Saturday, June 2, 2012

Mangsa Banjir Hulu Langat Terima Bantuan


HULU LANGAT,1 JUN : Mangsa banjir di Dusun Tua hari ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan pemberian bantuan yang disalurkan daripada kerajaan negeri bagi meringankan bebanan ekoran kemusnahan yang dihadapi penduduk.


Banjir besar yang berlaku 7 Mac lalu yang membabitkan kira-kira 300 mangsa menerima bantuan kewangan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Datuk Nazir Batu 14 Pekan Hulu Langat.
Menurut Habibah Uda Samah,63, bantuan yang diterima akan mengurangkan sedikit bebanan yang dihadapi ekoran kerosakan yang dialami dalam kejadian banjir yang menenggelamkan rumahnya.

“Gembira mendapat bantuan ini,kerana banyak peralatan dan kelengkapan rumah yang terendam dan habis rosak. Ia sekurang-kurangnya amat membantu keluarga saya,” katanya.

Menurut Nuranisah Idris,31, yang mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat tanaman cilinya musnah dengan bantuan yang diterimanya dapat meringankan bebanan bagi mengusahakan semula tanaman pertanianya.

“Bertuah mendapat menerima bantuan ini kerana ianya akan meringankan bebanan kami sekeluarga yang sebelum ini menghadapi banjir yang tidak terduga sehingga banyak memusnahkan usaha pertanian yang dijalankan oleh pihak saya,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, menurut Mohd Ishak Jainin,55, kejadian banjir yang dialami pada 7 Mac itu merupakan yang terburuk dalam sejarah hidupnya sejak beliau mendiami kawasan itu sejak sekian lama.

“Syukur Alhamdulillah dapat menerima bantuan ini sebab kita ini adalah orang miskin dan ada anak ramai kemudian kena menyewa rumah lagi dan sebagainya, terima kasih kepada kerajaan yang membantu kami semua,” katanya.

Sementara itu,menurut Jamanang Utek,58, menyifatkan bantuan yang diterimanya akan digunakan bagi membaiki rumahnya yang mengalami kerosakan akibat banjir itu.

Dalam kejadian banjir itu,purata kedalaman kawasan yang terlibat dalam banjir ini adalah 0.3 meter sehingga 1.5 meter.

Seramai 645 orang dipindahkan ke enam pusat perpindahan dalam kejadian itu.

No comments: