Wednesday, July 31, 2013

Fenomena baru atau Peringatan Dari Allah?

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa sebabkan apa yang mereka telah usahakan. Surah Al A’raf, Ayat 96

Pembunuhan menggunakan senjata api yang semakin berleluasa merupakan fenomena baru dan mungkin melibatkan 'pembunuh upahan', kata bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan.

Beliau berkata, kes jenayah kini tidak lagi berunsur rompakan atau samun tetapi bermotif isu peribadi dan modus operandi penjenayah terbabit dirancang dengan rapi.

Malah, katanya, ia jarang berlaku pada zaman beliau berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyaksikan kes tembakan sering disabitkan sebagai samun atau rompakan.

"Ini satu fenomena yang baru. Masa saya berkhidmat, perkara macam ini, ada juga tetapi bukan macam kekerapan yang berlaku (sekarang). Malah semalam sahaja, dua orang ke tiga orang ditembak,"

"Saya percaya perkara ini memang hitman itu, kerana cara mereka menembak pun nak menentukan orang yang mereka tembak itu mati cepat," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi ditembak dari jarak dekat selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Memberi temu bual eksklusif bersama Bernama Tv itu, Zaman Khan yang juga seorang bekas Ketua Pengarah Penjara, sinonim dengan kes jenayah berprofil tinggi.

Antaranya, peristiwa enam banduan menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu pada Oktober 1986; bekas tentera, Prebet Adam Jaafar bersenjata raifal M16 mengamuk dan menembak mati seorang lelaki di Chow Kit (Oktober 1987) dan episod pemburuan penjenayah kejam, Bentong Kali atau P Kalimuthu di Kuala Lumpur (1993).

Mengenai seruan supaya undang-undang lebih berkesan digubal untuk menangani kes tembak yang semakin berleluasa, Zaman Khan, berkata masanya sudah tiba untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, kerajaan perlu merangka undang-undang untuk membenarkan polis menahan suspek tanpa dibicara seperti Ordinan Darurat 1969 yang dimansuh pada 2011.

Menganggap ia langkah berkesan menangani jenayah berat, terancang dan berkumpulan, beliau berkata, undang-undang itu bukan untuk menindas masyarakat tetapi bertujuan mengawal cengkaman penjenayah.

Mengikut laporan media, PDRM mengesan 67 kes jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan 100 peratus berbanding 33 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut PDRM, jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan EO meningkat selepas 2,473 tahanan EO dibebaskan pada Julai tahun lepas.

Pembunuhan Hussain Ahmad berlaku dua hari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April. - Bernama, 30 Julai, 2013.

No comments: