Tuesday, March 29, 2011

PAS : Judi Tetap Haram

PAS tetap dengan keputusan bahawa judi adalah haram.
Karpal kata ikut undang-undang Malaysia yang digubal oleh UmNo dan BN, judi dibenarkan dan tidak haram.
Ku Li kata haram...... tapi tak haram..... Haramkan judi selepas 20 tahun itu tergesa-gesa!
UmNo kata?
_________________
Pengharaman penjualan tiket judi loteri seperti 'big sweep' di Kelantan akan diteruskan selepas tindakan itu didakwa tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penasihat undang-undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan itu.

Katanya, keputusan dibuat selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan sebaik diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Takiyuddin berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan pada mesyuarat exco hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan. Undang-undang itu membolehkan kerajaan negeri memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.

Di Kuala Lumpur, pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu kenyataan berkata beliau terkejut dengan keputusan kerajaan negeri Kelantan itu. “Jelas, penasihat undang-undang diberikan nasihat salah bagi membuat pengumuman seumpama itu. Apa yang lebih membimbangkan adalah tiada alasan diberikan berhubung keputusan itu. Sebarang pendapat tanpa hujah tidak membawa sebarang pengertian,” katanya.

Sehubungan itu, Karpal menasihatkan penasihat undang-undang negeri Kelantan mendapatkan nasihat Peguam Negara sebelum membuat keputusan yang mungkin mengelirukan kerajaan PAS.

Ku Li: Terburu-buru

“Jualan tiket loteri bukan sesuatu yang haram. Malah, perkara itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan ia pula tidak mengharamkan penjualan tiket loteri,” katanya.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor juga meminta kerajaan negeri supaya menarik balik larangan berkenaan yang didakwa telah menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat negeri itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah kerajaan PAS itu sebagai tindakan terburu-buru. "Kerajaan PAS Kelantan tidak sewajarnya bertindak secara keterlaluan kerana perjudian seperti itu adalah minat kaum Cina di Kelantan atau di mana-mana sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Umno cawangan Chalil, dekat Gua Musang, hari ini.

Isu pengharaman loteri itu timbul berikutan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua buah kedai buku dan merampas tiket loteri itu bulan lalu.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang berkata, setiap tindakan yang hendak diambil oleh kerajaan negeri itu hendaklah mengambil kira kepentingan kaum lain. "Kita tidak menafikan fatwa yang dikeluarkan itu berdasarkan kepentingan agama Islam tetapi pada masa yang sama, kita harus melihat kepentingan kaum lain mengikut undang-undang," katanya.

Friday, March 25, 2011

Untuk Kekal : Kerajaan Tolak Guna Dakwat Kekal

Menteri yang merasa dirinya cerdik itu cuba memperbodohkan rakyat yang disangkanya bodoh. Kita bukan mintak perkara yang baru dan tidak munasabah. Jangan cerita sama ada orang nak celup jari dalam dakwat atau tidak..... kalau nak kira hendak atau tidak, orang naik kereta duduk di belakang pun tidak mahu pakai tali pinggang keselamatan tetapi kerajaan tetap kuat-kuasakan.... tak pakai denda RM300. Ada menteri kisah pasal perlembagaan?

Apa kena-mengena dengan biomatrik? Biomatrik untuk mengenalan bukan untuk menandakan beliau telah mengundi atau belum. Ini satu lagi jawapan tidak cerdik (bangang) dari seorang menteri yang dikatakan intelek. Ataupun beliau menyangka beliau sahaja cerdik orang lain bodoh belaka.

Nampaknya kerajaan tidak berminat untuk melaksanakan proses pengundian yang telus kerana takut kalah. Penipuan adalah kaedah yang terbaik. Kalau mengundi pun mereka cuba tipu apa jaminan mereka tidak akan menipu perkara yang lain?
______________________________
KUALA LUMPUR, 24 Mac: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang menimbang semula penggunaan dakwat kekal kerana ia dianggap tidak lagi sesuai untuk digunakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan titah ucapan Diraja berkata, SPR sedang berusaha mencari kaedah baru yang lebih moden dan boleh diterima oleh semua pihak untuk digunakan dan sedang meneliti penggunaan biomatrik sebagai ganti.

"Namun ia masih dalam perhatian kerana perlu melihat dari semua sudut," katanya.

Nazri menambah, penggunaan dakwat kekal juga tidak sesuai kerana bercanggah dengan perlembagaan dengan memberi contoh situasi pengundi tidak mahu ibu jarinya dicalit dengan dakwat.

Bagaimanapun, jawapan itu mendapat tentangan daripada Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang menyifatkan ia masalah peraturan yang boleh diselesaikan sebelum hari mengundi.

"Alasan mengenai perlembagaan itu kurang tepat. Kalau itulah yang menjadi isunya pada pilihan raya yang lepas, saya kira kita mempunyai masa yang cukup untuk meminda peraturan dalam pilihan raya itu sendiri.

"Tapi kita tidak membuat usaha ke arah itu. Mungkin tidak ada political will dan perjumpaan kita dengan SPR pun, SPR kata ini adalah keputusan kabinet, ini adalah keputusan kabinet," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, SPR menerima tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) agar dakwat kekal digunakan namun keputusan itu ditarik balik beberapa hari sebelum mengundi atas arahan kerajaan.

Siti Mariah juga menyanggah jawapan Nazri bahawa tidak berlaku pengundian dua kali dan mendakwa terdapat pendatang asing menerima kad pengenalan meskipun tidak layak.

"Saya nak bangkitkan mengenai tidak ada pengundian dua kali. Mungkin kalau saya bawa perkara ini Menteri kata tuduhan tapi kita sudah banyak kali mendengar bagaimana di Sabah kad pengenalan diberikan kepada pendatang tanpa izin.

"Pengeluaran kad pengenalan ini menjadi perbualan malah di kalangan kakitangan kerajaan di jabatan Pendaftaran Negara sendiri mengatakan kad pengenalan mudah diberikan kepada rakyat termasuk pendatang tanpa izin yang dah lama beerada di sini untuk menjadi pengundi. Ini utuk kepentingan politik BN," dakwanya.

Tambahnya, tidak mungkin mereka yang menerima kad pengenalan secara tidak sah akan mengaku mengenai perkara itu.

"Menteri mungkin suruh saya bawa saksi. Tapi mana ada orang yang dapat kad pengenalan, yang tak sepatutnya dia dapat akan mengaku bahawa dia mendapat kad pengenalan.

"Inilah kebimbangan kita, JPN akan keluarkan kad pengenalan kepada orang yang tak sepatutnya sehingga ada yang mempunyai kad pengenanalan lebih daripada satu, boleh pergi ke dua tiga pusat pengundian,"katanya.

Nazri juga memberitahu, sistem pengundian automatik juga tidak akan dilakukan atas alasan sebahagian besar rakyat tidak tinggal di alamat seperti yang didaftar dalam kad pengenalan.


Friday, March 18, 2011

Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS

PAS Dusun Tua mengalu-alukan kedatangan YBhg Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ke Hulu Langat bagi merasmikan jentera pilihanraya PAS Hulu Langat dan khususnya Dusun Tua pada malan ini di Darul Hidayah. Semoga dengan kehadiran YBhg dapat menyuntik semangat para pejuang, penyokong dan pendokong PAS. Diharapkan selepas ini PAS akan berjaya menguasai Parlimen dan seluruh DUN dibawahnya bagi menterjemahkan Islam Adil Untuk Semua.

Selain dari doa kita perlu juga merancang dan berusaha. Usaha tanpa perancangan akan gagal, merancang tanpa usaha akan sia-sia. Kita bukan gila kuasa.... cuma kita ingin mengambil alih kuasa dari orang gila. Selamat berjuang.

Bible Dalam Bahasa Melayu

Sebelum kita setuju atau tidak dalam perkara ini mari kita jawab persoalan berikut:
  1. Adakah menjadi kesalahan untuk menyebarkan agama eristian kepada orang Melayu terutamanya yang beragama Islam? Negeri mana yang benarkan dan negeri mana yang tidak benarkan? Ada sesiapa boleh jawab?
  2. Kalau kita halang Bible dalam bahasa Melayu ini dicetak... Apakah pula jaminan bahawa mereka tidak sebarkan melalui blog, tweeter, facebook dan media yang seumpamanya?
  3. Apa pula bezanya Bible dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris..... Sedangkan ramai orang Melayu sekarang ini sudah 'pandai' berbahasa Inggeris kesan dari PPSMI (belajar sain dan hisab pakai bahasa Inggeris).
Mungkin ini sebahagian yang dapat saya fikirkan. Mungkin banyak lagi persoalan yang boleh dikemukakan dan perlu dijawab.

Saya mengangap ini semua sebagai cabaran terhadap perkembangan Islam dan usaha kita untuk mempertahankan aqidah dan hak umat Islam. Tetapi adakah dengan mengharamkan itu dan ini dapat meningkatkan kefahaman umat terhadap Islam.

Kenapa kerajaan beriya-iya sangat menghalang Bible bahasa Melayu ini dari diedarkan? Kenapa halang pengedaran buku dan bukan tingkatkan kefahaman rakyat terhadap Islam? Jawapan yang paling mudah saya boleh fikirkan ialah..... Kalau rakyat diajar lebih tentang agama mereka akan tinggalkan UmNo akan menyokong PAS.

Kerajaan dilihat semakin terdesak sehingga hilang punca dan pertimbangan. Sebab itulah mereka tidak berusaha untuk meningkatkan pendidikan agama Islam kepada rakyat. Mereka lebih bersungguh memperjuangkan bangsa dari agama... Mereka bimbang apabila rakyat semakin faham tentang Islam semakin ramai akan masuk PAS.

Friday, March 11, 2011

Lagi Pasal Judi: Teras sokong Kedah tidak lulus premis baru

“Mereka bertanya kepadamu tentang arak (khamar) dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219)

“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum arak) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91)


___________________________________

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) ingin menyatakan sokongan dan mengalu-alukan dasar kerajaan Kedah yang tidak mengeluarkan lesen untuk premis judi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

“Dasar ini wajar disokong kerana rakyat Kedah tidak harus didedahkan dengan industri yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat,” ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada Harakahdaily.

Teras, katanya ingin menyatakan pendirian tegasnya bahawa judi bukanlah suatu yang didokong oleh semua masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, dalam penemuan Teras memang ramai warga masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam yang menolak industri itu kerana ia jelas memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dalam berbagai aspek.

Wednesday, March 9, 2011

Selamat Hari Wanita : Kembali kepada syariah Islam

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud membuat saranan itu sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, hari ini.

Di samping itu, katanya perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.

“Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pembangunan potensi wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jati diri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.

Semua pihak, katanya perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan.

Namun, tambahnya pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.

Beliau turut menyatakan penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara.

Beliau berkatanya, ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan negara dalam memberi peluang yang sama rata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif daripada kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.

Katanya, jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.

Namun demikian, ujarnya pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya.

“Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman,” katanya..

Menurutnya, walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah.

Sekali gus, ujarnya ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini.

“Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Tuesday, March 8, 2011

Selangor Lancar Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran

SHAH ALAM, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi penghafaz profesional menjelang 2020 malam Isnin.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dasar pendidikan tahfiz Al-Quran itu telah disusun oleh Majlis Agama Islam Selangor bersama Jawatankuasa Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.

Beliau berkata dasar tahfiz negeri itu menyasar melahirkan 500 hufaz, iaitu golongan hafaz Al-Quran profesional menjelang 2020 dan menjadikan institusi tahfiz diuruskan secara profesional pada 2015.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri 2011 dan Pelancaran Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor di sini.

Seramai 45 peserta dari sembilan daerah di Selangor menyertai pertandingan menghafaz Al-Quran yang bermula malam ini hingga Khamis.

-- BERNAMA

Monday, March 7, 2011

Andainya Ada Yang Dah Lupa....


Create Your Own

JUDI BUKAN BUDAYA MASYARAKAT CINA ATAU INDIA

Kenyataan Media

Rabu 8- Jun - 2010

JUDI BUKAN BUDAYA MASYARAKAT CINA ATAU INDIA

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) merasa sangat berbangga dengan sokongan secara terbuka Dr. Toh Kin Woon, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) terhadap kempen pemansuhan judi sukan yang telah dilaksanakan oleh GMJ. Malah beliau sendiri mengajak semua masyarakat menyertai himpunan 100 Ribu Memansuh Judi Sukan di Kuala Lumpur pada 3hb Julai 2010. Kenyataan beliau boleh diperolehi dalam laman web pusat berkenaan di LLG Membantah Kerajaan Meluluskan Lesen Judi Bola Sepak.

Orang Islam di Malaysia mungkin telah diberi gambaran yang salah oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa judi merupakan budaya orang cina dan india. Dr. Toh Kin Woon yang juga bekas exco kerajaan Negeri Pulau Pinang zaman Barisan Nasional memerintah, mempertegaskan bahawa judi bukanlah budaya orang cina malah persepsi salah ini boleh merosakan hubungan antara muslim dan bukan muslim dinegara ini. Beliau mempertegaskan bahawa kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak. Beberapa pertubuhan orang Cina katanya telah menyuarakan ketidaksetujuaan terhadap pemberian lesen tersebut. Dr. Toh Kin Woon juga menyatakan bahawa asas pemberian lesen judi bola sepak, tidak dapat membendung perjudian haram bola sepak, kegagalan membendung perjudian haram adalah berpunca daripada kelonggoran penguatkuasaan dan rasuah.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG yang telah didaftarkan pada tahun 1995 merupakan pertubuhan yang ke 55 menyatakan sokongan terhadap Kempen Mansuh Judi Sukan anjuran GMJ. Sebelum ini Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia pimpinan Sdr. Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil telah menyatakan sokongan terhadap kempen terbabit. GMJ terus membuka peluang kerjasama semua NGOs dan parti politik dalam Kempen Memansuhkan Judi Sukan. Segala maklumat GMJ boleh layari menerusi Bantah Judi.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Sunday, March 6, 2011

Perjuangan Diteruskan.....


Walau apa pun keputusan di Kerdau dan Merlimau perjuangan akan diteruskan. Kalah menang adat pertandingan. Namun yang menang pun belum tentu boleh bergembira sangat. Dia penat, kita penat, dia sakit kita sakit... namun mereka yang punya diri lebih mengetahui sama ada perlu rasa gembira atau bimbang diatas keputusan ini.

Persoalan yang perlu dijawab adalah mengapa orang Melayu masih menyokong UmNo? Adakah kerana sogokkan yang diberikan, adakah kerana laporan media, adakah kerana imej kerajaan yang dibawa, adakah kerana adat kebiasaan, adakah kerana takut berubah, adakah kerana ugutan, adakah kerana penipuan, atau lain-lain.....

Namun apa pun jawapannya kerajaan telah membelanjakan wang rakyat yang banyak untuk berkempen bagi pihak UmNo. Media telah memberi gambaran yang salah dan mengelirukan antara kerajaan dan UmNo. PM dan TPM sudah tidak dapat membezakan antara Presiden UmNo dan PM. Media juga dengan sengaja mencampuradukkan antara kempen UmNo dan program kerajaan. Bila masa nak guna PM atau Presiden pun masih kelam kabut atau disengajakan.

Dengan kemenangan ini mungkin UmNo semakin yakin untuk mengadakan pilihanraya dengan lebih cepat. Sekurang-kurangnya mereka merasa yakin untuk mengumumkan pilihanraya Sarawak.

Persoalan sekarang ini adakah mengapa susah sangat Melayu hendak berubah? Ataupun mengapa orang Melayu tidak percaya kepada PAS atau orang Melayu bencikan PAS? Ataupun orang Melayu masih selesa dengan keadaan sekarang ini atau tidak dapat berfikir lebih dari itu.

.... mungkin Melayu terus menyokong UmNo sebab :
  1. Mereka menyangka UmNo itu adalah Kerajaan Malaysia dan tidak mengundi UmNo bermakna menentang Kerajaan malaysia....@ derhaka.
  2. Mereka menyangka apa yang dilakukan oleh UmNo itu adalah memadai dan betul belaka... pemikiran cukup lah itu nak apa lagi boleh sembahyang, boleh cari makan, boleh pergi haji boleh bayar zakat....
  3. Mereka menyangka Islam yang dibawa oleh UmNo itu sudah cukup sempurna sebagaimana yang Nabi laksanakan.
  4. Mereka sangka dengan melaksanakan 5 rukun Islam itu sudah cukup dan memadai.
  5. Mereka menyangka apa sahaja yang keluar dari akhbar dan TV benar belaka.
  6. Takutkan DAP tapi OK dengan MCA..... Sebab itulah bila Cina DAP memerintah Pulau Pinang mereka marah sebab bagi Cina memerintah..... Tapi dulu Koh Tsu Koon Cina Gerakan mereka tak perasan dia tu pun Cina jugak.
  7. Ramai orang Melayu golongan muda dan berpelajaran masih lagi tidak mendaftar sebagai pemilih.
  8. Ramai lagi orang Melayu berpandangan tidak mahu terlibat dengan politik sebab tidak mahu memihak dan menyokong mana-mana parti politik sedangkan mereka lupa mereka tiada pilihan. Kalau mereka tak menyokong parti politik maka bermakna mereka menyokong yang menang sebab mereka terpaksa hidup dengan kumpulan yang menang itu.
  9. Ramai lagi orang Melayu berpandangan politik itu kotor.... sedangkan mereka lupa kalau tidak dibersihkan sekarang sampai bila-bila pun tak akan bersih.
Justru itu kita akan terus memberi penerangan..... Hidayah dan kefahaman hanya datang dengan kehendak Allah sahaja. Semoga perjuangan ini diberikan kemenangan akhirnya. Insyallah.

Tuesday, March 1, 2011

Pluralisma, Sekularisma dan 1Malaysia

.......sama sesatnya kerana berpisah dari agama Islam

Islam adalah ad Deen [ Minhaajul Hayah ] atau cara hidup dan ianya adalah suatu yang telah diiktiraf oleh Allah swt Tuhan Yang Maha mencipta sekelian makhluknya termasuk manusia. Islam adalah jalan yang lurus, memimpin manusia dengan petunjuk dan pedoman wahyu Allah swt.

Firman Allah swt :

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Al Ana'am : 153

Islam adalah agama yang benar dan tiada syak pula pada kebenarannya serta kebenaran yang dibawanya adalah unggul sehingga hari ini malah hingga ke hari kiamat. Ia juga menolak anutan syirik dan berhala serta keercayaan ciptaan manusia dan aliran idealogi yang terpisah dari wahyu Allah swt.

Firman Allah swt :

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka Yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang yang ingkar. Al Baqarah : 23 - 24

Menganggap atau mempercayai bahawa Islam adalah sama dengan agama lain jua sebaliknya agama lain dianggap sama dengan agama Islam adalah merupakan tanggapan dan kepercayaan karut yang membatalkan syahaadatain [ dua kalimah syahadah ]. Ini adalah prinsip Islam yang sama sekali tidak boleh disama taraf dengan mana - mana agama atau aliran pemikiran dengan satu pembawaan pluralisme.

Firman Allah swt :

Katakanlah (Wahai Muhammad): Hai orang-orang ingkar ! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". Al Kaafiruun : 1 - 6

Firman Allah swt dari surah Al Kaafiruun itu adalah nas yang bersifat qatei bahawa pluralisme dalam agama adalah bercanggah dengan prinsip aqidah Islamiyyah. Namun begitu, ia tidak bermakna Islam tidak menghormati agama lain atau dalam erti nilai yang lain ialah Islam tetap menghormati prinsip kebebasan beragama justeru Islam tidak boleh memaksa manusia menganutnya kerana Islam adalah agama yang mesti dianut dengan penuh keinsafan, kesedaran, keyakinan dan kerelaan.

Sebagaimana Islam menolak faham pluralisme dalam agama, Islam juga menolak faham sekularisme yang memisahkan agama dari urusan kehidupan seperti memisahkan agama dari urusan pentadbiran negara atau apa yang disebut sebagai "politik suku agama suku" . Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan urusan agama kepada tuhan juga adalah sebahagian dari faham sekularisme yang merosakkan aqidah Islam.

Melihat pasaran Islam yang meluas dan cahayanya tidak mungkin boleh dipadam, maka faham sekularisme ini menelurkan aliran pemikiran yang boleh berlunak dengan prinsip sekularisme atau melunakkan ummat Islam lalu ianya disogok kepada ummat Islam yang jahil agar mereka keliru lantas menganggap ia sebahagian dari ajaran Islam, seperti Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Kontemporary, Islam Tamadun [hadhari] dan lain - lain. Mutaakhir ini diperkenalkan pula oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib satu lagi aliran Islam baru iaitu Islam Sederhana.

Aliran pemikiran atau mazhab baru seperti Islam Sederhana ini adalah suatu fitnah bawaan oleh ummat Islam yang jahil tentang Islam. ianya adalah Islam jadian yang tidak mewakili ajaran Islam tulen yang dibawa melalui risalah an Nabawi. Mendakwa bahawa mereka [kerajaan UMNO dan BN hari ini ] membawa dan menawarkan pakej Islam Sederhana kepada dunia hari ini bererti mereka membawa satu pakej Islam yang asing dan berlainan dengan Islam yang wahyukan oleh Allah swt.

Jika pakej itu adalah pakej yang serupa dengan ajaran Islam maka kenapa perlu menawarkan pakej yang baru ? kenapa tidak sebut sahaja kami menawarkan Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah saw ? atau mereka mengganggap Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah Islam yang ekstrim ? Islam yang kolot ? Islam yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan pada hari ini ? atau mereka menganggap bahawa Islam mereka lebih baik dari Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ?

Sebagaimana Islam tidak boleh disama taraf dengan agama lain (pluralisme), maka demikian juga Islam tidak mempunyai pakej yang berlainan antara satu zaman pemerintahan dengan zaman pemerintahan yang lain. Zaman Tun Dr Mahathir dibawa pakej Islamisasi, zaman Tun Abdullah Badawi bertukar kepada pakej Islam Hadhari dan kini dizaman Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, sekali lagi pakej itu berubah menjadi Islam Sederhana. Islam apakah sebenarnya yang sedang dijaja oleh UMNO dan BN ini ? melainkan ini adalah satu kebhatilan dan kesesatan aqidah serta fikrah yang mesti ditolak oleh ummat Islam.

Pluralisme agama dan faham sekularisme tidak boleh dianut dan diperjuangkan oleh ummat Islam. Justeru itu saya nasihati diri saya sendiri dan seluruh ummat Islam agar berhati - hati dengan konsep 1Malaysia yang masih kabur konsep dan perlaksanaannya. Jika 1Malaysia hanya bermaksud membawa semua bangsa bersatu padu menjadi satu dengan prinsip saling hormat menghormati bangsa dan budaya antara satu sama lain maka ia dibenarkan. Namun jika memahami 1Malaysia yang mengheret persamaan taraf antara pelbagai agama yang wujud dalam negara Malaysia ini, maka ia juga satu pluralisme yang ditolak oleh Islam.

Begitulah jika konsep 1Malaysia dipisahkan dari prinsip agama Islam dengan maksud menggerakkan aktiviti berteraskan konsep 1Malaysia tanpa mengambil kira soal halal dan haram maka ia adalah satu elemen dari faham sekularisme yang ditolak oleh Islam.
Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Apabila Pembinaan Masjid Bukan Lagi Berasaskan Takwa

Senibena Masjid Cina - Gambar Hiasan

Sama ada penulis berita jahil atau pun PM '1stL' yang cuba tunjuk pandai dan tidak sedar diri itu jahil.

"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah patut kamu bersembahyang di dalamnya..." Surah At-Taubah ayat 108.
_______________________________
Masjid Cina tarik pelancong

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Masjid Cina Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang bakal didirikan di Jalan Davis di sini, berpotensi menarik perhatian ramai pelancong dari luar negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana masjid tersebut mempunyai elemen-elemen kesenian yang unik melalui seni bina Cina.

‘‘Saya percaya dengan lokasi masjid yang amat strategik itu, ia mampu menarik pelancong khususnya mereka yang bukan beragama Islam untuk melihat masjid dan sekali gus mengenali negara ini dengan lebih dekat.