Wednesday, October 7, 2015

Raja-Raja Melayu Mahu Siasatan Berkaitan 1MDB Diselesaikan Secepat Mungkin

Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia."

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.

"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.

Raja-raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

"Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi.

Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.

Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.

"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

Wednesday, September 16, 2015

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

The Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surat Al-Hujurat: ayat 13)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini bagi menucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini, bersempena dengan penubuhan sebuah negara hasil gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu hinggalah terbentuk dengan nama Malaysia pada 16 September 1963.

Perlu difahami, kita semua adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara yang wujudnya kepelbagaian etnik yang berasal daripada berbagai bangsa dan datang dari pelbagai negara. Ditambah pula dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sekian lamanya.

Adalah menjadi naluri buat manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad atau akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan. Tidak ada orang yang waras akalnya mahu hidup di bawah belenggu penjajahan, apatah lagi lagi dikawal minda dan tindakannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin menegaskan, sebagai pendukung dan penyokong kepada perjuangan Islam pastinya akan menentang segala bentuk penjajahan sama ada berbentuk sekularisme, liberalisme dan sebarang ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam.

PAS sangat menghargai peranan yang telah pun dimainkan oleh semua pihak dan tokoh terdahulu seperti Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain lagi, yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka yang terdahulu, telahpun meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak setuju kerana kelemahannya yang tersendiri. Namun, segala kelemahan orang lalu yang telah meninggal dunia ini tidak wajar untuk dibalas dengan kata nista, yang wajar kita lakukan adalah dengan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar mereka dikurniakan keampunan.

Perlu difahami semua, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala. Sebarang kelemahan atau kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara pula perlulah diperbaiki oleh kita yang masih dipinjamkan nyawa ini dan pastinya ia juga menjadi tanggungjawab generasi akan datang. Kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini, pastinya mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara yang benar-benar menitikberatkan perihal kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang menyaksikan betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi peluang memerintah lebih 50 tahun, namun ia sangat parah apabila kerajaan Umno BN ini kian membawa negara kepada virus yang membebankan rakyat melalui kenaikan kos hidup yang kian meningkat, kadar mata wang yang merundum jatuh, penyelewengan wang di institusi-institusi tertentu kian parah, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan berpaksikan Islam kian dipinggirkan dan 1001 lagi kerosakkan yang berlaku, maka tentulah menjadi tanggungjawab buat kita semua untuk melakukan perubahan dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW.

PAS juga pastinya akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum yang ada dengan berasaskan Islam yang sebenar-benarnya menerusi Al-Quran dan As-Sunnah, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan Malaysia itu sendiri.

Justeru, PAS menggesa kepada semua rakyat Malaysia untuk meyakini jalan yang benar-benar menyelamatkan kita semua sama ada di dunia mahupun akhirat pastinya adalah dengan bersama Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
02 Zulhijjah 1436 / 16 September 2015

Sekitar Gotong-Royong Dan Kempen Cegah Denggi Di Venice Hill










Thursday, September 3, 2015

Derma yang boleh berjalan sejauh 3,900km.....

Pada sesetengah orang RM2.6billion hanyalah sebuah angka yang mungkin tidak masuk dalam pemahaman dan minda. Atau mungkin tidak terjangkau dalam kotak pemikiran kerana tidak ramai yang mempunyai wang sebanyak itu.

Untuk memudahkan pemahaman cuba ambil wang kertas RM100. Susun sehelai-sehelai dari hujung dapur hingga ruang tamu. Berapa ramai orang yang ada wang sebanyak itu pada masa ini yang tak perlu ke bank untuk keluarkan simpanan?

Cuba pula susun wang RM100 yang sama dari permulaan larian balapan 100meter? Berapa ramai pula yang ada wang sebanyak itu pada masa ini... iaitu sebanyak lebih kurang RM66,000.00. Cuba pula 1 kilometer..... 

Apa kata kita susun wang kertas tersebut dari Johor ke Perlis. Dan ulang alik sebanyak 5 kali.... Itulah nilai wang RM2.6billion.... yang masih ramai orang tak faham.

Itu belum lagi kita berbincang kenapa nak kena bagi PM duit sebanyak itu, siapa yang bagi, kenapa masuk akaun PM bukan akaun UmNo atau Kerajaan? Apa manfaat kepada yang memberi....?

Terlalu banyak soalan yang tak dapat dijawab untuk menjelaskan jumlah itu.... Hanya PM boleh menjelaskan. Kalau beliau gagal menjelaskan.... Apa lagi yang beliau sembunyikan dari kata semua?

Sunday, August 30, 2015

PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 PRESIDEN PAS

15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015M

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas  nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata. 


Erti Sebenar Kemerdekaan Islam

Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai "Al-Fath" iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei :

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.


Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini

Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan  British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.

Peninggalan penjajahan  ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulamak seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan. 

PAS meyakini dengan sedalam dalamnya bahawa Islam sahajalah yang akan dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam erti kata sebenar kemerdekaan. Pembentukan kemerdekaan Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman Feudalisme dan Gereja. Namun, malang sekali cahaya Islam itu semakin ditinggalkan ummat Islam, sehingga barat pula mengambil kesempatan menjajah tanah tanah ummat Islam.


Kemerdekaan Islam, Kemerdekaan Hakiki

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh ummat manusia khususnya di Malaysia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saidina Umar, Orang orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.

Akhirnya, di hari kita menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah bersama-sama PAS untuk kita membina negara dengan kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan Pencipta seluruh alam yang menjadikan Islam sebagai penyelesaikan kepada seluruh kehidupan manusia.  

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"


ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Wednesday, August 19, 2015

Guling Kerajaan, Guling Najib, Pecat Najib.....

Istilah yang berbeza namun bagi orang awam yang tidak memahami politik akan melihat ini semua adalah tindakkan menggulingkan kerajaan.

Menggulingkan kerajaan yang dilantik secara sah adalah sesuatu kesalahan dan ianya difahami oleh semua orang.

Memecat Najib adalah satu perbuatan memecat beliau dari jawatan Perdana Menteri atas sebab kepentingan negara, masalah jenayah atau hilangnya sokongan. Ini juga boleh diterima oleh rakyat sekiranya prosesnya betul.

Menggulingkan Najib adalah suatu istilah tidak jelas. Perkataan menggulingkan itu sendiri adalah proses paksa yang dilihat tidak melalui proses keadilan. Akibatnya istilah ini dilihat lebih mirip dengan gulingkan kerajaan. 

Ada sesetengah orang suka membuat provokasi tanpa melihat kesannya kepada masyarakat umum. Kalau nak buat kempen pecat Najib... cakap dengan jelas faktanya dan rasionalnya. Insyallah masyarakat boleh menerima.

Jangan kita membuat istilah provokasi yang akhirnya menguatkan UmNo dan merugikan PAS dan semua parti politik yang menentang UmNo. Kita sudah melalui sejarah yang panjang dalam menentang kebobrokkan UmNo. Janganlah kita termakan provokasi yang mungkin datang dari pihak musuh. Ia juga mungkin ajen UmNo yang hadir dikalangan kita untuk menjadi hero. Lagaknya bagaikan ayam jago kokok berdegar-degar namun ekor bergelumang tahi.

Begitu juga dengan perhimpunan ditempat awam. Kita perlu jelas tujuan dan matlamat. Jangan sampai ianya dijadikan sebab kejatuhan PAS dan Pakatan Rakyat dan menyambung hayat UmNo lima tahun lagi.