Wednesday, April 3, 2013

Dewan Rakyat Dibubar Hari Ini

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, Najib berkata beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12 Selasa.

Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun lepas yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.
Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.

-- BERNAMA

No comments: