Friday, July 31, 2009

Hargai Pahlawan

Setiap tahun tanggal 31 Julai merupakan tarikh yang dinantikan oleh para pahlawan tanahair kerana tarikh itulah hari memperingati jasa mereka yang mempertahankan negara dengan darah dan nyawa disambut. Tetapi setiap kali majlis pemperingati itu jugalah majlis meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara terus berlangsung walaupun telah difatwakan HARAM oleh Majlis Mufti Kebangsaan.

Bagaimana tahun ini? Adakah ianya akan dilaksanakan lagi? Adakah ada pembaharuan akan dilaksanakan? Kita tunggu sambutan hari ini.

Tahun ini tiada berita besar di dada akhbar yang menyentuh sambutan Hari Pahlawan. Tiada di Berita Harian juga tiada di Utusan Malaysia. Ucapan Agong juga tidak mendapat liputan yang sewajarnya melainkan di Bernama.

Kembali dengan sambutan Hari Pahlawan, siapakah pahlawan dan apakah sabutan yang sepatutnya dilakukan? Adakah kita perasan bahawa kebanyakkan sambutan mengenang pengorbanan pahlawan hanya untuk mereka yang terlibat dalam perjuangan sekitar merdeka dan selepas merdeka? Bagaimana mereka yang berjuang semenjak masuknya Portugis ke Tanah Melayu pada tahun 1511. Adakah kita masih mengingati senarai yang sangat panjang itu?

Adakah kita masih lagi ingat nama-nama seperti Dol Said, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Abdul Rahman Limbung, Rentab, Mat Salleh Perang, Tok Janggut, Dato' Maharaja Lela, Dato Bentara Luar Johor, Tok Gajah dan nama-nama besar lain ini tidak termasuk orang awam yang menggalas senjata yang terkorban dan cedera untuk mempertahankan negara yang tercinta. Kenapa hanya pengorbanan Askar Melayu sahaja yang di ingati. Benar mereka telah menabur bakti dalam menjaga kemerdekaan dan keamanan negara. Siapa pula yang memperingati mereka yang berjuang sebelum wujudnya Askar Melayu? Mereka juga perlu diingati dan dihargai.

Sempena Hari Pahlawan yang jatuh pada hari Jumaat Penghulu Hari yang penuh berkat ini, marilah kita panjatkan doa agar roh pejuang-pejuang yang telah pergi diberikan rahmat dan ditempatkan dalam golongan yang solleh, solehin dan syuhada. Al-Fatihah.

No comments: