Thursday, May 8, 2008

Kerajaan Selangor hulur RM1 juta bantu mangsa taufan di Myanmar

Saidah Hairan Wed May 07, 08 10:22:28 pm MYT

SHAH ALAM, 7 Mei (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan terus kepada mangsa Taufan Nargis di Delta Irrawaddy, Myanmar. Pengumuman itu dimaklumkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas selesai mengadakan Mesyuarat Exco Mingguan, di Bangunan SUK, di sini, petang tadi.



Menurut beliau, atas keperihatian penderitaan yang dilalui oleh rakyat Mynmar akibat tragedi itu Exco Kerajaan Negeri yang bermesyuarat petang tadi telah memutuskan akan membantu kewangan dengan jumlah tersebut. Terdahulu angka korban terbaru Taufan Nargis hampir mencecah 22,000 orang, manakala 41,000 lagi dikhuatiri hilang.


Stesen televisyen Myanmar melaporkan sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 21,793 orang terkorban dan 40,695 yang lain masih hilang di wilayah Irrawaddy. Sementara itu, turut serta dalam sidang media, exco Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail; exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan exco Pelaburan, Perindustiran dan Perdagangan, Teresa Kok. Menurut Rodziah wang berjumlah RM1 juta itu akan diamanahkan kepada Yayasan Amal Malaysia untuk disampaikan kepada mangsa Taufan Nargis. Katanya, anggota Yayasan Amal akan pergi ke Mynmar bukan saja membawa bantuan kewangan tetapi turut menghulurkan tenaga dan sebagainya.


Beliau mengalu-alukan kesediaan dan keperihatian rakyat Malaysia supaya turut memberi bantuan kewangan, pakaian dan sebagainya. Sementara itu, Dr Halimah menjelaskan, kerajaan Negeri memilih Yayasan Amal Malaysia kerana pertubuhan itu mempunyai pengalaman yang banyak dan luas berhubung memberi bantuan kepada orang ramai dalam dan luar negara. Katanya, Yayasan Amal Malaysia telah melakukan bantuan ke Aceh ketika dilanda Tsunami, Yogjakarta, Sri Langka, Labenon dan sebagainya.

"Yayasan Amal juga mempunyai biro lain termasuk unit perubatan dan keselamatan, mereka biasa ke tempat-tempat yang dilanda malapetaka," katanya. Menurut beliau, orang ramai boleh menghulurkan bantuan berbentuk kewangan dan pakaian terus ke Ibu Pejabat di Batu Caves dan SUK.



Beliau berkata, anggota Yayasan Amal akan berlepas ke Mynmar dalam masa dua hari dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan wang yang dibawa oleh anggota tersebut kerana mereka akan terus menyalurkan derma kepada mangsa tanpa melalui orang tengah. - mks.

No comments: