Ramai pihak menegur dan mengkritik kenapa guna plastik lambang PAS untuk edar barang ? Ini tidak ikhlas !!
Pertama : saya ucap terima kasih atas teguran dan kritikan untuk mengingatkan kami supaya ikhlas beramal, bekerja, berjuang, menyumbang dan berkorban kerana Allah swt.
Kedua : PAS sebagai sebuah parti yang besar dan lama, sebenarnya banyak peralatan telah PAS miliki sendiri, dari sebesar - besar perkara hinggalah perkara kecil seperti plastik membungkus, walaupun tidak banyak kapasitinya. Sebagai contoh :
a ~ PAS ada Markaz Atau bilik gerakan sendiri. Hampir setiap cawangan ada markaz PAS dan dinaikkan lambang PAS justeru ia milik parti dan biasanya markaz itu dijadikan tempat solat berjamaah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan lain - lain aktiviti. Orang bukan ahli PAS pun hadir termasuk ada ahli UMNO yang hantar anak ke PASTI. Kami mengajak kearah kebaikan kerana Allah swt.
b ~ PAS ada pasukan sukarelawan sendiri seperti Jabatan AMAL di bawah DPP Malaysia. Mereka bekerja dengan jenama parti dan uniform tersendiri iaitu warna merah. Slogan kami ialah Amal Lillah ( beramal kerana Allah ). Semua orang kami tolong tidak kira parti dan semua orang kenal bagaimana Jabatan AMAL berkhidmat. Kami berkhidmat kerana Allah swt.
c ~ banyaklah lagi contoh. Saya ringkaskan kepada isu plastik. PAS juga ada bot sendiri atas nama PAS dan cop lambang PAS. Sebagaimana Bomba, bot mereka juga ditulis bomba. Baju mereka tulis Bomba. Polis tulis nama polis, TUDM tulis nama TUDM dan lain - lain. Apakah mereka dihukum tidak ikhlas berkhidmat ?
Kami juga ada baju lambang PAS dan kami ada plastik cop lambang PAS beserta alamat pejabat kami. Ia adalah kegunaan sepanjang masa dan kami telah mencetaknya puluhan ribu. Bila tiba saat kami perlukan plastik untuk membungkus barang, kami sudah sedia memilikinya. Ia tidak ganggu keikhlasan kami berbakti dan menyumbang kerana Allah swt.
Apa yang pasti, kami sekali - kali tidak bekukan barangan sumbangan semata - mata menunggu plastik cop PAS. Ada, kami guna, tak ada maka bekalan makanan ini kami pastikan ia sampai segera kepada mereka yang memerlukan walau apa cara sekalipun. Sebab itu kalian akan perasan ada barang masuk plastik cop PAS dan ada barang plastik biasa. Ada barang tak ada plastik pun. Tiada masaalah kepada kami.
Bilik operasi banjir kami "diserbu" oleh orang ramai termasuk orang UMNO, MIC, MCA, Asli, Mynmar, Indonesia dan lain - lain. Masa tu kami pun tak sempat menyarung plastik. Pakai hulur dan serah begitu sahaja. Kerana kami mahu menyumbang dan sumbangan itu kerana Allah Azza wa Jalla.
Kenapa mesti cop lambang PAS ?
PAS adalah penaja dan pemegang tanggungjawab terhadap barang yang disumbang. Sebagai contoh, sebuah buku dikarang lalu dijual dan diedar kepada orang ramai, mesti tulis nama pengarang atas tujuan untuk bertanggungjawab atas apa yang ditulis. Apabila pengarang tulis nama pengarang, apakah pengarang tidak ikhlas menulis ? Begitu juga menulis kertas kerja, kita tulis pengarangnya, apakah mereka tidak ikhlas ? Kita pun tidak konfiden membaca buku yang tidak tahu siapa pengarang. Saya ambil contoh ini untuk menjelaskan bahawa PAS bertanggungjawab dengan barang yang diedar kepada orang ramai.
Justeru itu ...
Saya kira tidak menjadi masaalah atau isu pasal cop lambang dan jenama. Kalau saudara membeli di Giant maka barangan saudara akan dibungkus dengan plastik cop Giant. Kalau saudara menerima barangan dari PAS maka ia akan dibungkus dengan plastik PAS. Sebagaimana saudara menerima barangan dari UMNO maka saudara akan dapati ia dibungkus dengan plastik lambang BN. Itu perkara biasa.
Apa yang luar biasa atau menjadi isu yang negatif sekaligus menafikan keikhlasan ialah :
a) menahan barang daripada edaran semata - mata menunggu plastik cop parti yang belum sampai dari kilang cetak sedang rakyat kelaparan.
b) memaksa semua barang wajib ada lambang parti, kalau tidak jangan edar lagi walaupun rakyat menekan perut kelaparan.
c) hanya memberinya kepada ahli parti sendiri dan menahan atau diskriminasi terhadap pihak lain.
d) apabila kita mengaku dan mengisytiharkan bahawa kitalah penyumbang, tanpa kita maka susahlah orang. Maka itulah menafikan keikhlasan. Adapun nama dan lambang parti tidak mengapa, kerana ia bukan logo peribadi tapi logo parti. Sedang ikhlas dihukum pada individu.
Nasrudin bin Hassan
MP Temerloh
No comments:
Post a Comment