Friday, December 19, 2008

MB: Penduduk boleh kembali ke Bkt Antarabangsa

Dec 19, 08 1:51pm

Majoriti penduduk di kawasan berhampiran tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, kata menteri besar Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan itu dicapai selepas kajian awal geoteknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) susulan tragedi 6 Disember lalu.

Menurut laporan The Star, laporan jabatan itu diserahkan kepada Abudl Khalid kira-kira 12.45 tengah hari ini.

Menteri besar itu bagaimanapun berkata beliau belum meneliti sepenuhnya laporan tersebut.

Pegawai daerah Gombak dan presiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya sedang mengkaji laporan tersebut, tambahnya.

Semalam kerajaan Selangor melahirkan rasa kecewa dengan sikap Kementerian Kerja Raya yang enggan membenarkan JKR menyerahkan laporan tersebut semalam sehingga menghalangnya memaklumkan kepada penduduk dalam satu pertemuan yang dijadualkan jam 10 pagi ini.

Jabatan itu bercadang menyerahkan laporan berkenaan selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pagi ini dan diumumkan oleh menteri berkenaan.

Kira-kira 3,000 penghuni Bukit Antarabangsa menanti dalam keadaan tidak menentu laporan tersebut sejak dua minggu lalu sama ada mereka masih boleh tinggal di situ atau sebaliknya.

No comments: