Wednesday, March 18, 2015

Hutang Negara, Dewan Rakyat & Tanggungjawab Kita

Pada 30hb Oktober 2014, saya mengutus surat kepada setiap Ahli Dewan Rakyat tanpa pengecualian, suatu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelumnya.  Ia menitikberatkan  kebimbangan saya  yang amat sangat terhadap kesejahteraan negara kita yang tercinta serta kedudukan Dewan yang mulia ini.

2. Saya mengambil tindakan tersebut memandangkan bahawa di dalam sesebuah demokrasi berperlembagaan, Dewan Rakyatlah merupakan institusi terakhir yang bertanggungjawab ke atas keadaan negara dan rakyat jelata. Di samping itu, sebagai Ahli Dewan Rakyat kita telah bersumpah untuk berkhidmat kepada negara serta menegakkan Perlembagaan demi kepentingan rakyat Malaysia. Sayugia diingat bahawa sumpah setia itu bukanlah kepada parti ataupun pemimpinnya.

3. Sejak penulisan surat tersebut, keadaan ekonomi dan politik dunia telah pun berubah secara mendadak. Barang diingat bahawa setiap negara saling bergantung antara satu sama lain. Ini bermakna Malaysia tidak terlepas daripada merasai kesan perubahan ekonomi dan politik yang dialami dunia. Keadaan baru ini memerlukan kita mengambil kira dan menimbang perubahan yang perlu kita buat. Sekiranya kita hendak menyelamatkan rakyat, apa-apa cadangan kita untuk perubahan  mestilah mampu menimbulkan kesan positif untuk mengatasi  masalah berat yang melanda negara. Dalam menimbang apa jua perubahan, kita seharusnya memahami keadaan yang sedang melanda negara. Yang demikian saya ingin nyatakan kerisauan saya terhadap keadaan negara sekarang ini.

4. Tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan hutang negara akan tentukan keadaan dan kestabilan ekonomi kita. Mutu dan gaya hidup rakyat bergantung kepada dua perkara ini.

5. Yang saya maksudkan dengan hutang negara ialah hutang kerajaan, hutang sektor korporat dan hutang isi rumah.

6. Kerisauan saya mengenai hutang negara ialah ia telah mencecah paras yang boleh menyebabkan tercetusnya krisis ekonomi dan politik di hari muka. Kita tidak mungkin dapat menelah akan akibat dan kesan daripada krisis sebegini. Tetapi apa yang nyata ialah ia berbahaya terhadap Demokrasi Berperlembagaan yang mencorakkan kenegaraan Malaysia.

7. Sekaligus ini mengarahkan perhatian umum kepada persoalan asas lagi penting sama ada Dewan Rakyat mampu bertindak untuk menangani permasalahan semasa demi menegakkan ikrar kita ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

8. Berpandukan ikrar tersebut, saya berpendapat bahawa kita berkewajipan untuk mengetahui sebanyak manakah hutang negara itu dan apakah kemungkinan bebanannya terhadap rakyat kelak. Sila maklum bahawa kita dianggap gagal dalam memenuhi ikrar keperlembagaan tersebut sekiranya kita tidak ajukan soalan terpenting dalam menentukan  sebanyak manakah hutang tersebut. Dalam hal ini kerajaan haruslah bertindak secara telus serta memberitahu kepada Dewan Rakyat akan keadaan sebenarnya berkaitan dengan hutang negara.

9. Oleh kerana kita mengambil berat akan hutang negara, sekiranya rakyat dibebankan lagi dengan hutang, kita berkewajipan untuk memastikan bahawa pendapatan negara digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk pembayaran faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Sekiranya terdapat hutang sah dan kita bertanggungjawab ke atasnya maka kita berhak mendapat maklumat mengenai hutang tersebut. Yang demikian, sebagai Ahli Dewan Rakyat adalah menjadi tugas kita dan kita berhak untuk mendapat segala maklumat berkaitan dengan hutang tersebut. Sebagai Ahli Dewan Rakyat kita juga bertanggungjawab untuk memastikan segala jaminan, dengan izin Tan Sri Yang Dipertua, instrument kewangan dan letters of comfort yang membebankan rakyat jelata dengan hutang dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Cara ini membolehkan kita menilai dengan penuh tanggungjawab sama ada wajar atau tidak rakyat terus dibebankan.

10. Di atas perkiraan inilah saya telah cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat. Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat. Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan.

11. Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil. Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini.

12. Sekiranya sebab musabab perlunya berhutang dibentang di Dewan Rakyat dan ia didapati munasabah tentu sekali kita dapat  bertindak secara wajar terhadap niat Kerajaan. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati mengenai sama ada Kerajaan berhak mengenakan beban tambahan ini.

13. Sayugia diingatkan bahawa hutang isi rumah secara rasminya adalah pada tahap 87.4 peratus dan ini diakui satu-satunya yang tertinggi di Asia. Kita juga dibebani hutang korporat dan kita seharusnya mengambil berat akan perkara ini. Malangnya kita tidak dapat tanggapan sebenarnya mengenai masalah ini oleh kerana ketidaktelusan berkaitan dengannya. Apa pun, jumlah hutang isi rumah, hutang negara dan hutang korporat seharusnya merunsingkan kita apabila soal masa depan diperkatakan.

14. Juga merunsingkan ialah penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusi-institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan-perbadanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman.

15.. Dengan sendirinya ini membawa kita kepada persoalan tatacara pemerintahan atau, dengan izin, good governance yang penting dan perlu dalam pentadbiran kewangan negara kita. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahan kepentingan. Barang diingat bahawa pertelingkahan kepentingan ini merupakan suatu masalah serius. Bahawa perkara ini  mungkin telah diterima oleh Dewan Rakyat selama ini merupakan sesuatu yang tidak baik kepadanya.

16. Satu perkara yang ada hubungkait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah pengisytiharan harta dan liabiliti. Pengisytiharan ini hendaklah merangkumi Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen dahulu dan sekarang serta juga mereka dari sektor awam dan swasta di peringkat mempunyai kuasa membuat keputusan, dahulu dan sekarang. Pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen.

17. Kini kita sedang menghadapi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemerosotan ekonomi serta institusi yang dipertanggunjawabkan dengan mendaulat dan menegakkan Pemerintahan melalui Undang-Undang dan Perlembagaan demokratik, dan penghakisan perpaduan nasional mendadak sekali dan bertembung antara satu sama lain. Keadaan ini telah mencetus suatu krisis yang meresap ke akar umbi dan kita kini berada di dalam keadaan kesesakan politik dan ekonomi.

18. Keadaan ini memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian.

19. Kita sedang mengalami cabaran yang tidak pernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat telah beranjak kepada kepimpinan parti politik. Ia merupakan perkembangan di luar perlembagaan. Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.

20. Yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian seharusnya membuat keputusan sama ada  hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli Dewan yang mulia ini atau pun melepaskan sahaja hak sebagai Ahli Yang Berhormat kepada kuasa di luar Dewan Rakyat. Keputusan yang harus dibuat merupakan keputusan asasi untuk rakyat jelata. Ia merupakan detik bersejarah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian dan perlu membuat pilihan sama ada hendak berkhidmat serta tunduk kepada kehendak rakyat ataupun hendak bersama kepimpinan parti.

21. Tan Sri Yang Dipertua, di kesempatan ini izinkan saya nyatakan bahawa di dalam usaha kita membuat keputusan yang saya sebutkan itu kita haruslah berpandukan kepada suara hati atau pun, dengan izin, conscience. Ini bermakna kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itu kita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi.

17. Kini kita sedang menghadapi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemerosotan ekonomi serta institusi yang dipertanggunjawabkan dengan mendaulat dan menegakkan Pemerintahan melalui Undang-Undang dan Perlembagaan demokratik, dan penghakisan perpaduan nasional mendadak sekali dan bertembung antara satu sama lain. Keadaan ini telah mencetus suatu krisis yang meresap ke akar umbi dan kita kini berada di dalamkeadaan kesesakan politik dan ekonomi.

18. Keadaan ini memberi kesempatan kepadaDewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian.

19. Kita sedang mengalami cabaran yang tidakpernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat telah beranjak kepada kepimpinan parti politik. Ia merupakan perkembangan di luar perlembagaan. Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.

20. Yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian seharusnya membuat keputusan sama ada hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli Dewan yang mulia ini atau pun melepaskan sahaja hak sebagai Ahli Yang Berhormat kepada kuasa di luar Dewan Rakyat. Keputusan yang harus dibuat merupakan keputusan asasi untuk rakyat jelata. Ia merupakan detik bersejarah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian dan perlu membuat pilihan sama ada hendak berkhidmat serta tunduk kepada kehendak rakyat ataupun hendak bersama kepimpinan parti.

21. Tan Sri Yang Dipertua, di kesempatan ini izinkan saya nyatakan bahawa di dalam usaha kita membuat keputusan yang saya sebutkan itu kita haruslah berpandukan kepada suara hati atau pun, dengan izin, conscience. Ini bermakna kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itukita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi.

Ucapan oleh
Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang

Monday, March 16, 2015

Untuk elak PR pecah, elok kalau DAP dan PKR menyatakan persetujuan terhadap enakman Jenayah Syariah Kelantan kerana ia adalah hak bagi orang Islam dan tiada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam. Lagipun mereka telah melakukan melalui proses demokrasi yang menjadi asas perjuangan bersama.

Tidak perlu dipertikaikan Hudud kerana ianya telah wujud lama sebelum PR dan DAP itu sendiri. Hudud juga telah berjalan sejak zaman kesultanan Melayu lagi.

Jangan nanti bila UMNO menyatakan sokongan kepada enakman tersebut, maka itu jadi petanda UMNO akan bergabung dengan PAS. Kerana sokong hudud adalah wajib bagi setiap orang Islam, menolak hudud bermakna menolak sebahagian juzuk daripada Islam dan ianya akan mendekatkan kepada kufur kepada perintah Allah

Apakah bila Tun Mahathir menyerang 1MDB sebagaimana kita menyerang Najib lalu kita buat kesimpulan Mahathir akan menyertai PR?

Ada perkara yang menjadi hak bersama, dan ada perkara yang kita berbeza. UMNO / BN tetap menjadi 'musuh' bersama.

Belajarlah menghargai orang lain : TITM

Semua orang ada sumbangan dalam perjuangan Islam. Sumbangan tersebut tentulah berbeza antara satu sama lain, mengikut kemampuan dan kepakaran mereka.

Jangan pula seorang peguam mengkritik ahli ekonomi yang tidak bercakap bab undang-undang sebagai bodoh dan tidak menyumbang kepada perjuangan Islam, hanya kerana ia tidak berbicara soal undang-undang.

Jangan kita rasa ujub dengan apa yang kita tahu lalu membodohkan orang lain.

Di dalam segenggam lidi, semuanya berguna hatta lidi yang pendek sekalipun, walau tidak terkena sampah waktu menyapu, tetapi ia berperanan menguatkan ikatan lidi itu. Andai lidi pendek ini dibuang, ia akan meloggarkan semua ikatan lidi itu.

Begitulah kita dalam sebuah jamaah. Allah mengibaratkan ia bagai sebuah bangunan. Bangunan itu asalnya hanya bata, pasir, batu, simen, besi dan air. Namun bila digaul dan disusun, ikatan menjadi sangat kuat hasil kerjasama tersebut yang boleh bertahan berkurun lamanya.

Pendeknya, setiap orang ada bidang dan kebolehan masing-masing. Semua menyumbang kepada kemenangan Islam. Sumbangan lebih besar boleh dicapai jika semua erti saling menghormati kelebihan masing-masing.

Ahli agama ada bidang dan medannya. Ahli ekonomi ada kepakaran dan medannya demikian ahli doktor, jurutera, sains dan lain lain – mereka juga ada kepakaran dan medannya untuk memyumbang.

Kita tidak mungkin minta pakar sains berbicara tentang kaedah istinbat hukum yang menjadi kepakaran bagi ahli agama. Tapi ini tidak bermakna pakar sains tidak boleh mengeluarkan pandangannya. Cuma jangan pula pakar sains bersifat ujub sehingga menghina pandangan dan memandang remeh sumbangan orang lain.

Jangan kita kita perbodohkan orang lain semata-mata merasakan kitalah yang hebat itu, atau hanya kita sahaja yang membuat kerja Islam ini bagaikan orang lain tidak bekerja.

Buanglah ego dalam diri kerana mungkin kita rasa hebat tetapi orang lain rasa meluat dengan kenyataan kita.

Musuh ingin melihat perpecahan di kalangan kita dengan menimbulkan buruk sangka dan hilangnya hormat antara satu sama lain. Mereka gembira apabila kita hilang adab dalam memberi pandangan. Di kala itu, segala pandangan baik tidak lagi menjadi kebaikan. Kerana kebaikan hanya akan lahir bila kita mengerti berkasih sayang serta menghormati seseorang. Bilamana hilang hormat kita pada mereka, maka hilanglah hormat mereka kepada kita.

Belajarlah untuk thiqah pada orang lain, dan tawadduklah (merendah dirilah), kerana keegoanlah yang menjerumuskan syaitan ke lembah kehinaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS

Erti wala’ dan kemenangan

 Firman Allah SWT:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

"Mereka itu ialah orang-orang yang memberi wala' kepada orang-orang kafir dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut orang-orang munafik itu mengharap kekuatan dan kemenangan daripada pertolongan orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemenangan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).” [An-Nisa':138&139]

Ketika Nabi bersiap menuju ke medan perang Badar, seorang lelaki kafir berjumpa SAW untuk minta izin turut serta dalam peperangan, Nabi bertanya adakah kamu Islam? Dia berkata "tidak". Nabi SAW bersabda "Pergi! Kami tidak perlukan kepada pertolongan orang-orang kafir."

Lelaki itu pun beredar. Tetapi setelah beberapa ketika dia datang lagi meminta izin. Nabi tetap mengulang sabda yang sama sehinggalah dia datang kali ketiga dan Nabi bertanya adakah dia Islam, lalu dia berkata, "Aku masuk Islam sekarang." Baru Nabi izinkannya.

Perang Badar diberikan kemenangan Allah SWT walaupun bilangan yang kecil dan kelengkapan yang sedikit. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur.” [Ali Imran:123]

Selepas pemukaan Kota Mekah pula, rakyat kerajaan Islam bertambah ramai. Apabila puak Thaqif dan Hawazin bersiap untuk memerangi Mekah, Rasulullah SAW mengerahkan seramai mungkin tentera sehingga berjumlah 12,000 orang. Di kalangan itu kebanyakannya muallaf, dan ada yang masih belum Islam.

Kerana bilangan yang tertinggi dalam sejarah peperangan masa itu, timbul cakap-cakap kalangan tentera Islam yang berkata, "Kita tidak akan dikalahkan lagi selepas hari ini." Mereka membandingkan, Badar yang hanya 313 boleh menang, apatah lagi sekarang.

Sampainya mereka di Hunain, mereka telah diserang hendap menyebabkan ramai ketakutan dan panik, lalu melarikan diri. Yang tinggal hanya Rasulullah bersama 100 orang sahabat.

Nabi turun dari baghalnya lalu mara menghadapi musuh dengan gagahnya sambil berkata:

أنا ابن عبد المطلب. أنا نبي لا كاذب

“Aku adalah cucu Abdul Muttalib. Aku Nabi, bukan pendusta.”

Nabi mengambil pasir dengan genggaman tangannya lalu dilempar terhadap musuh. Berlakulah Mukjizat apabila musuh berhenti menyerang serta merta, kerana debu-debu halus masuk ke dalam mata mereka menghalang pandangan. Akhirnya, Allah takdirkan kemenangan ditangan 100 orang beriman ini.

Oleh itu pergantungan sesuatu kemenangan mesti diserahkan kepada Allah SWT semata-mata, jangan mengharapkan kepada manusia atau apa-apa selain-Nya.

Firman Allah SWT:

وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

“...dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun, dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” [Al-Taubah:25]

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

GST, 1MDB, Dr M, Hudud, DAP, PAS, PR Dan Masa Depan Negara

1Malaysia Development Berhad (1MDB) – kemelut yang sedang melanda Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu menjadi satu isu yang membolehkan rakyat menolak Umno-BN selain Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tuduhan rasuah dan salah guna dana awam yang sering dibangkitkan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).

PR perlu terus percaya kepada perjuangan mereka Umno-BN akan tumbang kerana isu rasuah, 1MDB, kos sara hidup, GST dan cukai-cukai baru yang akan diketengahkan jika perbendaharaan negara terus bocor.

Jangan ragu isu yang bakal tenggelamkan Umno-BN. Lebih-lebih lagi, perkara ini disahkan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui tangan dan mulutnya baru-baru ini.

Umno-BN sudah tersepit. Tali yang digunakan untuk memancing kekayaan kini terjerut di leher sendiri hasil serangan bertubi-tubi PR. Tali itu bukan sahaja kusut, menjerut, membelit tetapi juga matakailnya sudah mencangkuk mulut Umno-BN sendiri

Tali itu kini diketatkan ke leher Umno-BN oleh Dr Mahathir yang dahaga ingin mengetahui asal usul kekayaan anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir mungkin hanya berminat hendak melihat Najib mengalami nasib yang sama dengan Pak Lah. Tapi jangan pandang kecil pada usaha Dr Mahathir, yang sering kali menguntungkan PR.

Ketika beliau berusaha menghalau Pak Lah, BN kehilangan 2/3 majoriti buat kali pertamanya di PRU12, satu perkara yang tidak pernah berlaku lagi di Malaysia ketika itu.

Pada PRU13, bilamana Dr Mahathir mula merungut mengenai Najib, BN kehilangan 7 kerusi lagi kepada PR. Bayangkan apa yang akan berlaku pada PRU14 dengan soalan serangan Dr Mahathir terhadap kekayaan ahli keluarga Najib?

PR, terutamanya DAP, perlu terus percaya dan percaya betul-betul tanpa sebarang was-was asakan Dr Mahathir dan isu seperti 1MDB, GST dan lain-lain isu penyelewengan yang duit awam seperti Pembinaan PFI yang mempunyai hutang berpuluh bilion dengan KWSP dan SRC International yang mengambil RM4 bilion hutang daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) akan menumbangkan Umno-BN.

PR perlu yakin dan percaya tiada isu lain yang akan dapat menghalang rakyat Malaysia untuk terus menolak Umno-BN di PRU14 disebalik perbezaan dan perbalahan sekejap-sekejap di antara parti-parti komponen PR, termasuklah isu pilihan raya pihak berkuasa tempat dan hudud.

Isu hudud di Kelantan sudah berumur 23 tahun, lama sebelum PR wujud. Kalau manusia berumur begitu, dia sudah diberikan hak mengundi di bawah perlembagaan untuk menentukan parti mana yang disokongnya waktu pilihan raya.

Oleh itu, DAP usah jerut leher PR dan PAS dengan isu hudud. Jangan susah hati pasal hudud. Hudud bukan untuk DAP. Hudud untuk orang Islam sebagaimana undang-undang syariah yang ada hari ini hanya untuk Islam.

Seluruh rakyat Malaysia tahu DAP menentang hudud. Mereka tahu DAP tak boleh terima hudud atas hujah perlembagaan. Mereka kenal pendirian tegas DAP. Apa yang PAS buat tidak boleh disalahkan pada DAP. Rakyat tahu. Pengundi bukan Islam tahu.

Tapi seperti kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, takkanlah sebab Dr Mahathir menyerang isu 1MDB sebagaimana PR menyerang Najib, kita sudah boleh menganggap Dr Mahathir ini sudah tidak mahu Umno dan ingin bersama PR?

Begitu juga dengan PAS dan DAP. Takkan kerana DAP menentang hudud, PAS tidak mahu lagi bersama PR, dan takkan kerana PAS sayangkan hudud, DAP tidak mahu lagi bersama PR? Tentu bukan, kan?

Seperti yang ditegaskan Ustaz Tuan – yang pasti, PAS dan DAP masih bersama menentang Umno-BN. Bukankah itu sudah cukup?

Ataupun apakah DAP beranggapan bahhawa perjuangan menentang hudud ini jauh lebih penting daripada perjuangan membebaskan negara daripada Umno-BN? Harapnya Tidak.

Seluruh rakyat mengharapkan esok yang lebih baik bagi seluruh rakyat Malaysia.

Sunday, March 15, 2015

Senang Dan Susah Terus Bersama....


Sedikit sumbangan kepada sahabat kita Yeop Tapa bagi membantu anaknya melanjutkan pelajaran ke UNISEL. Ini adalah sebagai tanda penghargaan diatas usaha beliau yang susah senang beliau terus istikomah bersama jemaah. 

Mudah-mudahan usaha kami yang sedikit ini memberi sinar kepada beliau sekeluarga dalam usaha meningkatkan taraf hidup keluarga. Susah macam manapun pendidikan perlu diutamakan. Sebagaimana usaha Nabi dalam membina sebuah generasi yang kuat selain daripada kekuatan ekonomi, fizikal kekuatan ilmu sangat diutamakan.

Semoga berjaya dengan cemerlang.

Friday, March 13, 2015

Bertenang....

Air yang keruh apabila dibiarkan tenang akan menjadi jernih. Air jernih apabila dikacau akan menjadi keruh. Kita boleh memilih untuk bertenang dan kita juga boleh memilih untuk menjadi tukang kacau. Semakin kacau maka semakin keruh dan berkelodak.

Jangan kita banyak berteori kerana akal kita pendek dan pemikiran kita tumpul. Kalau kita menghormati Tok Guru, kita terimalah seadanya. Kalau kita nak tukar ada medannya serta kaedahnya. 

Berhentilah membuat kenyataan yang tidak menguntungkan. Dalam keadaan biasa diam itu mendamaikan.

Wednesday, March 11, 2015

Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian dimaklumkan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, pelantikan Dr Haron yang sebelum ini adalah Timbalan Mursyidul Am PAS itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 8 Mac lalu di Pejabat Agung PAS, di sini.

Menurut beliau lagi, pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dipilih sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS menggantikan tempat Dr Haron Din.

Katanya, anggota-anggota dalam Majlis Syura Ulamak yang lain tidak berubah. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Tuesday, March 10, 2015

Terima Kasih PAS Kota Bharu: Inilah pendirian saya.

Pencalonan saya untuk mencabar TGHH sebagai Presiden merupakakan satu kejutan yang tidak membina keutuhan parti. Sejarah kepimpinan PAS jawatan  Presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya diera Kepimpinan Ulamak. 

Saya melihat manisnya jika kita yang  mendokong kepimpinan Ulamak, terus mengekalkan budaya tersebut. Dalam PAS jawatan bukanlah menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat'( berlomba melakukan kebaikan).

Kepimpinan TGHH telah menunjukkan kejayaan dan prestasi yang sangat hebat. Kalau kesatuan Ulamak Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua di dunia, apakah wajar kita mencadangkan untuk menggantikan beliau ?. Saya bimbang kita memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat luar. Walaupun atas nama memenuhi tuntutan demokrasi, namun kedudukan 'syura' lebih mulia dari demokrasi. Kalau syura adalah jalan terbaik, maka sewajarnyalah kepimpinan parti diselesaikan secara syura. 

Atas pencalonan dari PAS Kawasan Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi. Namun saya menolak pencalonan tersebut dan menyeru semua kawasan lain agar terus mendokong Kepimpinan TGHH sebagai Presiden parti.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu".

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Naib Presiden PAS.
10hb Mac 14.

Monday, March 9, 2015

Hindarkan Penyakit Percaya Kepada Lidah Musuh Lebih Dari Presiden Sendiri

Kalau kita sokong Kenyataan Presiden dan Majlis Syura, maka kita mestilah memperkukuhkan PR, kerana salah satu dari kenyataan mereka semua ialah PAS akan tetap bersama PR. Maka tidak timbul soal keluar dari PR.

Demikian juga seandainya tahaluf kita bercanggah dengan syarak, tentulah Majlis Syura tidak akan membuat kenyataan untuk tetap bersama PR. Musuh politik kita sangat inginkan kita berpecah. Kita akui ada masalah dalam muafakat kita, namun permasalahan tersebut lebih bersifat isu bukan prinsip yang dilanggar oleh parti. Isu adalah subjektif kerana ia akan muncul di sepanjang zaman permuafakatan kita.

Di sinilah kebijaksanaan kita mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Dalam politik, isu akan sentiasa ada, kerana ia adalah makanan bagi politik. Tanpa isu politik akan mati.

Apa yang perlu disedari dalam zaman media terbuka ini, bukan semua penulisan dan pandangan perlu dibahas. Sebagai contoh untuk keluar dari muafakat PR, ia bukan boleh dilakukan dengan kenyataan satu dua pimpinan atau ahli, ia mesti dibahas dan diterima oleh muktamar.

Demikian juga ada yang menuduh PAS akan bersama dengan UMNO walau berpuluh kali ditegaskan dan dinafikan oleh pimpinan, masih ada yang percaya sedangkan semua dasar utama dan perkara besar mesti dibahas dan diterima dalam muktamar.

Kita perlu fahami ada media dan blogger hidup dengan melaga-lagakan pimpinan, mensensasikan keadaan serta manipulasi sesuatu isu. Blogger dan penulis upahan inilah yang mewujudkan pelbagai kegawatan, kecelaruan dan perpecahan dalam masyarakat. Di sinilah keperluan ahli merujuk sumber rasmi parti sahaja sebagai sumber utama, manakala penulisan lain tidak boleh dijadikan pegangan.

Malangnya ada di kalangan kita merasai ia sama sahaja dari mana sumber kita ambil. Lebih malang apabila kita mengambil dari sumber musuh. Kalau rakyat Israel lebih percaya kata-kata pimpinan HAMAS dari kenyataan pemimpin mereka, maka kita mesti yakin kepada kepimpinan presiden kita.

Tentulah aneh kalau ahli parti lebih sayang presiden lain dari presiden sendiri, atau lebih tertarik kepada dasar parti lain dari parti sendiri. Kalau terjadi begitu mungkin dia tersilap parti atau tidak hadir program tarbiyah parti.

Kita memilih PAS kerana dasar dan tujuan perjuangannya. Inilah yang membezakan PAS dengan parti yang lain. Parti ini sentiasa berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi di sepanjang laluannya. Terlalu banyak darah, airmata, keringat yang tumpah. Terlalu banyak penderitaan ahli ditekan, ditindas semata-mata kerana menyokong PAS. Jangan ada yang mengkhianati perjuangan ini.

Kita yakin Allah akan memelihara pimpinan dan ahli yang ikhlas dalam perjuangan ini. Musuh akan berusaha menghancurkan parti ini seawal penubuhannya, dan kita yakin ianya akan berterusan sehingga hari kiamat. Kerana itu adalah Sunnatullah.

Maka peliharalah hati dari buruk sangka, hasad dengki, khianat dan pelbagai penyakit lain dengan memelihara amalan peribadi. Jagalah solat-solat sunat, mathurat, bacaan al-Quran, ambillah bahagian dalam apa jua kerja jamaah walau sekadar menyusun kerusi. Peliharalah amalan hati, kerana bila hati rosak, tukarlah siapa pimpinan pun ia tetap tidak berpuashati, kerana yang rosak adalah dirinya bukan jamaah atau kepimpinannya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat