Kalah menang adat pertandingan. Pertandingan pula adalah peruntukkan yang dibenarkan oleh perlembagaan. Yang menang adalah kerana mendapat lebih sokongan dan yang kalah pula kerana kurang sokongan.
Apa pun semua kena belajar dari madrasah tarbiah kehidupan. Bila berkempan jangan melampau. Bila berkumpulan jangan sampai merendahkan kumpulan lain. Label dibenarkan... tetapi jangan mengelar nama yang buruk.
Menyuarat atau muktamar adalah wadah untuk berhujah dan membuat keputusan. Kini pemuda sudah membuat keputusan. PAS wujud kerana Islam dan akan terus wujud kerana Islam. Itulah perjuangan yang didokong selama ini.
PAS pernah menang dan biasa kalah dalam pilihanraya. Sebagai pejuang, PAS tidak merasa kekalahan itu sebagai suatu beban. Perjuangan kita adalah ibadat. Menang adalah bonus dan kalah adalah satu cabaran untuk tingkatkan usaha dan gerak kerja. PAS tidak pernah kalah dalam perjuangan... cuma belum menang.
Secara umumnya keputusan pemilihan pemuda adalah amat konsistan. Jumlah undi Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Pemuda adalah sama polanya. Jangan kata ianya hanya undian kepada individu semata-mata. Ianya adalah keputusan ya ng menjurus kepada menerima satu kelompok/gagasan dan menolak satu lagi.
Analisa ini adalah penting untuk melihat kecenderungan perwakilan dan ahli dalam membuat keputusan. Dalam masa yang sama juga ia merupakan dasar dalam mencari formula untuk merapatkan semula ukhuwah dan jemaah. Pastinya ada yang terpinggir dan hilang dari medan. Sebagaimana dalam peperangan, ada yang memang, ada yang kalah, ada yang cedera, ada yang mati dan tidak kurang juga yang pening dan terus sesat dalam hutan.
Kini masanya untuk mengumpulkan semua jentera anak muda ini. Yang mati perlu dikebumi, yang cedera perlu dirawat, yang kecewa perlu ditarbiah dan yang hilang perlu dicari.
Ingatlah jangan sampai kebencian kita terhadap sesuatu kumpukan itu menyebabkan kita berlaku zalim.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al-Maeda :8.
No comments:
Post a Comment