Wednesday, April 23, 2014

ABIM : Tun M Jangan Cepat Mulut.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan dalam hal yang berkaitan dengan perundangan syariah sehingga memberikan gambaran bahawa hukum Islam adalah berat, tidak munasabah dan terlalu kejam.

Presiden pertubuhan Islam itu, Amidi Abdul Manan berkata, selaku pemimpin Islam yang disegani, Tun Mahathir sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan, termasuk menyatakan bahawa adalah tidak adil jika berlaku perbezaan hukuman antara warganegara bagi kesalahan yang sama boleh menimbulkan kekeliruan.

Dr Mahathir, kata Amidi, perlu memahami bahawa pembuktian di bawah peruntukan hudud adalah berdasarkan kepada prinsip 'beyond the shadow of doubt' yang jauh melangkaui 'beyond reasonable doubt' bagi menjamin hak tertuduh dan sekaligus sebagai amaran dan pendidikan kepada masyarakat.

"Keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya. Kenyataan Tun Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud," kata Amidi.

Mengulas mengenai tindakan Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat Jun ini, Dr Mahathir berkata, ia perlu dikaji secara mendalam dengan meletakkan keutamaan kepada prinsip keadilan supaya undang-undang Islam itu tidak dilihat terlalu menitikberatkan soal menghukum.

“Dalam hendak potong tangan pun, kita kena fikirkan negara kita ini mempunyai penduduk beragama Islam dan bukan Islam.

“Kalau kita potong tangan orang Islam, tetapi kalau orang bukan Islam mencuri dia cuma dapat dua bulan penjara. Lama-lama orang Islam tidak ada tangan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur minggu lalu.

Ekoran itu, semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibarahim turut mengkritik Dr Mahathir berhubung kenyataannya mengenai hudud.

“Kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh pertikaikan undang-undang Al-Quran. Saya bukan Mahathir. Kita kena terima. Hal ini harus difahamkan. Kalau tunggu fatwa, semua fatwa kena pada kita.

“Curi duit tidak nampak, kenyataan Mahathir tidak nampak, Mahathir sokong Kassim Ahmad anti-hadis tidak mengapa. Kita yang kena,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Himpunan Reformasi 2.0 di Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, Amidi berkata, pernyataan secara bersahaja yang disebut oleh Dr Mahathir, bahawa hukuman dera bagi pesalah zina tidak terkandung dalam Al-Quran dan hanya terdapat dalam hadis sahaja adalah satu cubaan untuk menafikan hukuman tersebut sebagai bukan sebahagian daripada hukum Islam dan juga kedudukan hadis sebagai sumber hukum selepas Al-Quran.

"Jelas kenyataan ini penuh dengan kekeliruan. Hadis merupakan sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran dengan penyataan yang tegas berkaitan ketaatan kita kepada Allah dan kepada Baginda Rasulullah adalah ketaatan yang mutlak tidak berbelah bahagi. Justeru segala pengakuan, perbuatan dan perilaku baginda adalah manifestasi kepada tuntutan Al-Quran yg sahih," kata Amidi.

"Abim berpandangan adalah lebih baik pandangan beliau tidak diketengahkan kepada awam dan beliau sendiri tidak mengeluarkan pandangan yang sebegini.

"Ini adalah untuk keadilan kepada hukum Islam itu sendiri, kerana memberikan kenyataan yang tidak berdasarkan ilmu yang tepat hanya meletakkan hukum Islam bukan pada tempatnya (zalim)," kata beliau.

Maka, katanya, bagi menjamin keadilan terhadap hukum Islam, Mahathir perlu untuk lebih cermat dengan mendalami ilmu berkaitan perundangan Islam daripada sumber yang muktabar.

"Mengehadkan sumber hukum hanya kepada Al-Quran tanpa hadis, ijmak dan juga qias adalah cara berfikir yang berbahaya dan boleh menjerumuskan kita ke arah kesesatan," katanya.

Bagi beliau, tanggungjawab sebagai seorang Muslim apatah lagi sebagai pemimpin adalah bersikap adil termasuk memberi gambaran yang benar terhadap hukum Islam.

Abim menyanjung usaha yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir dalam mengangkat martabat Islam, tetapi kenyataan sebegini amat berbahaya dan mengelirukan, katanya.

Abim juga berpandangan penentangan terhadap Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan oleh beberapa parti baik di pihak BN mahu pun PR kemungkinan adalah berpunca daripada kenyataan beliau ini.

"Jika sebelum ini sindiran seperti "Kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan," dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah," katanya. MI.

No comments: