Wednesday, July 16, 2008

Analisis: Debat yang menghiburkan, saling raih populariti



Oleh Mohd Sayuti Omar
Rabu, 16 Julai 2008

TEPAT seperti mana kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang debat antara Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek tidak sepadan.

Kata Abdul Hadi semasa saya meziarahinya di IJN pagi tadi Anwar sepatutnya tidak layan Shabery, beliau sepatutnya berdebat dengan Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri, baru padan kata Abdul Hadi.

Sepanjang kira-kira 50 minit perdebatan antara kedua mereka tadi ternyata tidak membawa penyelesaian kepada masalah ekonomi negara hari ini.

Ia tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat atau memberi tip untuk melegakan rakyat ekoran kenaikan harga minyak tertinggi di dunia. Debat itu walaupun nampak ilmiah tetapi ia lebih kepada hiburan dalam sitkom Senerio.

Formula yang diharap akan dibentangkan Anwar untuk menurunkan harga minyak dan diharap akan digunapakai oleh kerajaan juga kabur. Anwar tidak memperincikan formulanya.

Mungkin itu adalah rahsianya yang akan dikemukakan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan 16 September depan.

Bagaimana pun perdebatan itu memberi keuntungan kepada kedua tokoh berkenaan. Ia mempopularkan mereka.

Anwar yang sudah popular menjadi semakin popular dan penampilan tadi juga menaikkan saham dirinya yang agak mendung sehari dua ini.

Dengan bersedia memenuhi janjinya (hadir berdebat) walaupun dalam keadaan dirinya ditimpa musibah menjadikan orang yakin kepadanya.

Seperti dikatakan tadi walaupun ia tidak memberi banyak faedah, tetapi perdebatan tadi menyeronokkan. Pastinya ia lebih bermanfaat dari rancangan Akademi Fantasi atau pun Jom Heboh.

Bagi Shabery dapat berganding dengan Anwar atas pentas satu tuah sepertilah orang kampung dapat bergambar dengan artis yang hadir di tempat kenduri.

Kesempatan itu diambil sebaik mungkin untuk Shabery meletakkan dirinya sebagai hebat dan akan dijaja kepada orang kampungnya di Kemaman, Terengganu.

Begitu juga, saya percaya penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat yang rindu untuk menatap wajah Anwar di skrin televisyen terubat. Sejak dipecat dari Umno 10 tahun lalu itulah tempoh terlama Anwar muncul di kaca tv dan secara langsung.

Jelas sekali pada semua pusingan Shabery tewas dalam perdebatan tadi. Ada kalanya beliau terpaksa mengungkitkan soal peribadi Anwar yang terkeluar daripada mauduk perbahasan untuk menyelamatkan dirinya.

Apabila beliau membangkitkan soal peribadi Anwar, menyebabkan beliau menerima tepukan daripada penyokongnya dan menjadikan beliau seolah-olah setanding dengan Anwar yang terus mendapat tepukan, termasuk dari penyokong Shabery sendiri.

Bagaimana pun sekalung tahniah perlu dihulurkan kepada Shabery. Walaupun sampai berbueh mulutnya untuk mematahkan hujah Anwar dan mempertahkan tindakan Perdana Menteri dan bosnya Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak, namun beliau mampu juga memberanikan dirinya.

Kesanggupan itu satu kehebatan Shabery sebenarnya.

Ternyata baik dari segi umur, pengalaman, hubungan kemanusiaan dan cara berhujah Anwar jauh lebih matang dan bijak berbanding dengan Shabery.

Anwar tidak menjawab hal peribadi yang dilemparkan Shabery berkali-kali kepadanya. Dan Anwar juga menunjukkan semangat profesional dan bukan emosi berbanding Shabery yang nampak ego dan besar diri kerana jawatannya itu.

Shabery merujuk Anwar sebagai sdr, sebaliknya Anwar merendahkan diri dengan memanggil Shabery Datuk Shabery.

Di akhir perdebatan Anwar yang melangkah berjabat salam dengan Shabery yang terkaku di rostrumnya kerana masih teruja dengan apa yang berlaku.

Dari segi bintang perdebatan tadi Anwar bolehlah diberi enam bintang (******) manakala Shabery hanya dua (**) saja.

No comments: