Saturday, October 23, 2010

Berita Setempat.....

Baru-baru ini Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat sempat berkunjung ke Masjid Batu 14 bagi menyampaikan kuliah Maghrib. PAS sebagai sebuah parti Islam akan terus menggunakan ruang yang ada untuk berdakwah. Kalah atau menang dakwah akan diteruskan melalui pelbagai bentuk dari ceramah, kuliah, tazkirah dan juga forum. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan seluruh umat faham tanggungjawab kita hidup di dunia ini.

Selepas program tersebut beliau meluangkan sedikit masa untuk berbincang dengan pimpinan MTD yang juga Pengarah JPD Saudara Mohd Jan Sulong bagi berkongsi maklumat dan bertukar-tukar fikiran.

Bagi meningkatkan kesedaran rakyat, program mesra rakyat telah dirangka bagi memberi penerangan yang berterusan kepada warga Dusun Tua segala hasrat kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat. Kepimpinan tertinggi Parliman Hulu Langat YB Che Rosli dan Pengarah DUN Saudara Mohd Jan telah mengarahkan pimpinan setempat agar memastikan program-program yang bakal dilaksanakan nanti mencapai matlamatnya. Ini bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat dan menyedari segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat.


Baru-baru ini juga satu kebakaran telah berlaku berhampiran Flat Sri Kundang Batu 15, yang memusnahkan sebuah rumah penduduk. Alhamdulilah, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana penghuni tiada semasa kejadian berlaku. Dua buah jentera bomba telah dikejarkan ketempat kejadian bagi mengawal keadaan.




Intrigue = Mendaya = Tipu daya

Inilah akibat hendak tunjuk pandai dan tak mahu merujuk kepada mereka yang labih arif..... Dewan Bahasa telah lama dipinggirkan bahasa Melayu sudah lama 'ditalkinkan' kini satu pengajaran yang amat berharga kepada orang yang mendakwa penjaga kebajikan orang Melayu.

__________________

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Perkataan 'mendaya' yang digunakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ucapan dasarnya 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' dilihat mengelirukan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Ketiga, tafsiran rasmi 'mendaya' adalah ialah "menjalankan tipu daya (muslihat), menipu".

Kamus yang dicetak pada 1997 lalu turut menjelaskan contoh penggunaan kalimah 'mendaya' yang tepat.

"Apabila sudah begitu, mudahlah mereka mendayakan kami spt (seperti) yg (yang) sudah diperdayakannya beberapa orang pelayan," dipetik dari halaman 278 kamus tersebut.

Pun begitu, Utusan Malaysia (muka surat 2) hari ini melaporkan, "ucapan bertajuk 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' yang disampaikan dalam nada yang serius itu berjaya memaku para perwakilan dan pemerhati selama satu setengah jam untuk sama-sama menghayati menghayati isi hati dan wawasan perjuangan beliau (Najib)”.

Dijangkakan kalimah 'mendaya' yang digunakan Najib bakal menggamit polemik awam khususnya pada sambungan sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.

Wednesday, October 20, 2010

Fokus AGM Umno: 1Malaysia atau Ketuanan Melayu?

Oleh Hafiz Yatim

Konsep 1 Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sukar untuk 'dijual' di kalangan rakyat Malaysia, malah sebahagian besar pemerhati berpendapat ianya lebih sukar untuk ditelan oleh Umno sendiri - parti pimpinan Najib yang mempunyai seramai 3.6 juta ahli.

Kalangan Umno berpendapat bahawa 1Malaysia mencairkan raison d'etre (sebab kewujudan) parti itu - iaitu memperjuangkan agenda Melayu - dan telah meletakkan mereka dalam keadaan yang janggal untuk bercakap sebagai pemimpin nasional dan bukan komunal.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, beberapa perwakilan secara peribadi telah menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap logo besar 1Malaysia yang dipasang di sekitar tempat perhimpunan itu atau bendera parti dalam bentuk logo 1Malaysia.

Para pemerhati kini menunggu untuk melihat sama ada para perwakilan akan mengikut isyarat ibupejabat parti dan menampilkan konsep 1Malaysia, dan bukannya retorik tradisinya - Ketuanan Melayu.

Rungutan terhadap konsep 1Malaysia agak tenang, kecuali beberapa kritikan menyengat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Najib percaya bahawa konsep 1Malaysia adalah kritikal dalam perancangannya untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Para perwakilan juga diharapkan menyentuh pelbagai rancangan besar kerajaan, khususnya Model Baru Ekonomi (MBE), yang mahukan dasar tindakan afirmatif dihapuskan secara berperingkat.

Walaupun MBE disokong oleh unsur-unsur liberal dalam Umno kerana ini akan menggalakkan dayasaing, sejarah telah menunjukkan bahawa majoriti penyokong setia Umno tidak akan senang terhadap sebarang usaha untuk menggangu-gugatkan tindakan afirmatif itu.

Dalam jangka pendek, para perwakilan dan pemimpin parti dijangka berusaha untuk menaikkan moral ahli dan parti, menjelang pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan serentak pada 4 November.

Walaupun kedua-dua pilihan raya keci litu tidak terlalu penting, tetapi kemenangan di Galas boleh dianggap sebagai titik permulaan dalam usaha Umno untuk merampas Kelantan dari PAS, yang menguasai negeri itu sejak 1990.

Dapatkan Khairy bertahan?

Bagi perhimpunan agung Pemuda Umno pula, perwakilan dijangka membentangkan 'kad laporan' masing-masing terhadap prestasi ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Khairy (kanan), yang terpilih sebagai ketua Pemuda Umno Mac tahun lalu, telah menjadi juara konsep 1Malaysia dan telah beralih jauh daripada pendekatan keras komunal seperti yang diamalkanm pemimpin terdahulu pergerakan itu.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, Khairy dengan tegas menggesa anak buahnya supaya "mengetepikan" mentaliti 'Ketuanan Melayu' dan digantikan dengan idea 'kepimpinan Melayu'.

Menurutnya, ini akan membantu pergerakan itu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat lain dan membina hubungan yang kuat dengan akan parti komponen dalam BN.

Perhimpunan agung Umno bermula malam ini dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga sayap akan membahaskan ucapan dasar ketua masing-masing esok.

Perdana Menteri Datuk Tun Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan presiden pada hari Khamis. Ini akan diikuti dengan perbahasan perwakilan yang akan berakhir pada hari Sabtu.


Tuesday, October 19, 2010

Selamat Menunaikan Haji



Selamat menunaikan ibadat haji kepada Abdullah Mansur Ketua Kampung Bt 14 dan juga kepada mereka-mereka yang diberi peluang dan kesempatan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Kami doakan agar semuanya mendapat haji yang mabrur dan pulang dengan semangat yang baru. Semangat sebagai pejuang yang bakal bakal meng'Galas' amanah khalifah Allah di muka bumi ini.

Amanah yang bukan sedikit, amanah yang cukup besar untuk meletakkan agama di tempat yang sepatutnya. Menegakkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam.

Selamat pergi dan selamat kembali.

Sunday, October 17, 2010

Belanjawan 2011 : Kemana Arah Hendak Di bawa.


Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Pertama pada tanggal 15 Oktober 2010 telah menjelaskan lagi bahawa agenda ekonomi dan transformasi yang dibawa oleh beliau sebenarnya berpusing ditakuk lama dengan diberi penjenamaan semula. Ianya ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.

Akhirnya, akibat dari penyelewangan, pembaziran, rasuah yang bermaharajalela serta sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama. Inilah yang ditekankan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahawa asas terbesar ialah bahawa kerajaan yang dipacu oleh UMNO-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun, bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa ?

Dalam masa yang sama, fokus kerajaan juga terus tersasar di atas sebab-sebab yang tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih diperingkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta, berbanding dengan RM 100 juta untuk meningkatkan taraf hidup orang asli dan Peribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa Pendapatan Per Kapita meningkat sebanyak 6.1 % kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5%; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini !. Inilah hakikatnya. Kita katakan bahawa kerajaan UMNO-BN lah sebenarnya yang menjadi “saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian. Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan.

Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM 5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja. Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini, kerana pimpinan UMNO-BN lah sebenarnya yang ‘bermimpikan projek’ lantas ‘memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat’.

PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
7 Zulkaedah 1431 bersamaan 15 Oktober 2010

Thursday, October 14, 2010

Meng'Galas' Seruan Jihad

Seluruh jentera dan tentera jihad diseru untuk hadir ke pejabat PAS Kawasan esok hari Jumaat 15/10/2010 8:15 malam untuk taklimat pilihanraya kecil Galas. Pastikan hadir awal dan solat Isyak berjemaah di Pejabat PAS Kawasan.

Harap dapat sebarkan maklumat dan maklumkan kepada seluruh jentera parti.

USRAH MTD

Program usrah MTD akan diteruskan. Seluruh ahli, penyokong dan pendokong gerakkan Islam PAS wajib hadir.

Tempat : Markas Bt 17
Tarikh : Khamis 14/10/2010
Masa : 9.30 malam

Sila sebarkan maklumat ini kepada semua ahli.

Tuesday, October 12, 2010

UMNo dan Melayu

Sudah tiba masanya orang-orang Melayu berubah dan mengalihkan sokongan mereka daripada menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada menyokong PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Umno dan BN yang telah memerintah negara ini selama 53 tahun, sebenarnya telah ‘melekakan’ dan melemahkan orang-orang Melayu.

Mereka (Umno dan BN) melekakan orang Melayu dengan slogan ‘Hidup Melayu’ dan hanya meletakkan agama Islam sebagai perkara sampingan, sedangkan Islam adalah asas kekuatan orang Melayu sebenarnya.

Perjuangan mendahulukan bangsa Melayu terbukti kini menjadikan orang-orang Melayu semakin ‘terhakis’.

Antara tindakan Umno dan BN melemahkan orang Melayu adalah dengan menghapuskan tulisan jawi dikalangan orang-orang Melayu.

Tulisan Jawi merupakan tulisan bahasa Melayu yang gagal dihapuskan oleh penjajah walaupun mereka menjajah beratus tahun lamanya.

Tetapi, tulisan Jawi berjaya ‘dibuang’ oleh pemerintahan Umno dan BN selepas negara mencapai kemerdekaan dari penjajah.

Tulisan Jawi yang menggunakan huruf-huruf al-Quran tidak berjaya dihapuskan oleh orang-orang Inggeris, tetapi berjaya dihapuskan oleh pemimpin Umno dan BN.

Ia bermakna pemimpin Umno dan BN meneruskan kerja-kerja orang Inggeris, menghapuskan tulisan jawi dan melemahkan agama Islam.

PAS memimpin Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Muafakat ketiga-tiga parti ini untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia kepada satu pemerintahan yang adil.

PAS, DAP dan PKR telah bersepakat menerima beberapa dasar yang berkait dengan agama, bahasa dan hak keistimewaan orang Melayu bumiputera.

DAP telah menerima Islam sebagai Agama Persekutuan, menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menerima hakikat perlunya Hak Keistimewaan Orang Melayu Bumiputera.

DAP menerima dasar-dasar tersebut kerana sedar dan faham bahawa Melayu merupakan teras politik Malaysia.

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah bersetuju dan menandatangani perkara tersebut dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Shah Alam pada 19 Disember, 2009.

Pemerintahan Umno dan BN selama 53 tahun lalu turut merosakkan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Kilang-kilang arak dan tempat-tempat judi tidak dibuka dan diadakan sewaktu Inggeris menjajah dan menguasai tanah air.

Kilang-kilang arak dan pusat-pusat perjudian telah dibuka setelah merdeka apabila Umno dan BN menjadi kerajaan.

Tidak berbaloi kepada orang-orang Melayu terus memberikan sokongan kepada parti Umno dan BN sedangkan mereka sedang dan terus menjahanamkam Islam dan menghapuskan orang Melayu itu sendiri.

Tidak padan, apabila orang-orang Melayu dapat upah RM50, walaupun RM1000 apabila mengundi Umno dan BN dalam pilihanraya, sedangkan Umno dan BN merosakkan aqidah orang-orang Islam dan membunuh bangsa Melayu.

PAS : Jadi ketua PR pun orang kata, jadi pengikut pun orang kata jugak.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA telah cuba memberi gambaran yang salah khususnya kepada masyarakat Cina berkenaan kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini. Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke 57 pada hari Ahad 10 Okt.‘10, beliau telah menyatakan bahawa jika PR memerintah maka PAS akan menjadi ‘kapten’nya. PAS akan membawa dasar-dasar autokratik dan kembali kepada perjuangan asalnya. Ucapan ini disampaikan di hadapan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional serta para pewakilan MCA seluruh negara. Persoalannya apa masalahnya jika PAS menjadi Kapten PR?

Dasar PAS adalah Islam. Semenjak ditubuhkan 59 tahun dahulu hingga ke hari ini dasar PAS tidak pernah berubah. Islam adalah agama yang universal. Kebaikan yang dibawa oleh Islam adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama mahupun bangsa. PAS berkeyakinan bahawa Islam di turunkan atas mukabumi ini adalah untuk menyelamatkan dunia ini daripada kehancuran akibat kerakusan manusia. Buktinya sekitar kampung Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sendiri di Batu Pahat, masyarakat Cina boleh tinggal dengan selamat dan berniaga bersama orang Melayu yang beragama Islam. Bilangan masyarakat Cina tidak sampai 10% di perkampungan tersebut tetapi mereka boleh hidup selesa. Islam menjamin keselamatan semua umat manusia. Jika terdapat kelemahan bukanlah disebabkan oleh Islam tetapi disebabkan oleh penganutnya yang tidak melaksanakan Islam yang sebenar. Kemuliaan bangsa Melayu itu hanya apabila ia berpegang kepada Islam. Jika orang Melayu meninggalkan Islam maka kita akan dapat melihat kehancurannya.

Berapa ramai orang Cina di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tertindas semasa pemerintahan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Altenatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) daripada tahun 1990 hingga sekarang? Jika Islam itu zalim, maka PAS sudah menindas masyarakat bukan Islam sejak tahun 1990. Jika Islam itu tidak bertamadun maka sudah beribu orang bukan Islam yang dibunuh oleh PAS. Islam melarang memaksa orang lain untuk menganut agama Islam. Hak memilih agama adalah hak masing-masing. Agama bukan untuk ikut-ikutan tetapi diikat dengan keyakinan teguh dalam hati yang ikhlas. Bagi Islam, tiada paksaan dalam agama. Namun apabila telah menganutnya, tiada pilihan melainkan wajib mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan Allah.

Islam menentang perkauman sempit. Islam melarang umatnya berlaku zalim dan menafikan hak orang bukan Islam. UMNO adalah parti perkauman. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek , jangan mengambil contoh pegangan agama Islam daripada UMNO. Sebahagian besar pemimpin UMNO gagal menunjukkan ciri-ciri Muslim yang sebenar. Sebelah tangan memegang Islam sementara sebelah tangan lagi menerima rasuah. Dalam Islam tidak boleh bercampur antara yang baik dengan yang jahat. Parti perkauman seperti UMNO tiada panduan yang jelas tetapi PAS jadikan Al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad sebagai panduan yang jelas. Ini termaktub dalam perlembagaan PAS. Tidak ada satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam. Kalau Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terjumpa satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam sila kemukakan dengan segera.

Dalam Islam tiada halangan bagi orang bukan Islam melaksanakan ibadat dan amalan masing-masing seperti meminum arak, memakan daging kinzir dan lain-lain. Pernahkah Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek melihat orang alim yang melarang penjualan daging khinzir kepada masyaraka Cina di kampung-kampung sekitar Batu Pahat. Mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan ini. Itulah ajaran Islam sebenar. Islam hanya melarang penjualan barang terlarang seperti arak dan daging khinzir kepada orang Islam sahaja.

Sekarang UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah tidak dapat mengawal rasuah dalam negara. Penaiktarafan BPR kepada SPRM tidak dapat membantu imej negara keluar daripada budaya rasuah. Dalam Islam rasuah boleh dihindari dengan menyemai perasaan takut kepada Allah S.W.T. Segala perbuatan kita mesti dirujuk kepada perintahNya. Umat Islam berkeyakinan segala perbuatan jahat akan dibalas dengan azab neraka apabila mati kelak. Semua orang tidak terlepas daripada mati. Oleh kerana UMNO mengamalkan dasar sekular yang mengasingkan urusan politik daripada agama maka perbuatan rasuah tidak dikaitkan dengan kemarahan Allah S.W.T dan seksaan api neraka. Secara automatik masyarakat Islam beranggapan rasuah itu tidak menjadi kesalahan yang membawa manusia masuk neraka. Sebab itu tidak mustahil umat Islam yang berfahaman sekular boleh memakai serban yang tebal tetapi tetap melakukan rasuah. Sebenarnya tidak banyak kos diperlukan untuk membanteras rasuah mengikut ajaran Islam sebenar. PAS mempunyai rekod yang jelas dalam isu rasuah ini. Tiada seorang pun exco PAS yang terlibat dengan rasuah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bandingkan pula dengan UMNO, berapa ramai pemimpinnya terlibat dengan rasuah. Itulah bukti Islam sebenar yang dibawa oleh PAS dan bukan Islam sekular yang dibawa oleh UMNO. PAS didik pemimpinnya dengan Islam sebenar. Dengan Islam sebenarlah PAS dilihat mempunyai integriti yang tinggi.

Orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina menguasai ekonomi dalam negara ini. Islam menjamin harta-harta mereka. Islam melarang umatnya merampas harta orang bukan Islam. Islam juga melarang umatnya mencuri dan merompak harta orang bukan Islam. Jika mengikut ajaran Islam sebenar jenayah dapat dikurangkan. Negara kita sudah terlalu tepu dengan jenayah sehingga sangup membunuh dan membakar mayat manusia dengan begitu kejam sekali. Sejarah dunia telah membuktikan bahawa Islam dapat mengurangkan jenayah dalam sesebuah negara. Itulah bukti bawa Islam sebenar dapat mengatasi masalah jenayah dalam negara. PAS tidak mampu menggubal sebarang undang-undang Islam jika rakyat tidak menyetujuinya. Oleh itu PAS mengambil pendekatan mendidik terlebih dahulu terhadap prinsip-prinsip keadilan yang terdapat dalam Islam kepada seluruh rakyat Malaysia. PAS yakin suatu masa nanti rakyat Malaysia akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Islam. Hati manusia sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya adalah milik Allah S.W.T. Dialah yang membuka hati atau menutup hati rakyat Malaysia. PAS berserah sahaja kepada Allah S.W.T setelah berusaha mendidik rakyat memahami keadilan dalam Islam. PAS yakin suatu masa nanti mereka yang bernama Ah Chong atau Ramasami secara relahati memohon keadilan dalam Islam untuk melindungi nyawa, akal, harta dan keturunan mereka.

Antara kegagalan UMNO dalam memerintah negara ini adalah gagalnya UMNO mendidik masyarakat Islam menjadi umat Islam yang cemerlang dalam pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain. Statistik menunjukkan bahawa remaja Islam menjadi juara masalah sosial dalam negara. Dalam pencapaian akademik pula kualiti pelajar Islam lebih rendah daripada bukan Islam. Keadaan tidak seimbang inilah menyebabkan dasar afirmatif terpaksa dikenalkan sehingga ke hari ini. Sebenarnya dasar afirmatif sudah tidak diperlukan lagi jika kedudukan sosio-ekonomi semua masyarakat sudah seimbang. Islam yang sebenar mampu membina jatidiri remaja Islam sebenar. Buktinya sekolah-sekolah aliran agama Islam di negara ini menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik dan tidak menghadapi masalah sosial yang besar dibandingkan sekolah yang bukan aliran Islam. Umat Islam yang hampir dengan Tuhannya dapat menghindarkan diri daripada gejala yang tidak bermoral. Oleh itu agenda utama PAS dan PR jika memerintah negara ini adalah membina hubungan mantap remaja dengan Tuhannya. Tentunya modalnya tidak sebesar Program Rakan Muda atau PLKN.

Islam sebenar dapat menjaga nyawa, harta, keturunan dan akal fikiran manusia. Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) penuh yakin masyarakat bukan Islam lebih selamat bersama Islam sebenar. Mereka boleh mengundi PAS dan PR dalam pilihanraya akan datang. Jika masyarakat bukan Islam merasa tidak selesa dengan cara-cara PAS maka mereka boleh menyalurkan pandangan mereka kepada Dewan Himpunan PAS, DAP/PKR rakan sekutu PAS atau NGO yang berkaitan. Negara kita adalah sebuah negara demokratik. Tempoh 5 tahun bukannya lama. Jika masyarakat bukan Islam tidak selesa dengan PAS dan PR maka pilihanraya seterusnya pilihlah UMNO-BN. Pada waktu ini, apakah masyarakat bukan Islam lebih rela bernaung di bawah UMNO-BN yang telah terbukti tidak mampu menjaga kepentingan rakyat Malaysia dengan peningkatan rasuah, jenayah, kemerosotan ekonomi dan sebagainya. Atau masyarakat bukan Islam perlu mencuba pemerintah baru yang menjanjikan pemerintahan yang lebih bertanggungjawab, telus, demokratik dan adil. Sebahagian usaha ini telah dilaksanakan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pernah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Labis dan Pengerusi MCA Batu Pahat. Sudah tentunya beliau mendapat gambaran Islam daripada daripada Tan Sri Muhyidin bin Mohammad Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Dato’ Abd. Ghani Othman(Menteri Besar Johor). Saya kira Datuk Seri Dr Chua Soi Lek belum mendapat gambaran Islam sebenar daripada PAS khususnya PAS Johor. Saya mencadangkan kepada beliau agar mendapatkan maklumat Islam sebenar daripada anak-anak Johor seperti Dato’ Mahfoz Muhammad (Pesuruhjaya PAS Johor), YB Sallehuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Sdr. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat) dan lain-lain lagi. Mungkin adalah lebih mudah berbicara tentang Islam yang sebenar sesama anak Johor sendiri.

Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

Monday, October 11, 2010

UMNo Gadaikan Hak Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat hendaklah menjauhi Umno kerana parti itu sering dibuktikan menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga kepentingan diri dan cita-cita politiknya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).

"Bukan setakat mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) malah melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya ketika menyambut gesaan Sultan Selangor supaya rakyat menjauhi pihak yang menggadai bangsa sendiri.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab Melayu semakin pupus.

"Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut," katanya.

Umno, katanya, seolah-olah mahu mengulangi tragedi yang berlaku ke atas rakyat Palestin apabila tanah mereka tergadai kepada Yahudi Zionis.

"Bukan sahaja tanah, peluang pendidikan yang selama ini menjadi wadah utama mengubah taraf hidup orang-orang Melayu juga dimangsakan dalam kerakusan Umno menggadai bangsa sendiri.

"Peruntukan untuk institusi-institusi pendidikan Melayu itu dikurangkan dengan begitu ketara dalam belanjawan 2010. Bagi IKM, peruntukan untuk 2010 RM143 juta berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16 juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009.

"Bagi MRSM dan Koleh Sains MARA, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun 2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009," kata beliau dengan penuh kesal.

Malah, katanya, peruntukan kepada MARA sendiri dikecilkan dengan begitu banyak.

"Peruntukan kepada MARA dipotong-potong sehingga berjumlah RM 374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta untuk 2009," katanya.

Dari segi politik pula, kata Mahfuz, Umno juga menghalang pertambahan kerusi Melayu di Dewan Rakyat.

"Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, kita tidak lihat pertambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu.

"Tidak ada pertambahan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus," katanya.

Menurut Mahfuz, jika disenaraikan semuanya, terlalu panjang senarai perbuatan Umno menggadaikan kepentingan bangsa Melayu.

Saturday, October 9, 2010

DAP Anti Islam?

Sekiranya Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu anti Islam, tentulah semua ahli dan pimpinan DAP telah dimasukkan ke dalam penjara kerana Islam adalah agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata sekiranya DAP anti Islam, Dato' Seri Hishamudin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri mestilah mengambil tindakan.

"Kalau DAP anti Islam, kita semua sudah masuk dalam penjara, oleh kerana Islam agama rasmi (dalam perlembagaan), (Dato' Seri) Hishamuddin sebagai Menteri Dalam Negeri perlu mengambil tindakan, tetapi kita tahu ia (DAP anti Islam) tidak benar,

"tetapi dia (Hishamuddin) benarkan Umno Besut mengadakan ceramah yang begitu tidak bertanggungjawab,"jelasnya.

Lim berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Dailog Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat yang diadakan disebuah hotel di Terengganu semalam 8 Oktober.

Menurutnya sikap Hishamuddin membenarkan ceramah itu diadakan menunjukkan beliau bukan seorang yang mempunyai prinsip

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata Umno begitu terdesak sehingga sanggup menggunakan isu perkauaman dan isu sensitif.

Katanya, politik perkauaman dan sensitif yang diamalkan oleh Umno adalah satu politik merbahaya yang boleh mnganggu gugat keharmornian hidup rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

"Dan, ini adalah cara politik yang berbahaya, satu politik terdesak (desperado), Umno begitu terdesak sehingga rela untuk merosakkan keharmonian negara kita,

"ini (DAP anti Islam) tidak benar, ini satu fitnah dan dusta,"tegasnya.

Sekitar Sambutan Raya JPD



Lainlain gambar > jma@tekali Photography

Meraikan Jemaah Haji

Lain-lain gambar disini -> jma@tekali Photography