Friday, October 31, 2014

YB DR CHE ROSLI CHE MAT DI PARLIMEN

Izinkan saya membaca sepotong ayat pendek Surah Al-Rahman, ayat 60 yang bermaksud, “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga”.  

Merujuk ayat di atas, saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri-menteri kena berlapang dada kerana rakyat yang tidak menyokong Barisan Nasional pun pergi mengambil BR1M atau bantuan lain kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia.

Apa yang penting, Allah akan membalas budi baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Menteri-menteri yang budiman. Sama juga di Selangor, kita memberi bantuan atau kemudahan umpamanya air percuma, Skim Warga Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Bantuan Masuk ke Universiti kepada semua yang berhak tanpa mengira latar belakang politik.

Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik

Antara perkara yang saya ingin bincang, pertama, Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk meningkatkan pelajar dalam STEM.

Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan, nisbah pelajar sains dan sastera pada tahun 1981 adalah 30%:61%, tahun 1982 hingga 1992 menurun iaitu 19% sains dan 62% ke 70% sastera. Tahun 2010 – 30%:50% dan selebihnya mengambil bidang vokasional dan teknikal.  Kerajaan Malaysia mensasarkan 60% orang pelajar mengambil jurusan STEM Jadi ini menjadi cabaran kepada kita terutama Kementerian Pendidikan. Sekarang saya difahamkan nisbah pelajar jurusan STEM berbanding bukan STEM adalah 42%:58% yang meningkat berbanding dengan tahun 2000 yang hanya 25%:75%.

Berdasarkan pengalaman kami tahun 1967, ketika itu dipaksa pelajar-pelajar aliran sastera yang mendapat pencapaian terbaik dalam Sains, Matematik dan Geografi peringkat SPM bertukar ke aliran sains semasa Tingkatan 6 rendah.

Nampaknya ramai yang berjaya sampai ke peringkat universiti dalam pelbagai bidang atau memasuki Maktab Perguruan Sains atau Maktab Perguruan Teknik yang menjadi pendidik dalam usaha memperbanyakkan lagi pelajar supaya mereka berminat dalam STEM.

Walaupun pelbagai usaha dibuat untuk meningkatkan pelajar STEM tetapi dorongan daripada ibu bapa dan insentif dalam kerjaya penting bagi menarik minat pelajar-pelajar menjurus dalam STAM.  Sebagai contoh ada di kalangan jurutera Lembaga Lebuhraya (LLM) menceritakan bahawa dia tidak benarkan anaknya mengambil STEM kerana mengenangkan dia sendiri yang bekerja siang dan malam tetapi bosnya dari aliran sastera hanya kerja waktu pejabat sahaja.

Walau bagaimanapun, kita perlu teruskan usaha bagi meningkatkan minat pelajar kita dalam STEM. Pentaksiran ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa - (TIMMS) 2011 pula menjelaskan bahawa pencapaian Matematik pelajar Malaysia adalah pada tangga ke-26 berbanding 42 buah negara yang mengambil bahagian. Hampir 38% orang pelajar berusia 14 tahun di negara ini gagal mencapai skor minimum untuk subjek Matematik dan Sains. 

Berbagai-bagai usaha yang dibuat perlu diteruskan bagi menarik minat pelajar dan peluang kerjaya dalam STEM. Antaranya Pameran Sains dan Kejuruteraan di Pusat Sains Negara seperti yang pernah dianjurkan pada 25 hingga 27 April 2014 yang mana antaranya mempamerkan demonstrasi dan eksperimen sains secara hands on, aktiviti uji minda dan matematik, Program Mentoran Sekolah bagi Projek Sains dan Reka Cipta Kejuruteraan di bawah inisiatif Universiti Tunku Abdul Rahman, Projek Pameran STAM Sekolah, Pameran Sains Industri Teknologi dan Kejuruteraan, perkongsian berkaitan STAM oleh penceramah jemputan, poster pameran, video berkaitan dengan STAM.  Kedua, Pameran dan Conference Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan pelbagai agensi.

Pameran baru-baru ini antara 15 hingga 19 Oktober 2014 merupakan kali kelima yang mempamerkan pelbagai produk dan membincangkan daripada tenaga boleh baharu, kereta hibrid elektrik, pengurusan sisa dan rawatan sisa dan banyak produk environmental friendly, dengan izin yang boleh mendedahkan dan menarik minat STEM kepada pelajar di samping memberi peluang pelaburan kepada usahawan-usahawan tempatan. 

Ketiga, ceramah STEM bagi meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengenal pasti, mengaplikasikan serta mengintegrasikan konsep atau komponen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. 

Keempat, lawatan ke industri-industri yang menggunakan teknologi moden seperti industri cat yang menggunakan bahan biologi, polimer, komposit, automotif dan lain-lain dan lawatan ke institusi penyelidikan sains seperti MARDI, PORIM, SIRIM, Nuklear Malaysia dan lain-lain dan perjumpaan dengan saintis-saintis bagi membuka minda mereka bahawa keadaan sains dan teknologi insya-Allah boleh menyelesaikan banyak masalah kehidupan seharian.

Kelima, penempatan di industri semasa cuti panjang persekolahan bagi mencari pengalaman kerja di industri. 

Keenam, televisyen juga perlu memainkan peranan dalam menayangkan filem-filem dokumentasi sains dan teknologi.  Yang penting pendidikan STEM perlu diberi pendedahan awal di peringkat pra sekolah lagi sebagaimana kanak-kanak Korea diberi pendedahan awal kepada teknologi nuklear sehingga apabila mereka dewasa, mereka sudah mempunyai pengetahuan asas mengenai teknologi nuklear.

Persoalan saya, sejauh manakah kita dapat memberi pendedahan ini kepada pelajar-pelajar terutama pelajar-pelajar di luar bandar.

Selangor memperkenalkan tapping sains dan teknikal bagi memberi peluang di samping menghafal al- Quran, mereka juga memahami bahawa al-Quran juga sebagai sumber ilmu sains dan teknologi.

Kereta elektrik

Perkara yang kedua ialah kereta elektrik (EV). Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2015 akan meneruskan pengeluaran kereta elektrik dengan memberi penekanan dalam mengeluarkan lima puluh buah bas elektrik. Apakah syarikat yang akan mengendali pembinaan dan pengeluaran bas elektrik berkenaan atau hanya membeli sahaja dari luar negara?

Dalam rencana greener di TV3 menunjukkan Korea sudah mempunyai bas elektrik tetapi kelemahannya ia perlu dicaj minimum selama 30 minit setiap perjalanan sejauh 80 kilometer. Kenyataan pemandu, ‘Menyusahkan mereka’. Oleh itu saya berharap bas elektrik atau kereta elektrik yang akan dikeluarkan nanti di samping dapat memelihara masa depan alam sekitar dan mengurangkan pelepasan CeO2 adalah mesra pelanggan dan petugas. 

Dalam pembentangan bajet beberapa tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Proton akan mengeluarkan kereta elektrik. Saya difahamkan dua model kereta elektrik (EV) akan dikeluarkan iaitu Saga EV dan Exora Range Extender (REEV) dan membina 100 ke 150 buah stesen pengecas.

Pada 14 September 2011, tiga buah kereta Proton Saga EV dan Exora REEV diserahkan kepada Perdana Menteri dan empat unit diserahkan setiap satu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menguji pandu.

Persoalannya, mengapa terlalu lama diambil untuk dikeluarkan secara komersial atau mass production. Apakah masalah yang dihadapi? Adakah Proton juga berhasrat mengeluarkan kereta hibrid sebagaimana Toyota, Honda, Nissan dan lain-lain.

Carbon footprint

Carbon footprint. Gas rumah hijau atau Green House Gas (GHG) dibebaskan daripada aktiviti pengangkutan, kerja tanah, penghasilan dan penggunaan makanan, bahan api, pengeluaran atau pembinaan, perindustrian barangan dan perkhidmatan.

Saya tertarik dengan FRIM yang telah membuat kiraan carbon footprint dalam usaha menjimatkan tenaga. Anggaran jumlah carbon footprint FRIM 2011 sebanyak 5,332 metrik tan CeO2 a covalent. Berdasarkan per kapita iaitu 6.1 metrik tan CeO2 a covalent. Ini termasuk dari GHG, aktiviti R&D, penggunaan elektrik, pengangkutan untuk R&D.

Pembebasan CeO2 dari R&D dan aktiviti pentadbiran FRIM boleh diatasi dengan penyerapan oleh tumbuhan di FRIM iaitu tumbuhan setiap hektar hutan boleh menyerap 638 metrik tan CeO2. 

FRIM yang diliputi dengan 420 hektar hutan boleh menyerap total carbon 0.26 juta tan CeO2 a covalent dengan lain perkataan pembebasan CeO2 di FRIM hasil dari R&D adalah 50 kali lebih kecil dari kemampuan penyerapan oleh tumbuhan. FRIM merupakan satu institusi di Malaysia yang mengisytiharkan carbon footprint. 

Baru-baru ini TNB membuat kiraan carbon footprint yang dihasilnya. Bagaimanakah jumlah carbon footprint dalam negara kita kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengisytiharkan di Copenhagen akan mengurangkan secara sukarela sebanyak 40% Growth Domestic Product (GDP) carbon footprint, dengan izin menjelang tahun 2020 berbanding paras pada tahun 2005.

Merujuk kepada persoalan Yang Berhormat Parit Buntar dalam soalan lisan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, adakah ada koordinasi antara kementerian- kementerian yang terlibat yang menghasilkan GSG bagi merealisasi pengisytiharan yang dibuat oleh Perdana Menteri di atas.

Saya ingin mencadangkan satu suruhanjaya diwujudkan dengan diketuai oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menangani masalah pengurangan keamatan karbon.

Saya juga sangat berharap penjelasan kementerian jika ada usaha-usaha lain bagi mengurangkan keamatan karbon.

Keperluan sekolah
Merujuk kepada kawasan saya pertama pembesaran jalan. Saya sekali lagi berharap bantuan dan kerjasama Kementerian Kerja Raya memperuntukkan sebahagian daripada Bajet 2015 ini untuk membesarkan jalan dari Batu 9 ke Batu 18, Dusun Tua dan dari Jambatan Timbang JPJ Semenyih ke Beranang, Semenyih yang mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk hampir setiap waktu bagi memudahkan pegawai-pegawai kerajaan dan swasta sampai ke tempat kerja mereka mengikut jadual yang ditetapkan yang selama ini tidak menentu.

Kedua, keperluan sekolah. Penduduk Bandar Mahkota Cheras yang berjumlah lebih 65,000 orang tidak langsung mempunyai sekolah. Sedangkan pemaju memperuntukkan enam buah tapak sekolah rendah dan menengah.

Saya sangat berharap pertimbangan dari Kementerian Pendidikan agar dapat membina sekurang-kurangnya satu sekolah rendah dan satu sekolah menengah. Begitu juga bagi penduduk sekitar Prima Saujana Kajang yang berjumlah dalam 62,000 memerlukan satu sekolah menengah bagi kesinambungan kepada pelajaran Sekolah Rendah Kantan Permai yang sekarang ini bersekolah di Sekolah Menengah Saujana Impian.

Sekali lagi saya berharap pertimbangan pihak Kementerian Pendidikan mempertimbangkan keperluan kemudahan pendidikan.

Banjir kilat di Kajang

Akhir, banjir kilat. Kita tahu pembangunan Bandar Kajang berjalan dengan pesat. Pembangunan yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan terutama kemudahan longkang dan kolam takungan yang sesuai dengan projek menyebabkan berlaku banjir kilat seperti yang berlaku di Kajang baru-baru ini. Ia menyebabkan kesusahan kepada penduduk yang telah lama mendiami satu-satu taman.

Saya sangat berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan mengenakan hukuman yang ketat kepada pemaju yang lalai mengikut peraturan yang ditetapkan.- HARAKAHDAILY 30/10/2014

Petikan ucapan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2014.

Wednesday, October 29, 2014

Majlis Pecah Tanah Surau Flat Baiduri

YB Dr Che Rosli hadir dimajlis pecah tanah surau flat Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Semenyih oleh YDH To' Ungku Abdul Jalil, Orang Besar Daerah pada Sabtu 25 okt '14.


Monday, October 27, 2014

Memperkukuhkan tarbiah dalaman

Semua pihak bertanggungjawab untuk memertabatkan Islam dan berkerja untuk memastikan kemenangan Islam. Ulama dalam PAS berperanan untuk memberikan kefahaman Islam tetapi juga berusaha untuk kemenangan Islam. Bukan sahaja mengenai benar dan salah tetapi bagaimana mencapai kemenangan melalui jalan yang benar dan menepati syarak.

Bukan ulamak pula juga berkerja untuk memastikan kemenangan dan menguasai pemerintahan. Sentiasa merujuk kepada ulama agar perjuangan dan gerak kerja selari dengan Islam.

PAS bukan wujud untuk melawan UmNo semata-mata tetapi juga untuk memastikan kebajikan rakyat terbela. Terbiah ahli juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan segala gerak kerja kita menjadi ibadat dan selari dengan syariat. Disamping itu tahaluf dengan rakan politik perlu diharmonikan bagi mengelakkan pertembungan sesama sndiri yang tidak menguntungkan.


Tuesday, October 21, 2014

Kempen 'I Want To Touch A Dog'... Banyak benda lain perlu dibuat...

Kempen menyentuh anjing 'I Want To Touch A Dog' tiadalah munasabahnya di kalangan ummat Islam. Kalau kempen jangan zalimi binatang termasuk anjing, maka itu adalah betul.

Lantaran Islam bukanlah agama yang berat dan kejam. Boleh sentuh atau pegang anjing jika ada keperluan seperti tujuan menyelamat atau merawat dan sebagainya.

Alangkah murni kalau dianjurkan kempen kucup pipi ibu bapa, kempen usap kepala anak yatim atau kempen sayangi pasangan suami isteri, justeru itu adalah kempen melakukan perkara yang menepati suruhan dan galakan Nabi s.a.w.

Saturday, October 18, 2014

Program Bersama Orang Asli Gabai










Diari YB

Jadual Program YB ADUN Hj Razaly Hassan & YB Parlimen Dr Che Rosli Che Mat 18.10.2014-19.10.2014:

(1) 18.10.2014 (Sabtu): 8.00 pagi- 4.00 petang Program Sembang Santai YB YB Bersama Orang Asal di Perkampungan Orang Asal di Sg Gabai
 
(2) 19.10.2014 (Ahad):
---(i) 9.00- 11.00 pagi Sambungan Program dgn Pemeriksaan Kesihatan di Perkampungan Orang Asal di Sg Gabai.
---(ii) 7.00 malam Jemputan ke Sambutan Deepavali bersama YAB Menteri Besar Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Drp Hj Wan Yunus PKM

Thursday, October 16, 2014

Diary YB

Jadual YB Haji Razaly Hassan ADUN Dusun Tua 14.10.2014-17.10.2014:

(1) 14.10.2014:
---(i) 10.30 pagi Temujanji dengan Mr Yuki Fukuoka seorang pegawai dari Kedutaan Jepun di Pejabat YB
---(i) 11.30 pagi melawat kawasan terkena banjir di Felcra Sg Semungkis

(2) 15.10.2014 - pagi berada di Pejabat

(3) 16.10.2014 :
---(i) 9.00 pagi isteri YB menghadiri Program bacaan Yassin Njuran Helwa di masjid batu 14 
---(ii 10.00 - 4.30 petang Program Jom Shopping Deepavali di Giants Batu 9 Cheras. 300 penerima baucer

(4) 17.10.2014:(jumaat)
---(i) 10.00 pagi Mesyuarat dengan Penghulu Mukim HLangat di Pejabat YB
---(i) 9.00 malam Pertemuan YB dengan JKKK Sg Tekali di Surau Kg Kantan Sg Tekali.

Drp Hj Wan Yunus PKM

Saturday, October 11, 2014

FGV - Antara Realiti Dan Fantasi


Maka berapa ramai yang mendapat keuntungan dan berapa ramai pula yang menanggung hutang akibat angan-angan Pak Isa.

Friday, October 10, 2014

Kalendar YB

Jadual Program YB Hj Razaly Hassan dan YB Parlimen Dr Che Rosli Che Mat pada 11.10.2014-12.10.2014:

(1) 11.10.2014 (Sabtu): - 12.15 -1.00 tengahari Jemputan ke Majlis Doa Selamat & Menandatangani Plague Perasmian Restoran Maju Corner Berhampiran Pejabat PKM

(2) 12.10.2014 (Ahad) - 12.00-4.30 petang Jemputan Walimah Aishah/Kamal di perkarangan Surau As-Salikin Jalan Sentosa 12, Taman Desa Sentosa, 43100 Hulu Langat, Selangor.

Thursday, October 9, 2014

Oktoberfest: Syiar mungkar yang mesti dibantah

Nasrudin menyerahkan memo menyokong langkah PBT tidak mengeluarkan permit dan membantah penganjuran pesta arak kepada Datuk Bandar MBPJ.

Mengambil minuman memabukkan adalah punca kepada kerosakan akal dan jasad. Seterusnya kerosakan akhlak dan moral boleh berlaku apabila akal manusia hilang disebabkan minuman yang memabukkan. Justeru, arak dan minuman memabukkan disebut sebagai "ummu al-khaba'ith" (أم الخبائث) ibu dan induk segala perkara yang keji dan jijik kerana ianya merosakkan kehidupan bermasyarakat.

Statistik berikut menjelaskan kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:

  • A. Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.
  • Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.
  • Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.
  • Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alcohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.
  • 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alcohol.
  • Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.
  • Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.
  • Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.
  • Menurut satu statistik di UK, alcohol telah menyebabkan 45-46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.
Lantaran itu Islam menegaskan arak dan minuman memabukkan adalah najis merupakan sebahagian amalan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan di kalangan manusia.

Allah berfirman;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ( 90 ) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ ( 91

Maksudnya; "Wahai orang-orang beriman; arak, judi, patung berhala dan bertenung nasib adalah sebenar-benar najis yang merupakan sebahagian amalan syaitan maka hendaklah kamu semua menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan (al-falah). Syaitan itu hanya ingin menjatuhkan di kalangan kamu permusuhan dan kebencian menerusi arak dan judi dan memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada solat. Tidakkah kamu boleh berhenti!!!". (Surah al-Maidah ayat 90-91)

Bukan sahaja arak dan minuman memabukkan adalah najis malah umat Islam perlu membenci perlakuan tersebut berlaku dan tidak meredhainya serta mengganggapnya sebagai kemungkaran yang mesti dihalang dan dicegah daripada menjadi sebahagian syiar kehidupan bermasyarakat dalam sesebuah negara.

Meskipun Islam membenarkan bukan Islam mengambil minuman memabukkan, membeli dan menjualnya tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa Islam sebagaimana ijmak Ulamak yang dinukilkan oleh Imam al-Tahawi, namun ia tidak boleh menjadi syiar yang dipromosi secara terbuka menerusi iklan dan pesta besar-besaran. Syarat ini telah ditegaskan oleh para ulamak Islam sejak dahulu.

Antara fatwa Darul Ifta Mesir oleh Mufti Mesir Syeikh Abdul Majid Salim bertarikh 12 April 1939/1358H ialah tidak boleh bukan Islam menjual arak secara terbuka kerana menjualnya secara terbuka adalah satu maksiat dan kefasikan yang perlu ditegah. Mereka boleh menjual sesama mereka secara tidak terbuka.

Sekiranya menjualnya secara terbuka pun tidak dibolehkan apatah lagi mengadakan pesta arak secara terbuka dengan pelbagai promosi dan iklan terbuka.

Menurut fatwa Mufti Mesir Syeikh Allam Nassar (1891-1966) sebagaimana dinukilkan oleh Dandil Jabr dalam tulisan beliau bertajuk "hak-hak peribadi bukan dalam masyarakat Islam", bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka walaupun haram bagi orang Islam dengan syarat tidak menyentuh dan mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat. Jika ianya berlaku maka menjadi kewajipan kepada kerajaan masuk campur bagi menghalang tersebar dan berleluasanya kerosakan yang boleh menghancurkan masyarakat. Campur tangan kerajaan ketika itu termasuk kategori "sadd zara'i'" (menutup lubang-lubang kerosakan). Sebagaimana kerajaan di zaman moden ini campur tangan untuk menghalang tersebarnya wabak kerosakan seperti dadah dan seumpamanya. (Fatawa Islam Jilid VII No 1057 - Mufti Syeikh Allam Nassar)

Oleh itu, penganjuran pesta arak seumpama Oktoberfest sehingga menjadi syiar yang dibangga-banggakan dalam sebuah negara seperti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dengan majoriti penduduknya beragama Islam perlu dihalang dan tidak boleh dibenarkan.

Menjadi kewajipan kepada Datuk Menteri Besar Selangor sebagai seorang muslim dan pihak berkuasa tempatan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk pesta tersebut diadakan. Serta menjadi kewajipan kepada setiap muslim sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin membantah penganjuran pesta mungkar tersebut.

Syaitan sentiasa berperanan melakukan "tazyiin" dan "talbis". "Tazyiin" bermaksud menghiasi yang mungkar lalu dilihat sebagai bukan mungkar. "Talbis" pula ialah memakaikan kemungkaran pakaian kebenaran.

Antaranya Syaitan berperanan menghiasi kemungkaran minum arak secara terbuka sehingga dilihat boleh dan harus bagi bukan Islam lalu ia dibiarkan tanpa bantahan.

Maka janganlah ada di kalangan umat Islam atau pemimpin umat Islam yang dihiasi oleh Syaitan lalu membenarkan pesta arak Oktoberfest dilakukan dengan hujah ianya hak bagi bukan Islam.

Ketahuilah hak mereka ialah mengambil minuman memabukkan tetapi bukan hak mereka berpesta dengan minuman memabukkan secara terbuka di sebuah negara majoriti umat Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Oktober 2014/13 Zulhijjah 1435

Tuesday, October 7, 2014

HENTIKAN PESTA ARAK SELURUH NEGARA


KUALA LUMPUR: PAS Selangor dalam satu kenyataannya menyatakan kekesalan atas penganjuran Oktoberfest oleh Carlsberg Malaysia.

“PAS Selangor amat menyesali dengan Agenda Besar Carlsberg Malaysia dalam penganjuran Oktoberfest di beberapa tempat di negeri Selangor dan Grand Finalenya di 1 Utama yang disifatkan sebagai gagal memahami sosio budaya dan sensitif agama di Malaysia khususnya di Negeri Selangor.” Demikian kata Zaidy Abdul Talib, Adun Taman Templer, merangkap Ketua Penerangan PAS Selangor.

Menurut beliau lagi bahawa penganjur perlu sedar mengenai sensitiviti penganut beragama di negeri ini terutamanya penganut Agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi persekutuan sebelum mengadakan sesuatu yang boleh mengugat ketenteraman dan keamanan awam.

“Agama Islam tiada berhalangan untuk selain penganut Islam meminum minuman keras kerana ia merupakan hak orang bukan Islam. Namun, jika ia diadakan secara besar besaran seperti festival, apatah lagi dengan mengwar-warkan secara terbuka seperti iklan di pasar raya dan billboard dan sebagainya, ianya jelas melanggar tata susila kehidupan masyarakat bahkan seluruh agama di dunia ini.

“Kerajaan Selangor dan PBT juga tidak pernah meluluskan apa-apa kelulusan berkaitan dengan program ini. Ia boleh digambarkan sebagai mencetus dan mencabar keharmonian yang sentiasa diterap dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” nyata Zaidy lagi

Menurut Zaidy, PAS Selangor akan berusaha untuk mendesak melalui peruntukkan kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri Selangor dan PBT yang terbabit supaya festival di kawasan terbuka seperti 'parking kereta' dan sebagainya yang jelas bercanggah dengan 'Akta 176' dapat dialihkan atau dibatalkan dan melarang penglibatan umat Islam serta mereka yang dibawah umur.

“PAS Selangor juga meminta pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggung jawap mencetuskan kontroversi dengan menaikkan iklan billboard Octoberfest tanpa kebenaran di sekitar Saujana Hotel Subang, walau ianya diturunkan semula selepas 3 hari dinaikkan.

“Apa jua bentuk perlanggaran undang-undang berlaku, PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan tegas selaras dengan mempertingkatkan nilai-nilai kehidupan harmoni yang diperjuangkan oleh seluruh lapisan masyarakat berbilang agama dan bangsa.” Kata Zaidy.

Oktoberfest juga dikenali sebagai “beer festival” di sesetengah negara Barat. Festival ini biasanya berlangsung selama dua minggu. – HARAKAHDAILY 7/10/2014

PAS sokong himpunan bantah naik harga minyak esok

KOTA BHARU: ‎PAS menyokong penuh himpunan aman yang akan diadakan pada 8 Oktober ini di hadapan pintu masuk Parlimen bagi bantahan terhadap kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi memberitahu‎ PAS juga bersedia menerima dan membantu menyerahkan memorandum kepada kerajaan.
"Kita konsisten dalam isu membabitkan masalah rakyat, ini menunjukkan komitmen kita untuk terus bersama-sama memastikan kebajikan rakyat terus dibela.
"Sebagai Ketua Whip, saya bersama-sama Ahli Parlimen PAS yang lain bersedia menanti kehadiran rakyat yang akan berhimpun nanti," jelasnya.

Menurut beliau, himpunan merupakan satu saluran yang baik menyuarakan suara mereka jika dasar kerajaan itu dilihat menekan hidup rakyat.

"Apabila kerajaan enggan mendengar masalah rakyat, himpunan aman merupakan satu proses terbaik.

"Kerajaan tidak boleh menghalang kerana itu adalah hak mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka," sambung beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut menyeru agar ahli-ahli parlimen PAS dan Pakatan Rakyat hadir bersama-sama sebagai sokongan terhadap membantah kenaikan harga minyak yang menekan hidup rakyat.‎

Tambah beliau lagi, isu kenaikan harga minyak secara mengejut itu akan dijadikan isu utama pada sesi perbahasan di parlimen sesi kali ini. - HARAKAHDAILY 7/10/2014

Kerajaan negeri lulus Oktoberfest fitnah - Iskandar

KUALA LUMPUR: Tuduhan bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama empat Exco PAS meluluskan penganjuran pesta arak, Oktoberfest merupakan fitnah.

Selangor Kini melaporkan, Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya permohonan pesta arak itu tidak pernah dibawa ke mesyuarat exco untuk diputuskan.

“Terdapat tuduhan Oktoberfest diluluskan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan empat Exco PAS.

“Ini tidak benar, tidak pernah dibawa ke mesyuarat Exco,” tulis Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menerusi facebook.

Sebelum ini, wujud tuduhan liar melalui sosial kononnya kerajaan negeri meluluskan penganjuran pesta yang berakhir pada 12 Oktober ini.

Monday, October 6, 2014

Islam tanpa syariat

Islam tanpa syariat

Ya, ia adalah konspirasi musuh Islam antarabangsa.

Gerakan Islam yang istiqamah berjuang menegakkan agama dan syariat Islam mestilah dilumpuhkan. Di sisi mereka, inilah musuh Yahudi yang akan mengancam survival mereka dan sekutu mereka.

Mereka telah lakukannya di Mesir. Sehebat mana Mursi memilih laluan demokrasi yang sempurna tetapi beliau telah menggunakannya untuk memperkenalkan Islam yang benar dan adil. Itu ditakuti barat. Justeru Mursi mesti ditumbangkan lebih awal sebelum auranya merebak ke seluruh dunia Islam.

Ikhwanul Muslim yang mengepalai perjuangan menegakkan syariat Islam hari ini dipenjarakan daripada aktif di laluan demokrasi besi.

Mereka juga telah melakukannya di Syria. Penentangan dan jihad yang dimulakan oleh fatwa para ulama muslimin yang membenarkan jihad bersenjata ke atas penghisap darah Bashar Al-Asad mestilah disekat kerana ia pasti akan berakhir dengan kemenangan kumpulan Islam yang menyeru kepada sistem syariat Islam yang adil dan berjaya.

Mereka membawa masuk perang mazhab Sunni-Syiah dan golongan ekstrimis terlarang seperti ISIS. Maka Syria hancur dan fitnah ugama berterusan memporak perandakan Syria, negara yang dipenuhi para ulama besar.

Mereka telah cuba menghancurkan HAMAS di Palestin. Bilionan wang ringgit telah dibelanjakan walaupun terpaksa menerima hakikat kekalahan kepada singa-singa Allah yang kian mendekati Baitul Maqdis.

Mereka sesekali tidak akan berputus asa. Perang di Palestin akan terus dicetuskan walaupun dengan alasan nyamuk sehinggalah mereka berjaya menghancurkan HAMAS.

Di Turki, mereka membenarkan Erdogan dan partinya bergerak dalam perjanjian yang mengikat. Tiada Syariat Islam dan tiada seruan ke arah itu. Tentera Turki yang jauh lebih sekular daripada tentera Mesir memerhati dengan tajam.

Di Yaman, Syeikh Abdul Majid Zindani dan parti Islahnya mesti ditumbangkan sebelum harum auranya memikat seluruh negara Yaman. Mereka membakar dan menghasut kumpulan Syiah Houthi Zaidiyah yang tidak pun dimusuhi oleh Syeikh Zindani agar memberontak dan menggempur Sana'a. Universiti sarat ilmu Syeikh digempur sedangkan kedutaan Amerika tidak pun disentuh walaupun slogan mereka adalah 'Maut buat Amerika'.

Begitulah perancangan jahat musuh Islam antarabangsa bagi menyekat kebangkitan Islam yang semakin diterima rakyat. Semuanya dilakukan samada secara perang memerangi pengganas atau lebih licik, menimbulkan fitnah ke atas gerakan Islam daripada dalam.

Misi mereka adalah menukar laungan perjuangan menegakkan syariat Islam kepada perjuangan Islam tanpa syariat.

Ya, mereka menerima hakikat umat Islam sedang kembali kepada ugama dan sedang meninggalkan pemikiran warisan penjajah yang sedang nazak bersama parti-parti politik mereka yang korup.

Tetapi mereka mesti melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam yang mereka boleh terima dan berkompromi dengannya. Maka dijaja projek Islam tanpa Syariat. Dijadikannya manis dan harum dengan seruan ke arah maqasid syariah yang bermatlamatkan keadilan buat semua.

Mereka bercakap mengenai keadilan untuk semua. Inilah Islam. Apa yang dilihat adil oleh mereka, maka itulah Islam walaupun ianya diukur sebaliknya oleh syariat Islam. Mereka bersedia dengan akalan untuk mentakwilkan maksud nas dan hukum ugama.

Akhirnya lenyaplah seruan ke arah syariah Islam yang merupakan maksud sebenar bicara mengenai Maqasid Syariah dan Siyasah Syar'eiyah.

Begitulah fitnah melanda gerakan Islam di seluruh dunia. Fitnah krisis identiti.

Di Malaysia, PAS konsisten berjuang menegakkan ugama di dalam negara. Mengekalkan kebaikan yang sudah sedia ada dan berjuang menyeru kepada syariat dan sistem Islam yang menyeluruh berpandukan al Quran dan al Sunnah yang tidak diimani atau diragui oleh pemerintah.

Itulah maksud sebenar Islam sebagai ugama persekutuan.

Ini telah merimaskan barat dan musuh Islam antarabangsa. Justeru dengan BN yang semakin tua dan di ambang kejatuhan, kehadiran PAS sebagai pemain utama dalam pakatan pembangkang adalah cukup merimaskan.

PAS mesti diserang. Ia mesti dipinggirkan daripada menjadi kekuatan utama dalam PR. Ia mesti dilemahkan daripada dalam. Kekuatannya mesti diragut dan dibiarkan hidup dengan kekuatan baru yang bersedia menolak seruan ke arah syariat Islam.

Mereka menemukan kekuatan asal itu berpaksi dan berpangkal di dalam institusi Majlis Syura Ulamak PAS yang diketuai al Mursyidul Am dan kehadiran para ulama yang memimpin parti PAS diketuai Presiden PAS.

Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan TGHH dan memperlekeh Majlis Syura Ulamak PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, YA.

Ahli dan pendukung PAS mestilah dalam kesedaran yang tinggi.

Selamat menyambut Eidul Adha. Semoga Allah menerima amal kita pada hari-hari 10 Zulhijjah yang agung ini.

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

Friday, October 3, 2014

Ekonomi Melayu Gagal Kerana Melayu.

'Benar' kata Tun M. 'Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kaum Bumiputera tidak boleh menyalahkan kerajaan dan kaum lain sekiranya sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara menjelang tahun 2020 tidak tercapai.'

Malaysia telah ditadbir oleh Melayu UmNo sejak sekian lama.... sejak Merdeka. Sudah 57 tahun UmNo menerajui negara yang kalau manusia biasa sudah sampai tempoh pencen. Kegagalan Melayu bukan sekadar berpunca dari kegagalan bangsa itu menguasai ekonomi tetapi juga kegagalan Melayu UmNo untuk mentadbir dengan baik untuk membangun ekonomi Melayu dan membimbing pembangunannya.

Jangan hanya pandai menyalahkan bangsa Melayu dengan pelbagai label malas, tidak mampu bersaing, tidak keratif, mengharap tongkat, tunggu projek dan pelbagai label yang buruk. Dalam masa yang sama apa yang UmNo telah buat kepada negeri-negeri yang majoriti orang Melayu? Adakah mereka ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Bagaimana dengan Melayu Kelantan yang dinafikan pembangunannya hanya kerana dipeintah oleh parti yang berlainan.

bagaimanakah nasib Terengganu apabila orang Melayu lain memerintah Terengganu... bagaimana pula dengan Perak dan Kedah apabila orang Melayu lain memerintah negeri-negeri tersebut?

Apa yang jelas ekonomi negara dan peluang perniagaan besar banyak dimonopoli oleh Melayu UmNo. Yang bangak gagal dan menjual projek juga adalah orang ini. Yang duk tunggu depan pintu menteri menagih projek juga adalah Melayu jenis ini. Yang jual AP juga Melayu jenis ini. Yang bela lembu 'dalam kondo' juga Melayu jenis ini. Yang jual satu batang skru driver sama harga dengan sekotak skru driver adalah juga Melayu jenis ini.

UmNo telah merosakkan imej orang Melayu sejak sekian lama. Melayu UmNo jugalah yang merosakkan ekonomi orang Melayu sejak sekian lama. Melayu UmNo jugalah yang menjual tanah-tanah strategik dan rezab Melayu.

Dey.... jangan hanya pandai salahkan orang Melayu. Ingat balik apa yang UmNo telah buat kepada Melayu selama ini......!

Ini belum cerita lagi Bumiputera Sabah dan Sarawak....


Wednesday, October 1, 2014

Harga Minyak Mentah Dunia Turun.... Rakyat Malaysia Naik Minyak... Menunggu Rakyat Turun Ke Jalanan Lagi!...

 

Dimana munasabahnya dalam keadaan harga minyak mentah dunia turun kerajaan menaikkan harga minyak.  Harga minyak mentah dunia pada 1/7/2014 turun dari USD105 satu barrel kepada USD91 pada 1/10/2014. Namun kerajaan telah membuat keputusan yang tidak wajar dengan menaikkan harga minyak petrol kegunaan awam sebanyak 20 sen. Sedangkan harga minyak RON 97 masih tidak diturunkan akibat penurunan harga minyak dunia.

Sekali lagi kerajaan 20 sen Najib ini telah membuat perhitungan yang tidak wajar. Berapakah manfaat yang kerajaan dapat dari 'penjimatan' 20 sen ini berbanding dengan domino effect yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Perlu di ingat kenaikkan harga barang terus meningkat setiap kali harga minyak naik dan tidak pernah turun.

 Akibat kegagalan kerajaan mengawal kes penyeludupan dan kes pengurusan kerajaan maka rakyat menjadi sasaran. Kerajaan mula tunjuk pandai dalam menaikkan harga minyak dengan pelbagai alasan yang menunjukkan kelemahannya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan bahawa kerajaan menampung kehidupan rakyat sebanyak 3 bulan. Selepas kenaikkan harga minyak dan lain-lain barang ini berapa pula kerajaan hendak umumkan.

Dengan sumber kekayaan negara disimpan oleh beberapa kerat individu, GLC dan konglomerat yang rapat dengan kerajaan maka kerajaan dilihat tdak mempunyai kewangan yang kukuh. Disinilah kerajaan membuat alasan untuk mengurangkan subsidi yang dinikmati selama ini oleh rakyat.

Isu harga minyak ini adalah perkara mudah yang boleh diselesaikan sekiranya kerajaan bersungguh. Subsidi barangan telah dinikmati oleh warga asing sejak sekian lama tanpa langkah yang berkesan dibuat. Berapa ramai warga asing menikmati menikmati harga subsidi harga minyak, perkhidmatan kesihatan, barangan kawalan dan lain-lain barangan yang sepatutnya hanya warganegara yang mempunyai hak.

Kita mempunyai kad pengenalan yang canggih, namun tidak pernah digunakan untuk mengawal ketirisan kepada warga asing. Berapa banyak pendatang asing seronok membeli barangan kawalan dengan harga subsidi. Mereka ini juga mengambil kesempatan berniaga dengan kos yang ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Kerajaan perlu serius dan bijak dalam mengatasi masalah ini. Jangan ambil jalan mudah. Kalau tak reti memerintah bagi orang lain. Jangan kata orang lain tak pandai memerintah kalau selama ini BNlah yang memerintah dan yang merosakkan sistem ekonomi dan kebajikan rakyat.

Masa semangkin suntuk. Hutang negara terus meningkat. Rakyat terus ditekan untuk membayar harga yang lebih untuk terus hidup. Rakyat terpaksa membayar harga yang mahal atas barang perlu disebabkan cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan. Rakyat terpaksa berhutang dengan bank semata-mata untuk membayar cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan. 

Kerajaan apa ini?



Henti komen mengenai Selangor – TG Nik Aziz

KOTA BHARU: “Kita doakan semoga Allah SWT selamatkan Menteri Besar Selangor yang baru serta anggota-anggota Exconya dunia sampai akhirat,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Oleh itu beliau berkata, pemimpin, penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat berhenti membuat sebarang ulasan yang berkaitan kerajaan Selangor.

“Melalui cara ini semoga dapat meredakan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini ada segelintir pemimpin menyifatkan PAS dibuli DAP dan PKR serta mereka melakukan provokasi bagi menyingkirkan PAS daripada Pakatan Rakyat secara halus.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, dalam tempoh bertenang ini diharap semua pihak sama ada PAS atau PKR hendaklah berdiam diri daripada membuat sebarang ulasan khususnya berkaitan kerajaan Selangor.

“Ada waktu untuk berbincang dan ada pula waktu untuk membuat keputusan.

Buat masa ini beri ruang kepada Menteri Besar serta anggota-anggota Exco yang baru menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya.

Beliau diminta mengulas pelantikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru 22 September lalu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin juga melantik tiga Adun PAS sebagai anggota Exco iaitu berkurangan satu berbanding pada era Khalid. Jawatan Timbalan Speaker Dun Selangor juga diberi kepada PAS. - HARAKAHDAILY 1/10/2014