Monday, February 23, 2015

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan politik antarabangsa.


Oleh Tuan Nasaie Ismail

Ramai yang menyebut Tuan Guru Haji Hadi lunak dengan syiah, lunak dengan Iran apabila dia memberi pandangan berbeza dalam isu Syria. Bahkan ada yang agak kasar menyebut bahawa Tuan Guru takut kerajaan Iran tidak jemput lagi ke sebarang program di Iran yang bagi mereka satu keistimewaan. Suatu yang memilukan apabila pandangan sebegitu keluar daripada mulut orang yang kuat membela Tuan Guru sebelumnya

Pengalaman saya mengikuti Tuan Guru ke Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam di Tehran pada tahun 2011 boleh memberi sedikit kejelasan. Bermula dengan surat bantahan atau teguran Presiden ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur apabila Iran mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar yang berdepan kebangkitan rakyat ketika itu. Iran menjemput beliau ke Tehran untuk memberikan pandangan. Persidangan ini melibatkan kesemua gerakan Islam di dunia termasuk Ikhwan, Jemaat Islami, An Nahdah dan juga tokoh-tokoh akedemik dari Al Azhar dan Qom Iran. 

Turut hadir Jemaah Islami Iran yang merupakan gerakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iran. Diantara tokoh-tokoh yang memberi ucapan ialah Dr Burhanuddin Rabbani bekas pemimpin Mujahidin Afghanistan. Beliau mati dibunuh selepas dua hari kami bertemu beliau di Tehran. Qazi Husin Ahmad (Pakistan), Dr Kamal Halbawi (Ikhwan), Dr Ramadhan Abdullah (Jihad Islami Palestin), Dr Musa Abu Marzuk (Hamas) dan Tuan Guru Haji Hadi sendiri.Di dalam ucapannya yang disaksikan oleh pemimpin Iran khususnya Ahmadinajad dan Ali Khomene'ie sendiri, beliau tegas menyebut bahawa gerakan Islam antarabangsa berbangga dengan kebangkitan rovolusi Iran 1979 yang telah menumbangkan rejim zalim Pro-Amerika Shah Reza Pahlawi yang memerintah Iran sebelum ini. Kebangkitan yang membunuh ribuan nyawa di zaman moden itu menjadi inspirasi kepada dunia Islam ketika itu.

Walaubagaimana pun beliau menegaskan bahawa Iran jangan mengambil kesempatan diatas kejayaan revolusi itu untuk mempromosikan Syiah di negara negara ahli sunnah. Ini kerana ia akan membawa perpecahan dan hilangnya fokus utama kita untuk berdepan musuh yang nyata Amerika dan Israel. 

Perkara yang sama disebut oleh Sheikh Mehdi Akif (mantan Mursyidul Am Ikhwan) ketika datang ke Malaysia beberapa tahun lalu. Beliau menyebut bahawa beliau memboikot persidangan di Iran sebagai bantahan terhadap kenyataan Iran menyokong kerajaan Syria tetapi rakannya Sheikh Abdul Hadi hadir ke Iran dan menyatakan sikap yang tegas secara berdepan. Maknanya kata Sheikh Mehdi diantara beliau dan Tuan Guru Haji Hadi mempunyai pandangan yang sama tetapi pendekatan yang berbeza.

Tuan Guru juga memberi penekanan bahawa dalam menguruskan kebangkitan Islam pasca kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia, gerakan Islam mesti menyelesaikan dahulu isu Syria secara bijaksana. Apa yang berlaku di Syria ialah rakyat yang bangkit menentang pemerintahan Bashar Asaad yang sangat zalim. Namun kuasa kuasa besar dan kuasa serantau menjadikan Syria sebagai tempat persaingan kuasa yang akhirnya memangsakan rakyat Syria yang tidak berdosa.

Selesai masalah di Syria kerana ia pintu ke Palestin. Kami berlepas ke Iran sekitar jam 12 tengahari dan sampai di sana sekitar jam 7 petang. Terus ke penginapan berehat. Keesokan paginya persidangan bermula, sebelah malamnya juga ada aktiviti. Hari ketiga persidangan bersambung. Tamat sekitar jam 12 tengahari terus ke Airport Tehran dan pulang ke Kuala Lumpur. Tidak singgah ke sebarang kedai, pasaraya, tempat pelancongan atau kerehatan.

Apa yang saya nak sampaikan ialah, tohmahan yang mengatakan Tuan Guru Presiden lunak dengan Syiah tidak benar, kerana kehadiran dia ke sebarang persidangan sentiasa membawa penegasan sebagaimana yang saya sebutkan tentang ucapannya di atas. 

Keduanya, tohmahan yang mengatakan beliau kerap ke luar negara untuk berehat dan berseronok juga tidak benar, kerana untuk membeli sebiji gula gula pun saya tidak sempat.InsyaAllah saya akan menyambung lagi beberapa penulisan berkait pemikiran Tuan Guru Presiden berkait hubungan antarabangsa jika ada kerehatan dan kenapa beliau menjadi sasaran dunia Barat sehari dua ini khususnya dengan penulisan di akhbar Al Watan Mesir tentang beliau beberapa hari lalu. Semoga Allah terus memelihara usia beliau kerana dunia sangat memerlukannya.

Kembali semula kepada persoalan mengapa Tuan Guru Haji Hadi menjadi sasaran dunia Barat khususnya dengan penyiaran berita bahawa beliau adalah Mursyidul Am Ikhwan Antarabangsa. Dalam kes Aceh lawan kerajaan Indonesia. Beliau telah bertemu Teuku Hasan Di Tiro pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menyeru berdamai dengan kerajaan Indonesia pasca Tsunami 2004. Walaupun GAM awalnya agak keras sikapnya terhadap Jakarta, sampai tahap mengkafirkan kerajaan Jakarta, tetapi berjaya dilunakkan untuk menyertai Indonesia secara autonomi. Alhamdulillah dengan bantuan PKS dan rakan-rakan di Indonesia, PAS berjaya hentikan konflik berdarah puluhan tahun di Aceh.

Begitu juga dengan konflik Yaman diantara penduduk Syiah Zaidiah dengan kerajaan Yaman. Kuasa politik serantau mengambil kesempatan. Kerajaan Saudi memberi sokongan kepada tentera Yaman dan Iran memberi sokongan kepada penduduk Syiah Zaidiah. Suasana sebeginilah disukai Amerika dan sekutunya. Jika konflik berlarutan, peperangan besar akan meletus dan dunia hilang perhatian kepada Palestin dan tertumpu di Yaman yang lebih dekat dengan Makkah dan Madinah.

Atas permintaan Dr Yusuf Al Qardhawi, Tuan Guru Haji Hadi pergi ke Yaman bertemu Timbalan Presiden Yaman dan juga wakil penduduk yang memberontak. Ternyata isunya bukanlah peperangan mazhab, tetapi kawasan tersebut dianaktirikan daripada pembangunan seumpama Kelantan lah di Malaysia. Lalu beliau ke Iran dan Saudi untuk mengajak ke meja rundingan. Dalam masa yang singkat berjaya didamaikan dan peperangan dihentikan. Gagallah hasrat Amerika untuk melihat peperangan meletus di Yaman.

Begitu juga dalam peperangan Telok pertama diantara Iraq dengan Iran dan Perang Telok kedua antara Iraq dengan Kuwait. Beliau ke Saudi, Jordan, Iraq, PBB dan lain lain bersama Almarhum Dr Najmudin Erbakan(Turki), Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mesir) dan Abdullah Gul (Turki) untuk mendamaikan peperangan yang berlaku.Mutakhir ini pasca meletusnya kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria, sekali lagi Tuan Guru Haji Hadi dilibatkan dalam memberikan pandangan ke arah menyelesaikan konflik ini dengan jalan damai. Pokoknya beliau bersama gerakan Islam sedunia merintis jalan damai dalam penyelesaian konflik di seluruh dunia hari ini.

Perkara inilah yang tidak disukai Amerika dan Israel. Mereka suka mengheret kumpulan Islam dan negaranya menyelesaikan konflik dengan peperangan yang natijahnya adalah kemusnahan besar, yang menang perang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Tauladan Afghanistan sudah cukup menjadi contoh apabila puluhan tahun lamanya masih dibawah konflik. Negara semakin mundur, kematian semakin ramai. Untuk membangunkan semula negara mengambil jalan yang panjang. 

Dalam masa yang sama Amerika dan Barat terus berkembang maju negara dan kekuasaannya.Dalam konflik di Mesir pasca penggulingan Dr Mursi, mereka gagal mengheret Ikhwan ke kancah perang bersenjata walaupun diacah beberapa kali. Diantara watak penting yang sentiasa berkongsi pendapat dengan Ikhwan dan lain lain gerakan supaya kekal dengan jalan damai dan selesaikan kembali secara demokrasi, adalah Tuan Guru Haji Hadi. Banyak lagi konflik yang menanti seperti Mindanao, Selatan Thailand dan lain-lain. Maka watak seperti ini mesti disekat, bahkan tidak mustahil dihapuskan sebagaimana mereka menghapuskan Dr Abdullah Azzam, Burhanuddin Rabbani dan terdekat Dr Mohd Said Ramadhan Al Butti yang ketiganya ada kesamaan dengan jalan dirintis Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


No comments: