Wednesday, January 9, 2013

Krisis air: Rakyat merana kerana kegagalan Syabas

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa kecewa di atas kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di dalam menyelesaikan krisis air Selangor dan Kuala Lumpur sehingga menjejaskan kehidupan ribuan penduduk yang terlibat.

Tinjauan PAS WP mendapati ramai penduduk di kawasan Ampang, Pandan, dan Cheras menerima kesan sehingga penduduk terbabit terpaksa menggunakan pelbagai kaedah bagi menampung keperluan air di rumah mereka.

Dengan penjelasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai masalah air tersebut yang tiada kaitan dengan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat2) kerana bekalan air sebenarnya mencukupi dan ia hanyalah kegagalan Syabas menyelenggarakan Rumah Pam Wangsa Maju dan Hulu Pudu Baru menunjukkan kegagalan ini bukan berpunca dari kerajaan Selangor, tetapi kerana kegagalan Syabas sendiri.

Apa yang dikesalkan adalah mengapa Syabas tidak mengenal pasti punca masalah kerosakan di rumah pam Wangsa Maju dan Hulu Pudu Baru lebih awal sebelum insiden ini berlaku? Syabas pula seakan tidak mengambil langkah efektif bagi memastikan masalah ini tidak berlaku.

PAS WP merasa kesal kerana kegagalan Syabas telah menyebabkan ribuan penduduk menjadi mangsa. Sepatutnya Syabas menetapkan suatu jangka masa yang singkat untuk menyelesaikan masalah ini supaya penduduk tidak merana selama beberapa hari.

Dalam hal ini, PAS WP mengharapkan krisis air ini adalah kejadian yang benar-benar berlaku disebabkan oleh kelalaian dan kelemahan pihak Syabas, dan bukannya ada agenda politik lain.

Janganlah krisis ini disebabkan oleh suatu perancangan jahat segelintir pihak yang mahu memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan menjadikan ribuan rakyat sebagai mangsa dengan tujuan supaya rakyat menyalahkan kerajaan PR.

Jika ini yang berlaku, ia adalah tindakan keji dan hina dan mereka ini sanggup mengorbankan kepentingan penduduk hanya memenuhi nafsu politik pihak tertentu.

Akhirnya, PAS WP meminta penduduk yang terjejas agar bersabar dalam menghadapi ujian sebesar ini. PAS WP memahami kesulitan yang dialami oleh penduduk dan mendoakan kesejahteraan mereka. Semoga krisis ini berlaku hanya sekali dan tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

No comments: