Wednesday, October 30, 2013

Buat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Disebabkan ingin menjaga keharmonian parti inginkan saya menulis dengan nama samaran kerana tidak mahu menimbulkan polemik dalaman bagi parti.

Suara saya dikira mewakili hampir separuh PAS kawasan yang sudah bermuktamar dan mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS.

Cadangan ini dibuat bukan kerana kami berasa pencapaian Mohamad Sabu tidak memuaskan, tapi demi keperluan parti untuk menjadi kuat semula.

PAS kini berpecah dengan teruk kerana dilanda wabak label melabel pemimpin. Wabak ini adalah yang paling teruk pernah disaksikan sepanjang 30 tahun saya berada dalam PAS.

Seperti kata Abang Mat kita, inilah keadaan yang paling buruk bagi PAS sepanjang 35 tahun beliau berada di dalam perjuangan Islam.

Saya juga melihat PAS kini dilanda anasir luar yang meresap masuk ke dalam jemaah PAS. Api melabel dan benci membenci sesama pemimpin ditiup kencang dalam majlis dalaman tertutup parti.

Perkara ini diambil kesempatan oleh media perdana dan golongan pakar saraf di media sosial sehingga PAS kini berpecah.

Tidak dinafikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh dikira sebagai penyatu dalam PAS. Namun, beliau seorang saja tidak cukup.

Abang Mat penting dalam kerjasama PAS bersama Pakatan Rakyat dan juga popularitinya di kalangan bukan Islam.

Tapi dengan PAS yang berpecah seperti sekarang, nilai tambah yang ada pada Abang Mat tidak berguna untuk PAS untuk dua tahun yang akan datang ini.

Dua tahun yang akan datang ini, PAS memerlukan seorang tokoh seperti Tuan Ibrahim untuk menyatukan PAS semula. Hanya PAS yang bersatu dan kuat dapat menumbangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Tambahan pula, Tuan Ibrahim adalah satu-satunya calon yang diterima kedua-dua pihak yang sedang bergaduh. Malah beliau adalah calon yang menerima pencalonan paling banyak daripada PAS kawasan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS.

Artikel The Malaysian Insider bertajuk Timbalan Presiden PAS: Mat Sabu lawan Mohd Amar? menimbulkan kegelisahan pada kami yang mencadangkan Tuan Ibrahim bahawa beliau akan membuat keputusan mengundur diri dan memberi laluan kepada Nik Amar.

Sebagai ahli jamaah, beliau tahu dan sedar, beliau tidak patut membuat keputusan sendiri tanpa mempedulikan pandangan akar umbi.

Jangan memandang ringan suara kami dari bawah. Jangan lebih menitikberatkan pandangan sesetengah pihak daripada pandangan kami.

Kepada Abang Mat, maaf. Bukan kami tidak mahu menyokong Abang Mat, tapi kami menyokong apa yang lebih diperlukan untuk PAS buat masa ini. Abang Mat berkhidmat dengan baik, cuma yang lebih diperlukan PAS sekarang ialah faktor penyatu yang berada pada seorang insan bernama Tuan Ibrahim Tuan Man.

Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Amar juga digalakkan bertanding.  Kami tidak ingin lihat situasi hanya Abang Mat berlawan dengan Nik Amar seperti ramalan The Malaysian Insider kerana itu adalah satu penghinaan kepada suara PAS kawasan yang inginkan Tuan Ibrahim bertanding.

Namun, hasrat kami hanya untuk melihat Tuan Ibrahim bertanding. Perwakilan akan menentukan siapa pemenang. Dengan jumlah kawasan yang mencalonkan beliau, kami percaya majoriti perwakilan mempunyai pandangan yang sama seperti kami daripada Muslimat. – Faridah Othman  30 Oktober, 2013. MI.

No comments: