Friday, May 8, 2015

1MDB - JUAL ASSET NEGARA UNTUK TERUS HIDUP?

INSTITUSI kerajaan mana pula yang akan berurusan dengan 1MDB selepas ini? Dengan lubang RM42 bilion, 1MDB kini cuba mencairkan aset-aset yang diperolehinya untuk mendapatkan keuntungan. Dengan imej 1MDB yang sebegitu teruk sehingga gagalnya rancangan untuk IPO, siapakah lagi yang sanggup berurusan dengan mereka?

Tapi malangnya, penjual aset kepada 1MDB ialah kerajaan dan pembelinya pula ialah rakyat sepertimana yang berlaku di Lembaga Tabung Haji (TH).

Berlindung di sebalik perkataan “pelaburan”, TH telah mengaku berurusan dengan 1MDB dalam pembelian tanah projek Tun Razak Exchange (TRX), iaitu salah satu projek pembangunan utama oleh 1MDB.

Yang menyedihkan ialah gelagat Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Rahim yang menafikan dakwaan awal apabila berita itu terledak.

Apakah wajar TH berurusan dengan 1MDB yang sudah terkenal dengan masalah hutangnya?

Ini masalahnya apabila jawatan Pengerusi TH merupakan lantikan politik, dan lantaran itu, mereka hilang sikap berdikari dan terpaksa akur dengan bos politik mereka.

Secara kebetulan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah penasihat 1MDB. Di dalam kerjaan BN-Umno, Najib pula ialah bos kepada Abdul Azeez. Ini menyebabkan rakyat berpandangan serong terhadap urusan TH dengan 1MDB ini meskipun ia mungkin satu transaksi perniagaan yang bersih.

Cuma perkara yang paling busuk dalam isu ini ialah, yang menjual tanah TRX kepada 1MDB pada harga yang paling rendah ialah kerajaan. Yang membeli semula tanah ini pada harga yang sangat tinggi daripada 1MDB ialah rakyat melalui caruman di Tabung Haji.

Ini model perniagaan mudah untuk 1MDB – bapa jual pada anak pada harga murah, lepas itu memaksa menantu beli pada harga tinggi. Ke mana duit untung ini akan berakhir di 1MDB?

Untuk membayar hutangnya, 1MDB perlu mencairkan lagi lebih banyak aset-asetnya. Ini menyebabkan situasi di masa depan lebih mengerunkan. Siapakah selepas ini yang bakal berurusan dengan 1MDB? Apakah Lembaga Zakat, KWSP, Felda ataupun Khazanah akan digunakan untuk membeli aset yang dijual oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga murah pada harga yang lebih tinggi?

Di sini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengotakan janjinya yang lalu untuk memastikan Putrajaya tidak patut terlibat untuk menyelamatkan 1MDB.

"Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat." – begitulah kata-kata Muhyiddin pada 6 Mac yang lalu.

Apakah Muhyiddin sedar apa yang dibimbanginya sekarang sudahpun berlaku di depan mata melalui TH? Apakah beliau akan bertindak memihak kepada rakyat atau terus membisu seperti Najib?

Begitulah nasib wang rakyat jika terus dijaga kerajaan BN-Umno. Diharap rakyat terus sedar bagaimana wang mereka terus dimakan dengan pelbagai cara manakala kerajaan terus dengan sikap borosnya sebagaimana yang ditunjukkan rakyat di Rompin yang telah mula bangkit menolak BN.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Naib Presiden PAS
7 Mei 2015

No comments: