IMAM Nawawi atau nama penuhnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi (631 -676H) ialah anak kelahiran Damsyik, Syam (Syria). Menghafaz Quran sejak dari kecil, beliau dilapor mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu agama. Antara buku karangan ulama terkenal Mazhab Shafie ini adalah Syarah Sahih Muslim dan Riyadus Salihin.
Sepanjang hayatnya, Imam Nawawi telah menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada agama Islam dan umatnya. Ketegasannya dalam menyampaikan kebenaran Islam tiada tolok banding pada zamannya. Sebagai ulama yang memimpin umat, beliau memfatwakan kebenaran tanpa rasa takut walaupun akibatnya merugikan kedudukan dan mengancam nyawanya.
Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.
Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya.
Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau. Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu.
"Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.
"Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan kamu mengambil harta rakyat."
No comments:
Post a Comment