Sunday, February 17, 2013

PAS Terus Bersama Pakatan Rakyat Selagi Menguntungkan Islam dan Melayu

KUALA TERENGGANU: PAS mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu  dan Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

“PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu dan Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat.

“Apabila DAP, orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak agama lain diberi (kebebasan) hak dengan adil. Hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan hak kaum lain (diberi) adil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa ibunda diberi (kepada semua kaum). Raja mengikut Perlembagaan. Semua parti Pakatan Rakyat menerima perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK, Bendahari PKR Terengganu, Wan Ismail Wan Long dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.  

Datuk Seri TG Hj Abdul Hadi menjelaskan PAS menerima hakikat kehidupan masyarakat dalam negara ini berbilang kaum.

Katanya, semua rakyat berbilang kaum yang terdapat dalam negara ini merupakan rakyat Malaysia.

“Kita (PAS) menerima hakikat kita (rakyat) adalah masyarakat majmuk. Semua rakyat pelbagai kaum adalah rakyat kita. Ini sudah jadi kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

“Semua kaum menerima Melayu dan Islam adalah sebagai teras. Penganut semua agama menerima Islam yang ada dalam Perlembagaan. Tapi Umno tidak pandai hendak jaga Islam, apa hendak jadi dia (Umno) tidak peduli. Asal Umno menang sudah, Islam hendak jadi apa ikut sukalah. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan.

“Sebab itu, PAS mengadakan kerjasama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam DAP dan dalam PKR,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS mengajar ahlinya berpolitik dengan mengabdikan diri kepada Allah serta tidak berkompromi dalam perkara halal dan haram.

“PAS mengajar berpolitik mengabdikan diri kepada Allah. Apa yang halal itu halal dan yang haram itu haram. Bukannya yang ada lesen halal dan yang tidak ada lesen itu haram,” ujarnya.

Sehubungan itu, DS TG Hj Abdul Hadi turut menyangkal dakwaan Umno yang melabelkan PAS sebagai ‘kuda tunggangan’ DAP.

Sebaliknya, kata beliau, Umno telah lama menjadi kuda tunggangan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Umno kata PAS jadi kuda tunggangan DAP. Umno sudah lama jadi ‘kuda tunggangan’ MCA, MIC dan Gerakan.

“Sedarkah kita (rakyat) apabila MCA kalah, MIC kalah, Gerakan kalah…Umno bagi kerusi (Parlimen) Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan. Umno sanggup bagi kerusi Melayu kepada orang lain demi dia (BN) mengekalkan kuasa memerintah negara. Dia (Umno) tidak kira bagaimana kekuatan politik orang Islam,” jelasnya.

Samseng tarik tudung, penjelasan Nor Fatehah


Walaupun masih terkejut dan sedikit trauma dengan apa yang berlaku sewaktu bersama Gerakan Mahasiswa PRU13 - GM13 di Pekan, saya tetap berasa terpanggil untuk memperbetulkan beberapa kenyataan yang dibuat dalam akhbar online ini.  http://www.malaysiakini.com/news/221493

1. Saya tidak pernah sama sekali mengedarkan risalah anti-BN, saya malahan hanya menyerahkan surat harapan dari mahasiswa kepada rakyat. Saya kurang senang bilamana didakwa menghasut masyarakat kerana apa yang dilakukan hanyalah berbincang secara ilmiah dan berhujah bersenjatakan idea dan fakta.

2. Saya dikatakan menangis dan ketakutan. Artikel ini tidak sebegitu lengkap sebenarnya sekiranya ia digunakan untuk menggambarkan keseluruhan peristiwa yang berlaku ketika itu. Saya hanya mengeluarkan air mata apabila saya ditengking dan dimalukan di dalam pasaraya tersebut. Saya malahan hampir dicederakan oleh samseng berkenaan apabila beliau menghayun bakul barang dengan sekuat hati kepada saya. Namun alhamdulillah, tindakan itu dihentikan oleh seorang lelaki baik hati yang berani.

Namun sebab yang paling utama penyebab air mata saya jatuh adalah apabila beliau mula menarik tangan dan tudung saya. Bagi saya itu adalah aurat dan maruah saya yang paling berharga. Kegeraman saya memuncak dan ia dimanifestasikan dengan jeritan untuk menghalang perbuatan mereka serta tangisan tanda sebak juga geram.

3. Kesimpulannya, saya tidak ke sana untuk menghasut. kami hanya bawa idea dan fakta. Ayuh berhujah dengan bijak dan matang.

Saya juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa kenyataan saya ini tidak terkandung unsur fitnah. Terlalu banyak manusia yang menjadi saksi peristiwa ini tidak kira pelanggan, pekerja, orang ramai malah mungkin CCTV di pasaraya tersebut. Apa yang tinggal hanyalah keberanian mereka untuk tampil menyatakan kebenaran.

Namun, cukuplah bagi kita membenci perbuatan bukan tuan punya badan.

Saya tetap mendoakan agar mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu sebenarnya telah mengguris hati dan maruah saya sebagai wanita Islam. Hijab adalah maruah saya.

Nor Fatehah Ahmad.
S.U MPP UPM

Nota : Cukuplah kami PAS Dusun Tua doakan supaya UmNo dan BN KO....Hancur UmNo hancur BN. Mudah-mudahan ianya menjadi pengajaran kepada orang yang selama ini menyokong parti mungkar ini. Berhentilah menyokong UmNo dan BN. Dengan menyokong UmNo dan BN anda setuju dengan tindakkan samseng di Parlimen Najib ini.

Serangan terhadap UmNo dan BN dimulakan di atas kebiadapan ini. Kami akan pastikan UmNo dan BN tewas dalam PRU13. Anggaplah ini umpama menghantar tentera bagi membela Fatehah.

Saturday, February 16, 2013

Politik PAS & Politik UmNo

Suasana Mesra YB Ismail Sani dan Mohamad Jan Sulong

Perkara yang sering kali diperkatakan namun masih tidak nampak kesudahannya. Dalam masa pimpinan negara cuba menonjolkan imej positif  dan good guy pada UmNo dan BN, kita tidak nampak ianya disahut oleh penyokong dan pendokong BN. Apa yang kita sering lihat barisan hadapan BN merupakan orang paling dibenci kalau tidak pun orang yang paling ditakuti.

Ingatlah apabila pemimpin atau wakil pemimpin merupakan mereka yang di dilantik kerana kemudaratan yang ada padanya maka tunggulah saat kehancuran.

Apa lagi yang tidak mereka lakukan..... pukul, carut, maki, hina hatta ada cedera parah malah ada yang terbunuh. Saudara Mohamad Jan Sulong adalah salah seorang mangsa yang cedera parah dipukul oleh penyokong UmNo ketika di pilihanraya kecil Ijok.

Masihkah anda ingat.... pada pukul 6.15 pagi, 28 April 2007 iaitu pada pagi hari pengundian selepas menunaikan solat subuh beliau dan lima orang petugas lain melihat satu banner yang tertulis “Anwar Agen Yahudi” digantungkan ditepi jalan, tidak jauh dari Bilik Gerakan Pilihan Raya BN yang dihuni oleh ahli Umno Klang.

Mereka cuba menurunkan banner berkenaan. Namun sebelum sempat banner diturunkan, seramai lebih 40 orang petugas Umno Klang dari dalam longkang yang berhampiran menyerang mereka.

Rupa-rupanya samseng Umno ini sengaja memasang banner tersebut sebagai perangkap dan bersembunyi di dalam longkang sambil menantikan mangsa mereka.

Mereka sanggup menunggu disana sejak entah bila semata-mata untuk melakukan tindakan keji tersebut. Petugas Umno yang berusia sekitar 20-40 tahun ini menyerang mereka beramai-ramai dengan bersenjatakan kayu dan belantan.

Dalam keadaan panik, tiga orang dari petugas PAS ini sempat melarikan diri dengan sebuah kereta menuju ke balai polis berhampiran.

Nazar bersama dua orang lagi petugas iaitu Abu Bakar dan Mohamad Jan dipukul beramai-ramai tanpa belas kasihan ditengah-tengah jalan.

Beberapa kenderaan yang lalu cuba berhenti untuk membantu, namun mereka terpaksa memecut laju bila mana samseng Umno ini membaling kayu panjang ke arah mereka sebagai amaran untuk tidak masuk campur.

Sebuah kereta kancil terkena kayu berkenaan dan pemandunya telah membuat laporan di balai polis berdekatan yang teletak hanya 50 meter dari tempat kejadian.

Beberapa anggota polis tiba setelah menerima dua laporan. Apa yang mengecewakan adalah sikap pegawai polis tersebut kerana tidak berbuat apa-apa.

Mereka hanya memerhatikan ahli-ahli Umno ini memukul petugas PAS berkenaan sehingga mereka lemah dan tidak berdaya untuk bangun. 
 Walaupun pernah parah dipukul penyokong UmNo namun perasaan benci tiada dalam dirinya.

Adakah ini politik yang bakal dihadapi oleh PAS di PRI13 nanti? Adakah mereka akan bertindak seperti ini lagi atau kita bakal berhadapan tekanan yang lebih kuat. Lebih-lebih lagi bila mereka berada di dalam keadaan tertekan di ambang kekalahan.

Pastinya keselamatan adalah sesuatu yang akan di ambil perhatian. Terbaru insiden yang berlaku di Pekan Pahang terhadap mahasiswa mengingatkan kita bahawa orang yang tiada terikat dengan undang-undang ini akan bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Masyarakat memerhati dan mereka menilai. Kalau inilah perangai pemimpin dan penyokong mereka apakah jaminan mereka ini mentadbir negara mengikut peraturan dan undang-undang.

Sabtu Hari Tanpa Beg Plastik









Terima Kasih YB


Sekalung penghargaan serta ucapan tahniah dan terima kasih di atas segala penat lelah dan kerja keras tanpa mengira masa, suasana, tempat dan masa. Sendirian atau bersama.

Sejak memenangi Parlimen Hulu Langat melalui sokongan majoriti pengundi Hulu Langat, YB terus berkhidmat dalam susah atau pun senang. Walaupun tanpa peruntukkan kerajaan pusat. Mujurlah Selangor di perintah oleh Pakatan Rakyat, dapat juga hasil negeri dikongsikan diperingkat Parlimen Hulu Langat.

Susah senang beliau terus bersama rakyat. Walaupun kadang kala kesihatan menguji. Namun rakyat terus di dahulukan. Semoga YB dapat terus berkhidmat di Parlimen Hulu Langat untuk satu penggal lagi. Sama-sama kita bangkit membentuk kerajaan yang lebih baik di Putrajaya.

Friday, February 15, 2013

Seramai 7.3 juta rakyat Malaysia Miskin.

SHAH ALAM 14 FEB : Seramai 7.3 juta bagi rakyat Malaysia memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM 2.0) membuktikan kerajaan pimpinan Umno-BN didakwa gagal untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat negara ini.Ini kerana kelayakan bantuan BRIM 2.0 itu hanya disasarkan kepada seisi keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000.

7.3 juta adalah lebih kurang 50% penggundi yang layak mengundi pada PRU13. Bayangkan jika 50% sudah dirasuah..... Walaupun belum tentu menyokong BN tatapi fikirkanlah.

Kami Juga Rakyat.....


Wednesday, February 13, 2013

Haron Din sah tanding


KANGAR - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din disahkan akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang di negeri ini.

Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pihaknya sudah mengemukakan tawaran bertanding kepada Haron dan mendapat maklum balas positif.

"Kita beri tawaran ini sejak 2011 lagi dan terbaru, tahun lalu. Beliau jawab secara positif menyatakan kesediaan untuk bertanding kali ketiga walaupun sudah tewas dua kali sebelum ini," katanya.

Ditanya kerusi mana yang ditawarkan kepada Haron, Hashim berkata, besar kemungkinan tokoh nombor dua dalam Majlis Syura Ulama Pas itu akan kembali merebut kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu di Parlimen Arau.

Kerusi itu kini disandang Datuk Ismail Kassim yang menewaskan Haron pada  PRU12 dengan majoriti 300 undi. Ismail mendapat 16,451 undi manakala Haron, 16,151.

Hashim berkata, beliau mengumumkan perkara itu kerana ada desas-desus kononnya Haron tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya disebabkan masalah kesihatan.  

“Tidak ada ura-ura beliau akan berundur atas sebab masalah kesihatan. Beliau yang saya kenali seorang yang cekal sebagai pejuang dalam politik yang akan berjuang hingga ke akhir hayat,” katanya.

Haron, anak jati Bohor Mali, di sini,  kali pertama bertanding pilihan raya pada 2004 untuk kerusi Parlimen Arau yang menyaksikan beliau tewas kepada Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN) dengan perbezaan undi 3,243.

Hashim turut menyangkal kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang yakin BN akan mencatat kemenangan 100 peratus di negeri itu pada PRU13. Selain mengekalkan tiga kerusi parlimen, Md Isa berkata, pihaknya yakin dapat merampas kembali dua kerusi Dun iaitu Simpang Empat dan Sanglang daripada Pas.

“Setiap kali PRU kenyataan sama dikeluarkan, namun hakikatnya tidak berlaku. Saya sudah tiga penggal jadi Adun Sanglang, ini terbukti sampai sekarang pun mereka gagal sapu bersih semua kerusi,” katanya.

Hashim yang lebih 21 tahun menjadi pemimpin utama Pas Perlis berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat (PR) Perlis.

“Saya jangkakan PRU13 kali ini akan menunjukkan perubahan lebih baik. Malah sokongan bukan Islam kini meningkat setelah mereka bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada,” katanya.

Dun Perlis terdiri daripada 15 kawasan Dun dan tiga kawasan Parlimen. Pada PRU 2008, BN menang 13 kerusi Dun dan Pas (2), manakala kerusi Parlimen disapu bersih BN.

Wang Rakyat Habis Untuk Bayar Cukai Sahaja

NERUS - Setiausaha Dewan Ulamak PAS Malaysia, Dr Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata dalam prinsip ekonomi Islam diharamkan seseorang peniaga melakukan perbuatan monopoli dalam menjual sesuatu barangan yang menyebabkan harga barangan dikawal oleh satu pihak sahaja.

Sebab itulah katanya, cerita harga gula naik harga, harga tepung naik harga adalah akibat dari kegiatan monopoli.

Beliau menjelaskan, ada empat keperluan dalam hidup manusia seharian iaitu rumah kediaman, makanan, pakaian dan keperluan kenderaan yang perlu disediakan oleh pemerintah dan tidak boleh dikawal.

Namun begitu, beliau berkata, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal menjadikan ajaran Islam dan contoh tauladan nab Muhammad SAW, justeru telah mengawal keperluan hidup tersebut.

Antaranya, kata beliau adalah harga kenderaan yang tinggi kerana dikenakan cukai yang banyak dikenakan oleh pemerintah.

"Harga kereta kita (kalau) RM40,000, lebih kurang antara RM15,000 hingga RM16,000 adalah cukai, (kalau) bayar sebanyak RM400 sebulan sebagai ansuran beli kereta, diantara RM150 hingga RM200 (sebenarnya) adalah untuk membayar cukai kepada pemerintah,"ujarnya.

Oleh itu, beliau menyeru supaya rakyat membuat perubahan memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang yang menjanjikan harga kenderaan lebih murah.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Forum Perdana RasuluLlah SAW sebagai Ikon Ekonomi, yang dadakan di Kampung Bukit Tunggal, dekat sini pada Isnin 11 Februari.

Dr Khairudin berkata, Islam mempunyai kaedah dalam menyelsaikan ekonomi ummah, antaranya hadis RasuluLlah SAW yang memberikan panduan bahawa rakyat dan pemerintah, berkongsi dalam tiga perkara; air, api dan padang ragut.

Pemerintah tidak boleh memperniagakan ketiga-ketiga perkara tersebut dan meletakkan harga yang tinggi, lalu menyusahkan hidup rakyat.

Tuesday, February 12, 2013

Wind Of Change....


Perjalanan pulang ke Johor baru-baru ini memberikan persepsi baru tentang kesedaran politik rakyat. BN bukanlah satu parti yang gagah selama2nya terutamanya di Johor. Dimana ada bendera dacing@dua kapal layar disitulah terselitnya panji2 hijau PAS.

Bukan sesuatu yang mudah terutama sekali bila berdepan dengan masyarakat yang disangka negeri dimana lahirnya dan Umno terkuat di dunia. Namun apa yang disangka tidak semestinya benar. Rakyat secara senyap2 mengintai PAS dari jauh.

Pekan Parit Raja yang terdirinya gagah bangunan Umno sejak lebih 20 tahun masih gagal memperkasakan ekonomi orang Melayu. Dicelah2 pekan yang sedang membangun pesat peniaga Melayu masih merangkak mencari arah. Sedangkan bangsa lain gagah menguasai setiap penjuru strategik perniagaan.

Mungkin atas kesedaran itu, rakyat mula berubah. Secara senyap mereka mula membaca Harakah. Ada yang membeli Harakah dengan dibungkus dengan akhbar lain. Inilah suasana zaman mula kebangkitan PAS dahulu yang kini sedang menyerang Johor.

Semoga perubahan ini akan mencorak lanskap baru politik negara. Kearah sebuah negara yang lebih baik untuk semua.

Islam Adil Untuk Semua.

Saturday, February 9, 2013

Menjelang Tahun Baru Cina Di Bt 14.







Ust Wan Sohor Di Masjid Bt 14

Dalam usaha kita untuk mencari bekal ke negeri yang kekal abadi kita perlulah menjadi penyokong dan pendokong Islam. Hatta cuma menyokong atau tukang undi gerakkan yang memperjuangkan politik Islam maka kita telah membantu menyumbang kepada tertegaknya daulah Islam di bumi Malaysia ini.

Jangan kita pandang mudah usaha ini kerana ia adalah sunnah. Nabi berjaya memartabatkan Islam melalui kuasa negara dan kuasa politik semasa beliau di Madinah. Sebab itulah sesiapa yang melihat atau menyangka agama dan politik itu berpisah beliau telah mencanggahi sunnah nabi SAW.




Friday, February 8, 2013

MENEGUR PEMIMPIN SECARA TERBUKA DI SISI SYARA': PERBAHASAN HUKUM

 

Islam adalah agama nasihat. Kita sewajarnya memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja termasuk juga para pemimpin kita. Itu merupakan perkara pokok dalam agama dan asas kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun. Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:
الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم

“Agama adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya: Kepada siapa? Berkata Rasulullah: Kepada Allah dan kepada kitabNya serta RasulNya dan juga para pemimpin orang Islam dan semua umat Islam”(Riwayat Muslim)


Islam juga menyuruh kita supaya berusaha mencegah mungkar sedaya upaya kita. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:

من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسانه ، فإن لم يستطيع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”


Persoalannya bagaimanakah cara untuk kita menasihati atau mencegah kemungkaran serta mengubahnya mengikut panduan Islam dan petunjuk daripada salafussoleh? Adakah dengan cara kita membantah dengan cara terbuka atau pun dengan cara tersembunyi? Jikalau pemimpin kita melakukan kemungkaran maka apakah cara yang terbaik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukannya?

Dalam persoalan ini sebenarnya Islam telah memberikan jawapan yang tepat kepada kita. Sebagai umat yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas dakwah dan islah, Islam memberikan kepada kita cara-cara supaya menepati dengan hakikat syara’ itu sendiri.

Sememangnya perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat adalah tidak mendedahkannya kepada khalayak umum serta menasihatinya secara bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain.Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إنَّ الله سِتِّيرٌ يُحِبُّ السِّتْرَ

“Sesungguhnya Allah itu Maha Menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan)” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


لا يستر عبد عبدا في الدنيا الإ ستره الله يوم القيامة

“Tidaklah menyembunyikan seorang hamba itu akan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Muslim)


Walaupun begitu perkara tersebut dilaksanakan kepada mereka yang tidak melakukan maksiat secara terang-terangan yang digelar sebagai Al-Mujaahir. Maka bagi mereka yang tidak segan silu melakukan kemungkaran, mengisytiharkan dosa mereka dikhalayak umum, maka tidak ada cara lain untuk kita mencegahnya melainkan dengan cara kita mendedahkan perbuatannya itu, menceritakan kepada manusia yang lain sebagai balasan terhadap pelaku maksiat tersebut dan memberikan ancaman kepada oarng lain supaya tidak mencontohinya. Itulah yang telah ditetapkan dalam Islam dan disokong oleh dalil-dalil syara’ serta kata-kata ulama dan salafussoleh.

Imam Ahmad Radiallahu Anhu telah berkata:
الناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ : ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan mengzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah” (lihat Al-Amru Bil Makruf wa Nahyu ‘An Mungkar, karangan Imam Al-Khallal, m.s 35)

Imam Nawawi Radiallahu Anhu berkata:
وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ( أهل السُّؤددِ والفَضْلِ الذين لا يُعْرَفُون بالشَّرِ والفسادِ ) ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه

“Adapun menyembunyikan kesalahan yang disunatkan di sini, maka maksudnya adalah memnyembunyikan kesalahan orang-orang kenamaan (pemimpin dan orang yang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat dan kerosakkan) serta seumpama dengannya. Yang terdiri dari mereka yang bukan terkenal dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka disunatkan agar tidak disembunyikan perbuatnnya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa sekiranya tidak dikhuatiri kemudaratan dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikannya semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mencontohinya..” (Syarah Sahih Muslim karangan Imam An-Nawawi 16/135)


Perkara ini juga antara perkara yang mengharuskan mengumpat (menceritakan keburukan orang lain kepada masyarakat awam). Perkara ini telah ditegaskan oleh ramai ulama seperti Imam Nawawi dalam kitab beliau Riadhussolihin dalam bab keharusan mengumpat (ibahatul Ghibah).

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Radiallahu Anhu berkata:

واعلم أنَّ الناسَ على ضربين :أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.

“Ketahuilah bahawa manusia ada dua golongan:


Pertama: Orang yang tidak dikenali serta tidak masyhur dengan perkara maksiat, maka sekiranya terjadi kepadanya kesilapan kecil dan kekurangan maka tidaklah boleh mendedahkannya dan merosakkan maruahnya serta tidak boleh diceritakan..

Kedua: Orang yang masyhur dengan perbuatan maksiat serta secara terang-terangan dan tidak segan silu melakukannya serta tidak hiraukan nasihat yang diberikan kepadanya maka ini adalah orang jahat yang menzahirkan dosanya. Tidak berdosa mengumpat dirinya sebagaimana yang telah dinaskan oleh Hassan Basri serta selainnya.” (Jaamiul Uluum Wal Hikam)

Imam Al-Bahutiyy telah berkata:

قال جمعٌ مُحَقِّقُون : إلاَّ على مَشْهُورٍ ببدعةٍ، أو فُجُورٍ ونحوِه كَكَذِبٍ، فَيُسنُّ إظهارُ شَرِّه، وسِتْرُ خيرِه ليرتدِعَ نظيرُه

“Segolongan Ulama Muhaqqiqin telah berkata: Melainkan orang yang masyhur melakukan bidaah atau maksiat dengan nyata seumpama dengan seperti penipuan, maka disunatkan menzahirkan kejahatannya dan menyembunyikan kebaikannya supaya tidak dilakukan oleh orang lain” (Kasyful Qinaa’:2/121)

Begitulah juga yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu muflih dalam kitabnya Al-Furu’(2/217) dan Imam Al-Mardawi dalam Al-Insoof (2/506).

Begitulah juga dalam persoalan menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Rasulullah s.a.w dalam hal ini telah bersabda dalam satu hadis sahih:
من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية، ولكن ليخْلُ به، وليدْنُ منه، فإن قبل منه فذاك، وإلا فقد أدَّى الذي عليه

“Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya”


Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:

أَقِيلُوا ذَوِي الهيئاتِ عَثَراتِهم

“Maafilah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis tersebut adalah merupakan perkara asal dalam kita mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dengan menggunakan uslub lemah lembut dan kesopanan. Itulah cara untuk berhadapan dengan pemimpin yang adil dan saksama serta tidak masyhur dengan kezaliman dalam pemerintahannya.

Namun, sekiranya pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang menzahirkan perbuatan maksiat dihadapan rakyat dan tidak menghiraukan nasihat orang lain terhadapnya maka dibenarkan untuk didedahkan perbuatannya itu serta dinasihatkan di khalayak ramai agar seluruh manusia mengetahui keburukan perbuatannya itu lalu tidak mengikutinya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim di dalam kitab Badai’ Al-Fawaid (3/138):

والظاهرُ أنَّهم ذوو الأقدارِ بين النَّاسِ من الجاهِ، والشَّرفِ، والسُّؤدد، فإنَّ الله تعالى خصَّهُم بنوعِ تكريمٍ وتفضيلٍ على بني جنسِهم، فمن كان منهم مستوراً مشهوراً بالخيرِ، حتى كَبَا به جوادُه، ونبا عَضَبُ صبْرِه، وأُديلَ عليه شيطانُه، فلا تُسارع إلى تأنيبِه وعقُوبتِه؛ بل تُقالُ عَثْرتُه، ما لم يكن حداً من حدودِ الله، فإنَّه ينبغي استيفاؤه من الشَّريف

Kesimpulannya kita tidak diharuskan mendedahkan kemungkaran pemimpin kepada rakyat dan membuat teguran terbuka sekiranya terdapat 4 perkara kepada mereka iaitu:


1. Mereka adalah pemimpin dan orang kenamaan
2. Dikenali dengan kebaikan kepada rakyat dan adil serta tidak zalim
3. Tidak melakukan kemungkaran secara terang-terangan
4. Dosa mereka tidak melibatkan persoalan hudud Allah s.w.t

Oleh itu sekiranya mereka melakukan kezaliman secara terang-terangan maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menegurnya dan diharuskan untuk dilakukan secara terbuka bahkan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim dikira sebagai jihad yang paling afdal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

أن رجلاً سأل النبى ( صلى الله عليه وسلم ) أى الجهاد أفضل ؟ قال : كلمة حق عند سلطان جائر

“Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w apakah jihad yang paling afdal? Maka Nabi menjawab: Kalimah yang benar dihadapan pemimpin yang zalim”
Wallahu A’alam

Thursday, February 7, 2013

Jihad Politik Adalah Lebih Afdal


Oleh: Dr. Yusuf al-Qardhawi

Rasulullah s.a.w. menyeru umat Islam untuk memerangi kerosakan di dalam negara dan menganggapnya adalah lebih afdal daripada menentang serangan dari luar. Baginda menyatakan sewaktu ditanyakan tentang jihad yang paling afdal:

“Jihad yang paling afdal ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim.” (hadith)

Ini disebabkan kerosakan dalaman menyediakan jalan bagi serangan dari luar. Syahadah di sini dianggap sebagai jenis yang paling tinggi pada jalan Allah. Sabda Nabi s.a.w.:

“Pemimpin para syuhada’ ialah Hamzah, kemudian lelaki yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, lalu dia menyuruhnya menjalankan kebenaran dan menegahnya daripada kemungkaran lalu beliau dibunuh.”

Ditanamkan dalam jiwa seorang muslim untuk menolak kezaliman dan menentang mereka yang zalim sehinggakan dibaca dalam doa Qunut yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud yang diamalkan oleh Mazhab Hanafi dan selainnya:

“Kami mensyukuri-Mu Ya Allah dan tidak kufur kepada-Mu, kami menanggal dan meninggalkan ketaatan daripada mereka yang zalim.”

Islam menggalakkan berperang untuk menyelamatkan mereka yang tertindas dan lemah di muka bumi dengan ungkapan galakan dan suruhan yang paling mendalam.

Firman Allah bermaksud:

"Dan apakah Yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang Yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka Yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! keluarkanlah Kami dari negeri (Makkah) ini, Yang penduduknya (kaum kafir musyrik) Yang zalim, dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang membela Kami (dari ancaman musuh)". (Surah al-Nisa’: 75)

Ia menyalakan bara kemarahan dan amat mengingkari mereka yang menerima kehinaan, redha tinggal di negara yang menghina dan menzalimi mereka sedangkan mereka mampu berhijrah dan lari daripadanya ke negeri lain.

Firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang Yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat Dengan berkata: "Apakah Yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang Yang tertindas di bumi". malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, Yang membolehkan kamu berhijrah Dengan bebas padanya?" maka orang-orang Yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (97)

"Kecuali orang-orang Yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, Yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah)." (98)

"Maka mereka (yang demikian sifatnya), Mudah-mudahan Allah maafkan mereka. dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun." (99)

(Surah al-Nisa’: 97-99)

Hinggakan terhadap mereka yang telah terlalu tua dan lemah, Allah menyatakan tentang keadaan mereka: “Mudah-mudahan Allah memaafkan mereka.” Ini menunjukkan mereka amat mengharapkan keampunan Allah sebagai amarah agar mereka tidak redha dengan penghinaan dan kezaliman yang tidak dapat mereka elakkan.

Cerita al-Quran yang berulang-ulang tentang golongan yang angkuh di muka bumi seperti Firaun, Hamaan, Qarun, pembantu dan tentera mereka adalah cerita yang memenuhkan hati seorang Muslin dengan kebencian terhadap mereka, mengingkari cara pemerintahan mereka, benci terhadap sikap melampau mereka dan menyokong dari sudut pemikiran dan perasaan terhadap mangsa-mangsa mereka yang dizalimi dan ditindas.

Merubah Kemungkaran Suatu Kewajipan

Perbincangan al-Quran dan al-Sunnah tentang sikap berdiam diri dari kemungkaran dan bersikap negatif terhadap mereka yang melakukannya sama ada pemerintah ataupun rakyat adalah suatu perbincangan yang menggoncangkan perasaan mereka yang memiliki sebesar biji sawi iman di dalam hatinya.

Firman Allah bermaksud:

"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di Dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh." (78)

"Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), Yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruknya apa Yang mereka telah lakukan." (79)

(Surah al-Ma’idah: 78-79)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Adalah suatu sangkaan yang silap bahawa kemungkaran terhad pada zina, meminum arak dan apa yang ada pada makna keduanya.

Menghina kehormatan rakyat adalah suatu kemungkaran yang besar. Menipu dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar. Tidak memberikan kesaksian dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar kerana ia menyembunyikan kesaksian. Menyerahkan pemerintahan kepada bukan ahlinya adalah kemungkaran yang besar. Mencuri harta awam adalah kemungkaran yang besar. Memonopoli barangan yang diperlukan oleh orang ramai untuk kepentingan individu ataupun kumpulan adalah kemungkaran yang besar. Menahan manusia tanpa jenayah yang diputuskan oleh mahkamah yang adil adalah kemungkaran yang besar. Menyiksa manusia di dalam penjara dan pusat tahanan adalah kemungkaran yang besar. Memberi, menerima dan menjadi orang tengah bagi rasuah adalah kemungkaran yang besar. Mengambil hati dan memuji-muji pemerintah yang batil adalah kemungkaran yang besar. Menjadikan musuh Allah dan musuh umat sebagai pemimpin dengan mengenepikan orang yang beriman adalah kemungkaran yang besar.

Begitulah kita mendapati ruang bagi kemungkaran semakin meluas hinggakan ia mencakupi kebanyakan perkara yang dianggap oleh manusia sebagai urusan asasi bagi politik. Apakah seorang Muslim yang cintakan agamanya dan sentiasa berusaha memperolehi keredhaan Tuhannya akan berdiam diri? Ataupun lari berundur daripada medan apabila berhadapan dengan kemungkaran dan sebagainya kerana takut ataupun mahu menyelamatkan diri?

Perasaan seperti ini sekiranya tersebar di kalangan umat, maka telah berakhirlah risalahnya dan mereka akan terhapus kerana mereka telah menjadi umat lain bukannya suatu umat yang telah disifatkan oleh Allah dengan firmannya bermaksud:

"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik." (Surah ali-‘Imran: 110)

Tidak hairan sekiranya kita mendengar amaran Nabi s.a.w. kepada umat dalam masalah seperti ini, baginda telah bersabda:

“Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: Wahai orang zalim, maka telah diucapkan selamat tinggal untuk mereka.”

Ertinya, mereka sudah tidak layak untuk hidup.

Seorang muslim dengan kedudukan imannya dituntut agar tidak menjadi penonton terhadap kemungkaran walau apapun jenisnya. Sama ada ia berbentuk politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun thaqafah. Bahkan dia hendaklah menentangnya dan berusaha merubah dengan tangannya sekiranya dia mampu. Kalau tidak mampu, maka menggunakan lidah dan penjelasan. Sekiranya dia tidak mampu merubah dengan lidah, maka dia berpindah ke peringkat lain yang paling rendah iaitu berubah dengan hati yang telah dijadikan oleh hadith sebagai: “Selemah-lemah iman.”

Ia dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai mengubah dengan hati kerana ia adalah tanggungan jiwa dan perasaan menentang kemungkaran, mendokong dan membela penentangan ini.

Tanggungan ini bukanlah perkara negatif sebagaimana yang disangkakan. Sekiranya ia negatif, ia tidak akan dinamakan sebagai merubah oleh hadith tersebut.

Tanggungan yang berterusan bagi jiwa, perasaan dan hati semestinya pada suatu masa akan menghasilkan usaha yang positif. Kemungkinan ia akan menjadi satu revolusi umum ataupun letusan yang menghancurkan sekiranya tekanan berterusan. Tekanan yang berterusan akan mencetuskan letupan yang merupakan satu sunnah Allah di kalangan makhluk-Nya.

Sekiranya hadith ini menamakan sikan ini sebagai ‘merubah dengan hati’, maka hadith Nabi s.a.w. yang lain telah menamakannya sebagai ‘jihad dengan hati’ yang merupakan darjat jihad yang paling rendah sebagaimana ia juga adalah darjat iman yang paling rendah. Muslim telah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud secara marfu’:

“Tidak ada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada umatnya itu golongan Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang mengambil Sunnahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas mereka para pengganti yang berkata apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Dewan Ulama' PAS Negeri Kelantan