Saturday, December 27, 2014

AHLI-AHLI PAS SELANGOR DAN UMAT ISLAM DIGESA TUNAIKAN SOLAT HAJAT DAN TERUS MENYUMBANG UNTUK MANGSA BANJIR.

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor mengarahkan semua ahli-ahli PAS Selangor menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan mereka yang terlibat dengan banjir besar yang sedang melanda negara kita.

Ahli-ahli dan juga umat Islam di Selangor diharap dapat mengerjakan solat hajat sama ada bersendirian atau berjemaah di markas-markas, pejabat-pejabat PAS atau di tempat-tempat yang sesuai memohon Allah SWT melindungi bukan sahaja mangsa-mangsa banjir tetapi mereka yang bertungkus menyelamat dan membantu mereka.

Memandangkan esok merupakan hari Jumaat yang penuh keberkatan, gunakan peluang tersebut untuk bermunajat kepada Allah SWT.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua diberikan ketabahan serta kesabaran menghadapi ujian dari Allah SWT ini dan dipermudahkan segala urusan.

Sehubungan itu, PAS Selangor masih menerima sumbangan bahan makanan dan kelengkapan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur dan utara.

Setakat ini konvoi PAS Selangor telah bertolak sebanyak 4 kali yang melibatkan lebih 27 kenderaan pacuan 4 roda dan 9 buah lori muatan 3 hingga 10 tan membawa bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Lebih 130 petugas-petugas PAS Selangor telah dihantar betugas secara bergilir-gilir sejak 20 Disember 2014.

Bilangan ini tidak termasuk kenderaan dan petugas yang dihantar secara berasingan oleh PAS Kawasan-Kawasan.

Mereka yang ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir boleh datang ke Pusat Pengumpulan PAS Selangor beralamat  di Dewan Merbau, Jalan Senangin 17/2, Seksyen 17, Shah Alam atau menghubungi En. Rayme Abd Rahman 018 664 5036.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
25 Disember 2014

No comments: