Friday, September 5, 2014

Jangan terlebih campuri urusan PAS

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk saling menghormati antara satu sama lain dengan masing-masing tidak terlalu mencampuri urusan parti lain.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini banyak berlaku di mana pihak lain cuba mencampuri urusan dalaman PAS khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor.

"Saya suka ingatkan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat agar kita tidak mencampuri sangat urusan parti-parti lain dan jangan melampaui sempadan parti.

"Memang ada benda yang kita bersetuju dan ada benda kita tidak bersetuju. Itu hak parti masing-masing dan kita perlu hormat," katanya kepada Harakahdaily Hari ini.

Beliau mengambil contoh dalam isu hudud di mana DAP tidak bersetuju dengan PAS dalam isu tersebut.

Namun katanya, PAS menghormati perbezaan pandangan dengan DAP itu dengan menganggap itu hak parti itu.

"Kita PAS menghormati pendirian mereka (DAP) dan kita tidak mengkritik mereka," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kenyataan dari rakan pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah tidak menghormati perbezaan pendapat dari PAS.

Malah kata beliau, terdapat kenyataan-kenyataan seperti mengkritik PAS dan cuba mengajar PAS dalam membuat keputusan khususnya dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sementara itu, berdepan dengan perkembangan semasa dalam isu tersebut, Tuan Ibrahim menasihatkan seluruh ahli PAS agar bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan parti.

"Saya mengambil sikap, kalau kita tidak tahu, tak payah cerita kepada orang lain yang kita tak tahu," katanya.

- HARAKAHDAILY 5/9/2014

No comments: