Thursday, December 6, 2007

Kelantan boleh sokmo MEMBANGUN BERSAMA ISLAM


Tahniah...

benar bak kata
"Manusia itu menurut hal keadaan pemimpinnya"
dalam erti kata lain, baik pemimpin itu, maka baiklah pengikutnya..

Cukup jahatkah golongan manusia yang disebut artis ini.


Saya percaya tidak kira apa golongan sekalipun, mereka ini sebagaimana yang diingatkan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat seperti contoh:

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan."
[90 : 10 Surah al-Balad] dan

"maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,"
[91 : 8 Surah al-Syams]

2 ayat ini sudah cukup menjelaskan betapa di dalam diri manusia itu telah siap dibekalkan oleh Allah akan unsur samada positif atau negatif.

Walaupun seseorang itu dianggap jahat, namun unsur kebaikan tetap ada di dalam diri individu itu.

Bila bicara tentang individu jahat, kejam dan jauh dari mempunyai sikap perikemanusiaan, sudah tentu kita pernah mendengar nama-nama sepertin Firaun, Namrud, Hitler dan bahkan Umar al-Khattab sebelum keislamannya dengan rekod jenayah terhadap anak perempuannya di kala zaman Jahiliyyah.

Namun sejahat-jahat manusia, sampai masanya unsur baik yang semulajadinya memang wujud di dalam diri itu tetap ada, berfungsi dan hidup. Bukankah Firaun di akhir hayatnya menyatakan taubatnya walaupun pada akhirnya ia sudah terlambat dan ditolak Allah, sekurang-kurangnya kita melihat benar wujud unsur kesedaran itu.

Tidak seperti Umar al-Khattab yang nasibnya jauh lebih baik dari Firaun. Sejahat Umar, beliau dapat membuktikan kepada semua taubatnya diterima malahan menjadi manusia unggul di muka bumi hasil didikan Baginda SAW.

Apa yang menarik Umar menjadi mulia dan hebat setelah melalui zaman kegelapannya adalah kesan tarbiah, didikan dan contoh Baginda. Inilah baik dan untungnya apabila pemimpin mulia menjadi ikutan kepada umat bawahan.

Foto ini sekurang-kurangnya dapat kita lihat hanya di bumi Kelantan. Maya tidak boleh, tidak biasa dan tidak mampukah berpakaian manis dari pandangan syarak seperti ini? Insya Allah boleh selagi mana pimpinan kita boleh dan meneruskan tauladan yang baik. Saya juga berkesempatan melihat gambar Maya Karin di papan iklan besar milik Celcom, di Lebuhraya MRR2 berdekatan susur keluar Taman Kencana Ampang/Pandan Indah tanpa tudung dan di Kota Bharu dengan manis bertudung.

Maknanya Maya memang boleh dan meneruskan tradisi akhlak mulianya sepanjang berada di Bumi Serambi Mekah.

Bagaimana agaknya andai ruh bumi Serambi Mekah ini wujud dan subur seperti di bumi Selangor dan K. Lumpur, pasti kemanisan berpakaian sesuai kehendak syarak akan diteruskan.

Sekurang-kurangnya slogan MEMBANGUN BERSAMA ISLAM yang dibawa kerajaan Kelantan sekarang dapat mendidik insan ke arah kebaikan. Cuma di bawah payung ISLAM HADHARI belum kelihatan lagi yang tidak biasa bertudung tetapi bertudung. Sepatutnya lagi hebat Islam iaitu Islam yg Hadhari maka lebih hebatlah penghayatannya seperti contoh lebih labuh tudung tu... Namun yang dilihat sebaliknya.

apa pun, kepada Maya Karin, kamu boleh ...

dan doa kami semoga komuniti para selebriti mempunyai semangat Islam yang tinggi. Kami juga menyayangi kamu semua.

Monday, December 3, 2007

Panaskan DUN Dusun Tua

Enjin tetap panas walau derumannya tidak kedengaran. Program ceramah Ezam Md Nor, 7 Disember Jumaat ini di Markaz MTD Taman Seri Nanding, bakal menyaksikan DUN Dusun Tua sekali lagi dipanaskan sejak kehadiran Dato' Seri Anwar Ibrahim Julai lalu.

Walaupun sejak itu program ceramah tidak sepanas sambutan majlis ceramah Dato' Seri namun kehadiran Ezam kali ini diharap dapat menggerak serta menghidupkan semangat perjuangan menegakkan kebenaran khususnya di kalangan rakyat dan pengundi di DUN Dusun Tua ini.

Sudah tentulah isu dan berita yang terbaru khususnya berkenaan dengan penyelewengan dan kezaliman pihak pemerintah akan menjadi hidangan utama untuk rakyat membuat perbandingan dan seterusnya matang untuk memilih yang terbaik demi memartabatkan apa yang disebut sebagai kewajipan menegakkan keadilan, memastikan kelangsungan kebajikan rakyat yang semakin hari semakin dikikis dengan kenaikan harga barang, caj perkhidmatan awam dan kenaikan minyak serta isu-isu lain berkaitan jenayah, moral anak-anak muda dan anak-anak tua di dalam masyarakat yang semakin celaru. Apa yang telah berlaku ini sepatutnya menjadikan rakyat berani untuk tegas membuat perubahan.

Jumaat ini DUN Dusun Tua akan diuji lagi dalam melihat respon daripada rakyat. Semoga ianya akan menggerakkan serta membugarkan semangat perjuangan khususnya dalam menghadapi pilihanraya yang hanya bila-bila masa sahaja akan diadakan.

Kepada para petugas, selamat menjalankan tanggungjawab dan amanah anda...