Wednesday, July 31, 2013

Fenomena baru atau Peringatan Dari Allah?

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa sebabkan apa yang mereka telah usahakan. Surah Al A’raf, Ayat 96

Pembunuhan menggunakan senjata api yang semakin berleluasa merupakan fenomena baru dan mungkin melibatkan 'pembunuh upahan', kata bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan.

Beliau berkata, kes jenayah kini tidak lagi berunsur rompakan atau samun tetapi bermotif isu peribadi dan modus operandi penjenayah terbabit dirancang dengan rapi.

Malah, katanya, ia jarang berlaku pada zaman beliau berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyaksikan kes tembakan sering disabitkan sebagai samun atau rompakan.

"Ini satu fenomena yang baru. Masa saya berkhidmat, perkara macam ini, ada juga tetapi bukan macam kekerapan yang berlaku (sekarang). Malah semalam sahaja, dua orang ke tiga orang ditembak,"

"Saya percaya perkara ini memang hitman itu, kerana cara mereka menembak pun nak menentukan orang yang mereka tembak itu mati cepat," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi ditembak dari jarak dekat selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Memberi temu bual eksklusif bersama Bernama Tv itu, Zaman Khan yang juga seorang bekas Ketua Pengarah Penjara, sinonim dengan kes jenayah berprofil tinggi.

Antaranya, peristiwa enam banduan menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu pada Oktober 1986; bekas tentera, Prebet Adam Jaafar bersenjata raifal M16 mengamuk dan menembak mati seorang lelaki di Chow Kit (Oktober 1987) dan episod pemburuan penjenayah kejam, Bentong Kali atau P Kalimuthu di Kuala Lumpur (1993).

Mengenai seruan supaya undang-undang lebih berkesan digubal untuk menangani kes tembak yang semakin berleluasa, Zaman Khan, berkata masanya sudah tiba untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, kerajaan perlu merangka undang-undang untuk membenarkan polis menahan suspek tanpa dibicara seperti Ordinan Darurat 1969 yang dimansuh pada 2011.

Menganggap ia langkah berkesan menangani jenayah berat, terancang dan berkumpulan, beliau berkata, undang-undang itu bukan untuk menindas masyarakat tetapi bertujuan mengawal cengkaman penjenayah.

Mengikut laporan media, PDRM mengesan 67 kes jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan 100 peratus berbanding 33 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut PDRM, jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan EO meningkat selepas 2,473 tahanan EO dibebaskan pada Julai tahun lepas.

Pembunuhan Hussain Ahmad berlaku dua hari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April. - Bernama, 30 Julai, 2013.

Ziarah Mangsa Kebakaran

Sebuah rumah di Lot 422, Kampung Batu14 hangus akibat kebakaran awal pagi semalam dipercayai berpunca dari gas dapur. Alhamdulillah mangsa saudara Mazlan Mohd Nor sekeluarga lima beranak terselamat. Bomba telah datang pada jam empat untuk mengawak kebakaran.

Takziah diucapkan dan semoga mangsa sekeluarga tabah menghadapi dugaan di bulan ramadhan ini. Semoga Allah menggantikannya dengan lebih baik lagi Insyallah. Ameen.

Thursday, July 25, 2013

Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan Masjid Dan Surau

Tambahan kepada sumbangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Memahami Strategi, Pengundi dan Kemenangan : Antara Fantasi Dan Realiti

ANALISIS BERITA: Sebagaimana diramal, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut dengan meningkatkan jumlah majoritinya dari 2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kepada 2,952 undi di kerusi berhampiran dengan kubu kuat PAS di Kelantan.

Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang bergaya kali ini dengan mengalahkan calon PAS, Endut @ Azlan bin Yusof atau lebih dikenali masyarakat setempat dengan nama Che Long, dengan majoriti yang lebih besar.

Benar Che Long popular di kalangan masyarakat setempat iaitu 71.6 peratus lebih dikenali berbanding calon BN 14.2 peratus (tidak kenal kedua-duanya, 14.2 peratus) berdasarkan kajian Ilham Centre, tetapi popular tidak semestinya disukai.

Ini kerana, mengikut kajian Ilham Centre, sebuah badan pengkaji pilihan raya, 77.2 peratus dari pengundinya memilih faktor parti calon berbanding hanya 12.8 peratus faktor keperibadian calon.

Kajian juga menunjukkan 82.7 peratus pengundi Kuala Besut yakin dengan kelebihan BN yang mempunyai sumber kewangan yang besar.

Sebagaimana didedahkan oleh PAS, BN yang membelanjakan hampir setengah bilion ringgit atau RM19,000 bagi setiap pengundi untuk pilihan raya ini berjaya memenanginya.

Kenapa pengundi Kuala Besut tidak mengundi calon PAS?

Faktor terbesar adalah kedudukan Kuala Besut yang terpencil dari arus perdana politik tanah air yang mahukan perubahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui penduduk Kuala Besut perlu memperkasa penggunaan IT mereka untuk membolehkan mereka terdedah kepada maklumat semasa tanpa dikawal BN.

Dalam PRU13, pengundi bandar yang terdedah kepada penggunaan internet dan media sosial menolak BN dan mengundi Pakatan Rakyat (PR) hampir di semua bandar utama di Malaysia kecuali Kangar melalui wakil mereka sama ada PAS, PKR atau DAP.

Di samping itu, kenangan lama perpecahan penduduk kawasan itu antara PAS dan Umno mengongkong mereka dari mendekati PAS walaupun PAS sudah berubah.

Isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman masih menjadi stigma yang tidak boleh mendekatkan penyokong Umno yang meninggalkan PAS sebelum ini.

Usaha PAS untuk menampilkan seorang ahli perniagaan dan bercakap tentang ekonomi berbanding dengan tradisi meletakkan calon 'ustaz' dan bercakap mengenai agama semata-mata, belum berjaya memecahkan tembok minda.

Isu-isu yang dimainkan PAS dalam menyerang Umno juga nampaknya berjaya dipatahkan dengan baik oleh BN dengan menggunakan kuasa wang mereka.

Misalnya, apabila PAS memainkan isu empangan yang rosak di bawah tangan calon BN, rakyat bertanya balik, siapa yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah mereka, PAS atau Umno?

PAS berjaya mendedahkan isu tetapi BN melalui pengarah pilihan rayanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang dengan penyelesaian iaitu pengumuman peruntukan RM35 juta untuk membaiki balik empangan itu.

Begitu juga kemiskinan. PAS memang berjaya mendedahkan betapa miskinnya penduduk Kuala Besut tetapi siapa yang boleh menyelesaikannya, PAS atau BN?

Pengumuman PAS bahawa mereka tidak mahu jawatan menteri besar bahkan Datuk Seri Ahmad Said akan terus jadi memegang jawatan itu walaupun menang dalam PRK ini lebih memburukkan keadaan.

Ia menghantar signal salah kepada pengundi. Kalau PAS menangpun, parti itu bukan boleh menyelesaikan kemiskinan mereka, BN juga yang mampu, melalui Ahmad Said di Terengganu dan kerajaan Pusat yang dikuasai BN.

Jika begitu, buat apa undi PAS? Baik kekal bersama BN, duit dapat, penyelesaian kepada masalah jelas kelihatan dan masa depan lebih cerah. – 25 Julai, 2013. MI.

Kuala Besut Keputusan Sudah Keluar..... Namun Adakah Rakyat Yang Menang?

Kemenangan dan peningkatan majoriti Barisan Nasional (BN) meningkat kepada 2,952 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut disebabkan keyakinan pengundi bahawa parti pemerintah itu mampu untuk melaksanakan janji 15 projek yang diumumkan ketika berkempen di kawasan berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Ketua Pengarah PRK Kuala Besut BN berkata, projek bernilai hampir setengah bilion yang diumumkan kerajaan BN di kawasan berkenaan sekian lama dinantikan pengundi yang majoritinya adalah nelayan dan mereka yang terbabit dalam industri pelancongan.

“Projek itu dinantikan penduduk Kuala Besut Ia bukan timbul pada saat-saat akhir, penyokong kita daripada nelayan, mereka membawa bot, bawa pelancong.

"Ia usaha yang baik, dan memberi kesan positif kepada kita," katanya pada sidang media selepas kemenangan BN diumumkan di Dewan Majlis Daerah Besut malam ini.

BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dengan majoriti 2,592 undi, peningkatan daripada 2,434 undi pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Antara projek terbesar yang diumumkan Muhyiddin ketika membantu kempen calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, di kawasan majoriti nelayan itu adalah pembinaan benteng penahan ombak yang bernilai RM250 juta.

Menjelaskan berhubung pelaksanaan projek berkenaan, Muhyiddin menjangka projek itu akan siap dalam tempoh dua tahun, dengan langkah pertama ialah melantik konsultan, yang menelan kos RM500,000.

"Projek akan dilaksanakan dalam jangka masa sesuai, yang penting rakyat hendak lihat janji atau memang mahu buat. Lihat muka saya, saya akan buat," katanya ketika ditanya pemberita.

"Kita sasar majoriti lebih tinggi, tapi yang pentingnya (majoriti) bukan merosot, Pakatan Rakyat (PR) akan gunakan alasan undi merosot, sokongan merosot, tetapi sebaliknya, saya rasa ini sesuatu yang istimewa," katanya.

Nota : Kalau mahu projek segera, wang segera, pembangunan segera, tindakkan segera dan tipu segera tunggulah satu lagi PRK.

Wednesday, July 24, 2013

Apabila Fatwa Tak menyeluruh Maka Akan Ada Yang Bersalah Dan Ada Yang Bebas.

 Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung peserta beragama Islam yang tetap berkeras bertanding merebut gelaran Miss World Malaysia 2013.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam.

Di bawah Seksyen 7, akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Sebagai agensi penguatkuasa agama, Jawi akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti serta keterangan yang mencukupi.

"Pendakwaan akan dibuat terhadap mereka yang terbabit di Mahkamah Syariah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Feb 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Berdasarkan laporan akhbar hari ini, peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

"Oleh itu, kenyataan itu (kecewa dengan fatwa) dianggap menghina Islam," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan Sister In Islam (SIS) supaya menghentikan provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan seumpama itu kerana kenyataan atau alasan yang dikeluarkan tidak berasas mengikut pandangan syarak dan tidak merujuk kepada undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Tidak timbul isu diskriminasi berasaskan gender, pilih bulu atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak mengenai hukum itu.

"Dalam membicarakan persoalan hukum hakam Islam, semua pihak khususnya SIS perlu ingat bahawa ia tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana kenyataan yang dikeluarkan golongan tidak berkelayakan ini menimbulkan pelbagai kacau bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalar maruah agama dan umat Islam seluruhnya," katanya. - Bernama, 23 Julai, 2013.

Nota : "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhan), dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan karena sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana." Al Baqarah: 208-209.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sudah diwartakan. Bagaimana pula wanita yang menyertai lain-lain pertandingan yang seumpama ratu cantik seperti renang, renang berirama, terjun kolam, gimnastik, acara balapan dan padang, bina badan dan lain-lain pertandingan yang seumpama dengannya. Begitu juga dengan pertandingan bina badan lelaki, renang, ironman dan lain-lain sukan seumpamanya yang biasanya mendedahkan aurat dan selalunya keterlaluan.

Untuk mengelak dari fitnah, maka saya sarankan Majlis Mufti perlu membuat keputusan yang adil dan menyeluruh dan kes-kes yang serupa. Kita sepatutnya haramkan juga aktiviti-aktiviti yang mendedahkan aurat yang serupa walaupun dilabelkan sebagai aktiviti sukan atau riadah. Kalaupun kita tidak mampu kuat kuasakan sepenuhnya namun jangan tinggal semua. Sekurang-kurangnya Mufti telah melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan menyeluruh dalam menetapkan hukum.

Walaupun menutup aurat bukanlah perkara baru yang perlu difatwakan namun ianya perlu dan merupakan proses undang-undang sebelum ianya boleh diwartakan dan dilaksanakan penguatkuasaannya.

Monday, July 22, 2013

Bantu UmNo Untuk Berubah Jadi Baik Dengan Kalahkannya Dalam Pilihan Raya Umum... PRU14

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) membayangkan peluang untuk Umno berubah tipis kecuali berlaku perubahan drastik termasuk kalah pilihan raya umum.

"Harapan Umno berubah kepada yang lebih baik melalui pemilihan kepimpinan tahun ini adalah tipis."Umno mungkin berubah hanya jika atau apabila kalah dalam PRU," kata Datuk A Kadir Jasin dalam blognya, hari ini.

Pemilihan Oktober ini dikatakan bersejarah berikutan sistem kuota dimansuh tetapi Kadir menyifatakan ia bukan jaminan untuk parti itu memenuhi tuntutan perubahan.

Seramai 146,500 perwakilan Umno dari 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Meskipun pindaan perlembagaan itu memberi ruang secara demokratik, Kadir berkata mustahil Datuk Seri Najib Razak dari kerusi Presiden Umno seperti yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

"Cuma elemen yang menyegerakan pengunduran Abdullah pada tahun 2009 mungkin tidak wujud lagi sekarang atau, kalau ada pun, tidak sekuat dulu," katanya.

Beliau membandingkan pengunduran Abdullah berlaku akibat tekanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.

Selain itu, Umno juga sudah mengumumkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertanding atas alasan prestasi Umno yang baik berbanding parti lain.

Sebaliknya, Kadir berkata banyak faktor lain menyebabkan jawatan penting Umno sekalipun dipertanding, tiada siapa yang cabar berikutan faktor kewangan Najib yang tak siapa mampu tandingi.

"Banyak wakil rakyat Umno, khasnya dari Sawarak dan Sabah, diketahui telah “berunding” dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah).

"Cuma bekas Naib Presiden Umno itu mungkin tidak mempunyai sumber (manusia dan wang) untuk melawan jentera Najib yang kaya sumber," kata Kadir.

Kadir juga tidak menjangka Muhyiddin akan mengambil langkah merebut jawatan presiden parti walaupun prestasi Najib paling buruk berbanding perdana menteri terdahulu.

"Muhyiddin pula dikatakan 'tidak berminat' mencabar Mohd Najib kerana 'sudah penat' dan tidak mahu dilihat sebagai tidak setuju dengan semua PM," katanya. MI.

Thursday, July 18, 2013

Episod Hina Islam Bukan Benda Baru. Yang Menghina Perlu Dihukum. Bukan Seorang Tetapi Semua!










Akta Hasutan

3. (1) Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan—

(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau

1,079 kamera AES akan dipasang di seluruh negara

Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan, sebanyak 1,079 kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang seluruh negara.

Dalam jawapan bertulis daripada soalan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng di Dewan Rakyat, lokasinya belum dikenal pasti tetapi bakal ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

"Sebanyak 1,079 kamera AES masih belum dipasang di seluruh negara.

"MIROS sedang mengenal pasti lokasi kawasan kerap kemalangan berdasarkan kriteria lebih terperinci menguna pakai data kemalangan kebangsaan yang terkini," kata jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan.

Jawapan bertulis kementerian itu juga menyatakan kerajaan mengutip RM20 juta daripada 673,339 saman yang dikeluarkan sehingga 11 Jun 2013.

"Sehingga 11 Jun 2013, sebanyak 628,045 kesalahan memandu melebihi had laju dan 45,294 kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

"Jumlah kutipan kompaun yang diterima bagi tempoh sama ialah RM20,020,500," kata kementerian lagi.

Putrajaya, bagaimanapun enggan mendedahkan terma dan syarat perjanjian konsesi berikutan ia dokumen terperingkat/rahsia dan tidak dapat dinyatakan dalam Dewan Rakyat.

Projek swasta bernilai RM700 juta itu bermula dengan 14 kamera dalam fasa percubaan tetapi JPJ berikrar melancarkan lebih banyak kamera menjelang akhir 2013. - 17 Julai, 2013. MI.

Wednesday, July 17, 2013

Siapa Mohamed Salleh?

Pencarian siapa Mohamed Salleh Mohamed Ali bermula apabila nama itu diumumkan di Parlimen oleh pembangkang sebagai pembekal dakwat kekal kontroversi yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Setakat ini, semakan mendedahkan: beliau adalah ahli perniagaan berumur 47 tahun dan menguruskan syarikat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd di Shah Alam.

Tiada respon apabila panggilan telefon dibuat ke pejabatnya petang semalam.

Semakan juga mendapati Mohamed Salleh mempunyai 11 saman yang belum dibayar dan kenderaan digunakan untuk kesalahan adalah Porsche Cayenne dan Toyota Alphard.

Ahli perniagaan ini menjadi terkenal dalam sekelip mata semalam apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberitahu Parlimen beliau adalah pembekal dakwat kekal.

Pengarah Strategi PKR itu juga mendakwa Mohamed Salleh rapat dengan kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tiga minggu lalu Rafizi mencabar SPR untuk mendedahkan pembekal dakwat kekal itu dan jika gagal, beliau berjanji untuk mendedahkannya di Parlimen.

Beliau berkata semalam, penyiasatannya mendedahkan pemberian kontrak untuk bekalan dakwat kekal diberikan kepada syarikat yang pemiliknya tidak mempunyai kemahiran dalam urusan itu.

Syarikat itu juga tidak mempunyai modal untuk pembelian dakwat kekal dan pemiliknya meminta pinjaman daripada seorang ahli perniagaan dari Kampung Baru sebanyak RM7 juta.

Dakwat itu menjadi kontroversi selepas pengundi mengatakan ia mudah dibasuh dengan menggunakan sabun. Sebelum itu SPR berjanji dakwat itu mampu bertahan selama tujuh hari.

Pakatan Rakyat (PR) mendakwa oleh kerana dakwat itu gagal, ramai pengundi boleh mengundi lebih dari sekali, menyebabkan berlakunya penipuan. Gabungan pembangkang  memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan PRU13 dan mahukan pilihan raya semula dengan alasan SPR gagal dalam hal dakwat kekal.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, dakwaan pembekal dakwat mempunyai kaitan dengan kepimpinan tertinggi SPR memerlukan siasatan lanjut.

“Saya terkejut dengan pendedahan ini. Ia menambahkan keraguan kerana mereka sebelum ini enggan mendedahkan nama pembekal,” katanya dan menambah, pendedahan ini menimbulkan lebih banyak keraguan dengan kemampuan SPR untuk menjalankan pilihan raya bersih dan adil.

Katanya, kontroversi terbaru berhubung pembekal dakwat menyebabkan keperluan untuk panel bebas menyiasat isu ini.

Petang semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menafikan mempunyai kaitan dengan Mohamed Salleh dan menyatakan pihak yang menguruskan pembelian dakwat adalah setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Kamarudin Baria.

“Setakat yang saya tahu urusan pembelian itu berjalan dengan baik dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih baik hal ini dilanjutkan kepada Kamarudin kerana saya dan timbalan tidak mencampuri urusan urusetia," kata Abdul Aziz merujuk kepada timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar. – 17 Julai, 2013. MI.

Edar Bubur Lambuk Di Bt 18

Wednesday, July 10, 2013

Berapa kos operasi satelit Razaksat

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan berapakah jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi menampung kos operasi satelit Razaksat

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat (gambar) juga meminta menteri berkenaan menjelaskan bagaimana kerajaan mengukur dan memantau sama ada tahap kegunaan satelit Razaksat tersebut berada di tahap yang optimum.

Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut disenaraikan soalan mereka untuk dijawab lisan hari ini seperti di bawah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk sumbangan Kerajaan Malaysia terhadap Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) dan hala tuju sebenar penubuhan yayasan tersebut.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan apakah program-program yang telah dilaksanakan serta hasil yang telah diperolehi dalam memberikan ruang yang lebih kondusif kepada golongan belia untuk mengekspresikan idea yang bermanfaat.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan peratus tenaga kerja berpendidikan tertiari di Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik jenayah minum arak, judi, bunuh, rompak, zina dan khalwat mengikut negeri dari tahun 2009 hingga 2012.

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan masih berhasrat mengekalkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPPK) yang telah diwujudkan sejak Kerajaan Negeri Kelantan diambil alih pemerintahannya oleh PAS daripada Barisan Nasional pada tahun 1990

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan:-
  1. Berapakah jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi menampung kos operasi satelit Razaksat.; dan
  2. Bagaimana Kerajaan mengukur dan memantau sama ada tahap kegunaan satelit Razaksat tersebut berada di tahap yang optimum.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status pembinaan Hospital Shah Alam serta berapakah kos keseluruhannya setelah ditender kembali.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Kesihatan menyatakan peratus ubatan yang digunakan di hospital menggunakan ubatan generik (generic). Adakah pihak Kerajaan sedar keberkesanannya kurang memuaskan.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menzahirkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagaimana yang wujud di hampir semua badan legislatif di seluruh dunia.

Percaturan Strategi - Ustaz Azhar Idrus atau Che Long : Iktibar Perang Hunain dan Panglima Khalid Al Walid.

PAS memilih muka baru menjadi calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut iaitu seorang ahli perniagaan yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan, Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan nama Che Long.

Che Long, 48, adalah anak tempatan Kuala Besut. Beliau tinggal di Kampung Baru, Kuala Besut, kawasan yang dikhaskan sebagai kawasan industri perkayuan di daerah ini.

Rumahnya tidak sampai setengah kilometer dari Markas Besar PAS yang terletak di Kampung Baru.

Nama Che Long dijangka diumumkan sebagai calon oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar lagi dalam satu majlis ceramah di Kampung Nail, Kuala Besut.

Pemilihan beliau dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung malam semalam.

Che Long, seorang kontraktor juga pernah memiliki sebuah stor kayu yang terkenal di daerah ini. Kini beliau banyak menguruskan kontraknya di daerah ini dan juga di Kelantan, kerana Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan.

Pemilihan Che Long adalah satu perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS dalam menghadapi PRK ini kerana dua lagi calon yang disenaraipendekkan untuk pilihan raya ini adalah ustaz.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Kuala Besut.

Pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu, A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi. - 9 Julai, 2013.

Nota : Semoga Allah memberi kemenangan kepada pejuang Islam sebagaimana Allah memberi kemenangan Islam dalam perang Badar Kubra.

Monday, July 8, 2013

Adakah Kerajaan Malaysia Setuju Dengan Penggulingan Kerajaan Mesir

1. Dr. Muhammad Morsi adalah Presiden Mesir yang sah melalui pilihanraya presiden yang dijalankan secara demokratik pada 24 Jun 2012. Justeru tindakan menjatuhkannya secara revolusi jalanan BUKANLAH CARA YANG BETUL, khususnya bagi seorang pemimpin yang baru hanya 1 tahun berkuasa. Berikan masa dan berdiskusi lebih tepat bagi mereka yang tidak bersetuju dan pengkritik.

2. Sepanjang setahun beliau sebagai Presiden, beliau tidak mendapat sokongan penuh dari pihak tentera, polis dan pelbagai kakitangan kerajaan. Ini menjadikan perubahan yang dirancang sangat lambat dan kelihatan kurang berjaya. Selain itu, tempoh setahun terlalu pendek untuk membersihkan kekalutan ekonomi dan minda selama 30 tahun yang ditinggalkan oleh Hosni Mubarak.

3. Saya melihat, sifat dan sikap rakyat Mesir yang kelihatan terlalu banyak berpuak dan membantah, keadaan ini sememangnya memerlukan satu jenis undang-undang ala diktator dari pemimpin yang AMANAH DAN BAIK bagi menyatu dan mengurangkan masalah administrasi khususnya di awal-awal pemerintahan. Justeru, rang undang-undang yang memberi Presiden kuasa penuh yang kontroversi pada hujung November 2012 itu adalah perlu dan tidak patut dianggap sebagai keaiban kepimpinan Morsi.

4. Tindakan tentera yang merampas kuasa dengan sokongan Sheikhul Azhar dan Coptic Pope Tawadros tidak secara demokratik bakal menyaksikan masa hadapan Mesir semakin suram dan tidak pasti. Kelak nanti Presiden baru bakal menjadi boneka tentera yang mana kiranya tidak disetujui, maka akan dirampas lagi oleh tentera. Mungkin tindakan terbaik adalah Presiden baru perlu ‘revamp’ tentera agar senjata mereka tidak menjadikan mereka mencarik keputusan rakyat majoriti.

5. Tindakan rakyat awam Mesir yang mengadakan revolusi jalanan dan bergembira atas kejatuhan Dr. Morsi adalah pelik dan kurang matang pada hemat saya. Masakan tidak, sedang mereka bergembira dan merayakannya, adakah mereka sedar dan tahu siapa yang bakal menjadi pemimpin terbaru mereka?, bilakah tarikh pemilihannya? adakah mudah menaikkan pemimpina kesukaan mereka untuk diterima semua pendemonastrasi dan puak-puak? malah mungkin sebahagian besar mereka langsung tidak mempunyai idea siapakah calon yang paling layak. Apakah tindakan mereka ini lebih membantu menstabilkan Mesir atau mengoyahkannya semula? Dan lebih teruk, tindakan ini memberi kesan kepada kemaslahatan rakyat Palestin.

6. Saya bersetuju dengan tindakan Kerajaan Turki yang TIDAK MENGIKTIRAF kerajaan sementara haram Mesir serta tidak berurusan diplomatik kecuali dengan Presiden Morsi dan wakilnya yang sah sebagai mewakili kerajaan Mesir. Memang benar, tindakan ini bakal menjejaskan banyak hubungan ekonomi dan diplomatik antara kedua Negara selepas ini.

7. Rampasan kuasa Morsi ini lebih jelas disokong oleh pihak barat padahal mereka sering melaungkan keperluan untuk berpegang kepada Demokrasi, namun apabila Presiden Mesir dilihat ingin meluaskan agenda Islam dalam pentadbiran dan membantu Palestin, mereka kini berubah kepada menyokong rampasan kuasa pula.

8. Kerajaan Malaysia sepatutnya mengecam rampasan kuasa ala tentera Mesir ini kerana iktirafan kerajaan Malaysia bakal memberi mesej yang mengelirukan kepada sebahagian rakyat Malaysia kelak iaitu seolah-olah Malaysia mengiktiraf kerajaan melalui revolusi jalanan sedangkan tiada kezaliman nyata dilakukan oleh Morsi yang hanya baru setahun jagung memerintah.

9. Menukar pemimpin kerajaan melaui cara revolusi jalanan atau kekerasan memang lebih banyak membawa mudarat berbanding manfaat. Justeru, wajarlah ia dijauhi. Perlu difahami, revolusi jalanan menjatuhkan kerajaan BERBEZA DENGAN DEMONSTRASI AMAN bertujuan menyatakan bantahan tanpa sebarang perancangan menggulingkan kerajaan seperti di Mesir ini. Demonstrasi aman ( khususnya dengan permit) termasuk dalam hak yang dibenarkan oleh sistem demokrasi, manakala revolusi bersenjata dan ganas adalah tidak.

10. Ini hanyalah pandangan peribadi dan mungkin saya juga boleh tersalah dalam analisa dan penerimaan maklumat. Wallahu’lam.

www.zaharuddin.net

Thursday, July 4, 2013

Mesir: Detik hitam sedang berulang

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir.

Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi.

Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti.

Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka.

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya.

Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013M

Wednesday, July 3, 2013

Dr Xavier Jayakumar cadang larangan minum arak di tempat awam

ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar hari ini mencadangkan agar satu kerajaan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Menurutnya, enakmen itu bertujuan bagi memberi kuasa undang-undang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis untuk menguatkuasakan larangan tersebut di tempat berkenaan.

Kawasan awam yang dimaksudkannya itu termasuk tempat-tempat seperti taman permainan, kawasan rekreasi dan padang bola, kata bekas exco itu.

"Pejabat saya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang kumpulan yang minum minuman keras di lokasi berkenaan sehingga larut malam dan kemudian meninggalkan botol kosong dan juga pecah yang berselerak di tempat tersebut.

“Keadaan ini menyebabkan kacau dan ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, undang-undang seperti itu dikuatkuasa di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang menghalang perbuatan membawa dan meminum bahan tersebut di kawasan seperti taman dan pantai.

Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius.

"Saya juga mohon kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.

"Yang begitu membimbangkan, pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.

"Ini menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.

"Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan juga mesti terus memantau kedai yang menjual arak ini daripada menjualnya," katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan titah Diraja di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini. MK.

Tuesday, July 2, 2013

Larangan Tazkirah


Ingatkan Pulau Pinang.... Rupanya di Pahang. Tidak pasti buah butir apa yang menyebabkan larangan.... bukan pengharaman. Apa yang pasti Tarawih adalah sunat sedangkan menuntut ilmu adalah wajib. Sejak bila pula sunat lebih utama dari wajib?