Wednesday, September 16, 2015

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

The Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surat Al-Hujurat: ayat 13)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini bagi menucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini, bersempena dengan penubuhan sebuah negara hasil gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu hinggalah terbentuk dengan nama Malaysia pada 16 September 1963.

Perlu difahami, kita semua adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara yang wujudnya kepelbagaian etnik yang berasal daripada berbagai bangsa dan datang dari pelbagai negara. Ditambah pula dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sekian lamanya.

Adalah menjadi naluri buat manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad atau akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan. Tidak ada orang yang waras akalnya mahu hidup di bawah belenggu penjajahan, apatah lagi lagi dikawal minda dan tindakannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin menegaskan, sebagai pendukung dan penyokong kepada perjuangan Islam pastinya akan menentang segala bentuk penjajahan sama ada berbentuk sekularisme, liberalisme dan sebarang ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam.

PAS sangat menghargai peranan yang telah pun dimainkan oleh semua pihak dan tokoh terdahulu seperti Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain lagi, yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka yang terdahulu, telahpun meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak setuju kerana kelemahannya yang tersendiri. Namun, segala kelemahan orang lalu yang telah meninggal dunia ini tidak wajar untuk dibalas dengan kata nista, yang wajar kita lakukan adalah dengan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar mereka dikurniakan keampunan.

Perlu difahami semua, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala. Sebarang kelemahan atau kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara pula perlulah diperbaiki oleh kita yang masih dipinjamkan nyawa ini dan pastinya ia juga menjadi tanggungjawab generasi akan datang. Kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini, pastinya mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara yang benar-benar menitikberatkan perihal kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang menyaksikan betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi peluang memerintah lebih 50 tahun, namun ia sangat parah apabila kerajaan Umno BN ini kian membawa negara kepada virus yang membebankan rakyat melalui kenaikan kos hidup yang kian meningkat, kadar mata wang yang merundum jatuh, penyelewengan wang di institusi-institusi tertentu kian parah, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan berpaksikan Islam kian dipinggirkan dan 1001 lagi kerosakkan yang berlaku, maka tentulah menjadi tanggungjawab buat kita semua untuk melakukan perubahan dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW.

PAS juga pastinya akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum yang ada dengan berasaskan Islam yang sebenar-benarnya menerusi Al-Quran dan As-Sunnah, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan Malaysia itu sendiri.

Justeru, PAS menggesa kepada semua rakyat Malaysia untuk meyakini jalan yang benar-benar menyelamatkan kita semua sama ada di dunia mahupun akhirat pastinya adalah dengan bersama Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
02 Zulhijjah 1436 / 16 September 2015

No comments: