalu, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim itu dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Friday, September 25, 2009

Apabila Sultan Secara Terbuka Sokong BN

Kesultanan sepatutnya sebuah institusi bebas dari pengaruh politik. Bukan sahaja bebas bahkan tidak sepatutnya ia mengeluarkan kenyataan secara terbuka menyokong mana-mana parti politik. Ini adalah kerana sekiranya parti yang memerintah tidak lagi berlaku adil kemana lagi rakyat hendak mengadu nasib?

Kenyataan dibawah bukan sahaja tidak adil bahkan mengelirukan rakyat. Wang negara yang dibelanjakan tidak sepatutnya digunakan untuk membeli pengaruh dan undi rakyat. Perlu di ingat bahawa perbelanjaan RM64 juta adalah wang negara dan rakyat bukannya wang Barisan Nasional.
________________________________________
Sultan Pahang Mahu Rakyat Terus Sokong Kerajaan Barisan Nasional

KUALA KRAU, 24 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka.

Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu merupakan agenda pembangunan mampan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-kedua belah sungai berkenaan.

Hasan Ali Tidak Bersendirian

Sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tidak sendirian dalam memperjuangkan hak dan keadilan untuk seluruh rakyat Selangor. Sebagai pendokong perjuangan Islam, PAS perlu adil hatta kepada lawan dan inilah dasar perjuangan PAS. Tidak terkecuali kepada kakitangan kerajaan negari. Penegasan beliau dalam urustadbir dan operasi Selcat perlu diambil perhatian. Tambahan lagi beliau adalah exco kerajaan negeri. Teguran beliau yang dilihat lebih memihak kepada kakitangan kerajaan tidak boleh dilihat sebagai membelakangkan kerajaan. Ini adalah kerana secara prinsipnya keadilan perlu diberikan kepada semua pihak.

Bukan berniat untuk memalukan Selcat dan tidak juga mempertahankan kakitangan kerajaan secara tidak wajar. Bukan juga untuk menjadikan media sebagai medan perdebatan. Semua suara perlu didengar dan perlu diambil perhatian. Menyelar sesiapa di media tanpa hak juga tak wajar. Open enquiries bukan bermakna media enquiries. Ada medan dan sesi yang sesuai yang tanpa mengorbankan prinsip keadilan. Kita tak mahu nanti kerajaan dibebani saman malu yang akibatnya pembayar cukai terpaksa menanggung beban. Sedangkan dana itu sepatutnya untuk rakyat bukan membayar saman malu.

Apa yang menjadi kebimbangan saya kini sudah semakin ketara. Jumlah kerusi PAS yang sedikit di Selangor mengakibatkan suara PAS tidak berapa diendahkan oleh kawan dan lawan. Inilah lumrah kerajaan demokrasi. Mereka yang mempunyai suara terbanyak lebih dihargai dan dihormati walaupun suara minoriti mungkin lebih baik atau adil. Kini rakyat negeri Selangor sepatutnya sedar bahawa untuk mengembalikan semula kekuatan suara wakil orang Islam dan Melayu di Selangor jalan yang ada hanyalah dengan memberi sokongan yang lebih besar kepada PAS. Sekiranya PAS mempunyai kerusi yang majority di Selangor, pastinya suasana yang lebih baik akan dapat dilihat.

Mungkin kita terpaksa menunggu pilihanraya umum ke 13 baru mendapat hasil. Pun begitu usaha perlu digerakkan sekarang untuk memberi kesedaran kepada rakyat terutama kawasan yang ditandingi oleh PAS.

Kini kita lihat suara rayat mula didengari dan bantuan/sumbangan banyak dihulurkan oleh PR dan BN kepada rakyat, terutamanya ketika sambutan puasa dan hari raya baru-baru ini. Di ketika BN berkuasa, mereka terlalu angkuh dan beranggapan bahawa sekiranya BN kuat dan rakyat miskin selamanya rakyat akan bergantung hidup kepada UMNO dan BN. Kini bukan sahaja sewaktu bencana, hatta bila ada kematian dan kenduri kahwin pun sekiranya wakil rakyat PR dan BN tahu mereka akan berebut-rebut untuk datang. Inilah manfaatnya yang rakyat nikmati kini.

Perjuangan perlu diteruskan.... Insyallah rakyat akan melihat dan menilai.

Friday, September 18, 2009

Selamat Menyambut Hari Lebaran

Ramadhan telah sampai ke kemuncaknya. Mungkin malam ini adalah malam terakhir kita beribadat dibulan Ramadhan. Semoga kita telah bertemu malam lailatul qadar, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam ini juga mungkin malam terakhir kita bertarawih. Masih tidak terlewat untuk mengandakan dan memperbanyakkan amalan. Masa yang berbaki ini marilah kita manfaatkan sepenuhnya. Diharapkan Ramadhan ini adalah yang terbaik dalam hidup kita. Mudah-mudahan dipanjangkan usia untuk sampai ke Ramadhan tahun hadapan.

Saya juga berharap untuk terus diberikan kekuatan dan istikomah dalam meneruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di bumi Allah ini. Walau di mana pun saya berada. Meneruskan perjuangan untuk sama-sama memberi input, idea dan penerangan bagi menyampaikan mesej dakwah Islam. Kita cuba sampaikan dasar dan matlamat perjuangan supaya semua pihak tidak lagi memusuhi atau memandang sinis perjuangan PAS. Perjuangan yang mempunyai visi yang sangat luas dan panjang iaitu perjuangan Islam yang syumul. Jaminan Islam untuk memberi kesejahteraan kepada seluruh umat, bangsa dan dunia sejagat. Bukan sahaja kesejahteraan kepada umat manusia bahkan juga haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Insyallah saya akan keluar negara lagi selepas Aidil Fitri selama dua minggu. Setakat mana yang mampu saya update blog ini insyallah akan saya usahakan. Selamat hari raya. Mohon maaf zahir batin kepada semua yang mengenali saya dan seluruh pembaca blog ini. Sekiranya ada salah silap sepanjang perkenalan kita dan sepanjang saya menulis di sini maaf jua saya pinta. Saya adalah insan kerdil yang cuba menongkah arus. Kadang-kadang hanyut ketepi. Mudah-mudahan diberi kemudahan, kekuatan, idea dan masa bagi meneruskan perjuangan ini. Amin.

Wednesday, September 16, 2009

Hit 10,000

Pejam celik pejam celik..... Blog ni kini sudah mencecah angka 10,000 hit. Alhamdulillah di atas segala sokongan, perhatian dan kerjasama dari semua pihak. Mungkin kami tak sepolular blog Che Det tetapi sebagai penulis kecil yang punya ruang lingkup yang terhad ini , ia sudah cukup untuk memberikan kepuasan.

Cadangan Perjalanan Balik Kampung - PLUS

Pandu cermat, hormati pengguna jalanraya yang lain. Semoga selamat sampai ke tempat yang dituju. Berehatlah bila penat dan mengantuk. Kawan atau isteri disebelah tolong temankan pemandu. Sama-sama kita jaga keselamatan. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari jma@tekali.

Lima tahanan ISA dibebaskan menjelang Bagan Pinang

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaporkan akan dibebaskan hari ini. Ia sama seperti pembebasan pemimpin utama pertubuhan Hak Asasi Hindu (Hindraf), menjelang pilihanraya kecil Bukit Selambau.

Diharapkan lebih ramai lagi yang akan dibebaskan dari akta yang zalim ini. Bebaskan atau bicarakan mereka yang ditahan dibawah ISA.

1MF1 Team

Tahniah akhirnya kerajaan membuat keputusan yang boleh dianggap munasabah setelah sekian lama dinantikan oleh peminat sukan permotoran. Setelah lebih 10 tahun negara terlibat secara aktif dan membelanjakan berbilion ringgit wang negara akhirnya kita punya pasukan F1 sendiri. Program F1 ini bermula di Pejabat Penasihat Sains pada pertengahan tahun 90an sehingga terbinanya litar lumba SIC di Sepang.

Malangnya perjalanan projek ini tidak teratur dengan keterlibatan pelbagai pihak dalam pasukan yang berlainan antaranya pengelibatan Alex dengan Minardi dan Petronas dengan Sauber. Begitu juga dengan pengelibatan Proton dengan sukan MotoGP yang dilihat tidak munasabah.

Kini semua pihak bergabung tenaga, kepakaran, kewangan termasuklah syarikat dimana saya sekarang berkerja. Pun begitu Petronas masih tiada dalam senarai. Mungkin masih terikat dengan kontrak BMW. Diharapkan selepas ini Petronas juga akan bersama dengan 1MF1 Team.

Kita sudah ada litar lumba, kita bakal ada jentera, kita bakal ada pit crewnya, pengarah teknikal pun dah ada...... Tetapi siapa pelumbanya? Alex Yoong? Rasanya dah patut bersara. Fairus Fauzy? Tak kan seorang sahaja? Mana second driver dan test drivernya?

Bukan hendak menyatakan setuju atau tidak dengan projek ini. Apa yang saya cuba nyatakan ialah kalau kita nak bersukan kita perlulah strategik dan ianya memberi yang terbaik bagi mempromosi teknologi dan kepakaran kita dalam industri permotoran. Apa yang diharapkan kita akan mendapat teknologi dan kepakaran bagi mempertingkatkan prestasi Proton. Jangan pulak lepas ni harga Proton naik lagi sudah. Sudahlah kini Proton dijual di luar negara lebih murah dari Malaysia.... kini apabila Proton taja 1MF1 Team rakyat pula yang kena bayar kosnya.

Semoga berjaya.

Monday, September 14, 2009

DUN Bagan Pinang: Penamaan calon 3 Okt, hari mengundi 11 Okt

PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Oktober ini dengan hari penamaan calon ditetapkan 3 Oktober.

Tarikh diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuarat khas di sini sebentar tadi.

Sekitar Ceramah Ramadhan & Penyampaian Sumbangan YB Iskandar

















Friday, September 11, 2009

Bagan Pinang - Wakil POS?

Dengan jumlah 14,192 pengundi pengundi di Bagan Pinang, 4,925 darinya adalah pengundi pos. Ini adalah mewakili satu per tiga dari jumlah pengundi di sini. Sekiranya pengundi awam terpecah dua maka undi pos inilah yang menentukan kemenangan BN.

Kepada mereka yang pernah berkhidmat dengan pasukan keselamatan, mereka pasti arif apa sebenarnya yang berlaku dalam undi pos. Ada yang mengatakan mereka tak pangkah tetapi bos yang pangkah, ada yang kata kertas undi pembangkang akan dibuang dan seribu satu cerita lain.

Apakah jaminan yang boleh diharapkan dari SPR bagi memastikan undi pos ini telus dan pengundi tidak merasa takut dalam melaksanakan tanggungjawab mereka? Apakah penyelesaian yang terbaik dalam hal ini. Kalau ikutkan, kaedah yang paling selamat adalah pengundi pos dimansuhkan atau mereka yang berkhidmat dengan pasukkan keselamatan dikecualikan dari mengundi kerena mereka ini patut berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Persoalannya adakah BN setuju dengan tuntutan BERSIH untuk memansuhkan undi pos? Sedangkan inilah senjata mereka yang paling berkesan dalam memastikan kemenangan. Ini terbukti dengan kemenangan BN di kawasan parlimen yang dikuasai oleh PR. Kebanyakkan kawasan yang mempunyai undi pos yang banyak akan dimenangi oleh BN.

Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar rakyat merdeka dan dibebaskan dari belenggu pemikiran penjajah BN.

Thursday, September 10, 2009

Anak Mahathir dilantik menjadi pengarah syarikat arak terbesar di Filipina

Mirzan Mahathir appointed director on San Miguel Corp board

KUALA LUMPUR, Sept 10 — Mirzan Mahathir, the eldest son of Tun Dr Mahathir Mohamad was recently appointed to the board of San Miguel Corp, the biggest food and beverage conglomerate in the Philippines and the owner of San Miguel Brewery Inc.

San Miguel Corp told the Philippines stock exchange last week about Mirzan’s appointment which is to represent the interests of Q-Tech Alliance Holdings Inc on the board.

Q-Tech, a Manila-based investment company in which Mirzan has a stake in, recently acquired a 19.9 per cent share in San Miguel Corp for 39.61 billion pesos (RM2.9 billion).

JEMPUTAN KE PROGRAM CERAMAH DHUHA IHYA’ RAMADHAN 1430H/2009










Tarikh : 12hb September 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 - 10.30 pagi
Tempat : Dewan Orang Ramai Batu 14, Pekan Hulu Langat
Penceramah : YB Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim)
Tetamu VIP : YB Iskandar Abdul Samad (Timb. Pesuruhjaya PAS II Selangor)

Wednesday, September 9, 2009

Nik Aziz: Terima kasihlah saya tidak minat

KOTA BHARU, Sept 8 — Sebagaimana dijangka, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sikapnya, tidak sedia berbincang dengan Umno.

Bagi beliau, ia isu lama dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

PAS, katanya, tetap dengan prinsipnya tidak akan bersetuju untuk mengadakan sebarang rundingan dengan Umno selagi parti itu tetap dengan apa yang ada padanya sekarang.

Kenyataan itu ditegaskan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya petang ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini.

Najib menyuarakan hasrat tersebut di dalam ucapannya pada satu majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai petang semalam.

Pada majlis yang sama Najib turut mengumumkan kerajaan pusat telah meluluskan projek pembangunan kawasan Manek Urai sebanyak RM8.9 juta sebagai menepati janji pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai lepas.

Antara projek yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Manek Urai sampai sekarang ialah janji Barisan Nasional akan membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.

Namun Nik Aziz, masih meragui keikhlasan Umno. Baginya, sekiranya Umno benar-benar ingin jaga Islam lebih baik Umno terus bertindak menukar dasar partinya supaya keikhlasan itu terbukti pada seluruh rakyat.

Bagaimanapun beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat menyediakan peruntukan pembangunan bagi Dun Manek Urai, dan berharap peruntukan itu akan terus dikesinambungkan kerana ia memang menjadi tanggungjawabnya.

Di Kuala Lumpur, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyifatkan tawaran Najib untuk sekian kalinya kerana Umno sekarang sedang tersepit.

Umno perlukan PAS untuk menyokongnya selepas terperangkap dalam isu perkauman yang diciptanya sendiri, kata Salahudin.

Tuesday, September 8, 2009

1 Malaysia 1 Najib 1 Kerusi



Najib luluskan projek pembangunan untuk Manek Urai RM8.9 juta

KUALA KRAI: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata beliau telah meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai pada 14 Julai lepas.

Perdana Menteri berkata walaupun Barisan Nasional (BN) tewas kepada PAS pada pilihan raya kecil itu namun kelulusan projek itu sebagai bukti kerajaan pusat menepati janji dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
_______________________________________

UMNO yang berjanji kenapa kerajaan Malaysia yang kena bayar? UMNO janji UMNOlah kena bayar. Ini sudah penyalahgunaan wang dan dana kerajaan untuk kempen pilihanraya. Ini kena lapor kepada SPRM.

Monday, September 7, 2009

Sultan Selangor Restui Tindakan Hassan Ali

SHAH ALAM, 6 September- Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Ali sedia menerima teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap tindakannya dalam mengukuhkan struktur pentadbiran Islam di negeri ini.

Beliau yang mengadap Baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam petang semalam, memberi penjelasan terhadap semua tindakan yang dilakukan, termasuk menguatkuasakan undang-undang syariah sedia ada.

Dr Hassan yang ditemui TVselangor, petang tadi memberitahu, baginda sultan memahami semua tindakan yang dilakukan dan ia merupakan perjumpaan rasmi untuk melaporkan perkembangan yang berlaku di negeri Selangor.

Beliau berkata, penjelasan tersebut meliputi larangan penjualan arak kepada masyarakat Islam dan penguatkuasaan yang harus dilakukan oleh pegawai masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.

“ Soal arak tentang penguatkuasaan itu di mana pegawai masjid, ini ditimbulkan dan untuk saya melaporkan perkara sebenar yang berlaku dan apa yang sedang dilakukan.

“Alhamdulilah baginda sangat faham apa yang berlaku dan sebab itu saya rasa hal ini bukan menjadi persoalan dan tidak menjadi masalah, cuma kita perlu mengupgrade dan meningkatkan mutu darjah pembangunan agama negeri Selangor,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan laporan akhbar bahawa beliau dipanggil mengadap kerana tindakannya yang dianggap membelakangkan Sultan dalam hal ehwal islam di negeri ini.

“Apa yang dilaporkan oleh akhbar bukan itu kedudukannya, saya yang meminta ehsan tuanku untuk mengadap baginda, dan baginda menetapkan semalam sebagai tarikh untuk saya mengadap, sebagai exco kerajaan negeri Selangor berbagai-bagai perkara yang di laporkan sebagai rutin melaporkan kepada sultan tentang kemajuan dan masalah dihadapi untuk melonjakan Islam di negeri Selangor ini,” katanya.

Dr Hassan ditemui pada majlis Berbuka Puasa Bersama Sultan Selangor di Masjid Al-Munawarah, Shah Alam, petang tadi.

Katanya, banyak perkara tentang perkembangan agama Islam dimaklumkan kepada Baginda, meliputi pendidikan, dakwah, masjid, surau, zakat dan pentadbiran mahkamah syariah di Selangor.

Beliau turut melaporkan tentang lawatannya ke Timur Tengah untuk bertemu pelajar bagi meningkatkan kemajuan pelajar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sana.

“Kami melawat Syria, Mesir dan Jordan bertemu para pelajar, ini juga perlu diberitahu kepada tuanku, tentang keperluan-keperluan kepada pelajar, langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan kemajuan kepada pelajar, dari segi akedemik, kehidupan, sahsiah peribadi dan sebagainya kerana sebahagian besar dari pelajar tersebut menerima bantuan terus daripada Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

17 Ramadhan - Nuzul Al-Quraan

Sempena Nuzul Al-Quraan ini marilah kita perhatikan semula sebuah ayat yang paling istimewa iaitu Al-Fatihah. Nama-nama lain Al-Fatihah ialah Ummul Kitab (induk al-Kitab), Ummul Qur'an (induk Al-Qur'an), As-Sabu'ul Matsani (Tujuh yang Diulang), Ash-Shalah (Solat), al-Hamd (Pujian), Al-Wafiyah (yang Sempurna), al-Kanzu (simpanan yang Tebal), asy-Syafiyah (yang Menyembuhkan), Asy-Syifa (Obat), al-Kafiyah (yang Mencukupi), dan al-Asas (Pokok).
  1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
  2. Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
  3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
  4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
  5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
  6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
  7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Friday, September 4, 2009

Iklan Percuma - Sokong Gedung Kartun?

50 helai TSHIRT Gedung Kartun terjual dalam masa 1 jam, harga jualan RM25 SEHELAI, RM30 jika dibeli melalui pos. Pesanan boleh dibuat dengan menghantar kepada editorkartun@gmail.com atau hubungi 0322724045! STOK TERHAD, BELI SEBELUM DIRAMPAS!

Pilihanraya Kecil Ke-9

Al-Fatihah. ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi 4,097.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).