Thursday, August 29, 2013

Merdeka - Siapa Yang Berjuang Dan Siapa Yang Dapat Nama?

Siapa Dia?
 Siapa Mereka?

Kita (baca kerajaan Umno khasnya) mengeluh bila setiap kali tiba 31 Ogos hari keramat untuk rakyat negara ini kerana pada tanggal itu diisytiharkan kemerdekaan negara. Apa dikesal dan dikeluhkan kerana semangat untuk sambut hari ulang tahun kemerdekaan itu tidak begitu 'jelingah' dan meriah.

Rakyat di semua lapisan seakan tidak berserta (komited) menyambut hari kemerdekaan itu. Kehadiran wakil British ini nampak sangat kemerdekaan kita dibeli. Ada yang tidak merasakan apa-apa kesan dengan ketibaan tarikh itu.

Tarikh atau peristiwa itu seakan tidak memberi apa-apa signifikan buat mereka.  Ia dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tarikh lain yang tidak membawa erti. Jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka, 17 Ogos, orang kata panggil tidak dengar.

Bezanya seperti jarak di antara langit dengan bumi. Sambutan rakyat negara itu kepada sejarah bangsa negara mereka sungguh meriah dan hebat. Rakyat negara itu menanti setiap kali detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat.

Saya pernah menukilkan macam mana hebatanya rakyat Indonesia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan mereka di dalam blog ini. Ia umpama 'jenawari'. Dari kota hingga ke pelusuk kampung semua rakyat berpartisipasi dengan sambutan itu.

Tidak ada rumah yang tidak dihiasi atau dipasang bendera. Tidak mampu beli mereka buat dan reka sendiri. Bendera Sang Merah Putih itu juga dijual di tepi jalan, berbagai saiz. Tidak ada acara memberi bendera secara percuma di plaza tol atau di gedung perniagaan.

Kita cemburu melihat kesungguhan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka. Kita cemburu dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat negara itu. Dari sini kita dapat mengukur sejauh mana ketebalan semangat mereka dan sejauh mana pula ketipisan semangat bangsa kita.

Kenapa di tempat kita lesu dan 'laaih', tidak bermaya? Kerajaan sendiri sudah habis usaha dan ikhtiar macam mana hendak gerakan rakyat agar menyambut hari kemerdekaan. Bermacam-macam kempen dan insentif diberikan. Dianjurkan berbagai pesta sempena hari ulang tahun untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup itu diberikan Jalur Gemilang agar dipasang dikenderaan secara percuma. Namun usaha itu sia-sia saja. Ada yang sudi mengambil tetapi tidak sedia untuk mengibarkan di kenderaan masing-masing. Sudah silih berganti pengerusi panitia sambutan kemerdekaan ditukar tetapi tidak menjadi. Kenapa?

Ada pelbagai sebab yang diberikan mengapa situasi ini berlaku. Antaranya kerana kemerdekaan kita kononnya tidak dicapai dengan darah dan air mata. Kemerdekaan kita diberi atau didapati secara percuma menerusi rundingan. Maka generasi kini khasnya tidak merasakan keperitan itu maka semangat untuk merayakan kemerdekaan tidak menyentuh hati naluri mereka.

Kemerdekaan kita tidak dicapai seperti mana Indonesia mencapai hari kebebasan itu dengan buluh runcing. Rakyat Indonesia membidik senjata dan buluh runcing menghalau penjajah. Kita tidak?

Betulkah kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata? Apakah tiada rakyat negara ini terkorban dan syahid kerana berjuang untuk mencapai kemerdekaan? Pandangan itu tidak tepat sebenarnya dan ia perlu diberi penjelasan baru. Hakikat apa yang berlaku sengaja dipesongkan oleh kerajaan sendiri dengan motif sedia maklum.

Kalau dikorek kepada sejarah perjuangan awal rakyat negara ini yang menentang penjajahan British jelas menunjukkan perjuangan itu makan banyak korban. Banyak air mata dan darah tumpah meresapi bumi Malaya ketika itu. Atau kita tidak menganggap British itu sebagai penjajah? Saya timbulkan ini kerana ada sarjana yang berkata Malaysia tidak pernah dijajah?

Cuma korban darah dan air mata itu tidak dinukilkan dalam lembaran sejarah popular negara. Justeru generasi (pembaca) muda tidak mengetahui akan ada darah dan air mata dalam proses kemerdekaan kita. Mereka tidak baca dan sedihi kemudian mendendami hal itu. Apa yang ada di dalam buku sejarah kita, ialah perundingan untuk mendapat kemerdekaan.

Kemerdekaan sebuah sedekah

Apa yang dinukilkan ialah pemergian Tunku Abdul Rahman bersama wakil orang Cina dan India ke London untuk membawa balik watikah kemerdekaan. Kerana hanya itulah detik dan peristiwa penting di dalam sejarah menyebabkan orang menganggap kemerdekaan bangsa kita tidak menghirup darah dan mengeluarkan air mata.

Tiada getaran sampai ke hulu hati mengenai peristiwa itu. Apa lagi ada yang membuat ejekan kemerdekaan kita adalah sebuah sedekah Inggeris selepas mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Malaya.

Perkara ini kesilapan paling besar untuk negara dan generasi seterusnya tetapi ia tidak diralat. Kesilapan inilah memusnahkan semangat generasi penerus terhadap kecintaan kepada negara. Kemerdekaan kita sebenar lebih bermakna dan besar dari itu. Terdapat kedukaan dan keperihan pejuang memaksa British berundur. Jadi adalah salah kalau ada orang beranggapan kita merdeka bukan dengan darah dan air mata.

Barang kali tidak perlu saya emosi mendedahkan siapa yang menumpahkan darah dan air mata dalam proses mencapai kemerdekaan dari Bristih sekitar tahun 1942 hingga 1957 dan sebelum itu. Umum sudah tahu.

Dengan terbuka luasnya langit dunia, (dunia tanpa sempadan) yang semua orang boleh akses maklumat, menyebabkan manusia (generasi) tidak lagi berada dalam kepompong dibina penjajah dan tali barutnya. Mereka yang rajin dan gemar menggali sejarah akan menemui kebenaran ini.

Bahawa sejarah kemerdekaan yang ditulis oleh Umno tidak lengkap. Keadaan ini makin mengelirukan pula apabila ia disokong oleh sarjana peliharaan Umno untuk membetulkan sejarah yang tidak betul itu. Mereka tidak mahu melurus dan berkata benar tetapi terus bersekongkol dengan Umno sebagai tuan mereka.

Tidak semua kisah, citra, puak atau individu yang dicatat sebagai pejuang. Sebaliknya paling menyedihkan ada pejuang sejati dianggap sebagai penderhaka.

Paling-paling mereka akan menukilkan kisah Datuk Bahaman, Datuk Sago atau Mat Kilau atau pun Tok Janggut saja sebagai pejuang. Itu pun dalam nada pesimis dan konotasinya berbeza bila mereka (kerajaan) bercakap atau makan malam bersama Inggeris.

Tetapi rentetan selepas itu, gerakan nasionalisme tahun 1940-an khasnya selepas pengisytiharan Darurat (1948) tidak dinukilkan. Umno tidak merasakan kematian Tok Sago, Mat Kilau, Tok Janggut adalah kematian seorang pejuang kerana mereka bukan ahli Pekembar.

Tidak ada dalam sejarah ahli Perkembar (Umno) ditahan di dalam penjara, apa lagi mereka mati ditembak atau pun digantung sampai mati kemudian jenazahnya diarak ke seluruh pekan dan bandar untuk menakutkan orang Melayu. Siapa orang Pekembar yang diseksa?

Jadi benarlah kalau ada orang tuduh kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata kerana itulah versi dan hakikat perjuangan Umno. Bagaimana pun kalau dilihat kepada tokoh nasionalis yang kemudian menyambung perjuangan secara politik? Jelas mereka menumpahkan darah dan air mata demi membebaskan tanah air.

Tokoh yang dicap sebagai haluan kiri; Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan lain adalah pejuang yang meringkuk di dalam penjara kerana merindui sebuah kemerdekaan. Kita tidak pernah menadah berapa banyak air mata mereka mengalir.

Begitu juga kalau hendak dihitung tokoh nasionalis yang menyambung perjuangan menerusi Rejemin Ke-10 PKM - Parti Komunis Malaysia, seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Kamaruzaman Teh, Shamsiah Fakeh, Siti Nurkiah Mahmood dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan yang banyak menelan air mata dan menyaksikan darah membasahi bumi.

Munasabahkah mereka ini semua sengaja melarikan diri ke dalam hutan kemudian sanggup berdepan dengan hujung senjata tanpa ada matlamat untuk agama, bangsa dan negara?

Jadi di manakah salahnya maka kemerdekaan kita menjadi lesu? Berdasarkan perkembangan dan kronologi tadi jelas yang salahnya kerajaan, puak yang menguruskan negara ini sejak 1957 itu. Umno begitu sombong dan angkuh kerana mahu memperlihatkan hanya Umno yang berusaha mencapai kemerdekaan dan dalam masa lain menafikan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan orang atau pihak lain yang sama-sama memainkan peranan ke arah itu. Hakikat ini semua orang tahu. Pembaculan sejarah adalah Umno.

Kenapa pada dekad awal kemerdekaan majlis sambutan kemerdekaan mendapat sambutan dan hangat? Sebab waktu itu langit belum terbuka, sejarah perjuangan negara masih terbungkus. Hari ini apabila dunia sudah tanpa sempadan, maklumat tidak boleh disembunyikan, makin ramai cerdik pandai menganalisa sejarah, maka mereka menjadi keliru siapa sebenar pejuang dan siapa sebenarnya hipokrit yang bertindak menamakan susu lembu dengan nama sapi.

Kesimpulan mudah saja untuk menyeramakkan tarikh kemerdekaan kita, pemerintah hari ini harus ikhlas dan sedia menerima peranan pihak lain juga. Pertamanya, mengiktiraf perjuangan nasionalis menerusi Kesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (KKMM) serta sayapnya API, Awas, Insaf dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemerdekaan.

Demikian juga dengan Rejemin Ke-10 Komunis Malaya yang bergerak dihutan secara bergerila. Mereka yang menjadi wakil kepada rakyat negara ini menggadaikan nyawa, darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan.

Demikian juga dengan parti pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan dan lain-lain hendaklah dipanggil sama berbincang bagaimana hendak memeriahkan kemerdekaan negara ini. Mereka juga khususnya PAS perlu diikhtiraf sebagai badan siasah yang berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman kolonial.

Selagi kerajaan yang ada hari ini menafikan peranan dan pengorbanan semua pihak, maka selama itu sambutan kemerdekaan kita akan layu, lunyai dan 'laaih' dan ia hanya tidak ubah sebagai sebuah pesta atau keramaian hiburan yang tidak memberi apa-apa signifikan pun kepada kita.

Sambutan itu akan dilihat sebagai sebuah propaganda Umno bukan sebuah 'moment' penting untuk rakyat jelata. ~msomelayu

Tuesday, August 27, 2013

MCA mahu pengarah Tanda Putera bertanggungjawab jika berlaku ketegangan kaum

MCA menggesa pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba bertanggungjawab sekiranya khalayak yang menonton filem berkenaan tidak berpuas hati dan mencetuskan ketegangan kaum.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) berkata, adegan sekumpulan pemuda Cina kencing di laman Menteri Besar Selangor Datuk Idris Harun akan menyebabkan penonton berasa kurang senang dan pihak penerbitan harus bersedia menerima kritikan.

Wee berkata, meletakkan kesalahan sesuatu kaum dengan menggambarkan babak yang tidak tepat berhubung tragedi 13 Mei 1969 adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Pihak penerbitan Tanda Putera membantutkan usaha pendamaian nasional yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apatah lagi dengan sambutan hari kemerdekaan negara yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pengarah tidak sewajarnya menggunakan alasan sejarah bagi membuat penipuan dan kebencian antara kaum di Malaysia. Filem cereka atau berdasarkan kisah benar seharusnya boleh dibezakan oleh pengarah filem itu," katanya. MI.

Merdeka.....???

Hanya beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Namun, ramai masih tidak sedar kedatangan hari penting untuk negara ini.

Perbincangan hangat dalam media sosial bukan untuk menambahkan semangat bagi menyambut kemerdekaan tetapi untuk mencari sebab dan alasan kenapa mereka tidak berminat untuk meraikannya.

Penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhujah, sambutan kemerdekaan sudah diculik oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia bukan lagi sambutan untuk semua rakyat Malaysia tetapi untuk mengingati perjuangan tokoh Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut menyambut kemerdekaan mereka tahun ini.

Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan (15 Ogos) dan Indonesia (17 Ogos).

Hampir semua negara itu menyambut hari kemerdekaan mereka dengan meriah bahkan rakyatnya teruja sekali menunggu kedatangan hari bersejarah itu.

Dua tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terperangkap apabila beliau cuba mengingatkan rakyat negara ini mengenai pejuang kemerdekaan negara.

Usaha beliau cuba mengingatkan Malaysia bahawa Mat Indera juga pejuang kemerdekaan menerima padah. Beliau dituduh menyanjung komunis kerana Mat Indera dikaitkan dengan perjuangan komunis di negara ini.

Hingga kini beliau masih lagi terikat dengan perbicaraan di mahkamah ekoran isu ini.

Kepanasan isu ini sekurang-kurangnya berjaya mengingatkan rakyat bahawa kita sedang mahu menyambut hari Kemerdekaan negara pada tahun itu.

Hari ini, semua senyap sepi. Tiada bendera, tiada kisah yang mengingatkan kita kepada kemerdekaan negara dan tidak ada program khusus untuk mengajak rakyat mengingati hari bersejarah ini.

Mungkin kerana itu, Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya diwajibkan memasang bendera menjelang hari kemerdekaan.

"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta. Sekarang ini secara sukarela.

"Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada program 'Pocket Show 2013' di Uptown Danau Kota.

Tetapi itu hanya sekadar tindakan reakatif selepas sambutan pra kemerdekaan ini hambar sahaja.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (PR), Profesor Dr Mohammad Agus Yusof menyalahkan menteri yang menjaga hal ini.

"Saya dapati tahun ini paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal," katanya dalam facebooknya beberapa hari lalu.

"Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi mengenai hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau membidas laman yang dibuat khas untuk  sambutan kemerdekaan ini, www.malaysiamerdeka.gov.my yang tidak agresif dalam membuat promosi hari kemerdekaan.

"Apa yang saya dapati ialah laman itu hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran mengenai kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung.

"Mengapa tidak digunakan sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan sejarah kemerdekaan negara untuk tatapan anak muda kita?

"Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat sejarah negara," katanya.

Menilai semua pendapat ini, selain kerajaan, rakyat Malaysia juga sebenarnya mempunyai peranan masing-masing untuk mengenang kembali sejarah perjuangan kemerdekaan di negara kita.

Kalau selama ini, separuh daripada mereka mendakwa Umno men'culik' sejarah perjuangan kemerdekaan negara, bagaimana kali ini kita kemukakan, pihak lain juga turut menyumbang untuk kemerdekaan negara.

Mari kita kemukakan cerita kita. Kita sudah ada media dan media kita adalah sosial media. Kita sama-sama hangatkan hari kemerdekaan kita dengan cerita kita.

Selamat menyambut Hari Merdeka ke- 56. MI.

Wednesday, August 21, 2013

Kebenaran milik Allah, bukan di Barat bukan di Timur

Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari. Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.

Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik Allah, tidak di Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan Allah SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci, Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika sekian lama. Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.

Justeru, janganlah Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia. Jika darah Abdullah bin Zubair radhiallahuanhu pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini? Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?

Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.

Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau. Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.

Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja... - Surah Toha, ayat 72

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam

MARANG: Umat Islam diingatkan agar tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula.

Justeru, katanya secara sedar tetapi bodoh atau jahil isu perbalahan mazhab tersebut telah melekakan umat Islam tentang kebangkitan Islam di seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, asyik dengan pertikaian mazhab hingga umat Islam sendiri lupa musuh sebenarnya adalah Israel serta kuasa-kuasa besar dunia.

“Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula.

“Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada Majlis  Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, baru-baru ini.

Katanya, umat Islam juga wajar memahami bacaan politik antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Israel.

Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kuasa besar dunia yang dipengaruhi Israel cukup bimbang dengan kebangkitan Islam seluruhnya terutama di Mesir dan Turki.

Menurutnya, 90 peratus dunia Islam hari ini ahli Sunnah termasuk Mesir dan Turki merupakan negara Sunni yang mampu menguasai serta memimpin dunia Islam.

“Seorang pimpinan dari Syiah pernah mengatakan depan saya, bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh ahli Sunnah. Orang Syiah tidak boleh pimpin kerana 90 peratus dunia Islam adalah ahli Sunnah. Merekalah (Sunni) yang layak memimpin dunia Islam.

“Sebab itulah seluruh kekuatan barat mengepung Mesir, mengepung Turki kerana barat mengetahui jika berlaku kemenangan di Mesir dan Turki akan menguasai dunia Islam seluruhnya.

“Iran tidak boleh menguasai dunia Islam dan ini bacaan politik antarabangsa yang kita kena faham,” jelasnya di hadapan lebih 500 peserta perantau.

Hadir sama sebagai tetamu khas pada majlis perantau tersebut Penaung Majlis Permufakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan wakil kerajaan Hamas Palestin, Syeikh Dr Ahmed al-Najjar.

Kata Ustaz Abdul Hadi, sepatutnya pihak yang berautoriti membincangkan masalah antara mazhab adalah di kalangan ahli-ahli agama, ahli ilmu akademik dan bukan golongan yang ‘bodoh’ serta jahil.

“Dalam hal ini kita kena sedar dalam masalah mazhab ini sepatutnya dibincang oleh ahli-ahli ilmu, jangan yang bodoh. Dalam Sunni ada bodoh, dalam Syiah pun ada yang bodoh dan ini ‘penyakit’ yang kita sedang hadapi hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pengaruh mazhab Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru tetapi sejak kedatangan Islam ratusan tahun lalu.

Namun, katanya orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini masih lagi berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah.

Monday, August 19, 2013

Raja Saudi Sokong Tindakan Kerajaan Haram Mesir

RIYADH 17 Ogos - Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah semalam, menyeru negara-negara Arab supaya berdiri bersama-sama menentang `usaha menjejaskan kestabilan’ Mesir, dalam satu mesej bagi menyokong kepimpinan tentera negara itu.
Arab Saudi, rakyatnya dan kerajaan hari ini berdiri bersama saudara kami di Mesir dalam menentang 'keganasan'.

Saya menyeru kepada mereka yang jujur di Mesir dan negara-negara Arab serta negara Islam berdiri sebagai seorang lelaki dan satu hati dalam menghadapi cubaan untuk menjejaskan kestabilan negara yang berada di barisan hadapan negara Arab dan sejarah Islam,’’ katanya dalam siaran televisyen negara ini.

Arab Saudi merupakan sekutu rapat bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak dan mempunyai hubungan yang sukar dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin. - REUTERS

Nota : Siapa sebenarnya yang menjejaskan kesetabilan negara Mesir? Adakah perampas kuasa atau rakyat yang mahu kerajaan yang sah dikembalikan haknya?

Friday, August 16, 2013

Nahdah dan Raba’ah, Rebah Berdarah - A Gafar Mahdi

Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.

Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"

Nahdah dan Raba'ah,
Sudah sepekan Syawal dirai di sini
Namun, suka seketika beralih duka derita
Kekejaman merasuk segenap kota perjuangan ini
Kezaliman meranapkan medan kebangkitan ini
Tanpa rasa kasihan belas insani
Siapa sahaja menjadi mangsa
Ditembak, dibunuh dan dibakar
Masjid dan rumah sakit juga
musnah hancur berderai menjadi puing-puing
menebarkan abu, menimbunkan batu

Lalu, warna-warna panjinya berubah:
Merahnya darah
Putihnya kafan
Hitamnya arang.
Apakah ini harga sebuah keadilan dan kebebasan
yang dikhianati sendiri oleh penyembah tuhan demokrasi?

Nahdah dan Raba'ah,
Di sini rebahnya ribuan syuhada
Darah yang mengalir menjanjikan syurga

Sungguh!
Walau rebah, takkan goyah
Perjuangan suci tidak akan terhenti
Tidak akan pernah mengalah
Syahadah demi menegakkan syari'ah Allah
menenggelam kesesatan syiah dan golongan kuffar
membenamkan parah liberal dan barah sekular
moga tiada tersisa lagi, walau seinci.

Apa Jenis Kerajaan Yang Bunuh Rakyatnya Sendiri.... Dan Apa Jenis Kerajaan Pula Yang Berdiam Diri Melihat Pembunuhan Itu Berlaku...!?

Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat, komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah. 


Ini termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon yang rata-rata kesal dengan tindakan keselamatan Mesir yang menggunakan pendekatan kekerasan untuk menghentikan tunjuk perasaan di negara tersebut.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa Washington sedang mempertimbangkan untuk membatalkan dwitahunan "Star Bright" latihan ketenteraan bersama dengan Mesir, pada tahun ini selepas keganasan terbaru yang disifatkan apa yang berlaku di Mesir tidak dapat diterima. 

"Amerika Syarikat mengutuk penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir. "Kami merakamkan ucapan takziah kami kepada keluarga mereka yang telah dibunuh, dan yang tercedera. 

Kami telah berulang kali menggesa tentera Mesir dan pasukan keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak memberi ancaman kepada rakyat mereka. 

"Kami juga amat menentang undang-undang Negeri Kecemasan, dan menyeru kepada kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan berhimpun secara aman, dan proses undang-undang. 

Dunia menonton apa yang berlaku di Kaherah, “ kata jurucakap White House, Josh Earnest. 

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir turut mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin. 

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir. 

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini. 

Kesatuan Eropah dan beberapa negara-negara anggota kesal dengan pembunuhan yang berlaku,” kata wakilnya. 

Sementara itu, Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah ~sinar harian

Nota : Semoga Allah melaknat keatas Jeneral Abdel Fattah As-Sisi dan tentera-tenteranya dan penyokong-penyokongnya dan ulamak-ulamak jahat yang menghalalkan perbuatan rejim tentera yang membunuh rakyat Mesir!!!

Thursday, August 15, 2013

Sabtu 17 Ogos : Menentang reaksi keras terhadap konflik terkini di Mesir

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu.

Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan.

Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera. 

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini.

Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS