Friday, June 3, 2011

Najib wajar bantu siasatan di Perancis

Apa pandangan anda sekiranya seorang Perdana Menteri dikaitkan dengan skandal? Sekiranya tidak benar kita bernasib baik..... Bagaimana sekiranya ianya ada bukti? Bagaimana nasib negara?

Kita bukan sahaja perlu seorang PM yang bersih.... tetapi juga kelihatan bersih.
___________________________________
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu bimbang sekiranya disapina mahkamah Perancis, malahan beliau perlu hadir untuk membersihkan namanya dalam skandal pembelian dua kapal selam Scorpene. Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas perbicaraan terbuka di negara itu berhubung pemberian komisen berjumlah 114.96 juta Euro dalam pembelian dua kapal perang berkenaan. Menurutnya, Najib adalah individu yang lebih berwibawa untuk membantu siasatan berbanding Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau adalah penyandang jawatan itu semasa urusniaga pembelian Scorpene dilakukan pada 2002. “Zahid berkata beliau sanggup untuk pergi, tetapi meletakkan pra-syarat iaitu hanya selepas mendapat persetujuan kabinet. Sebenarnya tidak timbul setuju atau tidak. “Kes ini tidak terlalu sukar daripada yang sepatutnya. Sekiranya kerajaan telus, mana-mana individu yang rasuah wajib didakwa,” kata Shamsul.

Mengulas perspektif undang-undang Shamsul berkata, kenyataan Ahli Parlimen atau jawapan Menteri di Dewan Rakyat tidak boleh dipertikai di mana-mana mahkamah di Malaysia. “Ada pengakuan oleh Timbalan Menteri Pertahanan sebelum ini bahawa bayaran telah dibayar kepada syarikat Perimekar dalam bentuk komisen. Ini tidak termasuk ratusan juta ringgit yang dibayar berikutan pembelian peralatan ketenteraan lain seperti Eurokopter,” jelas Shamsul.

Persoalannya, kata Shamsul apakah sebarang kenyataan Ahli Parlimen dan Menteri di dalam Parlimen Malaysia turut terpakai kepada mahkamah di negara lain?
Perbicaraan di mahkamah Perancis yang bermula Julai ini akan merungkai persoalan dan mencari pihak terakhir penerima rasuah berjumlah 114.96 juta Euro, iaitu komisen dari pembelian kapal selam pertama negara.

Mengulas isu yang sama, Shamsul mempertikaikan kaedah pembelian senjata melalui orang tengah, seperti dilakukan oleh Perimekar, anak syarikat Ombak Laut Sdn Bhd yang dimiliki Razak Baginda bekas penasihat strategik Najib yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri. “Apakah wujud keperluan pihak ketiga dalam urusniaga pembelian senjata, dan mengapa kerajaan perlu membayar lebih?” soal Shamsul.

Pada 8 November 2008, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kepada Parlimen bahawa (in terms of the value of commission) pembelian kapal selam ini merupakan antara yang paling tinggi di dunia. Justeru Shamsul mempersoalkan, komisen berjumlah hampir RM 500 juta adalah tidak munasabah, bahkan wang tersebut sepatutnya digunakan bagi menampung subsidi kepada rakyat.

“Seharusnya, pembelian peralatan ketenteraan adalah secara ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan), kerana urusniaga pembelian senjata membabitkan maklumat sulit keselamatan negara,” kata Shamsul.
Justeru, beliau menegaskan adalah tidak memadai sekiranya Menteri Pertahanan sekarang, iaitu Datuk Ahmad Zahid Hamidi dipanggil membantu siasatan. “Kehadiran Najib sendiri ke mahkamah Perancis akan melengkapkan ‘jaringan yang terputus’ (missing link) dalam penyiasatan rasuah pembelian kapal selam Scorpene,” ujarnya.

Wednesday, June 1, 2011

Tiada arahan wartawan bukan Islam pakai tudung

KUALA LUMPUR, 1 Jun: PAS tidak mengeluarkan arahan bahawa wartawan wanita bukan Islam perlu memakai tudung ketika membuat liputan muktamar parti itu hujung minggu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata beberapa organisasi media mungkin telah salah faham nasihat yang diberikan oleh sekretariat penganjur Isnin lepas oleh kerana keperluan memakai tudung hanya ditujukan kepada wartawan wanita yang beragama Islam.

"Ini semua salah faham media. Tiada arahan pakai tudung pun kepada wartawan bukan Islam. Umum sudah mengetahui bagaimana pakaian sopan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mustafa mengulas kenyataan setiausaha agung Wanita MCA, Chew Lee Giok yang membidas PAS kerana dikatakan menguatkuasakan kod pakaian ke atas wartawan wanita bukan Islam yang membuat liputan muktamar dari 3 hingga 5 Jun ini.

Dalam notis pengambilan pas liputan muktamar yang dihantar kepada petugas media, beberapa peraturan pemakaian digariskan.

Ianya termasuk tidak berseluar pendek bagi wartawan lelaki dan tidak memakai pakaian menjolok mata bagi wanita.

"Sempena muktamar PAS Pusat yg akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun yang akan datang, beberapa kod etika perlu dipatuhi.

"Antaranya ialah lelaki berpakaian kemas dan tidak berseluar pendek dan wanita berpakaian kemas dan bertudung bagi yang Islam dan DIGALAKKAN memakai skaf bagi bukan Islam.

"DILARANG memakai gaun atau skirt pendek," kenyataan berhubung ketetapan itu dipetik.

Sehubungan itu, arahan wajib bertudung kepada wartawan wanita bukan Islam adalah tidak benar sama sekali kerana perkataan digunakan hanyalah "digalakkan" memakai skaf, dan bukan memaksa memakai tudung.

Selamat Bermuktamar Kali ke57

AL-FATIHAH ! BONDA SULTAN SELANGOR MANGKAT

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Bonda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini pagi ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, 88, mangkat pada kira-kira pukul 9 pagi.

Munir ketika dihubungi Bernama berkata jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Alam Shah Klang, sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Asar.

Almarhum merupakan isteri pertama kepada AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bersama Almarhum Sultan Salahuddin, Raja Nor Saidatul Ihsan dikurniakan tiga putera dan empat puteri iaitu Sultan Sharafuddin, Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah, Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah, Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.

PAS ganti Umno negara jadi lebih baik

SHAH ALAM, 31 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi hari ini menegaskan kesediaan PAS untuk menggantikan Umno dalam usaha mentadbir negara ke arah yang lebih baik.

Beliau yang menang tanpa bertanding untuk penggal kedua jawatan itu sesi 2011-2013 berkata, masyarakat dan rakyat sudah merindui satu kehidupan lebih harmoni di bawah panji perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS dan sudah lama muak dengan sikap Umno selama ini.

Menurutnya, dalam PAS kini sudah wujud satu badan khas, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai rakyat Malaysia bukan beragama Islam yang meyakini dasar perjuangan PAS.

Nasrudin berkata demikian ketika bercakap dan menyampaikan hujahnya di dalam Wacana Sinar Harian siri 4 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK), dekat sini, petang tadi.

Turut menjadi panelis adalah Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik sebagai moderator.

Hadirin yang kebanyakannya penyokong kedua-dua belah pihak memenuhi dewan namun tahap kebisingan mereka tidak seteruk suasana wacana bulan lalu yang tidak dikawal dengan sebaiknya.

"Saya mempunyai nekad ingin membawa anggota PAS khasnya pemuda agar mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, hemah, bermaruah dan tidak tidak mahu politik jijik, keji apatah lagi menjatuhkan dan membina jatidiri di atas sikap kesengsaraan dan penderitaan orang lain," tegas Nasrudin.

Dalam sesi sama, beliau mempertahankan akhbar Harakah yang disifatkan oleh Khairy sesat dan enggan menarik balik tuduhan itu, lantas Nasrudin mempersoalkan tindakan akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia, lebih teruk dengan menyiarkan gambar lucah dan menjolok mata pembaca.

Sebelum itu di awal wacana, Nasrudin menyebutkan tentang perjuangan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya dan yakin dengan peranan agama Islam itulah menjadi pembimbing dan pendorong kepada ahli-ahlinya ke arah terbaik.

"Namun di sana, tidak bermakna semua anggotanya maksum tetapi sekurang-kurangnya dapat memagar, membantu dan membina agar tidak terlalu terdedah kepada maksiat dan mungkar.

"Dengan dasar itu, mereka dapat menjadi insan, pejuang dan ahli politik yang baik namun di sana seperti agama Islam sendiri di mana ada yang masih tidak mentaati Islam, secara umumnya ini keluar dari dasar," tegasnya lagi

Menyentuh tentang tajuk wacana, beliau berkata fitnah bersifat umum, ia boleh berlaku sama ada dalam dan luar parti politik dan di dalam masyarakat dan individu.

Mereka yang melakukan fitnah memang dimurkai Allah SWT kerana di sana sudah hilang peranan dosa pahala, syurga neraka dalam tindakan mereka terbabit.

Beliau menambah, politik negara ini kini menjadi terlalu ganas melepasi syurga neraka, dosa pahala, sebagai contoh, bila menuduh, mereka hendaklah membawa empat saksi, bukannya empat klip video.

Katanya, walaupun kini senjata sudah moden dan sangat canggih namun mereka yang ketandusan idea politik akan tetap menggunakan senjata fitnah untuk membunuh musuh politik mereka.

Ustas Nasrudin melahirkan rasa simpati kepada Khairy dan rakan-rakan yang sering menerima fitnah sesama mereka dalam usaha mendapat tempat dalam kedudukan politik mereka.

Tegasnya, rakyat negara sudah ingin kepada sistem politik berasaskan hujah, berhikmah, telus dan tulus serta pandangan berasas serta bernas dan bukan berhasrat menjatuhkan lawan begitu sahaja dengan fitnah.

Sekitar 10 soalan dikemukakan hadirin dan dijawab dengan baik kecuali satu soalan yang dibuat oleh seorang Muslimat mengenai 'sampai bila Umno ingin berhenti dari terus melakukan fitnah' yang gagal dijawab oleh Khairy dengan baik.

Lawatan TG Nik Aziz di Tapak Tragedi Tanah Runtuh dan Penyampaian Sumbangan

Elektrik: BN bela IPP, bebankan rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Barisan Nasional (BN) yang menguasai kerajaan sekarang terus membela syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, beban subsidi mereka kini ditanggung oleh rakyat dan pemain industri yang lain dengan kenaikan berterusan tarif elektrik secara puratanya sebanyak 7%.

Katanya, IPP yang ditubuhkan pada tahun 1996 menjadi pengeluar utama sumber bekalan tenaga elektrik negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula bertindak sebagai pemborong menyebabkan kos pengeluaran sumber tenaga ini begitu tinggi kerana margin keuntungan dikaut oleh dua pihak sebelum sampai kepada rakyat.

Ini, ujarnya belum termasuk lagi pemain industri lain yang dijangkakan akan menaikkan harga jualan produk mereka selaras dengan kenaikan tarif eletrik yang dikenakan ke atas kilang-kilang mereka.

Semalan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mengumumkan kenaikan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun sebagai sebahagian daripada pengurangan subsidi.

Menurut Herman, IPP menjana elektrik mengunakan janakuasa yang dioperasikan dengan gas asli yang dibeli dari Petronas dengan hanya perlu membayar sebahagian sahaja kosnya dan bakinya disubsidi oleh kerajaan mengunakan wang rakyat.

“Walaupun menerima subsidi yang tinggi namun IPP masih lagi menuntut kenaikan tarif. Kerajaan yang dalam rangka mengurangkan beban subsidi negara kini mengalihkan beban itu kepada rakyat pula,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenaikan tarif 7% mungkin kecil kepada pemimpin BN kerana bil mereka ditaja oleh Kerajaan Malaysia menggunakan duit rakyat.

Tambahnya, tetapi nilai itu amat besar kepada pemain industri dan rakyat yang mengunakan elektrik 301kW ke atas.

“Bagaimana pengusaha restoran dan peniaga-peniaga runcit pula?” soalnya.

Menurutnya, mereka juga antara pengguna sumber yang banyak kerana beroperasi lebih dari 12 jam sehari.

Maka, katanya tidak mustahil mereka akan meningkatkan nilai harga jualan mereka yang akhirnya rakyat sebagai pelanggan akhir juga terbeban.

Beliau menambah, pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan yang ditamat pada Disember 2011 pula akan menyebabkan sebahagian besar isi rumah dari 5.94 juta akan terkesan.

Katanya, rakyat masih boleh menerima kadar yang lebih rendah jika Kerajaan memberikan hak pengeluaran sumber tenaga elektrik terus kepada TNB dan menghapuskan IPP sebenarnya.

Tambahnya, untuk apa BN masih mahu terus menyara dan membela IPP sedangkan sebelum 1996, kualiti sumber elektrik negara tidaklah teruk sangat dan TNB pun telah menjalankan penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka.

Manurutnya, apabila pengeluaran sumber tenaga diberikan secara mandatori kepada IPP maka kos elektrik bertambah dua kali ganda dan sampai bila-bila pun rakyat akan terus menjadi mangsa.

Oleh itu, katanya DPPWP menuntut penjelasan Kerajaan berhubung nilai sebenar subsidi yang dibayar kepada IPP dan juga TNB.

“Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil alih aset dan kepentingan dalam IPP melalui TNB bagi mengurangkan kos pengeluaran,” ujarnya.

Katanya, dengan menghapuskan peranan IPP sahajalah tarif eletrik dapat dikurangkan dan rakyat mampu menerima kadar yang lebih murah dari hari ini.

“Rakyat hanya ada satu pilihan untuk mencapai impian menghapuskan IPP ini iaitu dengan menolak BN dan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat melaksanakan dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat,” katanya lagi.

Video: Pemuda PAS-Umno sepakat tolak fitnah

Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin (kiri) yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

"Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang. Itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam. Kita perlu ada peradaban," katanya.

Forum berjudul "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman" anjuran akhbar Sinar Harian itu dihadiri kira-kira 500 orang.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin mengulangi pendirian PAS bahawa berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

"Mengikut kaedah Islam, salah membebaskan orang yang silap lebih baik daripada menjatuhkan hukuman orang yang tidak bersalah... Hikmahnya, kerana untuk memelihara maruah orang," katanya.

'Betul, salah isu kedua'

Sementara bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas golongan agamawan daripada Umno dan PAS yang didakwanya gemar menggunakan masalah peribadi seseorang sebagai modal politik mereka.

Tokoh agama muda itu berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga menyebabkan rakyat lupa kepada isu-isu yang lain.

"Kita suka menggunakan kelemahan peribadi orang lain untuk diangkat menjadi isu politik. Bukan sahaja isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu (pembunuhan) Altantuya (Shaariibu), dan berbagai isu sebelum ini.

"Dan adalah tidak betul bagi orang agama, (keadaan) yang tidak berpihak kepadanya, dia keluarkan dalil, kata tak boleh digunakan kerana Al-Quran cakap. (Apabila) kena kepada orang lain diamkan dalil. Maka itu tidak boleh.

"Kita kena konsisten, PAS atau Umno mesti sentiasa adil dalam hal ini tidak boleh keluarkan keaiban dijadikan sebagai bahan politik disebar secara meluas. Tidak PAS, tidak Umno, secara adil," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Berhubung isu video seks tersebut, beliau menegaskan bahawa beliau antara tokoh yang awal tidak bersetuju dengan pendedahan keaiban individu termasuk menjadikan ia sebagai modal politik.

"(Ia) budaya fitnah, saya kata tidak bersetuju dengan perkara yang membabitkan penyebaran (video itu) dan masuk dalam akhbar. Betul atau salah isu kedua," katanya.

FMM: Pengguna tidak harus tanggung kenaikan

Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) berkata kenaikan tarif elektrik di negara ini sebagai tidak adil kerana pengguna dipaksa menanggung bebanan akibat kegagalan pengeluar tenaga membekalkan tenaga yang murah.

Dalam satu kenyataan akhbar, presiden FMM Mustafa Mansur berkata walaupun dengan pengurangan subsidi gas sebanyak RM3 bagi setiap mmBtu, harga gas di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini. Justeru, katanya, ini menjadikan kenaikan harga itu tidak dapat diterima.

Berkuatkuasa esok, harga gas adalah RM13.70 mmBtu, dan ini jauh lebih rendah berbanding Thailand (RM18.23 per mmBtu), Singapura (RM43.32 per mmBtu) dan Indonesia (RM21.04 per mmBtu).

"Di sebalik kelebihan harga gas asli, kos elektrik di Malaysia selepas kenaikan itu adalah hampir sama dengan Thailand dan 62.2 peratus tinggi daripada kadar Singapura serta 131.3 peratus daripada kadar Indonesia.

"Jika dibandingkan kadar Thailand bagi voltage rendah, sederhana dan tinggi, tarif elektrik Malaysia bagi semua kategori itu adalah lebih tinggi!” kata Mustafa.

Menurut beliau, FMM juga meragui langkah meningkatkan tarif tenaga elektrik dan merasakan ketidakcekapan dan kekangan harga dalam rantaian bekalan tenaga masih belum ditangani.

"FMM tetap berpendapat bahawa tidak sepatutnya harga minyak disalurkan secara automatik kepada pengguna dan Tenaga Nasional Bhd sepatutnya terbuka untuk ditanda aras bersama-sama penjana lain untuk memastikan kecekapan operasi," katanya.

Ia menambah, kos elektrik patut ditetapkan pada margin tertentu di bawah tarif serantau untuk mengekalkan daya saing industri Malaysia.

FMM: Pengguna tidak harus tanggung kenaikan

Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) berkata kenaikan tarif elektrik di negara ini sebagai tidak adil kerana pengguna dipaksa menanggung bebanan akibat kegagalan pengeluar tenaga membekalkan tenaga yang murah.

azlanDalam satu kenyataan akhbar, presiden FMM Mustafa Mansur berkata walaupun dengan pengurangan subsidi gas sebanyak RM3 bagi setiap mmBtu, harga gas di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini. Justeru, katanya, ini menjadikan kenaikan harga itu tidak dapat diterima.

Berkuatkuasa esok, harga gas adalah RM13.70 mmBtu, dan ini jauh lebih rendah berbanding Thailand (RM18.23 per mmBtu), Singapura (RM43.32 per mmBtu) dan Indonesia (RM21.04 per mmBtu).

"Di sebalik kelebihan harga gas asli, kos elektrik di Malaysia selepas kenaikan itu adalah hampir sama dengan Thailand dan 62.2 peratus tinggi daripada kadar Singapura serta 131.3 peratus daripada kadar Indonesia.

"Jika dibandingkan kadar Thailand bagi voltage rendah, sederhana dan tinggi, tarif elektrik Malaysia bagi semua kategori itu adalah lebih tinggi!” kata Mustafa.

Menurut beliau, FMM juga meragui langkah meningkatkan tarif tenaga elektrik dan merasakan ketidakcekapan dan kekangan harga dalam rantaian bekalan tenaga masih belum ditangani.

"FMM tetap berpendapat bahawa tidak sepatutnya harga minyak disalurkan secara automatik kepada pengguna dan Tenaga Nasional Bhd sepatutnya terbuka untuk ditanda aras bersama-sama penjana lain untuk memastikan kecekapan operasi," katanya.

Ia menambah, kos elektrik patut ditetapkan pada margin tertentu di bawah tarif serantau untuk mengekalkan daya saing industri Malaysia.