Tuesday, June 9, 2009

Haramkan SIS...

PAS haramkan SIS (Sister in Islam) atau PAS minta supaya Majlis Fatwa haramkan SIS? Kalau ikutkan hati dah lama dah kita orang nak haramkan SIS ni. Tetapi lebih baik sekiranya Majlis Fatwa yang membuat kerja tersebut.

Akhbar pulak jangan nak putar belit kata PAS nak haramkan SIS. Cuba baca habis-habis kenyataan PAS.
______________________

Pemuda PAS pertegas mahu Majlis Fatwa Kebangsaan siasat SIS

DEWAN Pemuda Pas Pusat (DPPP) menyokong penuh usul PAS Kawasan Shah Alam yang mengusulkan dalam Muktamar baru-baru ini agar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan atau siasatan terhadap pertubuhan wanita Sisters In Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

DPPP menghargai pandangan Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok dari DAP dan Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub yang mahu PAS menghormati kebebasan bersuara dan juga hak untuk berpersatuan.

Justeru dalam prinsip perjuangan yang sama, Perwakilan Muktamar PAS juga telah mengunakan hak mereka untuk bersuara secara bebas dan hak PAS dalam berpersatuan secara yang lebih pragmatik.

DPPP menegaskan bahawa kita tidak meminta SIS diharamkan jika Majlis Fatwa Kebangsaan mengesahkan bahawa pertubuhan itu layak untuk membawa nama Islam. Tetapi jika didapati mereka menyimpang dan tidak membawa hasrat serta pemikiran Islam yang betul maka PAS bertegas agar mereka diharamkan atau menukar nama persatuan mereka.

DPPP berpandangan bahawa setiap pertubuhan yang membawa nama Islam seharusnya mempunyai pandangan jelas tehadap akidah ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak memainkan isu atas dasar hak asasi yang terlalu subjektif. Kerana dalam Islam hak asasi itu mempunyai adab dan matlamatnya. Beberapa kes rujukkan memperlihatkan sikap SIS terhadap hukum dan dasar Islam yang turut bertentangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, antaranya.

1. Isu penangkapan Jeslina Hashim di Kelab Malam Zouk.2. Isu Undang-Undang Keluarga Islam3. Isu Murtad Lina Joy

DPPP tidak menghalang hak mereka untuk bersuara, namun sikap mereka yang tidak memperlihatkan diri mereka sebagai pertubuhan Islam seharusnya dinilai.

Sebagai menghormati hak mereka, DPPP menyarankan agar SIS menukar nama kepada Sisters In Malaysia jika mereka mahu meneruskan tingkah mereka yang memperjuangkan hak asasi yang subjektif dan tidak lagi membawa nama Islam tetapi dalam masa yang sama mempersoalkan hukum-hukum Islam yang telah termaktub dalam Al-Quran dan Hadis.

Ini pandangan DPPP dan diharap semua pihak menghormati pandangan ini atas dasar kebebasan bersuara dan berpersatuan. Sama ada ia mahu diterima atau tidak, itu terpulang pada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

DPPP pertegas sekali lagi bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan harus bersidang dan membuat penilaian terhadap SIS, sekaligus mengeluarkan Fatwa sama SIS ini layak mengunakan nama Islam dalam pertubuhan mereka atau tidak.

Jika tidak layak maka mereka harus diharamkan mengunakan nama Islam dan diminta bubar atau menukarkan nama persatuan jika mahu terus aktif dalam berpersatuan kerana mereka tidak lagi dianggap mewakili suara wanita dan umat Islam keseluruhannya.

Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat


No comments: