Tuesday, September 9, 2014

Sokong Tuan Guru

Kita kenal TGHH seorang yang alim, zuhud, keturunan baik2, haraki. Ana secara peribadi mengakui keikhlasan beliau memimpin Pas sebagai Naib Presiden, Tim. Presiden dan Presiden.

Kita meyakini beliau berkemampuan berijtitihad termasuk dlm isu MB Selangor. Mudah2an Allah panjangkan umur ana dan ana akan pertahankan TGHH habis2an ketika Tuan Guru diserang.

Ana menyeru seluruh muridku yang berada di seluruh Malysia tolong bangun dengan seluruh kekuatan yang kamu ada mempertahankan TGHH dan MSU

AF Ustaz Sidek Mohd Nor
Timbalan Pengerusi
Lajnah Tarbiyah & Perkaderan
PAS Perak

Wan Azizah : Jaga Adab Dengan Tok Guru

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui beliau sedikit terguris dengan kritikan yang dibuat presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau tidak marah dan menganggap komen bahawa beliau "tidak berkelayakan" menjadi menteri besar, sebagai teguran dan meminta ahli partinya tidak membuat sebarang kenyataan balas.

"Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

"Walau bagaimana pun, tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri Insya-Allah," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, dalam satu ceramah Hadi dinaikkan di Youtube menyatakan Azizah bukan pemimpin yang kuat serta tidak mempunyai kebolehan untuk berdebat soalan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Hadi turut menyatakan beliau menolak Azizah bukan kerana ada kaitan dengan jantina sebaliknya seorang menteri besar perlu mempunyai kriteria tertentu yang tidak dipenuhi Wan Azizah.

Bagaimanapun Wan Azizah berterima kasih dan mendoakan agar Hadi dipanjang umur serta tidak mahu sebarang kenyataan menyelar Hadi dibuat oleh sesiapapun.

"Oleh itu, saya menasihati semua supaya tiada lagi sebarang kenyataan balas dibuat berhubung kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

"Fokus kita sewajarnya bersatu membela rakyat dari pelbagai tindakan Umno-Barisan Nasional yang menekan rakyat," katanya.

Monday, September 8, 2014

Sultan Selangor Dukacita Terhadap PKR Dan DAP - MB Kekal Dipangku TS Khalid

SHAH ALAM, 8 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.

"Dimaklumkan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah menerima senarai nama calon menteri besar Selangor yang baharu daripada ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat seperti mana titah D.Y.M.M Sultan Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos 2014.

"Namun demikian hanya parti PAS yang akur dengan titah D.Y.M.M Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon menteri besar Selangor manakala DAP dan Keadilan masing-masing telah mengemukakan satu nama yang sama iaitu (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Mohamad Munir berkata tindakan kedua-dua parti itu bukan sahaja menggambarkan kebiadapan mereka terhadap institusi beraja tetapi juga merupakan perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.

Beliau berkata titah Sultan Selangor bagi mengemukakan senarai lebih daripada dua calon menteri besar Selangor adalah satu amalan atau konvensi yang dilaksanakan baginda bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.

Ciri-ciri itu amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri Selangor agar berjalan dengan lancar dan baik bagi keharmonian negeri berkenaan, kata Mohamad Munir.

"D.Y.M.M Sultan Selangor berkeyakinan bahawa terdapat ramai calon dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti yang disebutkan bagi menerajui kerajaan Selangor," katanya.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor akan meneliti senarai nama calon yang telah diterima dengan mengambil kira segala aspek dalam menilai calon sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara D.Y.M.M Sultan Selangor, maka baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran D.Y.M.M Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri," katanya.

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

-- BERNAMA

Presiden ada kuasa pemutus - Majlis Syura Ulamak

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang hari ini membuat keputusan bahawa Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan parti.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, mereka berkata ia merujuk kepada berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.

Majlis Syura Ulamak juga memutuskan bahawa adalah menjadi kewajipan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).

Berikut kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak

Dengan merujuk kepada Perlembagan PAS, Fasal 8 (1) (a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulamak untuk menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS, maka mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada Ahad, 7 September 2014, membuat keputusan bahawa:

1) Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.

Ketua yang dimaksudkan di dalam fasal tersebut mestilah difahami seperti mana disebutkan di dalam Hadis Nabi اسمعو واطيعوا ولو تأمر عليكم عبد حبشي

"Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua di kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi."

2) Bahawa menjadi kewajipan Ahli  Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).

Majlis Syura Ulamak menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS, agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh merugikan perjuangan Islam.

- HARAKAHDAILY 7/9/2014

Pesta Tanglung BMC

YB Haji Razaly memberi ucapan dan menyampaikan sumbangan kepada persatuan Penduduk Bandar Mahkota Cheras di Pesta Tanglung BMC malam semalam.

Exco PAS Memastikan Kerajaan Sekarang Terus Berfungsi SementaraMenunggu Kerajaan Dibawah Pimpinan Yang Baru.


 
KUALA LUMPUR: Empat Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada PAS yang kini dalam kerajaan negeri bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat daripada tumbang kepada Umno.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi, berkata pengekalan empat exco PAS itu adalah penting kerana ia adalah selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita tidak ada kerjasama dengan Umno, bahawasanya jika Umno masuk kita akan keluar,” kata Sallehen dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian semasa Ijtimak PAS Selangor yang diadakan Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya Seri Kembangan, petang tadi.

“Walaupun Abdul Khalid kini Adun Bebas namun caranya masih lagi belum menjadi Adun Bebas lagi, malahan mutakhir ini walaupun sudah pemerintahannya hendak berakhir namun masih semangat,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun empat Exco namun perjalanan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tetap terus berjalan dengan program dirancang berjalan baik.

Beliau menambah, apa yang berlaku kepada Kerajaan Selangor hanya sedikit kocakan berbanding dengan pengalaman PAS sebelum ini yang pernah kehilangan kerajaan.

“Atas pengalaman pemimpin lalu yang pernah menempuh perjalanan panjang itu, maka Presiden kita dan rakan-rakan lain bertenang dalam situasi dan tidak terus membuat kenyataan untuk kita tidak beri kerjasama kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata pendukung Pakatan Rakyat perlu mengikut kaedah Fiqh yang mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah.

“Maka apabila kita diatur oleh jemaah maka kita berada di landasan yang betul untuk mendapat pertolongan daripada Allah,” katanya.

Selain beliau, tiga lagi Adun PAS yang menganggotai exco kerajaan negeri ialah Iskandar A Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali.

Jawatan MB Selangor : PAS tak tuntut, serah kepada Sultan

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi menegaskan tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor yang telah dipersetujui untuk diberikan kepada PKR.

Setiausaha Agung PAS,  Datuk Mustafa Ali berkata juga berkata, pada peringkat ini PAS memutuskan untuk menyerahkan isu perlantikan itu kepada budi bicara Sultan Selangor.

"PAS pusat kekalkan keputusan yang pernah kita (PAS) buat sebelum ini iaitu tidak menuntut jawatan menteri besar selangor.

"PAS bersetuju bahawa jawatan Menteri Besar selangor adalah ialah untuk PKR," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat, di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

Mengulas isu calon PAS yang dikemukakan parti itu, beliau berkata PAS hanya menyerahkan nama cadangan dan ia bukan satu isu.

Sebelum ini beliau memaklumkan PAS telah menyerahkan tiga nama calon iaitu dua dari PKR dan satu dari PAS. - HARAKAHDAILY 7/9/2014

Friday, September 5, 2014

Jangan terlebih campuri urusan PAS

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk saling menghormati antara satu sama lain dengan masing-masing tidak terlalu mencampuri urusan parti lain.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini banyak berlaku di mana pihak lain cuba mencampuri urusan dalaman PAS khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor.

"Saya suka ingatkan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat agar kita tidak mencampuri sangat urusan parti-parti lain dan jangan melampaui sempadan parti.

"Memang ada benda yang kita bersetuju dan ada benda kita tidak bersetuju. Itu hak parti masing-masing dan kita perlu hormat," katanya kepada Harakahdaily Hari ini.

Beliau mengambil contoh dalam isu hudud di mana DAP tidak bersetuju dengan PAS dalam isu tersebut.

Namun katanya, PAS menghormati perbezaan pandangan dengan DAP itu dengan menganggap itu hak parti itu.

"Kita PAS menghormati pendirian mereka (DAP) dan kita tidak mengkritik mereka," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kenyataan dari rakan pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah tidak menghormati perbezaan pendapat dari PAS.

Malah kata beliau, terdapat kenyataan-kenyataan seperti mengkritik PAS dan cuba mengajar PAS dalam membuat keputusan khususnya dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sementara itu, berdepan dengan perkembangan semasa dalam isu tersebut, Tuan Ibrahim menasihatkan seluruh ahli PAS agar bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan parti.

"Saya mengambil sikap, kalau kita tidak tahu, tak payah cerita kepada orang lain yang kita tak tahu," katanya.

- HARAKAHDAILY 5/9/2014

Thursday, September 4, 2014

Ke Johor Pulak tahun Ini.....


KUALA LUMPUR: Lokasi Muktamar Tahunan kali ke-60 yang akan diadakan pada 18 hingga 20 September nanti, kekal di Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat PAS Johor malam tadi.

Penolong Setiausaha Agung 2 PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, persiapan muktamar sedang giat dilakukan sekarang ini dengan menaikkan khemah dan gerai untuk jualan pada muktamar nanti.

"Dalam 100 biji gerai yang dibuka untuk jualan pada hari tersebut dan aktivti meratakan tanah hampir siap, dalam waktu tiga hingga empat hari ini kita sedang persiapkan khemah dan gerai jualan,"katanya kepada Harakahdaily.

Katanya lokasi muktamar kali ini berlangsung di hadapan Bandar Universiti dan berdekatan dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Bagaimanapun, beliau bagi pihak urusetia Muktamar PAS kali ke-60 ini memohon maaf ke di atas kesulitan yang berlaku terutama para perwakilan dan pihak media yang telah menempah penginapan di Skudai, Johor Baharu.

Namun, untuk muktamar dewan-dewan masih tidak berubah iaitu Dewan Ulamak kekal di Kulai, Dewan Pemuda di Dewan Chun Moi, Kota Tinggi dan Dewan Muslimat di Pulai Spring Resort.

Untuk perasmian bagi Dewan Pemuda akan berlangsung pada petang 16 September, manakala Dewan Muslimat pada sebelah malam hari yang sama. Dewan Ulamak pula akan mula berlangsung pada 17 September. - HARAKAHDAILY 4/9/2014

Tuesday, September 2, 2014

AKU, UNIT AMAL DAN KEPANDUAN JAMAAH.

Oleh:Dr Riduan Mohd Nor.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Abdul Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang. Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa UM, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Tak ramai anak-anak kampus UM yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar Islam lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepemudaan di kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri smenjak era dekad 1960an dan 1970an. Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam , aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan lasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS. Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini. Gerakan feomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz :2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub continent, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sebagai sayap gerakan yang penting. Di Indonesia pula, Masyumi ( Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan tersendiri yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno.

Unit Amal terus mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS disemua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjugan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia. Tak sedikit ujian yang melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan , namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi. Apabila negara di landa musibah banjir, mereka "beruniform merah" ini berada dibarisan hadapan, jauh lebih awal daripada Agensi kerajaan sendiri.

Kelompok  relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti eklusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latarbelakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda. Mereka bekerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jamaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tak mampu berbohong tentang jasa dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko kurikulum di sekolah-sekolah Islam.

Unit Amal tak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer , sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut , program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal.

Kepada Zahid Hamidi, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal, kerana hadirnya Unit Amal bersama denyut nafas kami, seluruh ahli-ahli Parti Islam.  Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa diatas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, "dimana ada kesusahan, disitulah adanya kami". Tugas kamu Zahid dan pihak keselamatan negara ialah membanteras jenayah dan mewujudkan suasana kondusif untuk rakyat, mewujudkan Malaysia yang aman. Biarkan Unit Amal terus berbakti kepada watan dan tanah leluhur ini!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga mantan Penaung Unit Amal Wilayah Persekutuan 1999-2006)