Friday, December 12, 2014

ARGUMENTASI MENJAWAB TUDUHAN DR MAZA TERHADAP PAS

1 - Setelah membaca pandangan peribadi Dr Asri Zainal Abidin (DrMaza) baru-baru ini mengenai PAS yang digambarkan seolah-olah tidak boleh ditegur dan dikaitkan pula dengan "Wilayatul Faqeh" dari Syiah. Maka izinkan untuk saya menjawab beberapa salah faham yang ditimbulkan daripada pihak DrMaza kepada pihak Parti Islam Se-Malaysia.

2- Digambarkan seolah-olah jika PAS memerintah Malaysia maka demokrasi di Malaysia akan hancur oleh kerana digambarkan PAS seolah-olah tidak boleh ditegur. Namun, hakikat yang berlaku jauh daripada tuduhan yang dilemparkan. Sejarah tidak menipu, ketika PAS menjadi kerajaan negeri di Terengganu sebelum ini telah menubuhkan badan Hisbah yang bertindak sebagai saluran rakyat menegur kerajaan negeri.

3 - Malah PAS ketika itu juga telah mengadakan majlis muhasabah terbuka bersama rakyat di negeri terbabit dimana kerajaan negeri memberi kebebasan kepada rakyat untuk memberi pandangan dan kritikan pemerintahan kerajaan negeri ketika itu. Justeru, di manakah yang dikatakan demokrasi akan hancur sepertimana yang digembar-gemburkan seolah-olah PAS ini ekstrim. Apa yang dikatakan PAS tidak boleh ditegur sangat berlawanan dengan fakta sejarah.

4 - PAS sangat menerima konsep perbezaan pendapat namun perbezaan pendapat yang dituntut dalam Islam mestilah tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Apabila prinsip dan dasar Islam dijulang, maka perbezaan pendapat dalam perkara cabang dan kaedah pada suasana politik di Malaysia juga mampu diraikan. 

5 - Namun jika kritikan dan perbezaan pendapat itu tidak menghormati prinsip dan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan parti maka disinilah titik had suatu kritikan dan perbezaan pendapat itu boleh dibincangkan secara bersama. Tambahan pula, mengatakan PAS menerima konsep "Wilayatul Faqeh" dalam Syiah. Buat pengetahuan, Syiah pada peringkat awal tidak mewujudkan "Wilayatul Faqeh" sebaliknya mereka menggunakan sistem imamah di mana imam adalah berkuasa mutlak dalam menentukan segala polisi dalam pemerintahan. Namun, bagi mendepani cabaran rencah politik pada zaman sekarang. 

6- Mereka mengadaptasi sistem syura yang lebih awal lagi diamalkan oleh ahli sunnah wal jamaah sejak turun temurun lagi malah ia juga merupakan salah satu sunnah yang diamalkan sendiri oleh para sahabat ketika pemerintahan Khulafa Ar-Rashidin yang mewarisi sunnah Nabi Muhammad SAW iaitu berbincang sebelum menentukan polisi dan strategi.

7- Berbeza dengan konsep imamah yang memberi kuasa mutlak kepada imam dan "Wilayatul Faqeh" versi syiah yang menuntut penganut syiah untuk mentaati Ulamak Syiah secara membabi buta, malangnya ia dikaitkan dengan PAS tanpa asas yang kukuh. 

8 - Majlis Syura Ulamak PAS dikendalikan oleh Ulamak yang pakar dalam hukum-hakam agama Islam dan dalam masa yang sama juga mahir dalam selok-belok politik. Sebagai satu-satunya parti Islam di Malaysia, Majlis Syura Ulamak PAS menjadi panduan rasmi dan arah pandu kepada ahli PAS dalam mendepani pelbagai isu di Malaysia supaya prinsip dan dasar Islam dapat ditegakkan.

9 - DrMaza juga menambah, konsep yang dibawa oleh PAS ini mengulangi kesilapan Pope di Vatican yang mencetuskan perang saudara antara Katolik dan Protestan. Sekali lagi DrMaza gagal dalam memahami konteks kedua-dua perkara. Amalan teokrasi mendewakan Pendeta seolah-olah segala kata-kata Pendeta adalah kata-kata tuhan yang tidak boleh disangkal langsung. 

10 - Kesilapan yang sama diulangi oleh golongan syiah yang mengangkat imam mereka ke darjat maksum dan tidak boleh dibantah dalam menentukan polisi pemerintahan. PAS sebuah parti yang matang dan sentiasa peka mengambil iktibar daripada kesilapan kaum terdahulu. PAS menolak konsep teokrasi yang enggan memberikan ruang kritikan dan perbezaan pendapat kepada semua ahli selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan dasar Islam.

11 - Tanpa segan dan silu DrMaza juga menyatakan bahawa beliau tidak mampu untuk mengundi PAS dalam pilihanraya kelak. Adakah DrMaza ingin membawa mesej secara diam kepada umat Islam supaya mengundi Parti Sekular yang lain?

12 - Kenyataan beliau secara diam membawa mesej bahawa Parti Islam sudah tidak relevan dan perlu meninggalkan dasar Islam di mana PAS hanya akan menjadi relevan jika mengikut kaedah Parti Sekular seperti di negara-negara Eropah dan Amerika di mana masyarakat bebas mengkritik dan berbeza pendapat sekalipun dalam hal dasar Islam. 

13 - Dan jika terhapusnya Majlis Syura Ulamak, maka PAS tidak ada beza dengan parti-parti sekular lain yang bergerak hanya atas dasar kepentingan (interest) umum semata-mata dan bukannya untuk menjunjung perintah Allah. Oleh kerana DrMaza adalah seorang yang mempunyai reputasi dan dipandang tinggi oleh sesetengah masyarakat di Malaysia, maka segala kata-kata beliau akan senang diterima oleh awam tanpa berfikir panjang. 

14 - Adatnya memang begitu, suatu perkara yang asalnya tiada nilai tetapi jika ia diberi label akademik maka awam senang untuk menerimanya. Tidak hairanlah kenapa kenyataan beliau berkenaan Majlis Syura dan Ulamak sering digunakan oleh golongan Sekular dan Modernist bagi menggambarkan bahawa PAS ketinggalan zaman dan ekstrim di mata orang awam terutamanya golongan mahasiswa.

--------------------------------------------------------------
Point pada penulisan ini disediakan oleh saudara Muhammad Syafiq bin Jamadudin yang kini masih menuntut di UNISEL. Penulisan ini kemudiannya disusun semula oleh saudara Mohd Fadhil bin Zulkifli yang kini masih menuntut di KUIZM.

No comments: