Oleh : Dr Muhaimin Sulam
BEBERAPA tahun lalu, penampilan Ustaz Azhar Idrus dalam majlis ilmu mencetuskan satu fenomena baru. Tentulah ada istimewanya hingga menyebabkan majlis ilmunya dihadiri puluhan ribuan orang.
Ustaz Azhar bukan sekadar berceramah di masjid bahkan hingga ke padang dan stadium. Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor pernah menjemput beliau dalam segmen menyambut tahun baru Masihi.
Nah, kini ada lagi kecenderungan baru di kalangan anak-anak muda. Majlis halaqah selawat (majlis memuji-muji Nabi Muhammad). Yang hadir berjubah berserban putih dan bahu mereka berselempang dengan selendang berwarna hijau. Sambil mereka berselawat, badan dan kepala mereka digerak-gerakkan secara seimbang sehingga mendatangkan keasyikan yang hanya dirasai sesiapa yang hadir.
Secara tradisinya, berselawat selalu diadakan dalam majlis Maulid Nabi yang diraikan pada bulan Rabiul Awal dalam kalendar Hijriah sempena keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Namun, majlis maulid dengan acara bersalawat kini tidak lagi terhad pada bulan Rabiul Awal.
Baguslah. Mencintai Rasulullah s.a.w. kekasih Allah hendaklah sepanjang waktu. Bukan bermusim atau waktu tertentu sahaja. Meski ada pandangan yang menyebut bahawa acara itu merupakan bidaah yang tidak pernah dilakukan sewaktu zaman Nabi Muhammad s.a.w.. Usah terperangkap dengan polemik ini. Biarlah yang suka berdebat meneruskan perdebatan yang tidak berkesudahan itu.
halaqah selawat
Halaqah selawat begini memang agak 'baru' dalam masyarakat kita. Sebenarnya, acara ini sudah berzaman diamalkan di merata tempat terutama di Indonesia. Jika Habib Syekh Kadir as-Sagof yang menjadi tetamu utama setiap program selawat anjuran kerajaan itu berasal dari Indonesia, hakikatnya di negara itu ramai lagi kelompok yang membawa pendekatan sama.
Penyampaikan mesej Islam memerlukan kepelbagaian cara. Yang boleh berceramah, silakan. Yang boleh membuat pengajian, silakan. Yang boleh berdebat, silakan. Yang mampu dengan berselawat, silakan!
Di Indonesia, antara yang terkenal dengan pendekatan ini ialah Kiai Kanjeng yang diketuai oleh Amha Ainun Nahjib ataupun dikenali Cak Nun. Majlisnya bukan sahaja acara selawat yang disertai ribuan orang tetapi acaranya diselang-selikan dengan muzik gamelan dan moden yang menghiburkan tetapi tetap mendidik jiwa dan minda. Ada acara zikir, nasyid, baca puisi dan tazkirah. Ucapan Cak Nun pula penuh dengan kritikan yang tajam bukan sahaja kepada masyarakat tetapi kepada pemerintah.
Halaqah selawat seperti juga acara marhaban, tahlil, bacaan Yasin dan sebagainya. Kompang dan tabla seperti juga kerantong dan beduk adalah instrumen untuk mengajak manusia mendekati Yang Maha Pencipta. Instrumen itu juga sebahagian perkakas dalam memperkayakan budaya masyarakat. Samalah pendekatan Ramli Sarip membawa lagu ketuhanan dan kerohanian dalam irama 'slow rock'. Ataupun seperti lagu-lagu Ahmad Jais yang membawa mesej mendidik dengan irama pop. Usah terikat pada genre nasyid sahaja. Hello bro, layanlah yang lain.
Dengan penggunaan sistem cahaya dan bunyi yang canggih, suasana majlis tersebut akan lebih terasa. Meskipun liriknya dalam bahasa Arab yang agak kurang difahami tetapi melodi yang menarik akan mewujudkan aura tersendiri di tengah-tengah lautan orang yang hadir. Pendekatan ini juga diamalkan oleh team ESQ yang juga dari Indonesia dalam mengendalikan program bina insan mereka. Inilah pendekatan yang menyentuh jiwa dan perasaan seperti dalam majlis halaqah selawat itu.
Kiyai Sunan Kalijaga
Apa yang dapat dilihat daripada pengalaman dakwah masyarakat seberang, mereka kreatif dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Mereka menggunakan alat yang ada di sekeliling masyarakat. Inilah yang pernah diajar oleh Kiyai Sunan Kalijaga semasa zaman Mataram dengan menggunakan tradisi wayang kulit untuk menyebarkan Islam di tengah fahaman animisme dan Hindu yang tebal.
Ringkasnya, dalam usaha menyebarkan apa jua mesej, ia perlu kreatif. Jangan asyik cemburu pada pihak lain yang lebih kreatif. Jangan terperangkap dengan perbahasan yang terikat pada polemik aliran, mazhab dan sebagainya. Ini kerana penilaian berasaskan kerangka ini memungkinkan mencetuskan ketegangan, kekeliruan daripada menghasilkan kedamaian dan keharmonian.
Bukan sahaja orang politik akan mengambil kesempatan dengan kecenderungan baru ini. Bahkan orang berniaga juga bertindak hal yang serupa. Abaikanlah telatah dan gelagat sesetengah ahli politik hari ini tiba-tiba berubah seragamnya dengan berjubah, berkopiah putih dan berserban. Duduk bersimpuh dan dikelilingi para mullah atau habib yang berserban putih atau hijau sambil mulutnya berkumat-kamit berzikir dan bersalawat.
Naif sangatkah orang Melayu menilai Islam hanya dengan sekadar jubah dan warna serban? Lembab sangatkah kefahaman orang Islam menganggap bahawa Islam itu hanya pada selawat beramai-ramai? Jika sekali naïf pun orang Melayu dalam membuat pertimbangan agama, jangan pula dihalang atau diperli-perli acara sebegini hanya kerana dianjurkan oleh 'orang lain'.
Islam adalah rahmat untuk semua.
____________________
Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment