Saturday, August 31, 2013

NOTIS : GANGGUAN BEKALAN AIR TELAH PULIH.

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa operator loji bagi pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Rantau Panjang iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan operator loji bagi LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengesan pencemaran air di Sungai Selangor disebabkan tumpahan minyak diesel terletak di hulu sungai muka sauk air mentah loji-loji rawatan air berkenaan. Tumpahan minyak diesel ini telah dikesan oleh operator loji berkenaan sekitar jam 8.00 pagi, 30 Ogos 2013 dan ekoran daripada itu, kedua-kedua operator loji berkenaan telah menghentitugas keempat-empat loji rawatan berkenaan di antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi ini. Pihak operator loji berkenaan memaklumkan bahawa ianya dijangka akan mengambil masa sekitar 14 jam sebelum tumpahan minyak diesel tersebut melewati muka sauk air mentah loji rawatan air masing-masing. Di samping itu, pihak kedua-dua operator loji rawatan air sedang memantau keadaan bagi memastikan air yang tercemar tidak mengalir masuk ke loji rawatan air supaya setiap LRA dapat beroperasi semula dengan kadar segera apabila pencemaran tidak berlaku lagi.

Untuk makluman, ke empat-empat loji rawatan air ini mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 Juta Liter Sehari (JLH) dan merupakan 57% daripada jumlah permintaan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sehubungan itu, jika hentitugas loji rawatan air ini berlarutan ke tempoh yang lebih lama, sebahagian para pengguna dijangka akan mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di tujuh (7) wilayah pengguna iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor terutamanya kawasan pengguna yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air dan di tempat yang tinggi atau dengan simpanan yang kecil. Sehubungan itu, para pengguna pada masa kini hanya bergantung kepada simpanan air terawat yang ada di kolam-kolam imbangan keempat-empat loji rawatan dan kolam-kolam perkhidmatan SYABAS yang berada setiap kawasan pengguna.

Nota : Sebagai salah satu daripada Infrastruktur Kritikal Kebangsaan yang dikenalpasti adakah ini yang terbaik boleh dilaksanakan oleh kerajaan. Dimana kesilapannya? Adakah sistem kawalan dan pemantauan kita amat lemah sehingga NCII kita terlalu mudah terjejas. Bagaimana sekiranya ini adalah perbuatan sabotaj? Berapa banyak lagi sistem kawalan keselamatan kita yang longar hingga mudah terjejas.

Apakah tindakan MKN dalam hal ini? Bagaimana siasatan dijalankan dan tindakan yang diambil. Seterusnya apakah langkah yang diambil bagi mengelakkan perkara ini dari berulang?

APAKAH AGENDA USA MAHU SERANG SYRIA ?

Peta Syria :
Hijau : kawasan taklukan Mujahidin Sunni
Merah : kawasan Basyar As Assad laknatullahi 'alaih

Di sini saya nak nyatakan pendapat peribadi saya secara ringkas berkaitan hal ini.

Cuba sahabat2 tengok peta yang paling terkini ini. Lebih 75% Bumi Syria dikuasai Mujahidin Sunni. Manakala Tentera Basyar hanya menguasai kurang dari 25% dari keseluruhan negara Syria.

Rumusan :
1 . Serangan USA ke atas Syria sebenarnya berkaitan kegagalan Tentera Basyar itu sendiri melawan Mujahidin Sunni
2. Tentera Basyar secara fakta makin lemah dan kawasan taklukan Basyar makin mengecil .
3. Jadi , serangan USA bakal dilancarkan ke atas Syria mempunyai agenda untuk melindungi kepentingan tentera Basyar dan syiah terutamanya.
4. Dijangka selepas USA berjaya menguasai Syria selepas serangan atas alasan penggunaan bom kimia , pilihanraya akan diadakan dan USA akan memastikan Perdana Menteri yang dilantik adalah Pro-Amerika dan berfahaman sekular.
5. Kesimpulannya , serangan USA kali ini bertujuan menghancurkan matlamat Mujahidin Sunni untuk menubuhkan negara Islam yg ditadbir oleh Mujahidin Sunni yang hampir tercapai.

Wallahu'alam.

Thursday, August 29, 2013

DR BURHANUDDIN AL-HELMY


"Di atas robohan kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka, Bersatulah Melayu seluruh baka, Membela hak keadilan pusaka" (Kota Melaka, 1946).

Dr. Burhanuddin al-Helmy, atau nama penuhnya, Burhanuddin bin Haji Muhammad Nor, lahir di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911, adalah seorang doktor perubatan homeopati yang alim dalam bidang agama Islam. Beliau menguasai nahu saraf dan sastera Arab untuk mampu mentafsir al-Quran dan Hadis dengan baik. Selain boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman. 

Dr Burhanuddin adalah Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ketiga selepas Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Abbas Alias. Dr Burhanuddin mengambil alih pucuk pimpinan PAS pada tahun 1956 hingga kematiannya pada tahun 1969. Dr. Burhanuddin al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu. Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya lagi. Muktamar kemudiannya dengan sebulat suara memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS. Di bawah kepimpinan 

Dr Burhanuddin, PAS mempunyai orientasi menyokong kesatuan sekerja dan anti-kolonial. Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam”. Kepemimpinan Dr. Burhanuddin dalam PAS membawa kejayaan besar kepada beliau dan PAS dalam PRU 1959 apabila beliau menang kerusi Parlimen Besut untuk menyertai 13 lagi wakil rakyat PAS ke Parlimen. PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dan di DUN Kelantan PAS menguasai 28 daripada 30 kerusi untuk meletakkan Mohd Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar, Menteri Besar di Kelantan.

Namun, malang bagi PAS, kerajaan pimpinan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 lantaran permainan politik kotor Perikatan di luar Pilihanraya. Dr Burhanuddin al-Helmy tercicir dari PRU 1964 setelah SPR mengisytiharkan Dr. Burhanuddin hilang kelayakan bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan. Malang bagi PAS dan Dr Burhanuddin pada 6hb Mei 1964 apabila Timbalan beliau, Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad (Ahli Parlimen Bachok 1969-1964), meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di Kuantan bersama isteri, Ustazah Asiah Kamaruddin yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Pusat ketika dalam perjalanan berkereta pulang ke Perak dari Kelantan. 

Setahun selepas itu Dr. Burhanuddin al-Helmy pula ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia. Beliau ditahan pada 28 Januari 1965 dengan sokongan oleh Tun Dr. Ismail. Alasan yang digunakan adalah kerana Dr. Burhanuddin al-Helmy ini mengkhianati dan menderhaka kepada negara. Dengan demikian beliau tidak perlu dibicarakan. Dr. Burhanuddin Al-Helmy dibebaskan dari tahanan pada bulan Mac 1966 tetapi dikenakan syarat sekatan kawasan dan tidak dibenarkan berpolitik, sehinggalah Dr. Burhanuddin meninggal dunia pada tanggal 10 Oktober 1969 akibat penyakit lelahnya yang mula menjadi tenat dan tidak terkawal sejak semasa dalam tahanan ISA. 

Minat mendalam perjuangan politik Dr. Burhanuddin al-Helmy bermula ketika beliau menuntut di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah, Pulau Pinang. Mudir madrasah Sheikh Abu Bakar al-Rafie, selain Haji Arshad al-Bawayih, guru tatabahasa bahasa Arab adalah dari golongan ‘Kaum Muda’, dan Ashiran Yaakob, yang juga merupakan seorang penulis yang memperjuangkan nasib politik, ekonomi dan sosial orang Melayu, dikatakan banyak mempengaruhi minda pemikiran politik awal Dr Burhanuddin. Aliran pemikiran baru inlah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau. 

Sebelum itu, semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin al-Helmy yang berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat Islam Indonesia, termasuk para pendidik lain di situ, adalah juga kebetulannya terdiri dari kalangan aliran ‘Kaum Muda’ belaka. Selepas tamat pengajian di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah, Pulau Pinang, Burhanuddin al-Helmy kemudiannya telah mendapat biasiswa dari seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh, India. Di universiti ini Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pengajian Ijazah di bidang sastera dan falsafah, sehingga ke peringkat dianugerahkan Ijazah PhD. Di India, beliau telah terdedah dengan ajaran tasawuf Naqsyabandiah, selain didedahkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi menuntut pembebasan India daripada penjajahan British. 

Beliau dikatakan menghadiri rapat umum dan ceramah-ceramah Mahatma Gandhi serta mengikuti pendapat Mahatma Gandhi yang menuntut kebebasan politik bagi India dan tidak menggalakkan kekerasan dan permusuhan dalam kalangan orang India. Semasa di India, beliau sempat juga bertemu dan berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan para pemimpin kemerdekaan India yang lain. 

Setelah tamat pengajiannya di India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki sebelum ke Singapura untuk bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar pula ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah sehingga beliau berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dr. Burhanuddin al-Helmy turut di anugerahkan ijazah Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada, secara ijazah luar kampus. Dengan kelayakan ini, Burhanuddin al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura. 

Dr Burhanuddin mula berjinak-jinak dengan gerakan politik tanah air apabila beliau menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob. Di zaman pendududukan Jepun, Bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaakob, Onan Siraj dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang lain, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah menubuhkan pula Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945. Penubuhan KRIS digalakkan oleh pihak Jepun. Jepun sebenarnya telah menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia. 

Justeru itu beberapa siri rundingan telah diadakan antara pihak Jepun dengan Soekarno. Lalu kesempatan ini mahu diraih Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ibrahim Yaakob yang mahu bawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia melalui gagasan Indonesia Raya apabila Jepun berundur nanti. Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara Ibrahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Soekarno dan Hatta pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari Saigon setelah bertemu Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tenggara. Usaha-usaha mencapai kemerdekaan dalam konsep Indonesia Raya ini telah dijalankan dengan digerakkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Satu mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi merancang beberapa langkah yang patut dibuat bagi menentang kemasukan semula British ke Tanah Melayu. Mesyuarat juga telah memutuskan sebuah kabinet dibentuk bagi negara merdeka tersebut dengan nama Malaya Demokratik Rakyat, di mana dalam kabinet ini Dr. Burhanuddin al-Helmy juga dilantik sebagai anggota kabinet. Mesyuarat juga membincangkan cara-cara bagi mengelak penguasaan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) selepas pengunduran Jepun. 

Pada 17 Ogos 1945, atas arahan Ibrahim Yaakob, satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemuda KRIS telah diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perjumpaan ini turut dihadiri Itagaki dan dua orang kawannya. Pihak Jepun telah memberitahu rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal. Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr. Burhanuddin al-Helmy. 

Selepas Perang Dunia II dan selepas penjajah Inggeris kembali berkuasa, Dr. Burhanuddin al-Helmy, bersama Mokhtarudin Lasso, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam telah menubuhkan pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti yang dipengerusikan Dr Burhanuddin al-Helmy ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris, selain hasrat membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu agenda perjuangan utama Dr Burhanuddin. Dr. Burhanuddin al-Helmy turut menjadi perancang utama untuk penubuhan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin Shamsiah Fakeh. Beliau turut terlibat dalam penubuhan Parti Islam Hisbul Muslimin yang dipimpin Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. 

Dr Burhanuddin al-Helmy adalah seorang pemimpin berpengaruh yang jujur, mudah didampingi, berfikiran terbuka, senang diajak berbincang dan mudah bertolak ansur asalkan kena pada tempatnya, kerana pada sisi lain beliau adalah seorang yang tegas dan amat teguh pendiriannya. Dalam peristiwa penggubalan Perlembagaan Rakyat, soal kerakyatan di mana All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) mahukan kerakyatan berdasarkan tempat lahir atau jus soli sedangkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) keberatan menerima kerakyatan cara ini. Perbalahan juga berlaku dalam soal nama kerakyatan, AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama “Malayan” sedangkan PUTERA yang dipimpin Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang menjuarai dan mempengerusikan PUTERA-AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama “Melayu”. Dalam hal ini Dr. Burhanuddin al-Helmy tetap dengan pendiriannya sehingga memaksa Ahmad Boestamam menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan masalah ini bagi menjayakan Perlembagaan Rakyat. 

Apapun, segala yang telah cuba diusahakan oleh Dr Burhanuddin bersama rakan-rakan pejuang politiknya yang lain seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir akhirnya dipatahkan dari tindakan keras pentadbiran British di Malaya yang mengisytiharkan undang-undang darurat 1948 yang menyaksikan bukan saja Parti Komunis Malaya (PKM), tetapi semua pertubuhan kiri yang menentang penjajahan British termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Hisbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), PUTERA-AMCJA dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) diharamkan. 

Semua pemimpin, pengikut dan simpatisan pertubuhan diburu dan ditangkap. Hampir 34,000 kesemuanya rakyat Tanah Melayu daripada golongan yang simpati dengan gerakan anti-kolonial telah menjadi tahanan politik tanpa bicara antara 1948-57 dari gerakan besar-besaran oleh pentadbir penjajah Inggeris untuk melumpuhkan samasekali tentangan anak negeri terhadap penjajahan Inggeris . Mereka termasuklah Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ada yang lari ke Indonesia seperti Ibrahim Yaakob dan ada yang lari masuk hutan untuk mengelak tangkapan tapi diburu terus oleh pasukan tentera bersenjata untuk dihapuskan. Antara yang sempat lari masuk ke hutan termasuk Shamsiah Fakeh pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Mat Indera, pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) di Johor yang kemudiannya bergabung dengan pasukan militan melayu dari Regimen ke-10 Tentera Pembebasan Malaya yang berpangkalan di Lubok Kawah, Temerloh, Pahang untuk menyertai Rashid Maidin dan Musa Ahmad, dua pemimpin kanan Parti Komunis Malaya, yang turut sempat lari ke dalam hutan. 

Walaupun Dr. Burhanuddin al-Helmi tinggal di Singapura ketika itu, beliau turut di tahan antara tahun 1950 hingga tahun 1952 di penjara Singapura atas tuduhan terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. Ini hanyalah dijadikan alasan pihak penjajah Inggeris yang tidak senang dengan saranan terbuka Dr Burhanuddin supaya Rakyat tidak menentang usaha Tentera Pembebasan Malaya mengusir penjajah Inggeris keluar dari Tanah Melayu. 

Sementara itu. PAS (nama asalnya, Parti Islam SeTanah Melayu), pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan , Parti Rakyat Malaya, pimpinan Ahmad Boestamam, dan Parti Buroh Malaya, yang pada awalnya dipengerusikan oleh Lee Moke Sang , kemudiannya DS Ramanathan, sebelum dipimpin Ishak Haji Muhammad adalah antara parti politik pembangkang terawal yang ditubuhkan kemudiannya untuk menyertai Pilihanraya 1959 selepas Malaya mencapai kemerdekaan. 

Penyertaan Dr Burhanuddin dalam PAS telah diusahakan oleh sekumpulan angkatan muda PAS yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda setelah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS. Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy sendiri. Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik ketika itu. 

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujuan bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang keahlian PAS. 

Dr Burhanuddin menerima pelawaan ini dengan hati terbuka. Apatah lagi dikatakan telah wujud satu persefahaman dan kesepakatan di kalangan ketiga-tiga mereka untuk Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Dr Burhanuddin menerajui PAS. Ini bagi membolehkan penyatuan rakyat dari tiga sisi berbeza dan memudahkan kerjasama dari kalangan parti berbeza sebagai strategi untuk menang Pilihanraya. Sementara itu, ketegasan Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam untuk tidak menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 kerana keghairahan masing-masing yang tidak pernah putus asa mahu menjayakan rancangan alternatif gagasan Melayu Raya yang lebih besar melalui peluang baru penubuhan Persekutuan Maphilindo selepas merdeka telah membawa padah kepada kedua-dua mereka. 

Negara kemudiannya menyaksikan dua pemimpin tertinggi parti PAS dan Parti Rakyat Malaya yang berpengaruh dtangkap dan ditahan di bawah undang-undang ISA (Internal Security Act) atas tuduhan terlibat dalam aktiviti subversif yang membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara. Dr Burhanuddin dituduh berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia. Manakala Ahmad Boestamam dituduh terlibat dalam menyokong usaha Indonesia menentang penubuhan Malaysia selain dituduh terlibat dalam peristiwa kebangkitan rakyat Brunei anjuran Parti Rakyat Brunei pimpinan Azhari pada tahun 1962 yang menuntut kemerdekaan Kalimantan Utara meliputi wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei dari British. 

Walhal, rancangan penubuhan Persekutuan Maphilindo bagi menggantikan rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia ini pada pada awalnya dipersetujui sendiri oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman bersama Presiden Republik Filipina, Macapagal dan Presiden Republik Indonesia, Soekarno dalam satu Sidang Kemuncak di Manila menjelang pengisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 16 September 1963 . 

Namun Tunku terpaksa tunduk kepada tekanan dan telunjuk British dan Amerika Syarikat yang tidak mesra dengan Soekarno dan Indonesia biarpun Malaya pada waktu itu telah pun merdeka dari penjajahan Inggeris. Walaubagaimanapun, tidak pula dinyatakan sebab kenapa dipandang sepi cadangan alternatif yang lain oleh Presiden Macapagal supaya Filipina saja menyertai Malaysia dulu di bawah gagasan Federation of Greater Malaysia, tanpa Indonesia, untuk membolehkan Indonesia menyelesaikan masalahnya terlebih dulu dengan Britain dan Amerika Syarikat, demi menjayakan usaha penyatuan negara-negara Melayu seluruh Nusantara yang dipecahkan-belahkan oleh penjajah Inggeris, Sepanyol dan Belanda.

Merdeka - Siapa Yang Berjuang Dan Siapa Yang Dapat Nama?

Siapa Dia?
 Siapa Mereka?

Kita (baca kerajaan Umno khasnya) mengeluh bila setiap kali tiba 31 Ogos hari keramat untuk rakyat negara ini kerana pada tanggal itu diisytiharkan kemerdekaan negara. Apa dikesal dan dikeluhkan kerana semangat untuk sambut hari ulang tahun kemerdekaan itu tidak begitu 'jelingah' dan meriah.

Rakyat di semua lapisan seakan tidak berserta (komited) menyambut hari kemerdekaan itu. Kehadiran wakil British ini nampak sangat kemerdekaan kita dibeli. Ada yang tidak merasakan apa-apa kesan dengan ketibaan tarikh itu.

Tarikh atau peristiwa itu seakan tidak memberi apa-apa signifikan buat mereka.  Ia dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tarikh lain yang tidak membawa erti. Jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka, 17 Ogos, orang kata panggil tidak dengar.

Bezanya seperti jarak di antara langit dengan bumi. Sambutan rakyat negara itu kepada sejarah bangsa negara mereka sungguh meriah dan hebat. Rakyat negara itu menanti setiap kali detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat.

Saya pernah menukilkan macam mana hebatanya rakyat Indonesia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan mereka di dalam blog ini. Ia umpama 'jenawari'. Dari kota hingga ke pelusuk kampung semua rakyat berpartisipasi dengan sambutan itu.

Tidak ada rumah yang tidak dihiasi atau dipasang bendera. Tidak mampu beli mereka buat dan reka sendiri. Bendera Sang Merah Putih itu juga dijual di tepi jalan, berbagai saiz. Tidak ada acara memberi bendera secara percuma di plaza tol atau di gedung perniagaan.

Kita cemburu melihat kesungguhan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka. Kita cemburu dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat negara itu. Dari sini kita dapat mengukur sejauh mana ketebalan semangat mereka dan sejauh mana pula ketipisan semangat bangsa kita.

Kenapa di tempat kita lesu dan 'laaih', tidak bermaya? Kerajaan sendiri sudah habis usaha dan ikhtiar macam mana hendak gerakan rakyat agar menyambut hari kemerdekaan. Bermacam-macam kempen dan insentif diberikan. Dianjurkan berbagai pesta sempena hari ulang tahun untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup itu diberikan Jalur Gemilang agar dipasang dikenderaan secara percuma. Namun usaha itu sia-sia saja. Ada yang sudi mengambil tetapi tidak sedia untuk mengibarkan di kenderaan masing-masing. Sudah silih berganti pengerusi panitia sambutan kemerdekaan ditukar tetapi tidak menjadi. Kenapa?

Ada pelbagai sebab yang diberikan mengapa situasi ini berlaku. Antaranya kerana kemerdekaan kita kononnya tidak dicapai dengan darah dan air mata. Kemerdekaan kita diberi atau didapati secara percuma menerusi rundingan. Maka generasi kini khasnya tidak merasakan keperitan itu maka semangat untuk merayakan kemerdekaan tidak menyentuh hati naluri mereka.

Kemerdekaan kita tidak dicapai seperti mana Indonesia mencapai hari kebebasan itu dengan buluh runcing. Rakyat Indonesia membidik senjata dan buluh runcing menghalau penjajah. Kita tidak?

Betulkah kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata? Apakah tiada rakyat negara ini terkorban dan syahid kerana berjuang untuk mencapai kemerdekaan? Pandangan itu tidak tepat sebenarnya dan ia perlu diberi penjelasan baru. Hakikat apa yang berlaku sengaja dipesongkan oleh kerajaan sendiri dengan motif sedia maklum.

Kalau dikorek kepada sejarah perjuangan awal rakyat negara ini yang menentang penjajahan British jelas menunjukkan perjuangan itu makan banyak korban. Banyak air mata dan darah tumpah meresapi bumi Malaya ketika itu. Atau kita tidak menganggap British itu sebagai penjajah? Saya timbulkan ini kerana ada sarjana yang berkata Malaysia tidak pernah dijajah?

Cuma korban darah dan air mata itu tidak dinukilkan dalam lembaran sejarah popular negara. Justeru generasi (pembaca) muda tidak mengetahui akan ada darah dan air mata dalam proses kemerdekaan kita. Mereka tidak baca dan sedihi kemudian mendendami hal itu. Apa yang ada di dalam buku sejarah kita, ialah perundingan untuk mendapat kemerdekaan.

Kemerdekaan sebuah sedekah

Apa yang dinukilkan ialah pemergian Tunku Abdul Rahman bersama wakil orang Cina dan India ke London untuk membawa balik watikah kemerdekaan. Kerana hanya itulah detik dan peristiwa penting di dalam sejarah menyebabkan orang menganggap kemerdekaan bangsa kita tidak menghirup darah dan mengeluarkan air mata.

Tiada getaran sampai ke hulu hati mengenai peristiwa itu. Apa lagi ada yang membuat ejekan kemerdekaan kita adalah sebuah sedekah Inggeris selepas mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Malaya.

Perkara ini kesilapan paling besar untuk negara dan generasi seterusnya tetapi ia tidak diralat. Kesilapan inilah memusnahkan semangat generasi penerus terhadap kecintaan kepada negara. Kemerdekaan kita sebenar lebih bermakna dan besar dari itu. Terdapat kedukaan dan keperihan pejuang memaksa British berundur. Jadi adalah salah kalau ada orang beranggapan kita merdeka bukan dengan darah dan air mata.

Barang kali tidak perlu saya emosi mendedahkan siapa yang menumpahkan darah dan air mata dalam proses mencapai kemerdekaan dari Bristih sekitar tahun 1942 hingga 1957 dan sebelum itu. Umum sudah tahu.

Dengan terbuka luasnya langit dunia, (dunia tanpa sempadan) yang semua orang boleh akses maklumat, menyebabkan manusia (generasi) tidak lagi berada dalam kepompong dibina penjajah dan tali barutnya. Mereka yang rajin dan gemar menggali sejarah akan menemui kebenaran ini.

Bahawa sejarah kemerdekaan yang ditulis oleh Umno tidak lengkap. Keadaan ini makin mengelirukan pula apabila ia disokong oleh sarjana peliharaan Umno untuk membetulkan sejarah yang tidak betul itu. Mereka tidak mahu melurus dan berkata benar tetapi terus bersekongkol dengan Umno sebagai tuan mereka.

Tidak semua kisah, citra, puak atau individu yang dicatat sebagai pejuang. Sebaliknya paling menyedihkan ada pejuang sejati dianggap sebagai penderhaka.

Paling-paling mereka akan menukilkan kisah Datuk Bahaman, Datuk Sago atau Mat Kilau atau pun Tok Janggut saja sebagai pejuang. Itu pun dalam nada pesimis dan konotasinya berbeza bila mereka (kerajaan) bercakap atau makan malam bersama Inggeris.

Tetapi rentetan selepas itu, gerakan nasionalisme tahun 1940-an khasnya selepas pengisytiharan Darurat (1948) tidak dinukilkan. Umno tidak merasakan kematian Tok Sago, Mat Kilau, Tok Janggut adalah kematian seorang pejuang kerana mereka bukan ahli Pekembar.

Tidak ada dalam sejarah ahli Perkembar (Umno) ditahan di dalam penjara, apa lagi mereka mati ditembak atau pun digantung sampai mati kemudian jenazahnya diarak ke seluruh pekan dan bandar untuk menakutkan orang Melayu. Siapa orang Pekembar yang diseksa?

Jadi benarlah kalau ada orang tuduh kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata kerana itulah versi dan hakikat perjuangan Umno. Bagaimana pun kalau dilihat kepada tokoh nasionalis yang kemudian menyambung perjuangan secara politik? Jelas mereka menumpahkan darah dan air mata demi membebaskan tanah air.

Tokoh yang dicap sebagai haluan kiri; Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan lain adalah pejuang yang meringkuk di dalam penjara kerana merindui sebuah kemerdekaan. Kita tidak pernah menadah berapa banyak air mata mereka mengalir.

Begitu juga kalau hendak dihitung tokoh nasionalis yang menyambung perjuangan menerusi Rejemin Ke-10 PKM - Parti Komunis Malaysia, seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Kamaruzaman Teh, Shamsiah Fakeh, Siti Nurkiah Mahmood dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan yang banyak menelan air mata dan menyaksikan darah membasahi bumi.

Munasabahkah mereka ini semua sengaja melarikan diri ke dalam hutan kemudian sanggup berdepan dengan hujung senjata tanpa ada matlamat untuk agama, bangsa dan negara?

Jadi di manakah salahnya maka kemerdekaan kita menjadi lesu? Berdasarkan perkembangan dan kronologi tadi jelas yang salahnya kerajaan, puak yang menguruskan negara ini sejak 1957 itu. Umno begitu sombong dan angkuh kerana mahu memperlihatkan hanya Umno yang berusaha mencapai kemerdekaan dan dalam masa lain menafikan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan orang atau pihak lain yang sama-sama memainkan peranan ke arah itu. Hakikat ini semua orang tahu. Pembaculan sejarah adalah Umno.

Kenapa pada dekad awal kemerdekaan majlis sambutan kemerdekaan mendapat sambutan dan hangat? Sebab waktu itu langit belum terbuka, sejarah perjuangan negara masih terbungkus. Hari ini apabila dunia sudah tanpa sempadan, maklumat tidak boleh disembunyikan, makin ramai cerdik pandai menganalisa sejarah, maka mereka menjadi keliru siapa sebenar pejuang dan siapa sebenarnya hipokrit yang bertindak menamakan susu lembu dengan nama sapi.

Kesimpulan mudah saja untuk menyeramakkan tarikh kemerdekaan kita, pemerintah hari ini harus ikhlas dan sedia menerima peranan pihak lain juga. Pertamanya, mengiktiraf perjuangan nasionalis menerusi Kesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (KKMM) serta sayapnya API, Awas, Insaf dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemerdekaan.

Demikian juga dengan Rejemin Ke-10 Komunis Malaya yang bergerak dihutan secara bergerila. Mereka yang menjadi wakil kepada rakyat negara ini menggadaikan nyawa, darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan.

Demikian juga dengan parti pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan dan lain-lain hendaklah dipanggil sama berbincang bagaimana hendak memeriahkan kemerdekaan negara ini. Mereka juga khususnya PAS perlu diikhtiraf sebagai badan siasah yang berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman kolonial.

Selagi kerajaan yang ada hari ini menafikan peranan dan pengorbanan semua pihak, maka selama itu sambutan kemerdekaan kita akan layu, lunyai dan 'laaih' dan ia hanya tidak ubah sebagai sebuah pesta atau keramaian hiburan yang tidak memberi apa-apa signifikan pun kepada kita.

Sambutan itu akan dilihat sebagai sebuah propaganda Umno bukan sebuah 'moment' penting untuk rakyat jelata. ~msomelayu

Tuesday, August 27, 2013

MCA mahu pengarah Tanda Putera bertanggungjawab jika berlaku ketegangan kaum

MCA menggesa pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba bertanggungjawab sekiranya khalayak yang menonton filem berkenaan tidak berpuas hati dan mencetuskan ketegangan kaum.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) berkata, adegan sekumpulan pemuda Cina kencing di laman Menteri Besar Selangor Datuk Idris Harun akan menyebabkan penonton berasa kurang senang dan pihak penerbitan harus bersedia menerima kritikan.

Wee berkata, meletakkan kesalahan sesuatu kaum dengan menggambarkan babak yang tidak tepat berhubung tragedi 13 Mei 1969 adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Pihak penerbitan Tanda Putera membantutkan usaha pendamaian nasional yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apatah lagi dengan sambutan hari kemerdekaan negara yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pengarah tidak sewajarnya menggunakan alasan sejarah bagi membuat penipuan dan kebencian antara kaum di Malaysia. Filem cereka atau berdasarkan kisah benar seharusnya boleh dibezakan oleh pengarah filem itu," katanya. MI.

Merdeka.....???

Hanya beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Namun, ramai masih tidak sedar kedatangan hari penting untuk negara ini.

Perbincangan hangat dalam media sosial bukan untuk menambahkan semangat bagi menyambut kemerdekaan tetapi untuk mencari sebab dan alasan kenapa mereka tidak berminat untuk meraikannya.

Penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhujah, sambutan kemerdekaan sudah diculik oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia bukan lagi sambutan untuk semua rakyat Malaysia tetapi untuk mengingati perjuangan tokoh Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut menyambut kemerdekaan mereka tahun ini.

Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan (15 Ogos) dan Indonesia (17 Ogos).

Hampir semua negara itu menyambut hari kemerdekaan mereka dengan meriah bahkan rakyatnya teruja sekali menunggu kedatangan hari bersejarah itu.

Dua tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terperangkap apabila beliau cuba mengingatkan rakyat negara ini mengenai pejuang kemerdekaan negara.

Usaha beliau cuba mengingatkan Malaysia bahawa Mat Indera juga pejuang kemerdekaan menerima padah. Beliau dituduh menyanjung komunis kerana Mat Indera dikaitkan dengan perjuangan komunis di negara ini.

Hingga kini beliau masih lagi terikat dengan perbicaraan di mahkamah ekoran isu ini.

Kepanasan isu ini sekurang-kurangnya berjaya mengingatkan rakyat bahawa kita sedang mahu menyambut hari Kemerdekaan negara pada tahun itu.

Hari ini, semua senyap sepi. Tiada bendera, tiada kisah yang mengingatkan kita kepada kemerdekaan negara dan tidak ada program khusus untuk mengajak rakyat mengingati hari bersejarah ini.

Mungkin kerana itu, Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya diwajibkan memasang bendera menjelang hari kemerdekaan.

"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta. Sekarang ini secara sukarela.

"Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada program 'Pocket Show 2013' di Uptown Danau Kota.

Tetapi itu hanya sekadar tindakan reakatif selepas sambutan pra kemerdekaan ini hambar sahaja.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (PR), Profesor Dr Mohammad Agus Yusof menyalahkan menteri yang menjaga hal ini.

"Saya dapati tahun ini paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal," katanya dalam facebooknya beberapa hari lalu.

"Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi mengenai hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau membidas laman yang dibuat khas untuk  sambutan kemerdekaan ini, www.malaysiamerdeka.gov.my yang tidak agresif dalam membuat promosi hari kemerdekaan.

"Apa yang saya dapati ialah laman itu hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran mengenai kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung.

"Mengapa tidak digunakan sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan sejarah kemerdekaan negara untuk tatapan anak muda kita?

"Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat sejarah negara," katanya.

Menilai semua pendapat ini, selain kerajaan, rakyat Malaysia juga sebenarnya mempunyai peranan masing-masing untuk mengenang kembali sejarah perjuangan kemerdekaan di negara kita.

Kalau selama ini, separuh daripada mereka mendakwa Umno men'culik' sejarah perjuangan kemerdekaan negara, bagaimana kali ini kita kemukakan, pihak lain juga turut menyumbang untuk kemerdekaan negara.

Mari kita kemukakan cerita kita. Kita sudah ada media dan media kita adalah sosial media. Kita sama-sama hangatkan hari kemerdekaan kita dengan cerita kita.

Selamat menyambut Hari Merdeka ke- 56. MI.

Wednesday, August 21, 2013

Kebenaran milik Allah, bukan di Barat bukan di Timur

Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari. Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.

Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik Allah, tidak di Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan Allah SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci, Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika sekian lama. Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.

Justeru, janganlah Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia. Jika darah Abdullah bin Zubair radhiallahuanhu pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini? Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?

Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.

Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau. Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.

Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja... - Surah Toha, ayat 72

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam

MARANG: Umat Islam diingatkan agar tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula.

Justeru, katanya secara sedar tetapi bodoh atau jahil isu perbalahan mazhab tersebut telah melekakan umat Islam tentang kebangkitan Islam di seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, asyik dengan pertikaian mazhab hingga umat Islam sendiri lupa musuh sebenarnya adalah Israel serta kuasa-kuasa besar dunia.

“Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula.

“Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada Majlis  Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, baru-baru ini.

Katanya, umat Islam juga wajar memahami bacaan politik antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Israel.

Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kuasa besar dunia yang dipengaruhi Israel cukup bimbang dengan kebangkitan Islam seluruhnya terutama di Mesir dan Turki.

Menurutnya, 90 peratus dunia Islam hari ini ahli Sunnah termasuk Mesir dan Turki merupakan negara Sunni yang mampu menguasai serta memimpin dunia Islam.

“Seorang pimpinan dari Syiah pernah mengatakan depan saya, bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh ahli Sunnah. Orang Syiah tidak boleh pimpin kerana 90 peratus dunia Islam adalah ahli Sunnah. Merekalah (Sunni) yang layak memimpin dunia Islam.

“Sebab itulah seluruh kekuatan barat mengepung Mesir, mengepung Turki kerana barat mengetahui jika berlaku kemenangan di Mesir dan Turki akan menguasai dunia Islam seluruhnya.

“Iran tidak boleh menguasai dunia Islam dan ini bacaan politik antarabangsa yang kita kena faham,” jelasnya di hadapan lebih 500 peserta perantau.

Hadir sama sebagai tetamu khas pada majlis perantau tersebut Penaung Majlis Permufakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan wakil kerajaan Hamas Palestin, Syeikh Dr Ahmed al-Najjar.

Kata Ustaz Abdul Hadi, sepatutnya pihak yang berautoriti membincangkan masalah antara mazhab adalah di kalangan ahli-ahli agama, ahli ilmu akademik dan bukan golongan yang ‘bodoh’ serta jahil.

“Dalam hal ini kita kena sedar dalam masalah mazhab ini sepatutnya dibincang oleh ahli-ahli ilmu, jangan yang bodoh. Dalam Sunni ada bodoh, dalam Syiah pun ada yang bodoh dan ini ‘penyakit’ yang kita sedang hadapi hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pengaruh mazhab Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru tetapi sejak kedatangan Islam ratusan tahun lalu.

Namun, katanya orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini masih lagi berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah.

Monday, August 19, 2013

Raja Saudi Sokong Tindakan Kerajaan Haram Mesir

RIYADH 17 Ogos - Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah semalam, menyeru negara-negara Arab supaya berdiri bersama-sama menentang `usaha menjejaskan kestabilan’ Mesir, dalam satu mesej bagi menyokong kepimpinan tentera negara itu.
Arab Saudi, rakyatnya dan kerajaan hari ini berdiri bersama saudara kami di Mesir dalam menentang 'keganasan'.

Saya menyeru kepada mereka yang jujur di Mesir dan negara-negara Arab serta negara Islam berdiri sebagai seorang lelaki dan satu hati dalam menghadapi cubaan untuk menjejaskan kestabilan negara yang berada di barisan hadapan negara Arab dan sejarah Islam,’’ katanya dalam siaran televisyen negara ini.

Arab Saudi merupakan sekutu rapat bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak dan mempunyai hubungan yang sukar dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin. - REUTERS

Nota : Siapa sebenarnya yang menjejaskan kesetabilan negara Mesir? Adakah perampas kuasa atau rakyat yang mahu kerajaan yang sah dikembalikan haknya?

Friday, August 16, 2013

Nahdah dan Raba’ah, Rebah Berdarah - A Gafar Mahdi

Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.

Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"

Nahdah dan Raba'ah,
Sudah sepekan Syawal dirai di sini
Namun, suka seketika beralih duka derita
Kekejaman merasuk segenap kota perjuangan ini
Kezaliman meranapkan medan kebangkitan ini
Tanpa rasa kasihan belas insani
Siapa sahaja menjadi mangsa
Ditembak, dibunuh dan dibakar
Masjid dan rumah sakit juga
musnah hancur berderai menjadi puing-puing
menebarkan abu, menimbunkan batu

Lalu, warna-warna panjinya berubah:
Merahnya darah
Putihnya kafan
Hitamnya arang.
Apakah ini harga sebuah keadilan dan kebebasan
yang dikhianati sendiri oleh penyembah tuhan demokrasi?

Nahdah dan Raba'ah,
Di sini rebahnya ribuan syuhada
Darah yang mengalir menjanjikan syurga

Sungguh!
Walau rebah, takkan goyah
Perjuangan suci tidak akan terhenti
Tidak akan pernah mengalah
Syahadah demi menegakkan syari'ah Allah
menenggelam kesesatan syiah dan golongan kuffar
membenamkan parah liberal dan barah sekular
moga tiada tersisa lagi, walau seinci.

Apa Jenis Kerajaan Yang Bunuh Rakyatnya Sendiri.... Dan Apa Jenis Kerajaan Pula Yang Berdiam Diri Melihat Pembunuhan Itu Berlaku...!?

Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat, komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah. 


Ini termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon yang rata-rata kesal dengan tindakan keselamatan Mesir yang menggunakan pendekatan kekerasan untuk menghentikan tunjuk perasaan di negara tersebut.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa Washington sedang mempertimbangkan untuk membatalkan dwitahunan "Star Bright" latihan ketenteraan bersama dengan Mesir, pada tahun ini selepas keganasan terbaru yang disifatkan apa yang berlaku di Mesir tidak dapat diterima. 

"Amerika Syarikat mengutuk penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir. "Kami merakamkan ucapan takziah kami kepada keluarga mereka yang telah dibunuh, dan yang tercedera. 

Kami telah berulang kali menggesa tentera Mesir dan pasukan keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak memberi ancaman kepada rakyat mereka. 

"Kami juga amat menentang undang-undang Negeri Kecemasan, dan menyeru kepada kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan berhimpun secara aman, dan proses undang-undang. 

Dunia menonton apa yang berlaku di Kaherah, “ kata jurucakap White House, Josh Earnest. 

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir turut mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin. 

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir. 

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini. 

Kesatuan Eropah dan beberapa negara-negara anggota kesal dengan pembunuhan yang berlaku,” kata wakilnya. 

Sementara itu, Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah ~sinar harian

Nota : Semoga Allah melaknat keatas Jeneral Abdel Fattah As-Sisi dan tentera-tenteranya dan penyokong-penyokongnya dan ulamak-ulamak jahat yang menghalalkan perbuatan rejim tentera yang membunuh rakyat Mesir!!!

Thursday, August 15, 2013

Sabtu 17 Ogos : Menentang reaksi keras terhadap konflik terkini di Mesir

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu.

Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan.

Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera. 

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini.

Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS