Tuesday, June 23, 2015

SURAT TERBUKA KEPADA AHLI PAS

“DILEMA ‘AQIDAH DAN PENDEKATAN”

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang by jma@tekali

Menemui semua ahli PAS semoga berada dalam limpahan rahmat Allah SWT,

Setiap pengikut perjuangan Islam wajib menyedari dan faham, bahawa ada dua aspek penting dalam perjalanan perjuangan Islam yang sangat mencabar. Gagalnya kita memahaminya, boleh menyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul. Kedua-dua aspek tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya memohon petunjuk Allah dengan khusyu’ setiap rakaat salat dan bila-bila masa sahaja. 

Pertama : ‘Aqidah perjuangan; dan kedua : pendekatan yang dilakukan, beramal, dakwah dan melaksanakan Islam bagi membawa rahmatnya kepada seluruh manusia. 

Kedua-dua aspek ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bersama para sahabatnya R.A. yang setia bersamanya dengan petunjuk Allah daripada al-Quran, dalam semua keadaan. Ianya ditunjukkan dalam Marhalah Makiyyah dan Madaniyyah, iaitu di masa lemah dan kuat, di masa belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara. 

Pertama
Beristiqamah bersama aqidah perjuangan Islam adalah sangat berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia. 

Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada Allah dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga akhirat, walau pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan panca indera. Perkara aqidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apapun dugaannya. 

Kedua
Aspek ini menuntut kita beristiqamah melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah, halal dan haramnya adalah dengan cara yang diizinkan oleh Allah, berhubungan dengan bukan Islam dan musuh dengan cara yang diizinkan Allah juga. Walaupun hukumnya dari segi aqidah tegas dan tetap.

Sirah Nabawiyyah melaporkan pendekatan Rasulullah S.A.W. menerima perlindungan keluarganya yang dipimpin oleh Abu Tolib di atas semangat  kekeluargaan tanpa menerima Islamnya, menerima pembelaan salah seorang pemimpin  kaumnya Mut’im bin ‘Adi yang menentang kezaliman walaupun dia bukan Islam, meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke Madinah daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin ‘Uraiqit dengan keimanan menegakkan negara di Madinah dan menjanjikan hadiah gelang emas kerajaan Parsi  kepada Suraqah bin Malik,  musuh yang datang untuk membunuhnya di tengah jalan.

Hakikatnya ialah, apabila Abu Tolib dan lain-lain menawarkan keamanan dengan meninggalkan aqidah, maka ianya ditolak dengan keras. Apabila pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi raja yang berkuasa dan tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan aqidah perjuangan maka ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan perjuangannya.

Sikap yang sama ditunjukkan oleh semua para sahabat R.A. ketika berada di-Makkah, sehingga bersama melakukan Hijrah yang menghasilkan kejayaan. 

Maka bersabdalah Rasulullah S.A.W. 
إنّمَا الأَعْمَالُ بالنِّيّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امرِىءٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصيبُهَا، أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكَحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْه.     (البخاري ومسلم).   

(Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing. Sesiapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia  mendapat fadilat hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat hijrahnya kerana dunia, atau seperti kerana mengikut wanita yang hendak dinikahinya maka terimalah dia mengikut naitnya itu). 

Hadis ini adalah bersempena dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil kepada semua amalan seseorang. Hijrah adalah pendekatan, wujudnya aspek “niat” adalah menunjukkan bahawa urusan hijrah ini mempunyai “aqidahnya”. Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.
Apabila tegaknya negara di Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan istiqamah di antara Aqidah dan pendekatan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, dalam keadaan yang lebih mencabar  dalam masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam, bukan Islam dan munafik. 

Allah berfirman:
۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٩ الممتحنة

Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya. Maka Rasulullah S.A.W, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain. 

Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan Aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat tegas dalam perkara Aqidah perjuangan. 

Maka setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jama’ah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah. 

Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah.

TG DATO' SRI ABDUL HADI AWANG

Wednesday, June 17, 2015

SAMBUTLAH RAMADHAN DENGAN SEPENUH KETAQWAAN

30 Syaaban 1436 / 17 Jun 2015

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang by jma@tekali

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 183)

Seluruh ummat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadat puasa sebulan di Ramadhan bermula esok. Maka dengan ini, saya  mengambil kesempatan yang ada ini untuk berpesan kepada diri saya , ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan yang ada untuk kita mengejar redha Allah SWT dengan Islam yang sempurna ini.

Kita berharap kepada Allah SWT, semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi bersama tahun ini menghasilkan natijah yang baik untuk kita semua. Bulan yang berkat dan mulia ini, yang diturunkannya Al-Quran dan adanya malam yang yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitulah Lailatul Qadar mampu mengembalikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada kemuncak yang diredhai Allah SWT.

Dalam suasana kita mengharungi Ramadhan ini, jangan kita lupa nasib agama kita, saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik di seluruh dunia seperti nasib Dr Muhammad Morsi yang dihukum oleh regim zalim As-Sisi, nasib saudara kita di Palestin yang ditindas oleh zionis israel, nasib saudara kita yang dibiarkan tanpa tanah air di bumi Arakan, Myanmar dan lain-lain lagi.

Semoga lembaran Ramadhan kali ini juga, berjaya mengembalikan semangat kita membuat perubahan kepada diri kita, masyarakat kita dan seterusnya negara kita ke arah yang diredhai Allah SWT. Kita perlu berusaha dan terus berjuang supaya Islam tertegak dengan hak-hak yang ditetapkan oleh Allah dan mengambil semangat ramadhan yang ada, yang pernah mendatangkan kejayaan gemilang  kepada saudara-saudara seaqidah kita yang terdahulu.

Justeru, marilah kita bersama-sama menempuh ramadhan tahun ini dengan harapan kita berjaya menjadi manusia-manusia bertaqwa seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran apabila menyebut tentang pensyariatan puasa di bulan Ramadhan.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"


DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Jom Shopping

200 orang lagi menerima bantuan Hari Raya dalam satu lagi program Jom Shopping. Semoga sedikit bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban rakyat yang dihimpit pelbagai kenaikkan harga barang dan kos lain.

Monday, June 15, 2015

Keputusan Yang Belum Putus.

 


Semalam FB Dewan Ulamak PAS Pusat telah memuatkan usul mereka pada Muktamar PAS yang baru lalu.

Tujuannya adalah untuk merungkai kekeliruan yang timbul akibat usul tersebut.

Para akhir usul tersebut menyebut,

"Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat".

Inilah usul Dewan Ulamak.

Ia TIDAK MENUNTUT Muktamar memutuskan hubungan TETAPI MENCADANGKAN kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN TERSEBUT.

Itulah keputusan Muktamar, agar dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat.

Keputusan pula belum dibuat.

Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk MEMBAKULSAMPAH keputusan Muktamar itu dengan mengumumkan perkara yang tidak diputuskan oleh Muktamar.

Mereka mengatakan Muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujjah bahawa keputusan Muktamar perlu dipatuhi.

Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh Muktamar.

Saya tidak tahu kenapa keputusan Muktamar diputarbelit begitu rupa.

Kita perlu maafkan mereka jika mereka benar-benar tidak faham atau tidak jelas.

Saya berharap usul asal Dewan Ulamak yang dimuatkan ke FB mereka akan dapat menjelaskan perkara ini.

Hormatilah keputusan perwakilan Muktamar.

VIA FACEBOOK :

Iskandar A Samad

Sunday, June 7, 2015

Catatan Dhuha

Pemain media sosial janganlah membuat dosa kering untuk mengadu domba selepas pemilihan. Orang yang bertanding tidak ada masalah, kenapa pula orang lain pula yang meracau selepas muktamar. Tidak perlulah berperangai sedemikian. 

Saat kematian sedang menunggu kita semua. Cuba renunglah ke hadapan apakah kerja ini boleh mendapat pahala. Kalau kita merasakan ini boleh mendapat pahala. Silakanlah, tidak ada siapa pun yang boleh melarang. Anda bebas hendak menulis apa sahaja..... sehingga Malaikat Izrail mengambil nyawa.

 Ust Idris Hj Ahmad
 20 Sha'ban 1436.
 7 hb Jun 2015 Ahad.

Friday, June 5, 2015

Tahniah Kepada Perwakilan


Setelah sekian lamanya kemelut dalaman berlanjutan, pertikaman lidah dan pertembungan golongan yang menyokong dan tidak menyokong sentiasa panas di media internet. Semua berpandangan biarlah ahli perwakilan membuat keputusan.

Akhirnya semalam perwakilan telah membuat keputusan. Mereka membawa hasrat akar umbi untuk membuat keputusan. Keputusan yang dibuat adalah mencerminkan hasrat majoriti ahli parti yang mahu keadaan yang bercelaru selama ini dihentikan. PAS perlu fokus dalam memperjuangkan Islam, berlandaskan Islam dan yang paling penting mengutamakan Islam dalam apa jua keputusan. 

Justru itu muktamar telah memilih untuk kembali kepada kepimpinan ulamak. Yang dipimpin oleh ulamak di seluruh peringkat. Bukan menafikan yang tidak memyokong ulamak tetapi parti perlu tenang semula bagi membuat persediaan untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Tanpa menafikan sumbangan mereka yang tidak menang. Kita juga mengucapkan terimakasih atas sumbangan mereka kepada parti. Marilah kita ambil keputusan ini sebagai tempoh bertenang. Semoga semua tenang menerima keputusan ini.


Thursday, June 4, 2015

Tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dengan parti komponen PR pada masa ini bukanlah satu janji atau ketaatan yang perlu dilakukan secara membuta tuli.

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan tahaluf siyasi dengan parti sosialis dan parti yang berasaskan kepada pelbagai kaum itu boleh diteruskan selagi mana ia ada kepentingan umum.

"Tahaluf yang berlaku sekarang ini ialah bukan janji atau ketaatan membuta tuli.

"Ada maslahah teruskan.. (Jika) tiada, faham-fahamlah," katanya pada Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini.

Haron juga berkata, Pas bertahaluf bukan kerana mahu menambah bilangan penyokong bagi memenangkan parti itu dalam pilihan raya semata-mata.

"Kalau semata-mata nak menang pilihan raya, tak kisah tahaluf itu lulus syariah atau tidak, maka kita bimbang kita mungkin beruntung sedikit di dunia, dan akan rugi-seruginya di akhirat kelak.

"Atas itulah keutamaan dilihat kepada lulus syariah atau tidak," ujarnya.

Dalam pada itu, Haron turut menyenaraikan enam garis panduan bagi tujuan tahaluf siyasi yang dibuat sejak 2009.

Antaranya tahaluf siyasi yang diharuskan mestilah dijadikan wasilah untuk menegak dan memperkukuhkan Islam serta membuka ruang kepada pelaksanaan hukum Islam.

Selain itu, katanya lagi, kerjasama politik itu mestilah menjadi Islam sebagai dasar utama untuk dipertahankan.

"Tahaluf siyasi perlu menuruti ketaatan wala' mutlak, hendaklah diberikan kepada kepimpinan Pas, bukan kepada parti lain yang bertahaluf.

"Kemudian, ia hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

"Akhirnya, Majlis Syura Ulama Pas mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi ini berdasarkan kepada maslahah dari semasa ke semasa," katanya lagi. SH

Tahniah & Takziah



Wednesday, June 3, 2015

Keputusan Muktamar Pemuda


Kalah menang adat pertandingan. Pertandingan pula adalah peruntukkan yang dibenarkan oleh perlembagaan. Yang menang adalah kerana mendapat lebih sokongan dan yang kalah pula kerana kurang sokongan.

Apa pun semua kena belajar dari madrasah tarbiah kehidupan. Bila berkempan jangan melampau. Bila berkumpulan jangan sampai merendahkan kumpulan lain. Label dibenarkan... tetapi jangan mengelar nama yang buruk.

Menyuarat atau muktamar adalah wadah untuk berhujah dan membuat keputusan. Kini pemuda sudah membuat keputusan. PAS wujud kerana Islam dan akan terus wujud kerana Islam. Itulah perjuangan yang didokong selama ini.

PAS pernah menang dan biasa kalah dalam pilihanraya. Sebagai pejuang, PAS tidak merasa kekalahan itu sebagai suatu beban. Perjuangan kita adalah ibadat. Menang adalah bonus dan kalah adalah satu cabaran untuk tingkatkan usaha dan gerak kerja. PAS tidak pernah kalah dalam perjuangan... cuma belum menang.

Secara umumnya keputusan pemilihan pemuda adalah amat konsistan. Jumlah undi Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda adalah sama polanya. Jangan kata ianya hanya undian kepada individu semata-mata. Ianya adalah keputusan ya ng menjurus kepada menerima satu kelompok/gagasan dan menolak satu lagi.

Analisa ini adalah penting untuk melihat kecenderungan perwakilan dan ahli dalam membuat keputusan. Dalam masa yang sama juga ia merupakan dasar dalam mencari formula untuk merapatkan semula ukhuwah dan jemaah. Pastinya ada yang terpinggir dan hilang dari medan. Sebagaimana dalam peperangan, ada yang memang, ada yang kalah, ada yang cedera, ada yang mati dan tidak kurang juga yang pening dan terus sesat dalam hutan.

Kini masanya untuk mengumpulkan semua jentera anak muda ini. Yang mati perlu dikebumi, yang cedera perlu dirawat, yang kecewa perlu ditarbiah dan yang hilang perlu dicari.

Ingatlah jangan sampai kebencian kita terhadap sesuatu kumpukan itu menyebabkan kita berlaku zalim.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al-Maeda :8.