Wednesday, February 6, 2008

Bertepuk Sebelah Tangan Itu Angan-angan

vote.jpg

“Baiklah, kita akan beri peluang kepada pembangkang. Kita tukar undi dan kita tengok pembangkang boleh atau tidak menunaikan janji-janjinya”, kata seorang pengundi.

Jika ramai yang berkata begitu, saya yakin pembangkang pun turut tersenyum sama.

Sungguh ajaib. Akhirnya berjaya juga ‘minda’ pengundi diubah. Tentu kemenangan boleh diperolehi.

Parti pemerintah juga mungkin gelisah, jika ramai yang menukar pangkah.

IDEA PEMUSNAH

Hakikatnya, idea sebegitu bukanlah idea yang boleh mengubah negara. Ia adalah minda pemusnah. Sesiapa sahaja yang memerintah, jika rakyat bermentalitikan ‘kita sudah undi, sekarang tunaikanlah janji!”, maka tiada apa-apa perubahan yang berlaku.

Mungkin kerana itu timbulnya asas perdebatan di antara kewajaran Negara Berkebajikan vs. Masyarakat Berkebajikan. Atau boleh disebut sebagai Welfare State vs. Welfare Society.

Negara Berkebajikan bercorakkan kebajikan yang diserahkan tanggungjawabnya kepada negara, dan rakyat menganga menanti subsidi. Sama ada mampu atau tidak mampu, menyerahkan urusan kebajikan rakyat untuk diuruskan oleh kuasa politik secara mutlak, mempunyai kesan jangka panjang kepada sikap dan kompetensi masyarakat.

Apa pula peranan rakyat? Masyarakat?

Apakah perubahan terhasil hanya dengan mengubah pemerintah dan pemerintahan, sedangkan masyarakat kekal dengan sikap yang sama?

SIRAH SEPINTAS LALU

desert.jpg

Yathrib duduk dalam tekanan. Dalam banyak-banyak tekanan, tekanan ekonomi merupakan penyeksaan hidup yang paling dirasa dan mudah diukur. Keadaan ini berlaku akibat manipulasi Yahudi yang menguasai ekonomi Yathrib ketika itu. Tetapi mampukah Yahudi melakukan aktiviti manipulasi itu jika tiadanya keadaan yang membolehkan manipulasi itu berlaku?

Ya… Yahudi itu lebih merupakan simptom dan bukannya punca.

Peperangan yang berpanjangan di antara Aus dan Khazraj, atas sebab yang pelbagai adalah peluang paling utama untuk mereka dimanipulasi. Yahudi juga berperanan untuk terus mengapi-apikan permusuhan di antara Aus dan Khazraj, agar manfaat kacau bilau itu, pergi kepada Yahudi yang bijak mengambil kesempatan. Yahudi yang bijak, penduduk tempatan yang dungu dan diperalatkan.

Tetapi tekanan yang dihadapi oleh penduduk Yathrib, mendesak segelintir yang ada kesedaran untuk berubah. Kesediaan untuk berubah itu memberi ruang kepada Islam untuk datang dan berperanan sebagai penyelesaian.

Pertemuan diatur. Bai’ah al-’Aqabah terhasil. Iaitu kesediaan Rasulullah SAW dan Muhajirin untuk berhijrah melakukan perubahan. Juga kesediaan Ansar untuk menerima perubahan. Perubahan itu tidak berlaku jika sesiapa bertepuk sebelah tangan, bagai suasana Thaif dan Mekah itu sendiri. Kejayaan di Madinah adalah usaha pemerintah dan rakyat untuk saling menjana perubahan. Ubah sistem, ubah juga cara dan gaya hidup.

Dalam erti kata yang lain, perubahan hanya boleh berlaku hasil sinergi kedua belah pihak. Pihak yang menawarkan perubahan dan pihak yang bersedia untuk berubah.

BERPELUK TUBUH MENANTI MANFAAT PERIBADI

Jika ia diterjemahkan kepada bahasa hari ini, Malaysia hanya mampu mengecapi perubahan sebenar, jika perubahan tersebut merupakan perubahan bersinergi antara pemerintah dan golongan yang diperintah. Masing-masing ada tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan. Kontrak sosial yang jelas antara keduanya.

armchair.jpg

“Kami tukar undi dan kami nak tengok sejauh mana kerajaan baru boleh tunaikan janji!”, kata pengundi.

Lupakan sahaja. Jika ada perubahan sekali pun, mungkin tidak lama kerana demand and delivery yang tidak seimbang. Rakyat hanya tahu demand dan demand, manakala ahli politik menari mengikut rentak yang sama dengan menabur janji dan janji dan janji.

Sedangkan hukum alam memberitahu satu peraturan penting iaitu NO PAIN NO GAIN!

Jika mahukan perubahan, bersediakah kita untuk berkorban? Berkorban keselesaan untuk pergi ke zon cabaran?

KENAPA PERLU BERUBAH?

Rakyat harus bertanya kembali, perlukah mereka kepada perubahan?

Perubahan apakah yang mereka mahukan?

Menaikkan upaya beli rakyat, mengawal kenaikan harga keperluan asas, peluang perniagaan, pendidikan, kesihatan dan segala kualiti fizikal dan material… itukah yang kita mahukan?

Tentu sekali… tentu itu yang kita mahu. Kalau boleh kita mahu semua itu percuma. Dan jangan terkejut jika ada ahli politik yang berani menawarkan janji ke arah membanyakkan percuma.

Tetapi nilaikan kembali, berapa banyak duit yang pemerintah dan rakyat belanjakan kerana melihat hidup ini pada keperluan fizikal dan material sahaja?

Bagi yang Muslim, masihkan Islam menjadi rujukan nilai dan moral mereka? Masihkah akhlak ada tempat dalam kehidupan?

Bagi yang non Muslim, apakah sumber rujukan nilai dan tingkah laku mereka? Membelakangkan soal agama, bukan hanya mengundang bencana di Akhirat (yang tiada tempat dalam bahasa dan sentimen pilihanraya), tetapi ia juga menjahanamkan kualiti hidup kita di SINI.

Itu bahasa dunia untuk menjelaskan fungsi agama.

KESIHATAN

alcohol.jpg

Kesihatan… kerana membelakangkan agama dan rujukan moral, berapakah jumlah wang yang terpaksa dibelanjakan oleh rakyat dan kerajaan untuk menangani kesan daripadanya? Berapa banyak kes di hospital yang berpunca dari arak, rokok, seks bebas, dan tekanan mental yang menghilangkan kewarasan? Jangan bincangkan soal Akhirat kerana bahasa pilihanraya tidak mempunyai perkataan untuknya. Tetapi bincangkan jumlah duit beli ubat dan duit bagi ubat, oleh kerajaan dan rakyat, atas penyakit yang sengaja dicari ini.

Mampukah perubahan dilakukan dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, jika rakyat terus menerus patah kaki tangan, cedera parah dan menjadi OKU kesan memandu dalam keadaan mabuk? Iaitu manifestasi kehidupan yang membelakangkan agama dan mementingkan diri sendiri.

Kerana arak, penyakit hati dan pelbagai lagi penyakit lain bertambah-tambah dan tidak pernah berkurang. Pemerintah penggal akan datang didesak menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik tetapi bagaimana dengan rakyat yang sengaja mencari penyakit, kerana membelakangkan kehidupan beragama, beretika dan bermoral? Dan pedulikah pemerintah dengan berleluasanya konsumer arak di dalam masyarakat hari ini?

Seks bebas… berapakah belanja rakyat dan belanja kerajaan menangani Sexual Transmitted Disease (STD)? Berapa banyak anak luar nikah yang dilahirkan dan dicampak merata-rata? Selain mencalarkan imej negara, berapa ramai mereka yang terselamat ini menjadi beban kepada kerajaan untuk menanggungnya?

Rakyat demand ahli politik perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, murah atau kalau boleh percuma, tetapi bagaimana dengan penyakit-penyakit yang sengaja dicari ini?

Mujur juga Menteri yang mengamalkan seks bebas itu tersingkir. Moralnya entah di mana, profesionalismanya pun tidak keruan.

Tegasnya, pembaikpulih terhadap perkhidmatan kesihatan di negara kita harus membabitkan kedua belah pihak. Selain berusaha mencari formula untuk mengawal harga perkhidmatan, usaha mengubah cara hidup rakyat juga mesti diambil kira.

RAKYAT BOROS BERBELANJA

Tentu sahaja, pilihanraya merupakan senjata utama untuk rakyat mendesak gaji yang lebih baik, harga barang yang lebih masuk akal dan taraf hidup yang kelas satu.

Saya yakin ada banyak perubahan yang diperlukan untuk mengatur dan mengagihkan pendapatan negara secara bijaksana dan adil.

Tetapi bagaimana pula dengan sikap rakyat dalam berbelanja.

astro.jpg
Sumber: Picasa Web Album

Dalam keadaan rumah yang separuh senget, bumbung tetap setia ‘menadah wahyu’ dari langit ASTRO. Dan dengan lambakan rancangan Realiti di Televisyen, berapa banyakkah perbelanjaan rakyat Malaysia menghantar sms untuk mengundi penghibur popular pujaan mereka? Reality Show itu sahaja pun sudah banyak membocorkan kewangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Reality Show itu bukan sahaja terus menerus menjadi saluran pembaziran rakyat, malah ia juga memerosotkan kualiti seni di negara kita. Kemenangan diukur berdasarkan populariti dan bukan lagi kualiti. Reality Show adalah dadah yang memberikan kekayaan kepada pembekal dan pengedarnya malah menjadi ketagihan yang membunuh penagihnya… satu sms demi satu sms.

af.gif

Itu hanya secebis dari budaya hidup masyarakat kita yang dimanipulasi pula oleh pelbagai pihak yang mahu terus mengaut keuntungan.

Jika Aus dan Khazraj bergaduh sesama sendiri hingga bertahun-tahun dimanipulasi Yahudi, masyarakat kita juga sering berbalah sesama sendiri dan merawatnya dengan mencari damai di dalam keasyikan hiburan melampau, hingga tanpa sedar menjadi mangsa manipulasi pelbagai pihak yang dibenarkan untuk memanipulasinya.

FOKUS KEMPEN

Maka perubahan yang ingin dijana bukan hanya pada permainan angka untuk melihat siapakah yang lebih berbakat dalam menabur JANJI MANISMU, tetapi rakyat juga harus sedar bahawa perubahan tidak hanya terjustifikasi dengan mengubah-ubah pangkah di atas kertas undi, tetapi kesediaan untuk mengubah cara hidup yang lebih bermaruah, bijaksana dan berteraskan nilai.

ubah.gif
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Raad : 11

Kembalilah kepada agama kerana agama mengajar manusia hidup dengan nilai, peka dan bermaruah… dan bukan penghukum seperti yang disangka.

Namun jika kita enggan berubah, sama ada anda memilih agama atau tidak, kita semua pasti dihukum.

Kematian Nurin dan kehilangan Sharlinie, pembunuhan setiap hari, ragut dan rompak bersenjata setiap masa, dan tidur setiap malam yang tidak lena kerana keselamatan yang sudah hilang dari kehidupan… memahamkan saya bahawa kita sedang menjalani hukuman.

Hukuman dunia kerana membelakangkan agama dan moral.

Sebelum hukuman Akhirat bagi manusia yang percaya… seperti saya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: