Thursday, February 27, 2014

JUHAM : Jawab Saman Presiden

Sejak meletusnya isu Penghakiman Ingkar Kehadiran yang dimasukkan ke atas Presiden PAS yang dikasihi beberapa hari lalu, JUHAM ingin melahirkan rasa kehairanan apabila secara tiba-tiba muncul begitu ramai ‘peguam’, ‘pendakwaraya’ dan juga ‘hakim’ di kalangan ahli dan pemimpin PAS.

Lebih membimbangkan, wujud satu fenomena ‘menjatuhkan hukuman’ kepada para peguam PAS terutamanya Tuan Haji Asmuni Awi kerana kononnya peguam telah cuai, leka, tidak kompeten bahkan sampai ke tahap peguam dituduh mensabotaj Presiden PAS hingga Penghakiman Ingkar tersebut dimasukkan.

Walaupun kami amat kecewa dengan fitnah jahat yang amat tidak berasas ini, namun kami memahami bahawa mereka yang terlibat menyebarkannnya atau yang terkeliru dengan pelbagai fitnah yang sedang berlegar saat ini adalah di kalangan orang awam (layman) yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan dengan fakta sebenar yang terjadi di dalam kes ini. Mereka juga nampaknya sangat tidak memahami prosedur undang-undang yang digunakan di dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah. Oleh yang demikian, kami bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan sebenar supaya tidak lagi timbul sebarang fitnah yang akan memburukkan lagi keadaan.

Penjelasan teknikal berhubung dengan apakah dia Penghakiman Ingkar Kehadiran dan prosedur asas di dalam sesuatu saman sivil yang difailkan di mahkamah telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar di dalam tulisan saya sebelum ini bertajuk ‘JID for Dummies.’ Pada kali ini, saya hanya ingin mendedahkan fakta ringkas yang berlaku di sebalik Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini (Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Guaman Sivil No. 22NCVC-39-12/2013 di antara Mohd Shamsul bin Mat Amin v. Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang) yang dikatakan tidak pernah diterima oleh pihak Presiden PAS sendiri mahupun peguam kepada beliau iaitu Tuan Haji Asmuni Awi hingga membawa kepada kegagalan memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam tempoh masa yang ditetapkan yang akhirnya mengakibatkan Plaintif memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran ke atas Presiden PAS.   

Untuk makluman, pihak JUHAM telah memperolehi salinan dokumen (iaitu Afidavit Penyampaian) yang difailkan di mahkamah oleh peguam Plaintif dimana Plaintif mendakwa bahawa mereka telah menyerahkan saman tersebut kepada pihak Defendan melaui pos berdaftar akuan terima (pos AR berdaftar). Afidavit Penyampaian ini walaupun ianya merupakakan dokumen yang difailkan di mahkamah, tetapi ianya adalah dokumen umum yang diperolehi melalui carian yang dijalankan di kaunter pendaftaran mahkamah.

Di dalam afidavit tersebut yang bertarikh 11 Februari 2014, Plaintif telah melampirkan sama dokumen berikut iaitu:

1) sesalinan Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini,
2) surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Presiden PAS bagi tujuan menyerahkan Writ Saman tersebut; dan
3) Kad AR pejabat pos yang mengandungi nama dan tandantangan pihak yang menghantar dan menerima Writ Saman tersebut beserta dengan tarikh penghantaran dan tarikh penerimaan. 

Di dalam surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Defendan bagi tujuan penyerahan Writ Saman bagi kes ini, tertera di dalam surat tersebut bahawa peguam Plaintif telah menyerahkan saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Pusat Khidmat Parlimen Marang, Bangunan PAS Marang (depan Masjid Rusila), 21080 Kuala Terengganu. Alamat penerima yang tertera di dalam surat ini jelas membuktikan bahawa peguam Plaintif tidak menghantar Writ Saman tersebut ke pejabat peguam Haji Asmuni Awi yang terletak di Ipoh, Perak. Maka, adalah tidak wajar sama sekali untuk menyalahkan Tuan Haji Asmuni Awi di atas penghakiman ingkar yang dimasukkan ke atas Presiden PAS tersebut.

Manakala berdasarkan kepada kad AR yang disertakan bersama dengan surat dan Writ Saman tersebut bagi tujuan merekodkan bukti penghantaran dan penerimaan, surat bersama Writ Saman tersebut telah diposkan oleh Peguam Plaintif pada 9 Januari 2014. Kad AR yang s
Manakala berdasarkan kepada kad AR yang disertakan bersama dengan surat dan Writ Saman tersebut bagi tujuan merekodkan bukti penghantaran dan penerimaan, surat bersama Writ Saman tersebut telah diposkan oleh Peguam Plaintif pada 9 Januari 2014. Kad AR yang sama seterusnya menunjukkan bahawa Writ Saman tersebut telah diterima pada 16 Januari 2014 di alamat Presiden PAS sebagaimana yang tertera di dalam surat iringan tersebut. Bahkan terdapat cop Pejabat Pos Marang di atas Kad AR tersebut sebagai menunjukkan bahawa kiriman Writ Saman tersebut telah sampai ke Marang dan diproses oleh Pejabat Pos Marang sebelum diserahkan ke alamat Presiden PAS di Marang.

Di dalam Kad AR yang sama juga tertera tandatangan dan nama seseorang yang menerima serahan Writ Saman tersebut bagi pihak Presiden PAS. Walau bagaimanapun, JUHAM tidak boleh mendedahkan nama individu yang tertera di kad AR tersebut bagi mengelakkan sebarang unsur subjudis terhadap kes. Pihak Plaintif seterusnya telah menggunakan AR kad ini sebagai bukti yang diterima oleh mahkamah bagi menyokong hujahan mereka bahawa saman tersebut telah berjaya disampaikan dengan teratur kepada pihak Presiden PAS.

Pihak JUHAM bagaimanapun tidak dapat mengesahkan siapakah dia individu yang menerima AR kad tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri telah menjelaskan bahawa pejabat Presiden PAS langsung tidak dapat menemui atau mengesan Writ Saman yang dikatakan telah disampaikan pada 16 Januari 2014.

Dalam hal ini, memandangkan writ saman ini tidak diserahkan oleh Peguam Plaintif kepada Tuan Haji Asmuni selaku peguam kepada Presiden PAS dan pada masa yang sama Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri mengesahkan bahawa Pejabat Presiden PAS juga tidak dapat mengesan Writ Saman tersebut, di mana asas dan logiknya Tuan Haji Asmuni dituduh sebagai leka dan lembap sedangkan beliau, sama seperti Presiden PAS dan juga Setiausaha Politik Presiden PAS, tidak mengetahui akan wujudnya Writ Saman tersebut? 

Saya dimaklumkan bahawa pejabat Haji Asmuni hanya memperolehi salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014. Merujuk kepada fakta ini, ada cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa memandangkan Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 17 Februari 2014 tersebut direkodkan di mahkamah pada tarikh Pengurusan Kes yang diadakan 23 Februari 2014 , maka ianya jelas kecuaian di pihak Haji Asmuni memandangkan Haji Asmuni telah menerima Writ Saman tersebut terlebih awal iaitu pada 11 Februari 2014. JUHAM ingin menegaskan bahawa pandangan ini jelas adalah salah dan tidak mengikut undang-undang.

Suka saya menjelaskan bahawa pada ketika Haji Asmuni menerima salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014, ianya sudah melewati had masa 14 hari bagi Defendan memfailkan Memorandum Kehadiran yang dikira bermula dari tarikh 16 Januari 2014 iaitu tarikh penerimaan Writ Saman secara rasmi sebagaiman yang direkodkan di dalam Kad AR yang dilampirkan di dalam affidavit Plaintif. Dari segi undang-undang terutamanya peruntukan-peruntukan di dalam Rules of Court 2012, selepas dari tamatnya tempoh 14 hari tersebut, Plaintif berhak untuk memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran. Pada saat ini tiada apa yang boleh dilakukan Defendan meskipun Defendan menghantar satu ‘batalion’ peguam sekalipun ke mahkamah pada tarikh 23 Februari 2014 yang lalu untuk menyekat penghakiman ingkar tersebut. Pilihan yang ada bagi Defendan sekarang ialah memfailkan Notis Permohonan untuk mengketepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut sebagaimana yang telah saya jelaskan di dalam tulisan bertajuk ‘JID for Dummies’ yang lalu. JUHAM dari awal lagi memberikan komitmen untuk mengerahkan segala kekuatan yang ada untuk membantu membela Presiden PAS di dalam kes ini. 
Satu lagi cerita dongeng yang disebarkan ialah kononnya Penghakiman Ingkar tersebut yang memerintahkan Presiden PAS untuk membayar gantirugi sebanyak RM2 juta kepada Plaintif bakal mengakibatkan Presiden PAS hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN dan akan menyebabkan berlangsung pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Pandangan sebegini juga adalah salah, penuh dengan imaginasi serta berbahaya kerana mereka ini tidak dapat membezakan di antara kes sivil dan kes jenayah. Kes saman yang dihadapi Presiden PAS ialah kes sivil. Ianya bukan kes jenayah yang membawa pelbagai hukuman seperti hukuman gantung, penjara, sebat atau denda. Berdasarkan Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, antara perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen ialah apabila dia disabitkan dengan satu kesalahan jenayah yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan denda tidak kurang dari RM2 ribu ringgit. Di sini jelas, kes saman sivil yang membabitkan Presiden PAS atau mana-mana Ahli Parlimen sekalipun tidak akan menjejaskan status mereka selaku Ahli Parlimen.

JUHAM juga ingin memberikan respon terhadap tulisan terbaru Ustaz Zaharudin Muhammad bertarikh 26 Februari 2014 di laman facebook beliau yang menyatakan bahawa, “Semua akan lupa bertanya siapa yg letakkan alamat pejabat marang yang sepatutnya ialah alamat firma guaman terbabit? Apa lawyer yang telah diberikan amanah lakukan selepas mendapat mandat menguruskan kes? Bukankah surat pertama kes ini diserahkan tidak lama selepas ianya diterima?”

Sebagai jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Ustaz Zaharudin Muhamad, beliau perlu terlebih dahulu memahami apakah yang dimaksudkan dengan “Plaintif”, “Saman” dan apakah yang dimaksudkan dengan “Defendan”.  Di dalam kes ini, yang menyaman adalah Plaintif dan Defendan di dalam kes ini ialah Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mana-mana saman bagi kes sivil, Plaintif bebas untuk meletakkan mana-mana alamat Defendan yang difikirkan sesuai bagi Plaintif. Dari segi undang-undang, Defendan tidak mempunyai kuasa untuk meminda alamat Defendan di dalam Saman yang difailkan oleh Plaintif. Meskipun sebelum dari Writ Saman ini difailkan lagi Hj Asmuni telah memaklumkan secara bertulis kepada peguamcara  Defendan memohon agar sebarang Writ Saman yang difailkan dapat diserahkan kepada Haji Asmuni sendiri, namun adalah di luar bidang kuasa Peguam Defendan sekiranya pihak Plaintif tetap ingin menyerahkan Saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Marang. Justeru, Hj Asmuni sebagai Peguam Defendan langsung tidak boleh dipersalahkan apabila pihak Plaintif meletakkan alamat Defendan di Marang kerana ia adalah hak sepenuhnya di pihak Plaintif. 

Sebagai kesimpulan, JUHAM berharap agar pihak-pihak tertentu yang sedang giat menabur fitnah dan menyebarkan cerita-cerita palsu berkaitan kes ini supaya berhenti dari melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini. JUHAM amat kesal dengan situasi yang berlaku ini yang seolah-olah meletakkan hukuman kepada seluruh jentera Peguam PAS yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membela PAS serta pimpinan dan ahli-ahlinya. JUHAM khuatir situasi sebegini akan mengundang gelak-ketawa pihak musuh di luar sana.

Dalam hal ini, JUHAM bersedia untuk bersemuka dengan siapa sahaja yang inginkan penjelasan JUHAM berkaitan perkara ini. Moga segala kekalutan dapat dijernihkan dan kita semua dapat menumpukan kepada agenda perjuangan yang lebih besar.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS Malaysia.

Thursday, February 20, 2014

Warga Myanmar Lapor Diri Di Kajang?

Kenyataan Media

19 Februari 2014

Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi

Satu perkembangan yang pelik telah berlaku di sekitar Kajang apabila pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini.

Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA.

Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal?

SAMM tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan.

SAMM turut menggesa supaya SPR meminimakan ruang-ruang manipulasi antaranya dalam soal jumlah pengundi awal yang begitu ramai.

Menjadi persoalan, mengapa SPR menggunakan petugas dari pengundi DUN Kajang? Mengapa tidak SPR memanggil petugas dari sekitar Bangi, Semenyih dan Cheras untuk menjadi petugas pilihanraya?

Jika SPR memanggil pengundi Kajang sebagai petugas maka ia membuka ruang manipulasi dengan peningkatan besar jumlah pengundi awal. Ini sepatutnya boleh dielakkan.

Sebagai sebuah badan yang tercalar teruk menafikan demokrasi dalam PRU lalu, SPR harusnya terarah untuk menjadi lebih bersih bagi mengembalikan keyakinan orang ramai. Namun pemerhatian SAMM setakat ini, SPR tetap tidak berubah dan tidak punya usaha yang nyata untuk perbaiki kelemahan. SPR terus diperkudakan pemerintah.

Sebelum ini SAMM telah mendesak pihak SPR memperinci anggaran perbelanjaan RM1.6 juta untuk PRK Kajang yang disifatkan agak tinggi. Ia ekoran operasi SPR yang kerap menggunakan orang tengah dalam pelbagai urusan secara tidak langsung berlaku ketirisan dan pembaziran.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada orang ramai dan semua aktivis demokrasi agar turun ke Kajang untuk memastikan pilihanraya kecil kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Harus diingat, Inilah 'turning point' bagi pihak Barisan Nasional maka tidak mustahil penipuan terbesar dalam sejarah bakal berlaku di Kajang.

Sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, February 19, 2014

Berat mata memandang...


AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP KENYATAAN BIADAP DR KASSIM AHMAD

Tidak ada umat Islam yang tidak marah apabila Dr Kassim Ahmad menyentuh sensitiviti agama Islam apabila mendakwa umat Islam terlalu mendewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita. Beliau turut menyentuh bahawa golongan ulama’ telah diseleweng melalui amalan “kasta paderi” di mana mereka (golongan ulama’) melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.

Program anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan bertempat di Putrajaya dengan menampilkan Dr Kassim Ahmad, individu yang dilabel sebagai anti hadis dan menjulang personaliti tersebut ke kedudukan tertinggi. Entah apa jasanya sehingga pemikiran beliau diseminar kan dan diwacanakan dengan beliau sendiri dijemput memberikan ulasan. Agak menghairankan bagaimana program sebegini boleh mendapat kelulusan, mendapat tempat teristimewa di kawasan Putrajaya dalam keadaan program agama yang lain diburu dan dipantau ketat. Mengapa tiada tindakan sebelum program dijalankan bagi memastikan tiada pandangan yang pelik dan mengelirukan umat Islam dilontarkan ketengah masyarakat. 

Pastinya kenyataan Dr Kassim mengundang kemarahan jutaan umat Islam di negara malah di seluruh dunia. Nabi Muhammad SAW adalah insan kesayangan Allah SWT, kecintaan umatnya pada hari ini sehingga disambut kelahirannya setiap tahun. Mencintai Rasulullah SAW adalah ibadah, menjamin syafaat baginda, serta mendapat kecintaan juga daripada Allah SWT. Rasulullah SAW adalah insan maksum yang boleh dicintai dan diagungkan, kerana ia sebahagian daripada rukun Iman dan syahadah umat Islam. Mengguris peribadi Rasulullah SAW bererti mengisytiharkan perang ke atas umat Islam. 

Beliau juga gagal memahami bahawa para ulama’ adalah pewaris Nabi SAW. Ketiadaan Nabi SAW menjadikan para ulama’ sebagai galang ganti yang memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Memusuhi ulama’ (yang benar) bererti juga memusuhi Islam dan memusuhi Rasulullah SAW. Apakah kerana beliau gagal menempatkan diri bersama para ulama’ maka para ulama’ pula perlu dibenci? 

Selain itu, saya menganggap Dr Kassim terlalu dangkal soal hukum asas berkaitan agama Islam. Rambut menjadi topik perbincangan dengan kenyataan bahawa rambut bukanlah aurat wanita. Elok juga beliau menyatakan di manakah bahagian wanita yang dianggap sebagai aurat dan bukan aurat, dan saya kira ribuan ulama’ dan cendikiawan Islam bangkit untuk ‘sekolahkan’ beliau dengan ilmu asas Islam.

Saya amat bersetuju agar tindakan keras diambil terhadap penganjur manakala Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan hukum yang jelas terhadap kenyataan Dr Kassim Ahmad. Masyarakat perlu dijernihkan pemikiran daripada kenyataan songsang sebegini manakala beliau sendiri perlu diberikan status supaya masyarakat tidak terkeliru dan terus berpegang dengan ajaran Islam sebenar sebagaimana difahami dan diajarkan oleh agama Islam.

DR RIDUAN MOHD NOR

Friday, February 14, 2014

Usah diperli, biarkan mereka berselawat

Oleh : Dr Muhaimin Sulam

BEBERAPA tahun lalu, penampilan Ustaz Azhar Idrus dalam majlis ilmu mencetuskan satu fenomena baru. Tentulah ada istimewanya hingga menyebabkan majlis ilmunya dihadiri puluhan ribuan orang.

Ustaz Azhar bukan sekadar berceramah di masjid bahkan hingga ke padang dan stadium. Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor pernah menjemput beliau dalam segmen menyambut tahun baru Masihi.

Nah, kini ada lagi kecenderungan baru di kalangan anak-anak muda. Majlis halaqah selawat (majlis memuji-muji Nabi Muhammad). Yang hadir berjubah berserban putih dan bahu mereka berselempang dengan selendang berwarna hijau. Sambil mereka berselawat, badan dan kepala mereka digerak-gerakkan secara seimbang sehingga mendatangkan keasyikan yang hanya dirasai sesiapa yang hadir.

Secara tradisinya, berselawat selalu diadakan dalam majlis Maulid Nabi yang diraikan pada bulan Rabiul Awal dalam kalendar Hijriah sempena keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Namun, majlis maulid dengan acara bersalawat kini tidak lagi terhad pada bulan Rabiul Awal.

Baguslah. Mencintai Rasulullah s.a.w. kekasih Allah hendaklah sepanjang waktu. Bukan bermusim atau waktu tertentu sahaja. Meski ada pandangan yang menyebut bahawa acara itu merupakan bidaah yang tidak pernah dilakukan sewaktu zaman Nabi Muhammad s.a.w.. Usah terperangkap dengan polemik ini. Biarlah yang suka berdebat meneruskan perdebatan yang tidak berkesudahan itu.

halaqah selawat

Halaqah selawat begini memang agak 'baru' dalam masyarakat kita. Sebenarnya, acara ini sudah berzaman diamalkan di merata tempat terutama di Indonesia. Jika Habib Syekh Kadir as-Sagof yang menjadi tetamu utama setiap program selawat anjuran kerajaan itu berasal dari Indonesia, hakikatnya di negara itu ramai lagi kelompok yang membawa pendekatan sama.

Penyampaikan mesej Islam memerlukan kepelbagaian cara. Yang boleh berceramah, silakan. Yang boleh membuat pengajian, silakan. Yang boleh berdebat, silakan. Yang mampu dengan berselawat, silakan!

Di Indonesia, antara yang terkenal dengan pendekatan ini ialah Kiai Kanjeng yang diketuai oleh Amha Ainun Nahjib ataupun dikenali Cak Nun. Majlisnya bukan sahaja acara selawat yang disertai ribuan orang tetapi acaranya diselang-selikan dengan muzik gamelan dan moden yang menghiburkan tetapi tetap mendidik jiwa dan minda. Ada acara zikir, nasyid, baca puisi dan tazkirah. Ucapan Cak Nun pula penuh dengan kritikan yang tajam bukan sahaja kepada masyarakat tetapi kepada pemerintah.

Halaqah selawat seperti juga acara marhaban, tahlil, bacaan Yasin dan sebagainya. Kompang dan tabla seperti juga kerantong dan beduk adalah instrumen untuk mengajak manusia mendekati Yang Maha Pencipta. Instrumen itu juga sebahagian perkakas dalam memperkayakan budaya masyarakat. Samalah pendekatan Ramli Sarip membawa lagu ketuhanan dan kerohanian dalam irama 'slow rock'. Ataupun seperti lagu-lagu Ahmad Jais yang membawa mesej mendidik dengan irama pop. Usah terikat pada genre nasyid sahaja. Hello bro, layanlah yang lain.

Dengan penggunaan sistem cahaya dan bunyi yang canggih, suasana majlis tersebut akan lebih terasa. Meskipun liriknya dalam bahasa Arab yang agak kurang difahami tetapi melodi yang menarik akan mewujudkan aura tersendiri di tengah-tengah lautan orang yang hadir. Pendekatan ini juga diamalkan oleh team ESQ yang juga dari Indonesia dalam mengendalikan program bina insan mereka. Inilah pendekatan yang menyentuh jiwa dan perasaan seperti dalam majlis halaqah selawat itu.

Kiyai Sunan Kalijaga

Apa yang dapat dilihat daripada pengalaman dakwah masyarakat seberang, mereka kreatif dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Mereka menggunakan alat yang ada di sekeliling masyarakat. Inilah yang pernah diajar oleh Kiyai Sunan Kalijaga semasa zaman Mataram dengan menggunakan tradisi wayang kulit untuk menyebarkan Islam di tengah fahaman animisme dan Hindu yang tebal.

Ringkasnya, dalam usaha menyebarkan apa jua mesej, ia perlu kreatif. Jangan asyik cemburu pada pihak lain yang lebih kreatif. Jangan terperangkap dengan perbahasan yang terikat pada polemik aliran, mazhab dan sebagainya. Ini kerana penilaian berasaskan kerangka ini memungkinkan mencetuskan ketegangan, kekeliruan daripada menghasilkan kedamaian dan keharmonian.

Bukan sahaja orang politik akan mengambil kesempatan dengan kecenderungan baru ini. Bahkan orang berniaga juga bertindak hal yang serupa. Abaikanlah telatah dan gelagat sesetengah ahli politik hari ini tiba-tiba berubah seragamnya dengan berjubah, berkopiah putih dan berserban. Duduk bersimpuh dan dikelilingi para mullah atau habib yang berserban putih atau hijau sambil mulutnya berkumat-kamit berzikir dan bersalawat.

Naif sangatkah orang Melayu menilai Islam hanya dengan sekadar jubah dan warna serban? Lembab sangatkah kefahaman orang Islam menganggap bahawa Islam itu hanya pada selawat beramai-ramai? Jika sekali naïf pun orang Melayu dalam membuat pertimbangan agama, jangan pula dihalang atau diperli-perli acara sebegini hanya kerana dianjurkan oleh 'orang lain'.

Islam adalah rahmat untuk semua.
____________________
Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat.

Fahami larangan sambut Hari Memperingati Kekasih


KUALA LUMPUR: Budaya berkasih sayang antara lelaki dan perempuan bukan mahram sudah berlaku sejak zaman-berzaman sehingga tidak menimbulkan rasa bersalah terhadap larangan yang ditentukan Allah SWT.

Atas sebab itu, usaha kesedaran harus dipupuk di kalangan anak-anak remaja hari ini agar memahami mengapa larangan itu dibuat, khususnya ketika menjelang Hari Memperingati Kekasih atau Valentine's Day yang diagungkan sesetengah pihak pada setiap 14 Feb.

Pegawai Hal Ehwal Islam (Bahagian Fatwa), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Ustaz Mat Jais Kamos, menegaskan usaha memupuk kesedaran itu perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak memahami tentang larangan tersebut.

"Biarpun masalah sosial ini tidak mengira hari tertentu, biasanya pada hari-hari seperti hari ingati kekasih ini lebih ramai pihak yang teruja meraikannya dan akan menjerumuskan kepada perkara yang tidak baik," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdily, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau Jabatan Mufti Selangor telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan larangan bagi mana-mana pihak meraikan sambutan Valentine, khusus kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan yang sah di sisi Islam.

Beliau ketika dihubungi sedang giat menyebarkan risalah berkaitan fatwa tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam petang tadi.

Sebelum itu, kumpulan beliau seramai 10 orang turut menyebarkan risalah fatwa tersebut di Sekolah Menengah Seksyen 22, Shah Alam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.

Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Tuesday, February 11, 2014

Berani Kamu Kata : 'Hudud tidak berjaya kurangkan jenayah'

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata negara Islam yang melaksanakan hukum hudud tidak berjaya mengurangkan jenayah sebaliknya menyebabkan kemelut perundangan.

Semasa pembentangan kertas kerja di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), bekas ketua hakim negara itu berkata, negara yang melaksanakan hudud masih jauh ketinggalan daripada aspek kadar jenayah, keadilan dan keamanan.

"Setakat ini, negara yang melaksanakan hudud seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan masih lagi ketinggalan dalam aspek ini berbanding negara yang tidak melaksanakannya seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia”, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan hukum hudud Mekah dan Madinah tidak boleh dijadikan ukuran kepada keberkesanan undang-undang Islam tersebut kerana situasi yang berbeza.

"Mereka yang ke sana untuk mengerjakan haji, sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup , mahu mendapatkan haji mabrur dan kebanyakannya orang tua dan insaf.

"Pastinya mereka tidak akan melakukan kesalahan jenayah," katanya.

Katanya, pelaksanaan suatu undang-undang bukan semata-mata bergantung kepada pelaksanaan, tetapi pelbagai aspek lain yang juga harus dipertimbangkan.

"Pelaksanaan undang-undang tidak berakhir dengan hanya menguatkuasakannya.

"Apa yang lebih penting ialah bagaimana ia dijalankan, apakah kesan dan akibatnya, adakah ia akan membawa kepada kehidupan lebih baik, keamanan dan kemakmuran, atau ia memperbaiki tahap keadilan dalam negara," katanya.

Abdul Hamid menjelaskan walaupun hukuman hudud dilaksanakan ke atas penganut Muslim sahaja, ianya masih bertentangan dengan Perlembagaan yang menjadi asas undang-undang negara.

"Jika ia dibuat hanya kepada Muslim, ia pasti bertentangan dengan Artikel 8 memandangkan ia mendiskriminasi atas asas agama dan maka itu ia bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.

Undang-undang negara berteraskan sistem perundangan “common law”, bagaimanapun undang-undang Syariah juga dilaksanakan oleh negeri kecuali Wilayah Persekutuan, namun Abdul Hamid menegaskan undang-undang Syariah tersebut mestilah selaras dengan Perlembagaan negara.

"Ramai orang berfikir memandangkan kesalahan hudud dan qisas diperuntukan dalam Syariah dan undang-undang Islam dibawah bidang kuasa negeri, maka Dewan Negeri boleh mengubal undang-undang sedemikian.

"Sebahagiannya tepat. Di Malaysia, sebarang undang-undang mestilah konsisten dengan Perlembagaan," katanya.

Beliau juga berkata Dewan Negeri tidak boleh meminda undang-undang Syariah untuk dilaksanakan ke atas bukan Muslim kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Abdul Hamid juga tidak menolak sekiranya hudud dilaksanakan secara rapi dan persediaan tidak mencukupi, seluruh agensi pihak berkuasa negara akan berdepan dengan kecelaruan.

"Polis tidak tahu apa patut mereka buat, pendakwaraya tidak tahu nak buat apa, peguam tidak tahu nak buat apa dan hakim juga tidak tahu nak buat apa.

"Peguam bergegas ke kedai buku untuk mencari apa saja buku mengenai subjek tersebut," kata Abdul Hamid menerangkan situasi yang berlaku di Sudan sebaik undang-undang Islam tersebut dilaksanakan.

Lebih mengejutkan Abdul Halim apabila kerajaan Sudan mengumumkan sekiranya doktor enggan memotong tangan penjenayah, kerajaan sendiri akan memberi latihan kepada hakim untuk menjalankannya.

Pelaksanaan hukum hudud diperjuangan oleh parti Islam PAS, bagaimanapun usaha tersebut sering menerima kritikan sama ada daripada rakan pembangkang Pakatan Rakyat serta kerajaan Barisan Nasional.

Tahun lalu, kerajaan PAS di Kelantan melontarkan sekali cadangan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.

Pengkritik tidak melihat usaha tersebut akan berjaya memandangkan kerajaan pemerintah Barisan Nasional masih memiliki kata putus ke atas pelaksanaan undang-undang kontroversi tersebut.

Pengkritik menegaskan penguatkuasaan undang-undang jenayah masih lagi tertakluk di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

Tahun lalu, negara jiran, Brunei Darussalam telah menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud.

Susulan pengumuman tersebut, kerajaan Kelantan telah mengadakan kerjasama erat dengan Brunei termasuk menghantar pegawai bertanggungjawab bagi melihat pelaksanaan hukuman hudud di negara terbabit. – 11 Februari, 2014. MI.

Tuesday, February 4, 2014

Kenyataan Media Presiden PAS

Selasa 4 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.

Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS