Wednesday, March 11, 2015

Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian dimaklumkan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, pelantikan Dr Haron yang sebelum ini adalah Timbalan Mursyidul Am PAS itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 8 Mac lalu di Pejabat Agung PAS, di sini.

Menurut beliau lagi, pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dipilih sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS menggantikan tempat Dr Haron Din.

Katanya, anggota-anggota dalam Majlis Syura Ulamak yang lain tidak berubah. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Tuesday, March 10, 2015

Terima Kasih PAS Kota Bharu: Inilah pendirian saya.

Pencalonan saya untuk mencabar TGHH sebagai Presiden merupakakan satu kejutan yang tidak membina keutuhan parti. Sejarah kepimpinan PAS jawatan  Presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya diera Kepimpinan Ulamak. 

Saya melihat manisnya jika kita yang  mendokong kepimpinan Ulamak, terus mengekalkan budaya tersebut. Dalam PAS jawatan bukanlah menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat'( berlomba melakukan kebaikan).

Kepimpinan TGHH telah menunjukkan kejayaan dan prestasi yang sangat hebat. Kalau kesatuan Ulamak Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua di dunia, apakah wajar kita mencadangkan untuk menggantikan beliau ?. Saya bimbang kita memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat luar. Walaupun atas nama memenuhi tuntutan demokrasi, namun kedudukan 'syura' lebih mulia dari demokrasi. Kalau syura adalah jalan terbaik, maka sewajarnyalah kepimpinan parti diselesaikan secara syura. 

Atas pencalonan dari PAS Kawasan Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi. Namun saya menolak pencalonan tersebut dan menyeru semua kawasan lain agar terus mendokong Kepimpinan TGHH sebagai Presiden parti.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu".

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Naib Presiden PAS.
10hb Mac 14.

Monday, March 9, 2015

Hindarkan Penyakit Percaya Kepada Lidah Musuh Lebih Dari Presiden Sendiri

Kalau kita sokong Kenyataan Presiden dan Majlis Syura, maka kita mestilah memperkukuhkan PR, kerana salah satu dari kenyataan mereka semua ialah PAS akan tetap bersama PR. Maka tidak timbul soal keluar dari PR.

Demikian juga seandainya tahaluf kita bercanggah dengan syarak, tentulah Majlis Syura tidak akan membuat kenyataan untuk tetap bersama PR. Musuh politik kita sangat inginkan kita berpecah. Kita akui ada masalah dalam muafakat kita, namun permasalahan tersebut lebih bersifat isu bukan prinsip yang dilanggar oleh parti. Isu adalah subjektif kerana ia akan muncul di sepanjang zaman permuafakatan kita.

Di sinilah kebijaksanaan kita mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Dalam politik, isu akan sentiasa ada, kerana ia adalah makanan bagi politik. Tanpa isu politik akan mati.

Apa yang perlu disedari dalam zaman media terbuka ini, bukan semua penulisan dan pandangan perlu dibahas. Sebagai contoh untuk keluar dari muafakat PR, ia bukan boleh dilakukan dengan kenyataan satu dua pimpinan atau ahli, ia mesti dibahas dan diterima oleh muktamar.

Demikian juga ada yang menuduh PAS akan bersama dengan UMNO walau berpuluh kali ditegaskan dan dinafikan oleh pimpinan, masih ada yang percaya sedangkan semua dasar utama dan perkara besar mesti dibahas dan diterima dalam muktamar.

Kita perlu fahami ada media dan blogger hidup dengan melaga-lagakan pimpinan, mensensasikan keadaan serta manipulasi sesuatu isu. Blogger dan penulis upahan inilah yang mewujudkan pelbagai kegawatan, kecelaruan dan perpecahan dalam masyarakat. Di sinilah keperluan ahli merujuk sumber rasmi parti sahaja sebagai sumber utama, manakala penulisan lain tidak boleh dijadikan pegangan.

Malangnya ada di kalangan kita merasai ia sama sahaja dari mana sumber kita ambil. Lebih malang apabila kita mengambil dari sumber musuh. Kalau rakyat Israel lebih percaya kata-kata pimpinan HAMAS dari kenyataan pemimpin mereka, maka kita mesti yakin kepada kepimpinan presiden kita.

Tentulah aneh kalau ahli parti lebih sayang presiden lain dari presiden sendiri, atau lebih tertarik kepada dasar parti lain dari parti sendiri. Kalau terjadi begitu mungkin dia tersilap parti atau tidak hadir program tarbiyah parti.

Kita memilih PAS kerana dasar dan tujuan perjuangannya. Inilah yang membezakan PAS dengan parti yang lain. Parti ini sentiasa berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi di sepanjang laluannya. Terlalu banyak darah, airmata, keringat yang tumpah. Terlalu banyak penderitaan ahli ditekan, ditindas semata-mata kerana menyokong PAS. Jangan ada yang mengkhianati perjuangan ini.

Kita yakin Allah akan memelihara pimpinan dan ahli yang ikhlas dalam perjuangan ini. Musuh akan berusaha menghancurkan parti ini seawal penubuhannya, dan kita yakin ianya akan berterusan sehingga hari kiamat. Kerana itu adalah Sunnatullah.

Maka peliharalah hati dari buruk sangka, hasad dengki, khianat dan pelbagai penyakit lain dengan memelihara amalan peribadi. Jagalah solat-solat sunat, mathurat, bacaan al-Quran, ambillah bahagian dalam apa jua kerja jamaah walau sekadar menyusun kerusi. Peliharalah amalan hati, kerana bila hati rosak, tukarlah siapa pimpinan pun ia tetap tidak berpuashati, kerana yang rosak adalah dirinya bukan jamaah atau kepimpinannya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat

Monday, February 23, 2015

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan politik antarabangsa.


Oleh Tuan Nasaie Ismail

Ramai yang menyebut Tuan Guru Haji Hadi lunak dengan syiah, lunak dengan Iran apabila dia memberi pandangan berbeza dalam isu Syria. Bahkan ada yang agak kasar menyebut bahawa Tuan Guru takut kerajaan Iran tidak jemput lagi ke sebarang program di Iran yang bagi mereka satu keistimewaan. Suatu yang memilukan apabila pandangan sebegitu keluar daripada mulut orang yang kuat membela Tuan Guru sebelumnya

Pengalaman saya mengikuti Tuan Guru ke Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam di Tehran pada tahun 2011 boleh memberi sedikit kejelasan. Bermula dengan surat bantahan atau teguran Presiden ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur apabila Iran mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar yang berdepan kebangkitan rakyat ketika itu. Iran menjemput beliau ke Tehran untuk memberikan pandangan. Persidangan ini melibatkan kesemua gerakan Islam di dunia termasuk Ikhwan, Jemaat Islami, An Nahdah dan juga tokoh-tokoh akedemik dari Al Azhar dan Qom Iran. 

Turut hadir Jemaah Islami Iran yang merupakan gerakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iran. Diantara tokoh-tokoh yang memberi ucapan ialah Dr Burhanuddin Rabbani bekas pemimpin Mujahidin Afghanistan. Beliau mati dibunuh selepas dua hari kami bertemu beliau di Tehran. Qazi Husin Ahmad (Pakistan), Dr Kamal Halbawi (Ikhwan), Dr Ramadhan Abdullah (Jihad Islami Palestin), Dr Musa Abu Marzuk (Hamas) dan Tuan Guru Haji Hadi sendiri.Di dalam ucapannya yang disaksikan oleh pemimpin Iran khususnya Ahmadinajad dan Ali Khomene'ie sendiri, beliau tegas menyebut bahawa gerakan Islam antarabangsa berbangga dengan kebangkitan rovolusi Iran 1979 yang telah menumbangkan rejim zalim Pro-Amerika Shah Reza Pahlawi yang memerintah Iran sebelum ini. Kebangkitan yang membunuh ribuan nyawa di zaman moden itu menjadi inspirasi kepada dunia Islam ketika itu.

Walaubagaimana pun beliau menegaskan bahawa Iran jangan mengambil kesempatan diatas kejayaan revolusi itu untuk mempromosikan Syiah di negara negara ahli sunnah. Ini kerana ia akan membawa perpecahan dan hilangnya fokus utama kita untuk berdepan musuh yang nyata Amerika dan Israel. 

Perkara yang sama disebut oleh Sheikh Mehdi Akif (mantan Mursyidul Am Ikhwan) ketika datang ke Malaysia beberapa tahun lalu. Beliau menyebut bahawa beliau memboikot persidangan di Iran sebagai bantahan terhadap kenyataan Iran menyokong kerajaan Syria tetapi rakannya Sheikh Abdul Hadi hadir ke Iran dan menyatakan sikap yang tegas secara berdepan. Maknanya kata Sheikh Mehdi diantara beliau dan Tuan Guru Haji Hadi mempunyai pandangan yang sama tetapi pendekatan yang berbeza.

Tuan Guru juga memberi penekanan bahawa dalam menguruskan kebangkitan Islam pasca kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia, gerakan Islam mesti menyelesaikan dahulu isu Syria secara bijaksana. Apa yang berlaku di Syria ialah rakyat yang bangkit menentang pemerintahan Bashar Asaad yang sangat zalim. Namun kuasa kuasa besar dan kuasa serantau menjadikan Syria sebagai tempat persaingan kuasa yang akhirnya memangsakan rakyat Syria yang tidak berdosa.

Selesai masalah di Syria kerana ia pintu ke Palestin. Kami berlepas ke Iran sekitar jam 12 tengahari dan sampai di sana sekitar jam 7 petang. Terus ke penginapan berehat. Keesokan paginya persidangan bermula, sebelah malamnya juga ada aktiviti. Hari ketiga persidangan bersambung. Tamat sekitar jam 12 tengahari terus ke Airport Tehran dan pulang ke Kuala Lumpur. Tidak singgah ke sebarang kedai, pasaraya, tempat pelancongan atau kerehatan.

Apa yang saya nak sampaikan ialah, tohmahan yang mengatakan Tuan Guru Presiden lunak dengan Syiah tidak benar, kerana kehadiran dia ke sebarang persidangan sentiasa membawa penegasan sebagaimana yang saya sebutkan tentang ucapannya di atas. 

Keduanya, tohmahan yang mengatakan beliau kerap ke luar negara untuk berehat dan berseronok juga tidak benar, kerana untuk membeli sebiji gula gula pun saya tidak sempat.InsyaAllah saya akan menyambung lagi beberapa penulisan berkait pemikiran Tuan Guru Presiden berkait hubungan antarabangsa jika ada kerehatan dan kenapa beliau menjadi sasaran dunia Barat sehari dua ini khususnya dengan penulisan di akhbar Al Watan Mesir tentang beliau beberapa hari lalu. Semoga Allah terus memelihara usia beliau kerana dunia sangat memerlukannya.

Kembali semula kepada persoalan mengapa Tuan Guru Haji Hadi menjadi sasaran dunia Barat khususnya dengan penyiaran berita bahawa beliau adalah Mursyidul Am Ikhwan Antarabangsa. Dalam kes Aceh lawan kerajaan Indonesia. Beliau telah bertemu Teuku Hasan Di Tiro pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menyeru berdamai dengan kerajaan Indonesia pasca Tsunami 2004. Walaupun GAM awalnya agak keras sikapnya terhadap Jakarta, sampai tahap mengkafirkan kerajaan Jakarta, tetapi berjaya dilunakkan untuk menyertai Indonesia secara autonomi. Alhamdulillah dengan bantuan PKS dan rakan-rakan di Indonesia, PAS berjaya hentikan konflik berdarah puluhan tahun di Aceh.

Begitu juga dengan konflik Yaman diantara penduduk Syiah Zaidiah dengan kerajaan Yaman. Kuasa politik serantau mengambil kesempatan. Kerajaan Saudi memberi sokongan kepada tentera Yaman dan Iran memberi sokongan kepada penduduk Syiah Zaidiah. Suasana sebeginilah disukai Amerika dan sekutunya. Jika konflik berlarutan, peperangan besar akan meletus dan dunia hilang perhatian kepada Palestin dan tertumpu di Yaman yang lebih dekat dengan Makkah dan Madinah.

Atas permintaan Dr Yusuf Al Qardhawi, Tuan Guru Haji Hadi pergi ke Yaman bertemu Timbalan Presiden Yaman dan juga wakil penduduk yang memberontak. Ternyata isunya bukanlah peperangan mazhab, tetapi kawasan tersebut dianaktirikan daripada pembangunan seumpama Kelantan lah di Malaysia. Lalu beliau ke Iran dan Saudi untuk mengajak ke meja rundingan. Dalam masa yang singkat berjaya didamaikan dan peperangan dihentikan. Gagallah hasrat Amerika untuk melihat peperangan meletus di Yaman.

Begitu juga dalam peperangan Telok pertama diantara Iraq dengan Iran dan Perang Telok kedua antara Iraq dengan Kuwait. Beliau ke Saudi, Jordan, Iraq, PBB dan lain lain bersama Almarhum Dr Najmudin Erbakan(Turki), Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mesir) dan Abdullah Gul (Turki) untuk mendamaikan peperangan yang berlaku.Mutakhir ini pasca meletusnya kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria, sekali lagi Tuan Guru Haji Hadi dilibatkan dalam memberikan pandangan ke arah menyelesaikan konflik ini dengan jalan damai. Pokoknya beliau bersama gerakan Islam sedunia merintis jalan damai dalam penyelesaian konflik di seluruh dunia hari ini.

Perkara inilah yang tidak disukai Amerika dan Israel. Mereka suka mengheret kumpulan Islam dan negaranya menyelesaikan konflik dengan peperangan yang natijahnya adalah kemusnahan besar, yang menang perang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Tauladan Afghanistan sudah cukup menjadi contoh apabila puluhan tahun lamanya masih dibawah konflik. Negara semakin mundur, kematian semakin ramai. Untuk membangunkan semula negara mengambil jalan yang panjang. 

Dalam masa yang sama Amerika dan Barat terus berkembang maju negara dan kekuasaannya.Dalam konflik di Mesir pasca penggulingan Dr Mursi, mereka gagal mengheret Ikhwan ke kancah perang bersenjata walaupun diacah beberapa kali. Diantara watak penting yang sentiasa berkongsi pendapat dengan Ikhwan dan lain lain gerakan supaya kekal dengan jalan damai dan selesaikan kembali secara demokrasi, adalah Tuan Guru Haji Hadi. Banyak lagi konflik yang menanti seperti Mindanao, Selatan Thailand dan lain-lain. Maka watak seperti ini mesti disekat, bahkan tidak mustahil dihapuskan sebagaimana mereka menghapuskan Dr Abdullah Azzam, Burhanuddin Rabbani dan terdekat Dr Mohd Said Ramadhan Al Butti yang ketiganya ada kesamaan dengan jalan dirintis Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


Institusi pendidikan tahfiz tidak sebar ideologi militan IS - PITAS

KUALA LUMPUR: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menolak sekeras-kerasnya tanggapan kononnya institusi pendidikan tahfiz di Selangor terlibat secara langsung dalam penyebaran ideologi jihad militan IS di negara ini.

Pengerusinya, Ashri Lateh Al-Muqril berkata, 160 buah sekolah tahfiz yang berdaftar di negeri itu tidak pernah memberi galakan kepada pelajar mereka untuk menyertai mana-mana kumpulan militan termasuk IS (Islamic States).

"Kumpulan militan itu bukan hanya bercanggah dengan falsafah pendidikan tahfiz malah terpesong jauh dari ajaran agama Islam sebenar," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah sekolah tahfiz itu, 130 buah dengan bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang bernaung di bawah PITAS.

Sekolah berkenaan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Pendidikan tahfiz berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan 'Rabani' yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

"Selain berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

"Jihad dalam aliran tahfiz tidak sampai kepada tahap memikul senjata dan keluar berperang.

"Sebaliknya menuntut ilmu yang berguna seperti ilmu menghafal Al-Quran yang merupakan jihad yang lebih besar pada dunia akhir zaman ini," kata Ashri.

Ashri berkata kes membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun ditangkap dalam perjalanan menyertai jihad IS di Syria baru-baru ini adalah bersifat individu serta terpencil dan tidak mencerminkan seluruh pelajar tahfiz di Selangor ataupun di negara ini.

"Saya terkejut apabila membaca berita seorang pelajar tahfiz perempuan ditangkap polis apabila cuba berjihad ke Syria dan ini adalah kes pertama melibatkan pelajar aliran tahfiz.

"Saya percaya bahawa pelajar terbabit terpengaruh dengan dakyah IS ketika berada di luar sekolah atau pada waktu cuti kerana kebanyakan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajarnya melayari internet walaupun kami ada menyediakan kelas komputer," katanya.

Gadis berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Rabu lepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu adalah pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ashri berkata isu gadis itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung PITAS bulan depan bagi mencari jalan untuk menyekat fahaman IS dari terus menular dan meracuni pemikiran pelajar tahfiz.

"Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga...kita perlu ambil langkah pencegahan awal bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan JAIS. - BERNAMA

Thursday, February 12, 2015

Hilangnya Sebutir Lagi Mutiara...

Selamat jalan kami ucapkan semoga Tuan Guru berbahagia menghadap Allah SWA. Kami pasti akan merinduimu.

Ya Allah, 

Engkau terimalah kembali hambaMu, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat... pemimpin kami, guru dan ulamak yang kami sayangi dengan rahmatMu. Ampunkanlah segala salah dan dosanya, rahmatilah rohnya. Berilah kepadanya balasan yang baik kerana jasanya mendidik dan memimpin kami yang tiada mengenal penat dan jemu.

Ya Allah... Engkau kurniakanlah kepadanya keberkatan dan permudahlanlah segala urusannya. Berilah ketabahan kepada isteri, anak-anak dan ahli-ahli keluarganya. Engkau berikanlah kepadanya tempat tinggal yang baik bersama orang yang soleh, suhada dan orang-orang yang benar. 

Ya Allah... Berilah kepadanya dan kepada kami pengampunan. Sesungguhnya kami kehilangan seorang pemimpin dan seorang guru yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada kami. Maka gantilah kepada kami orang yang selayaknya untuk memimpin kami dan berilah kepada kami kekuatan, kesabaran dan kelapangan hati untuk mengikuti kepimpinannya kelak.

Ameen.

Wednesday, February 11, 2015

PAS Ada Matlamat Perjuangan.

Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yg sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ni ibarat mereka yg menebok kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putra Jaya pergilah ke bahtera UMNO.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya. Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian. Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali. Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh Tok tok Guru Pondok. Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim. Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Markas Air Kuning, Taiping
25.01.2015

Tuesday, February 10, 2015

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

20 Rabiul Akhir 1436 / 10 Februari 2015

"TERUSKAN PERJUANGAN MENEGAKKAN KEADILAN"

PAS merakamkan takziah dan simpati terhadap Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas ujian hukuman yang dijatuhkan kepadanya.

Hari ini menjadi satu lagi sejarah hitam negara, mengulangi tragedi sama yang pernah ditanggung beliau sebelum ini. Untuk itu, rakyat perlu melihat bahawa kemaraan dan konsisten politik Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dipasung dari terus menjadi pejuang rakyat.

Ia juga mengingatkan kita semua, hanya Undang-undang Syariah sahaja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini.

Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam.

Kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, ahli keluarga, seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat, semoga kita terus sabar dan istiqamah untuk kekal melangsungkan memperjuangkan menegakkan keadilan bagi negara ini.

Oleh itu, perlunya kita bersatu-padu secara penuh harmoni dalam kemajmukan, agar menjadi kuat untuk teguh menumbangkan BN.

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Sunday, February 8, 2015

terimakasih Kepada Penyumbang Tabung Mangsa Banjir Kelantan

Penyerahan Rumah Budiman dari PKHL oleh YB DR Che Rosli kepada mangsa banjir Kelantan disaksikan oleh Ketua PAS Cawangan Kg Kemubu Dabong. Beliau juga adalah Imam Masjid Kg Kemubu. Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah AJK PAS Cawangan berkenaan.