Tuesday, August 27, 2013

Merdeka.....???

Hanya beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Namun, ramai masih tidak sedar kedatangan hari penting untuk negara ini.

Perbincangan hangat dalam media sosial bukan untuk menambahkan semangat bagi menyambut kemerdekaan tetapi untuk mencari sebab dan alasan kenapa mereka tidak berminat untuk meraikannya.

Penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhujah, sambutan kemerdekaan sudah diculik oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia bukan lagi sambutan untuk semua rakyat Malaysia tetapi untuk mengingati perjuangan tokoh Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut menyambut kemerdekaan mereka tahun ini.

Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan (15 Ogos) dan Indonesia (17 Ogos).

Hampir semua negara itu menyambut hari kemerdekaan mereka dengan meriah bahkan rakyatnya teruja sekali menunggu kedatangan hari bersejarah itu.

Dua tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terperangkap apabila beliau cuba mengingatkan rakyat negara ini mengenai pejuang kemerdekaan negara.

Usaha beliau cuba mengingatkan Malaysia bahawa Mat Indera juga pejuang kemerdekaan menerima padah. Beliau dituduh menyanjung komunis kerana Mat Indera dikaitkan dengan perjuangan komunis di negara ini.

Hingga kini beliau masih lagi terikat dengan perbicaraan di mahkamah ekoran isu ini.

Kepanasan isu ini sekurang-kurangnya berjaya mengingatkan rakyat bahawa kita sedang mahu menyambut hari Kemerdekaan negara pada tahun itu.

Hari ini, semua senyap sepi. Tiada bendera, tiada kisah yang mengingatkan kita kepada kemerdekaan negara dan tidak ada program khusus untuk mengajak rakyat mengingati hari bersejarah ini.

Mungkin kerana itu, Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya diwajibkan memasang bendera menjelang hari kemerdekaan.

"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta. Sekarang ini secara sukarela.

"Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada program 'Pocket Show 2013' di Uptown Danau Kota.

Tetapi itu hanya sekadar tindakan reakatif selepas sambutan pra kemerdekaan ini hambar sahaja.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (PR), Profesor Dr Mohammad Agus Yusof menyalahkan menteri yang menjaga hal ini.

"Saya dapati tahun ini paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal," katanya dalam facebooknya beberapa hari lalu.

"Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi mengenai hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau membidas laman yang dibuat khas untuk  sambutan kemerdekaan ini, www.malaysiamerdeka.gov.my yang tidak agresif dalam membuat promosi hari kemerdekaan.

"Apa yang saya dapati ialah laman itu hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran mengenai kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung.

"Mengapa tidak digunakan sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan sejarah kemerdekaan negara untuk tatapan anak muda kita?

"Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat sejarah negara," katanya.

Menilai semua pendapat ini, selain kerajaan, rakyat Malaysia juga sebenarnya mempunyai peranan masing-masing untuk mengenang kembali sejarah perjuangan kemerdekaan di negara kita.

Kalau selama ini, separuh daripada mereka mendakwa Umno men'culik' sejarah perjuangan kemerdekaan negara, bagaimana kali ini kita kemukakan, pihak lain juga turut menyumbang untuk kemerdekaan negara.

Mari kita kemukakan cerita kita. Kita sudah ada media dan media kita adalah sosial media. Kita sama-sama hangatkan hari kemerdekaan kita dengan cerita kita.

Selamat menyambut Hari Merdeka ke- 56. MI.

No comments: