Soon Li Tsin | May 1, 08 3:37pm
eksklusif Harapan Gerakan untuk merampas kembali Pulau Pinang tidak akan kecapaian seandainya kerajaan Pakatan Rakyat dapat mentadbir dengan cemerlang, kata penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
"Gerakan akan mengambil masa 10 tahun atau lebih untuk memenangi semula Pulau Pinang, bergantung bagaimana Pakatan mentadbir negeri tersebut.
"Bagaimanapun, seandainya Pakatan dapat mentadbir dengan cemerlang daripada kita, maka harapan kita mungkin hanya tinggal harapan.
"Jika (Gerakan) mahu kembali memerintah Pulau Pinang, parti itu mesti sekarang dilihat mengetuai pembangkang di negeri itu," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini Isnin lalu.
'Menentang keluarga'
Beliau diselubungi emosi apabila ditanya mengapa beliau menyelar bekas timbalan setiausaha agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon kerana meninggalkan parti itu untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Sudah tentu (saya marah padanya) tetapi bukan bagi pihak parti. Ia umpama seorang bapa yang mendapati salah seorang anak lelakinya menentang keluarga sendiri.
"Bila dia meninggalkan parti, saya sedar (dia) seorang oportunis. (Dia) lebih berminat dengan jawatan daripada ketaatannya kepada parti," tegasnya.
Lee mencetus kontroversi apabila dilantik oleh ketua menteri Pulau Pinang, Lim Lim Guan Eng sebagai pengarah dalam dua agensi pelaburan kerajaan negeri - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang.
Lee bertindak keluar parti selepas diberi surat tunjuk sebab oleh pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Keng Yaik berkata, pemimpin parti itu mungkin bersetuju dengan tindakan Lee menerima jawatan tersebut sekiranya mereka dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu.
"Jika beliau mempunyai keberanian untuk memberitahu pucuk pimpinan parti, mereka kemungkinan besar bersetuju beliau memegang jawatan tersebut.
Bekas presiden Gerakan itu turut mengkritik Guan Eng kerana berpolitiking dan ‘mencuri' ahli parti lain.
"Bila menang dalam pilihanraya, maka buktikan kemampuan (kamu untuk memerintah). Mengapa curi orang kami untuk melakukan kerja untuk anda?
"Kamu telah terpilih sebagai ketua menteri, teruskan dan buat perangai seperti seorang ketua menteri dan jalankan tugas kami, dan bukannya berpolitiking sepanjang waktu," tegasnya.
‘Anwar tidak sabar'
Walaupun Lim mengkritik Pakatan sepanjang wawancara tersebut, tetapi beliau juga bersedia memberi mereka peluang untuk membuktikan kemampuan untuk memerintah,
Ditanya sama ada beliau bersedia membantu Pakatan jika diminta berbuat demikian, Lim ketawa besar dan berkata: "Terima kasih banyak-banyak lah... saya sudah bersara".
Sebaliknya, secara berjenaka, bekas presiden Gerakan itu menambah: "Saya akan sabotaj mereka".
Ditanya mengenai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim menyifatkan beliau sebagai "sumpah-sumpah" dan sikap tidak sabarnya akan menghalangnya daripada menjadi perdana menteri.
"Saya kenal Anwar dan sikap terburu-burunya untuk menjadi PM sama ada dalam Umno atau di luar Umno sekarang, akan menjadi punca kejatuhannya. Dia tidak akan berjaya," tambah Lim.
Ditanya mengenai masa depan anak lelaki tunggalnya, Si Pin, bekas presiden Gerakan itu berkata beliau tidak pernah menggalakkan anaknya menyertai politik.
"Tetapi minatnya di situ dan dia membuat keputusan sendiri (untuk menyertai politik). Jadi terpulanglah kepadanya," tegas Lim.
Si Pin, turut bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, dan tewaskan kepada ketua penerangan PKR, Tian Chua di kawasan parlimen Batu.
Di akhir wawancara tersebut, Keng Yaik mengaku bahawa beliau tidak mahu diwawancara oleh Malaysiakini sebelum ini kerana tidak mahu mengkritik kerajan ketika masih memegang jawatan.
"Tetapi sekarang saya bebas. Walaupun saya masih berhati-hati bila bercakap, tetapi saya berpendirian bahawa anda boleh mengkritik parti tetapi bukannya personality yang terbabit.
"Saya telah melihat bagaimana anda telah mempengaruhi para pengundi, jadi lebih baiklah saya juga bersama-sama anda (ketawa)," tambahnya.
No comments:
Post a Comment