“Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran” (Rum: 41)
Globalisasi dan Kesejagatan
Dunia tanpa sempadan di era globalisasi menjanjikan pelbagai peluang dan cabaran untuk generasi masa kini. Ia juga merupakan suatu proses yakni sempadan sesebuah negara kian terbuka kepada elemen luaran sehingga menjadikan seluruh dunia umpama sebuah perkampungan global (global village).
Menurut Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiya’: 107).
Namun, menurut Syeikh al-Qardhawi, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau mengamerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.
Perbahasan mengenai sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini telah dikupas dengan teliti oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHA) di dalam kertas kerja beliau yang diterjemahkan daripada Bahasa Arab berjudul ‘Globalisasi: Pendirian Islam Mengenainya’, dibentangkan sempena Kolokium Antarabangsa Penyatuan Umat Sedunia di Tehran (Urusetia Penerangan Negeri Terengganu, 2003).
Di dalam kertas kerja tersebut, beliau telah menggariskan bentuk dan pendekatan globalisasi pada zaman moden ini, seterusnya mengemukakan tindakan dan strategi yang perlu diambil oleh dunia Islam, dengan mengambil pandangan tokoh ilmuwan Islam kontemporari, termasuklah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, Prof. Dr. Najmuddin Erbakan, Syeikh Dr. Fathi Yakan, dan Syeikh Mohammad Hussin Fadlullah.
Globalisasi dan Orde Baru Dunia (New World Order)
Menurut TGHA, globalisasi moden adalah hasil daripada Orde Baru Dunia yang dilakukan dengan perancangan yang mendalam dan strategi yang teliti ke arah penjajahan bentuk baru dengan cara moden, bukan seperti penjajahan kurun pertengahan dahulu.
Ia dirancang dengan begitu teratur untuk menguasai dunia dengan tirai demokrasi, ekonomi, kebebasan, kebudayaan, keadilan, dan hak asasi manusia.
Dalam aspek politik, globalisasi dirancang untuk melibatkan diri dalam pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara dengan nama pemulihan demokrasi, bagi membolehkan campurtangan asing dalam kemelut politik sesebuah negara, sebagaimana yang menimpa negara Bosnia, Kuwait, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Tunisia, Mesir, dan Syria.
Dalam aspek ekonomi, ia dirancang untuk menguasai sumber minyak dan gas, aliran modal dan mata wang, serta pengembangan operasi syarikat multinasional, termasuklah mekanisma IMF, World Bank, WTO dan seumpamanya, dengan alasan untuk memulihkan kewangan sesebuah negara, khususnya pergantungan kepada dana asing dan hutang luar negara.
Dalam aspek pendidikan dan kebudayaan, penguasaan teknologi maklumat dan media berjaya mempengaruhi corak pemikiran dan gaya hidup generasi muda, dengan jenama pemodenan dan keterbukaan, sehingga melangkaui batas agama dan budaya.
Globalisi dan Pendirian Islam
Menurut TGHA, Islam adalah agama yang bersifat sejagat (universal). Ini dapat dilihat dari sudut aqidah, syariat dan akhlaknya yang sesuai dengan peredaran zaman dan suasana setempat.
Kedatangan Islam ke alam ini bukan untuk menjajah, menakluk atau menguasai mana-mana agama tetapi Islam adalah petunjuk Tuhan yang mencipta alam ini. Oleh sebab itu kita melihat kedatangan Islam ke sesebuah negari dinamakan sebagai ‘pembukaan’, bukannya penjajahan.
Islam juga mengiktiraf terdapat pelbagai ideologi, budaya dan bahasa dalam sesebuah negeri, walaupun Islam menyeru semua manusia menganut ajarannya. Justeru, globalisasi adalah suatu keistimewaan dan keunikan Islam, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda, yang telah melaksanakan tugas ‘mendirikan agama dan memakmurkan dunia dengan agama’ ke segenap pelusuk dunia secara damai dan berhikmah.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini, TGHA telah meggariskan enam strategi yang perlu diambil oleh umat Islam sedunia, iaitu:
1. Aqidah yang bebas daripada penjajahan pemikiran.
Umat Islam wajib membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama yang sempurna, seterusnya keluar daripada kepompong pemikiran Barat untuk menyelesaikan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang dihadapi negara umat Islam.
2. Mengurangkan pergantungan Amerika.
Negara umat Islam amat kaya dengan hasil galian semulajadi dan dikurniakan muka bumi yang subur dengan hasil pertanian. Di samping itu, kita punyai ramai pakar dalam pelbagai bidang sebagai modal insan yang berkualiti dan berintegriti untuk dimanfaatkan. Justeru, umat Islam mesti bekerjasama dari segi modal dan kepakaran dengan mengambil faedah dan peluang hasil mahsulnya yang kaya untuk manfaat negara dan juga ummah.
3. Persaudaraan dan penyatuan
Umat Islam mesti menjalinkan tali persaudaraan dan mengeratkan hubungan keimanan, supaya dapat merasai penderitaan yang dihadapi saudara seagamanya. Kita mestilah menyelesaikan pertelingkahan dalam perkara furu’ dan perbezaan mazhab yang tidak berkesudahan.
Pemimpin negara umat Islam perlu bebas dari perasaan asabiyyah (perkauman) dan kenegerian, mengikut sempadan geografi yang dilakar penjajah yang bertujuan untuk memecah-belahkan kekuatan umat Islam.
4. Revolusi dakwah global
Kita perlu mengambil peluang dari kecanggihan media dan teknologi maklumat untuk menyebarkan risalah dakwah Islam secara lebih kreatif, khususnya untuk membentuk kefahaman yang benar terhadap Islam dan menangkis prejudis Islamophobia yang dibawa oleh media Barat.
5. Membina kekuatan
Umat mesti membina membina kekuatan yang jitu dari segi rohani dan jasmani kerana kedua-duanya saling melengkapi dan memartabatkan kedudukan umat Islam di mata dunia dengan penuh kemuliaan dan kemegahan. Kita mempunyai rujukan mencukupi yang terdapat pada kitab-kitab dan dada para ulama, di samping kelengkapan fizikal dan ketenteraan yang wajar disusun dan dipertingkatkan.
6. Revolusi ilmu yang syumul
Kita perlu sedar bahawa segala hikmah dan kebijaksanaan itu adalah barang tercicir orang beriman di mana sahaja ia dijumpai maka hendaklah memungutnya. Oleh itu, dasar kita adalah lebih kuat dari Jepun dan Jerman yang bangkit melalui revolusi ilmu selepas dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua, dengan menggabung-jalin ketinggian ilmu yang berasaskan keimanan dan nilai akhlak yang mulia.
TPPA agenda penjajahan moden
Di dalam perbahasan Bajet 2016, TGHA telah menggariskan pendirian PAS dan mengemukakan saranan kepada kerajaan mengenai rundingan TPPA yang bakal ditandatangani oleh Malaysia pada Februari 2016, antaranya:
1. TPPA ini agendanya adalah bagi menghapuskan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sifat kemanusiaan sejagat dan hak asasi yang adil sesama manusia yang berkeluarga secara masyarakat madani;
2. Jika penjajahan purba merompak tanpa undang–undang, maka penjajahan baru diadakan undang–undang melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dimeteraikan laksana cacing–cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau ikan kecil menumpang jerung yang lebih besar lagi ganas;
3. TPPA bukannya penyelesaian ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajahan baru dalam aspek ekonomi kerana tidak mewujudkan kerjasama yang saksama dan adil. Adalah lebih baik bagi negara kita mengadakan kerjasama serantau dan negara yang yang terdekat diutamakan;
4. Selamatkan keadaaan secara bermasyarakat madani dalam kalangan negara serantau (ASEAN), negara satu umat dan seagama (OIC) dan juga satu kemanusiaan (NAM) dengan adil dan kesaksamaan kemanusiaan yang bermoral, dengan kemajuan sains dan teknologi yang tidak disalahgunakan;
5. Jalinkan kerjasama ASEAN, OIC, China, Jepun, Rusia selepasnya diikuti Eropah dan Amerika tanpa bermusuh dengan sesiapa dengan menggunakan bahan bersama secara adil sama ada sumber bumi, kepakaran dan tenaga kerja yang bersifat kerjasama yang adil;
6. Bebaskan daripada bergantung dengan Dolar Amerika kepada Dinar atau mata wang Asia, dengan membebaskan diri daripada mata wang negara yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.
Sebagai kesimpulan, inilah hikmahnya al-Quran menegaskan manusia seluruhnya adalah satu keluarga walaupun berbeza bangsa, agama, dan budaya, seterusnya mewajibkan kerjasama yang adil dengan penuh saksama sesama manusia tanpa mengira batasan sempadan. – HARAKAHDAILY 20/1/2016
No comments:
Post a Comment