Thursday, January 31, 2013

200 ahli baru berhimpun dalam Ummah Bersama PAS

Kini Kita Punya Lebih banyak Sebab Untuk Bersama PAS dan Pakatan Rakyat. Ini Kalilah PRU13. Kita Ubah Sekarang?

KUALA LUMPUR: Lebih 200 ahli baru PAS dari pelbagai latar belakang akan menyertai Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS 3 Februari ini di Hotel De Palma, Ampang.

Mereka akan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan PAS bersama pimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Selain mereka yang telah lama menyertai PAS, himpunan yang akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang ini akan memperkenalkan beberapa tokoh yang baru menyertai PAS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Himpunan ini, Salahudin Ayub, setiap negeri telah diminta menghantar lima ahli baru mereka yang berupa tokoh-tokoh masyarakat untuk menyertai himpunan ini.

Di peringkat pusat pula, kira-kira 100 tokoh dari pelbagai segmen masyarakat akan menyertai himpunan ini.

Ia termasuklah tokoh politik, agamawan, budayawan, artis, korporat, pegawai kerajaan, polis, tentera, penulis, blogger, sastrawan dan lain-lain lagi.

"Kita mahu memberitahu semua rakyat khasnya orang Melayu, PAS kini menjadi pilihan semua pihak dan tidak ada sebab mereka tidak bersama dengan kita dalam memperjuangkan hak kita bersama.

"Kita yakin, dengan masalah intergriti yang ada pada Barisan Nasional khasnya di kalangan pemimpin Umno ini, rakyat bijak membuat penilaian, BN tidak ada tempat lagi di hati rakyat," katanya.

Para pemimpin PAS serta rakan-rakan Pakatan yang lain, katanya, akan menunjukkan "kita bersatu dalam perbezaan yang ada untuk kepentingan rakyat."

Majlis yang bermula jam 9 pagi hingga tengahari di hotel De Palma, Ampang ini akan disertai oleh semua pimpinan kanan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Wednesday, January 30, 2013

RCI diberitahu petugas JPN terima RM1juta kerana benarkan pendatang mengundi

KINABALU, 29 Jan —Bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjual 16,000 resit JPN dengan RM1juta, yang membenarkan pendatang mengundi di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram diberitahu hari ini.

Pegawai polis cawangan khas (SB) DSP Badaruddin Ismail yang bekerja di Kelantan memberi keterangan hari ini Ramli Kamaruddin menjual setiap resit dengan harga RM250 setiap satu sekitar 1993 dan 1995 kepada pendatang haram dari Filipina, India, Pakistan dan negara-negara lain.

"Beliau (Ramli) beritahu dia melakukan perkara tersebut kerana wang," kata Badaruddin kepada RCI hari ini.

Badaruddin yang pernah menyoal siasat Ramli, menegaskan Ramli memberitahunya, beliau melakukan perkara tersebut untuk keuntungan peribadi tanpa menerima arahan daripada pihak atasan.

Ramli walau bagaimanapun, memberitahu RCI baru-baru ini, arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, bekas timbalan menteri dalam negeri telah memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit JPN, yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sama dengan pengundi berdaftar, kepada pendatang.

Ramli telah memberitahu sejumlah 200 resit JPN dikeluarkan bagi lima atau enam kerusi dewan undangan negeri, dimana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.

Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Akan tetapi beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) PBS melompat menyertai Barisan Nasional (BN), tidak berapa lama selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Ramli berkata bahawa beliau telah menggunakan sejumlah daripada RM1 juta untuk perkara-perkara peribadi dan memberikan baki kepada pegawainya dan untuk menganjurkan festival sukan di Pulau Pinang untuk pekerja bawahannya, menurut Badaruddin.

Pegawai SB itu menambah bahawa Ramli mengedarkan 14,000 resit JPN kalangan pekerja bawahan untuk dikeluarkan kepada pendatang, manakala 2,000 resit peribadi dikeluarkan oleh Ramli kepada orang-orang tertentu.

Seorang lagi bekas pengarah JPN bernama Datuk Abdul Rauf Sani telah menjual 6,305 kepada pendatang Filipina dan Indonesia, termsuk kepada orang tempatan dengan RM167,300 kata ketua SB sabah Datuk Ibrahim Zakaria kepada RCI awal hari ini.

Ibrahim menambah, 94 orang termasuk 24 pegawai JPN ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1994 hingga 2000 kerana mengeluarkan kad pengenalan di Sabah secara haram.
"Tidak, dia (Rauf) tidak mengatakan dia bertindak atas arahan, tetapi dia bertindak sendiri," kata Ibrahim.
"Dari risikan yang saya kumpul, ia lebih kepada untuk mendapatkan ganjaran, keuntungan," kata Ibrahim, yang memakai sut hitam dan tali leher merah.

Ditanya jika Ibrahim percaya bahawa Rauf telah bertindak sendiri, Ibrahim berkata: "Beliau adalah orang pintar, berpendidikan luar negara, sangat komunikatif, mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan, saya terima apa yang beliau katakan sebagai kebenaran."

Rauf, bagaimanapun memberitahu RCI baru-baru ini kad pengenalan biru juga dikeluarkan untuk meningkatkan bilangan pengundi Islam di Sabah.

Beliau mengatakan sedar bahawa pendatang di Sabah telah diajar untuk mengundi dalam pilihan raya, jika tidak kad pengenalan mereka akan dibatalkan.

Bekas penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil memberi keterangan baru-baru ini 100,000 kad pengenalan biru telah diberikan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah pada tahun 1993.

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985, menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.

Dr Mahathir memberitahu sidang media baru-baru ini pendatang asing di Sabah memang menerima kerakyatan, tetapi menegaskan ianya "mengikut undang-undang".

Inkuiri dihadapan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung esok. MI.

Friday, January 25, 2013

Tazkirah Jumaat : Ust Zaid Tandang


Masjid Batu 14 hari ini dikunjungi oleh Muhammad Zaid Tandang, bekas pengacara TV Al-Hijrah untuk menyampaikan tazkirah Jumaat. Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa menganut Kristian dan selepas menganut agama Islam.

Apa yang menarik adalah pengalaman beliau yang mula mencari kebenaran malalui Bible yang ditulis dalam bahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah didalamnya.

Beliau juga berkongsi pengalaman dan masalah penduduk negeri Sarawak yang gagal mendapat perhatian yang sewajarnya oleh Jabatan Agama Islam Sarawak. Akibatnya ruang berdakwah sempit dan mereka yang menganut agama Islam tidak berkembang sebagaimana penganut agama Kristian.

Keadaan menjadi semakin meruncing apabila kerajaan menyokong institusi gereja dan meminggirkan institusi dakwah.

Semangat beliau berceramah terhenti sebentar akibat ganguan seorang ahli kariah dari Sg Gahal. Tanpa rasa malu orang yang agak berumur tersebut menjerit-jerit ditengah-tengah masjid bagi menghalang ceramah dari terus berjalan.

Namun ketenangan Zahid dalam berhadapan dengan pelbagai provokasi mentebabkan beliau meneruskan ceramah dengan tenang. Akibat provokasi yang berterusan beliau dengan tenang tanpa mengambil kaedah berkonfrantasi memendekkan ceramah beliau.

Perjuangan memberi kefahaman Islam tidak mudah. Lebih-lebih lagi bila yang menghalang Islam itu adalah pihak pemerintah yang mempunyai penyokong yang rata-rata jahil. Melihat agama sekadar ibadat khususiah sahaja. Sebab itu orang tua itu mengatakan "Kami datang ke Masjid nak Sembahyang bukan nak dengar ceramah politik".

Maka tidak hairanlah umat Islam terus berada ditakuk lama dan yang pasti UmNo dapat manfaat yang besar dari orang yang seperti ini. Orang jahil menguntungkan UmNo.

Menjenguk Keluarga Sugumaran Yang Terbunuh Baru-Baru Ini

Saudara Mohamad Jan Bin Sulong bersama Ketua Kampung Saudara Ismail menziarahi keluarga Sugumaran yang terbunuh baru-baru ini di Taman Sri Nanding.

Kami berharap semua pihak bertenang dan menunggu siasatan lengkap dibuat oleh pihak yang berkuasa. Pelbagai cerita muncul di Facebook dengan sumber-sumber yang tidak jelas. Walaupun ada yang sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku kesabaran perlulah diutamakan untuk tidak mengeruhkan suasana.

Semoga segalanya akan berakhir dengan baik dan masyarakat dapat hidup dengan tenang tanpa ada provokasi melampau.

Thursday, January 24, 2013

Pendidikan Yang Tidak Terdidik

Sistem pendidikan negara sekarang melahirkan golongan bebalisme yang akhirnya hanya tahu mengampu kerajaan tetapi gagal menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Katanya, golongan berwatak pandir itu terbentuk melalui dua budaya yang subur dalam universiti iaitu naungan (patronage) dan takut (fear).

“Ahli akademi berkepentingan hanya melihat kepada ahli politik untuk mendapatkan pangkat Datuk Seri, profesor dan takut mendapat surat amaran.

“Kedua, budaya takut menyebabkan ahli akademi dan mahasiswa hilang sifat berani, hilang jati diri dan kebolehan berfikir kerana takut dengan pelbagai ancaman dan ugutan.

“Akhirnya, kedua-dua budaya negatif itu membentuk ‘pembonsaian’ (pembantutan) pemikiran warga universiti dan hanya tahu ‘listen’.

“Pembonsaian ini sebenarnya satu bentuk ‘pemerkosaan’ hak berfikir mahasiswa dan ahli akademi. Mereka akhirnya membebankan negara,” jelasnya pada Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Panel lain adalah bekas Pensyarah Undang-undang (UIAM), Prof Dr Aziz Bari dan mahasiswa pencetus fenomena ‘listen’ dari Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani.

Forum itu dipenuhi kira-kira 300 hadirin walaupun tanpa kehadiran Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen, yang menolak jemputan itu sejak awal.

Dr Maszlee berkata, universiti ‘mandul’ melahirkan manusia beraspirasi seperti Syed Hussin al Attas yang mampu memimpin, membimbing dan perjuangkan nasib rakyat.

“Awal 80-an, Syed Muhammad Naquib al-Attas menegur universiti hanya menjadi kilang yang menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran tanpa mengendah kualiti dan kesan terhadap ilmu dan pembangunan masyarakat.

“Hasilnya, masyarakat terus miskin, papa kedana. Yang kaya pula bertambah kaya kerana mendapat projek melalui ketirisan, korupsi dan sebagainya.

“Graduan pula membisu dan terpendam dalam sektor pekerjaan sahaja,” ujarnya.

Maszlee menjelaskan, keadaan universiti yang hilang rohnya sebagai medan ilmu dan graduan dan intelektual tidak lagi berperanan dalam proses pembangunan negara seperti yang ditegaskan oleh pemikir Iran, Ali Syariati bahawa universiti sepatutnya melahirkan rausyanfikir iaitu golongan intelektual yang membawa pencerahan kepada masyarakat.

“Pemikir kelahiran Palestin, Edward Said berkata, universiti sepatutnya membentuk intelektual yang gigih mendidik masyarakat dan negara lantas memperjuangkan nasib rakyat dan berani berdiri di hadapan diktator dan penguasa zalim.

“Guru dan sahabat saya, Prof Tariq Ramadhan menegaskan sistem pendidikan terbaik bukan hanya menghasilkan graduan, tetapi menghasilkan individu berani yang perjuangkan hak mereka dalam sistem yang zalim,” katanya. ~keadilandaily

PERUTUSAN MAULIDUR-RASUL 1434H

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab, ayat 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini.
Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan.

Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu. Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan?

Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan.
Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya.

Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia.

Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar.
Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun.

Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata.
Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya.

Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah.
Sekian.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 12 Rabiul Awwal 1434H

Selangorku : Kerajaan Rayat

Kita merdeka sudah lebih 56 tahun dibawah pemerintahan UmNo. Sejauh manakah demokrasi dan hak rakyat dihormati. Sejauhkan seluruh lapisan masyarakat menikmati hak yang sama. Atau apakah mereka yang menyokong UmNo sahaja sentiasa mendapat keutamaan dan keistimewaan.

Dari pembangunan infrastruktur hingglah bantuan individu selalunya memberi keistimewaan hanya kepada mereka yang menyokong UmNo. Melainkan sekiranya ianya digunakan untuk membeli undi.... Maka banyaklah bantuan rakyat 1M diwujudkan magi meraih sokongan.

Cuba kita lihat negeri-negeri yang dibawah pemerintahan PAS dan Pakatan Rakyat... berapa banyak tekanan dan sekatan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan UmNo. Dari kemudahan infrastruktur hinggalah sistem pembekalan air semuanya dipolitikkan.

Semasa UmNo memerintah Selangor, bolehkah PAS menggunakna kemudahan awam untuk program parti. Bolehkah PAS mengadakan forum dan bicara agama secara bebas di Masjid? Kini Pakatan Rakyat mengubah semua itu. Ruang dibuka seluas-luasnya untuk siapa sahaja untuk menggunakan dewan, padang, jalan dan Masjid. UmNo bebas melaksanakan aktiviti mereka walaupun ianya dilihat tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Kalau dahulu PAS buat program di Masjid dan surau... pasti gerak gempur UmNo akan datang bersama-sama samseng mereka untuk menghalang program tersebut. Kini dibawah Pakatan rakyat UmNo bebas mengadakan program di Masjid batu 14. Boleh menggunakan padang, boleh berarak dan boleh guna masjid.

Adakah sekiranya UmNo kembali memerintah Selangor, PAS akan dibenarkan menganjurkan program yang sama? Pastinya hampir mustahil.

Diatas semua kebaikan yang dinikmati oleh UmNo dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat kenapakah penyokong UmNo masih memilih untuk memusuhi PAS dan Pakatan Rakyat? Kenapa UmNo sanggup merosakkan harta benda PAS, kenapa UmNo sanggup memukul dan mencedera penyokong PAS, kenapa penyokong sanggup melontarkan kata-kata hinaan dan carut terhadap penyokong dan pimpinan PAS.

Terbaru... sanggup memasang bendera DAP dan sebar risalah 'DAP' dalam kawasan masjid! Kerja siapa ini semua... Adakah kes ini sama dengan kes baling bangkai babi dalam masjid. Sungguh hina apa yang mereka ini lakukan. Sangup menggadaikan ketenteraman dan keharmonian hanya mengejar kuasa yang sementara.

Renungkanlah....

Selamat Bermaulid

Nabi SalallahuAlaihiWassalam (SAW) bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari)
Hari ini 24 Jan 2013 bersamaan dengan 12 Rabi'al awwal 1434 adalah cuti umum sempena kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mungkin sekiranya tidak kerana cuti umum kita tidak perasan tarikh penting ini. Bukan tarikh itu yang penting tetapi apakah yang kita laksanakan bagi melaksanakan pengakuan kita.

Sempena tarikh yang penting ini, marilah kita muhasabah diri kita sejauh mana ketaatan kita kepada Allah dan Rasul. Adakah kita telah melaksanakan segala yang diperintah oleh Allah dan Rasul. Kita hidup ada manual. Sebagaimana kita beli kereta dan barangan elektrik kita diberikan kaedah pengunaan melalui manualnya. Allah telah membekalkan kita dengan Al-Quraan dan Rasul sebagai pembimbing supaya kita tidak sesat.

Sejauh manakah kita taat dengan Allah dan Rasul? Pernahkan kita membandingkan apa yang diperintahkan dan apa yang kita telah laksanakan? Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan sendirikan adakah kita bersama-sama dengan mereka yang menyokong perjuangan Nabi Muhammad SAW?

Bagaimanakan kita tahu yang kita berada di jalan yang benar? Ataupun kita amat jahil hingga tidak mampu membezakan apa yang sunnah dan mana yang punah. Perhatikanlah persekitaran anda.... Adakah anda berada dalam kelompok mereka yang mematuhi perintah Allah dan Rasul dari sudut perbuatan, pakaian, jual beli, berkeluarga, bermasyarakat dan pemerintahan.

Mungkin kita biasa dengar orang kata pakai jubah dan serban bukan semestinya baik... Sebaliknya adakah mereka yang mendedahkan aurat itu baik? Yang memakai jubah dan serban nampak baik.... tetapi mereka yang mendedahkan aurat jelas salah.

Tepuklah dada tanya Iman....

Friday, January 18, 2013

Mahathir mengaku beri IC pada warga asing

SHAH ALAM 17 Jan: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengaku bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa mentadbir negara.

Mahathir akhirnya mengaku beri IC pada pendatang asing

Beliau bagaimanapun cuba mengalih kesalahan tersebut dengan mendakwa bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara “lebih teruk” dalam tindakan berkenaan.

“Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?

“Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam, lapor Malaysiakini.

Turut hadir pada program itu ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir ketika memberi keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah, mengaku memberi kewarganegaraan kepada mereka untuk menjadi pengundi.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mengaku menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya. Keadilandaily.

Najib Membilang Waktu...

Tarikh-tarikh Dun akan terbubar secara automatik

21 Mac : Johor
26 Mac : N.sembilan
7 April : Pahang
22 April : Selangor
24 April : Perak
26 April : Melaka
28 April : Perlis & Kelantan
29 April : Sabah
2 Mei : Penang & Kedah
5 Mei : Terengganu

28 April Parlimen Malaysia Automatik terbubar.

Air Untuk Rakyat


Thursday, January 17, 2013

Listen...Listen to Me ! Let Me Speak ..

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Negara kita banyak masaalah
Kucing bermasaalah
Anjing bermasaalah
Ikan Jerung bermasaalah
Lembu juga bermasaalah
Pemimpin negara lagi bermasaalah

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Negara ini sarat dengan masaalah
NFC bermasaalah
FELDA bermasaalah
Daftar pemilih bermasaalah
Undi pos bermasaalah
Royalti bermasaalah
Sekatan Media bermasaalah
ISA bermasaalah
Indeks jenayah bermasaalah
Gejala sosial bermasaalah
Menteri bermasaalah

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Kalau masaalah dikira nilai
Kenapa masaalah siswa diabai

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Memo sudah menimbun dihantar
Dialog telah diatur menjajar
Tegur dan nasihat kepalang ajar
Malang BN sukar nak dengar

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Rakyat jangan dipandang hina
Siswa pantang diperlaku durjana
Ada aqal bangunlah menjana
Kenapa biar ummah merana

Siswa siswi kian berani menegur
Tahniah ! agar ilmu tidak dilacur
Asal salah mesti hancur
Asal benar mesti akur

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

PR tekad menghapuskan PTPTN
Rakyat tekad menjatuhkan BN

PR tekad Ubah Sekarang
Rakyat bangkit cipta gelombang

PR telah bersiap siaga
Rakyat gigih mengerah jiwa raga

Bawani ! Listen to me
I'm proud of you!

Ini Kalilah !

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Listen, Listen Listen : Mental Corrupted


Listen, Listen, Listen, Kes Azrul & Bawani : Umno Berjaya Mewujudkan Minda Terkongkong Dan Tahap Intelektual Paling Rendah

JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA, DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (JUHAM) amat terkejut dengan insiden penggantungan ketua ekonomis Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin - yang membuat pembentangan mengenai PRU13 di Singapura minggu lalu  yang jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang dan kebebasan hak asasi.

Malah, adalah suatu yang ironi apabila berlakunya suatu insiden berasingan melibatkan seorang mahasiswa undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga penyelaras JERIT, KS Bawani yang 'berperang mulut' dengan pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin.

Kedua-dua insiden ini bukanlah sesuatu yang baru dan aneh, tetapi ia sebenarnya sudah sinonim dengan sikap UMNO/Barisan Nasional dari dulu lagi yang gemar untuk menyekat suara-suara yang bertentangan dengan indoktrinasi lapuk UMNO/Barisan Nasional bagi mengekalkan tahap pemikiran rakyat di kedudukan jahiliyah demi mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Hal ini kerana UMNO/Barisan Nasional khuatir kuasa mereka di Putrajaya akan pupus sekiranya rakyat menjadi cerdik dan celik terhadap kezaliman dan korupsi yang dilakukan mereka selama ini.  Oleh itu, UMNO/Barisan Nasional inginkan tahap pemikiran rakyat di tahap jahil dan bodoh yang paling maksimum dengan cara menyekat suara rakyat yang boleh membuka pekung di dada mereka.

Jika dilihat kepada kedua-dua insiden tersebut, Azrul dan Bawani kedua-duanya bersuara berasaskan kepada fakta dan kajian; bukannya  berasaskan kepada sesuatu yang retorik. Namun, oleh kerana UMNO/Barisan Nasional dayus dan gagal untuk berhujah balas menggunakan fakta dan khuatir populariti mereka terus menjunam, maka tindakan terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan menyekat mereka daripada terus bersuara.

Inilah sikap UMNO/Barisan Nasional yang sebenar. Biarlah rakyat bodoh, asalkan mereka kekal berkuasa. Tindakan UMNO/Barisan Nasional melalui agen-agen mereka ini jelas mencerminkan status pemikiran yang terkongkong dan tahap intelektual yang rendah mutunya serta memalukan imej Negara Malaysia sebagai sebuah Negara membangun. Maka tidak hairanlah Malaysia akan kekal sebagai Negara Membangun, dan bukannya Negara Maju. Tindakan menyekat kebebasan bersuara ini adalah bersifat mengundur ke belakang malah bertentangan dengan aspirasi dan ekspektasi intelektual yang suci.

Ironinya, saudari Bawani dikecam kerana bersikap biadap dan telah mencemarkan nama baik Universiti. Sebaliknya, tindakan Sharifah Zohra Jabeen yang merampas mikrofon dan memaksa Bawani untuk berhenti bercakap itu sendiri sebenarnya amat memalukan dan tidak mencerminkan keintelektualan dirinya yang cukup berbangga kerana mempunyai Ijazah.

JUHAM amat kesal dengan tindakan ini dan percaya tindakan tidak berintelektual sebegini juga ada diamalkan di kebanyakan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Maka, tidak hairanlah kebanyakan daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia gagal untuk menyaingi institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara kerana tindakan UMNO/Barisan Nasional yang gemar melahirkan graduan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata, bukannya berfikiran kritis dan kritikal.

Malah, ia juga menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bijak dan terpelajar akan lari berkerja di luar negara. JUHAM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyiasat perkara ini dan JUHAM mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi menggubal modul pengajaran dan pembelajaran di seluruh Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia agar mutu intelektual graduan di Negara kita tidak seperti Sharifah Zohra Jabeen.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Pusat Malaysia

Monday, January 14, 2013

Pertandingan Memancing Piala Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr Che Rosli Che Mat










Sekitar program memancing Piala Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr Che Rosli Che Mat, dianjurkan bersama oleh JKKK Lubuk Kelubi dan PeBT Zon 1 di Kolam Haji Nawawi Sungai Tekali. Peserta melebihi 110 orang. Maklumat lanjut menyusul, apa pun tahniah diucapkan kepada tenaga penggerak utama program Tok Zulkifli Lajis Pengerusi JKKK Lubuk Kelubi, Mohd Azlan Pengerusi PeBT Zon 1, Sdr Mohamad Jan Sulong, YB Dr Che Rosli dan semua team penganjuran. Masih bertenaga menyempurnakan program walaupun semua keletihan bersama program Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 kelmarin.

Friday, January 11, 2013

#HKR112 : Perhimpunan Sabtu kekal di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, Jan 11 — Perhimpunan besar-besaran Himpunan Kebangkitan Rakyat akan diteruskan seperti dirancang di Stadium Merdeka esok, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesahkan, memberitahu bahawa polis secara tidak rasmi meminta agar mereka memindahkan acara itu ke Stadium Bukit Jalil.

Beliau memberitahu malam tadi satu perjanjian dengan polis telah dicapai dan juga dimeterai, dengan kedua-dua pihak bersetuju dengan tempat acara dan keadaan keselamatan tertentu yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan.

“Tiada arahan polis dikeluarkan menyuruh kami berpindah. Saya sudah bercakap dengan OCPD (ketua polis daerah) Dang Wangi dan ia adalah perbincangan yang baik, dan semuanya teratur,” tegas beliau apabila dihubungi melalui telefon.

“Perhimpunan kita akan diadakan di Stadium Merdeka,” kata pemimpin popular PAS yang dikenali sebagai Mat Sabu lebih awal semasa berucap di majlis makan malam pengumpulan dana Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di kuil Thean Hou di sini malam tadi.

Beliau merespon kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh yang menyarankan malam tadi supaya penganjur perhimpunan menggunakan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai tempat berhimpun kerana ia lebih sesuai dan mampu menampung kapasiti lebih besar berbanding Stadium Merdeka.

“Dengan melihat matlamat penganjur perhimpunan  untuk mengumpulkan satu juta peserta, adalah logik untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata pegawai polis itu dalam satu kenyataan.

Tetapi Mat Sabu menegaskan ini adalah bukan lagi satu isu, menyatakan berulang kali perjanjian yang ditandatangani antara penganjur perhimpunan dan polis sebelum itu.

Beliau mengakui bahawa jemputan ke Bukit Jalil ada disebut, tetapi berkata pemilik Stadium Merdeka yang ikonik sudah memberi lampu hijau kepada penganjur bagi menggunakan tempat tersebut untuk perhimpunan esok.

Apabila ditanya tentang rancangan penganjur jika polis bertegas dengan pertukaran tempat, pemimpin PAS tersebut mengingatkan lagi perjanjian yang ditandatangani dengan polis itu.

“Tetapi jangan bimbang, tidak akan ada masalah,” beliau memberi jaminan. “Perhimpunan akan berjalan dengan aman, detik bersejarah bagi Malaysia.”

Naib Presiden PKR N Surendran, yang turut berucap di majlis makan malam itu menegaskan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman.

“Kerajaan harus faham mereka tidak boleh membuli rakyat Malaysia lagi,” kata beliau diiring dengan tepukan dan sorakan dalam dewan yang penuh itu.

“Sama ada mereka benarkan kita ke Stadium Merdeka atau tidak pada Sabtu 12 Januari, kita semua akan ke Stadium Merdeka,” tambah Surendran yang juga seorang peguam.

Buat masa ini, masih belum jelas mengapa pihak berkuasa memilih untuk mendapatkan perubahan tempat menghampiri tarikh perhimpunan yang dirancang sama ada permintaan adalah arahan rasmi atau hanya dibuat secara memberi nasihat.

Akan tetapi, jika penganjur enggan memindahkan tempat perhimpunan, aksi dengan polis masih boleh berlaku, walaupun terdapat jaminan daripada pihak berkuasa untuk memastikan peristiwa April tahun lalu semasa perhimpunan Bersih di ibu negara tidak berulang. Perhimpunan 12 Januari akan menyaksikan pengelibatan pelbagai gerakan masyarakat sivil membuat tuntutan menjelang pilihan raya umum tahun ini, termasuk menutup kilang Lynas di Kuantan, menuntut bayaran royalti lebih adil kepada negeri pengeluar minyak, pendidikan percuma dan pilihan raya yang adil.

Penganjur perhimpunan mensasarkan satu juta orang akan hadir dengan pelbagai warna melambangkan kumpulan - hijau mewakili kumpulan anti-Lynas, kuning mewakili gabungan menuntut pilihan raya adil Bersih 2.0, oren untuk anti-Felda Global Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk menuntut royalti petroleum.

Dalam pertemuan dengan penganjur perhimpunan pada Selasa, polis berikrar untuk memudahkan acara raksasa itu, yang juga disahkan oleh

Pakatan Rakyat (PR) akan berusaha menjadikan perhimpunan tersebut aman.

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan ini akan menjadi “peristiwa bersejarah” di mana mereka belajar dari peristiwa lepas.

Beliau menerangkan perbincangan selama satu jam di ibu pejabat Bukit Aman sebagai “kondusif”, dan berkata perbincangan adalah sekitar perhimpunan dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Semalam, polis juga berikrar untuk memastikan keselamatan wartawan yang bertugas semasa perhmpunan.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata hasil daripada pengalaman lepas mengendalikan demonstrasi yang menyaksikan wartawan dikasari dan ditangkap, PDRM mahu perhimpunan kali ini yang paling sempurna tanpa sebarang insiden buruk menimpa.

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 pernah mencuba untuk menganjurkan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada tahun 2011 akan tetapi ditolak oleh Kabinet Najib pada saat akhir.

Perhimpunan tetap diteruskan dengan berduyun-duyun manusia di jalan-jalan di ibu negara pada 9 Julai, 2011, mengakibatkan insiden huru-hara apabila polis anti rusuhan menyerang dengan gas pemedih mata dan meriam air.

Acara tersebut menandakan kejayaan dalam pertumbuhan masyarakat sivil di Malaysia dan kutukan antarabangsa meluas terhadap tindakan keras kerajaan atas penunjuk perasaan, menyebabkan pentadbiran Najib perlu melakukan sesuatu.

Dua perubahan utama berlaku - Akta Perhimpunan Aman 2011 telah digubal untuk mengawal perhimpunan awam dan kerajaan membentuk satu jawatankuasa parlimen untuk reformasi pilihan raya bagi melihat ke permintaan Bersih 2.0.

Tetapi Bersih 2.0 menganjurkan satu lagi perhimpunan tahun lepas, selepas mendakwa pembaharuan tidak mencukupi dan tidak ikhlas, dan walaupun terdapat peruntukan dalam Akta baru pada perhimpunan awam, acara 28 April bertukar menjadi lebih ganas daripada perhimpunan sebelumnya.

Kali ini, perserta perhimpunan melakukan protes “duduk bantah” secara aman di tempat bersejarah Dataran Merdeka, mana pihak berkuasa mengepung selepas mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang peserta daripada memasuki kawasan tersebut. MI.

Thursday, January 10, 2013


HKR 12 Januari: Stadium Merdeka lulus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) hari ini memaklumkan pihak Stadium Merdeka telah membenarkan penggunaan stadium itu untuk himpunan pada 12 Januari ini.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, surat tersebut diterimanya jam 2.30 petang tadi dan wakil jawatankuasa HKR akan bertemu dnegan pihak pengurusan stadium untuk perbincangan lanjut jam 10 pagi esok.

"Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada pihak Stadium Merdeka kerana membenarkan HKR diadakan di stadium.

"Kami akan hantar jawatankuasa untuk berunding dengan pihak pengurusan tentang penyelarasan dan peraturan 'do and don't  yang dikenakan oleh pihak stadium jam 10 pagi esok.

"Kami juga akan memaklumkan segera kepada Ketua Polis Negara untuk mendapatkan kerjasama seperti yang dijanjikan dan akan berjumpa dengan OCPD Dang Wangi," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAs, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau juga yakin HKR ini merupakan HKR terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 dan berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.

"Kita juga berhasrat menjadikan perhimpunan ini satu perhimpunan bersejarah dan aman, tenteram sebelum pilihan raya di mana Pakatan Rakyat akan mengambil alih negara melalui proses demokrasi.

"Himpunan satu juta rakyat ini menjadi signal kepada SPR, media, kerajaan dan lain-lain bahawa rakyat mahu pilihan raya yang aman dan tenteram," katanya.

Sementara itu, pra himpunan akan diadakan pada malam sebelumnya di Taman Medan, Petaling Jaya dan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

"Pemuda Pakatan Rakyat akan diadakan di Taman Medan dan NGO akan berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman," katanya.HD.

Wednesday, January 9, 2013

Kenapa Perlu Ada Police Press Tag?


Krisis air: Rakyat merana kerana kegagalan Syabas

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa kecewa di atas kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di dalam menyelesaikan krisis air Selangor dan Kuala Lumpur sehingga menjejaskan kehidupan ribuan penduduk yang terlibat.

Tinjauan PAS WP mendapati ramai penduduk di kawasan Ampang, Pandan, dan Cheras menerima kesan sehingga penduduk terbabit terpaksa menggunakan pelbagai kaedah bagi menampung keperluan air di rumah mereka.

Dengan penjelasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai masalah air tersebut yang tiada kaitan dengan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat2) kerana bekalan air sebenarnya mencukupi dan ia hanyalah kegagalan Syabas menyelenggarakan Rumah Pam Wangsa Maju dan Hulu Pudu Baru menunjukkan kegagalan ini bukan berpunca dari kerajaan Selangor, tetapi kerana kegagalan Syabas sendiri.

Apa yang dikesalkan adalah mengapa Syabas tidak mengenal pasti punca masalah kerosakan di rumah pam Wangsa Maju dan Hulu Pudu Baru lebih awal sebelum insiden ini berlaku? Syabas pula seakan tidak mengambil langkah efektif bagi memastikan masalah ini tidak berlaku.

PAS WP merasa kesal kerana kegagalan Syabas telah menyebabkan ribuan penduduk menjadi mangsa. Sepatutnya Syabas menetapkan suatu jangka masa yang singkat untuk menyelesaikan masalah ini supaya penduduk tidak merana selama beberapa hari.

Dalam hal ini, PAS WP mengharapkan krisis air ini adalah kejadian yang benar-benar berlaku disebabkan oleh kelalaian dan kelemahan pihak Syabas, dan bukannya ada agenda politik lain.

Janganlah krisis ini disebabkan oleh suatu perancangan jahat segelintir pihak yang mahu memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan menjadikan ribuan rakyat sebagai mangsa dengan tujuan supaya rakyat menyalahkan kerajaan PR.

Jika ini yang berlaku, ia adalah tindakan keji dan hina dan mereka ini sanggup mengorbankan kepentingan penduduk hanya memenuhi nafsu politik pihak tertentu.

Akhirnya, PAS WP meminta penduduk yang terjejas agar bersabar dalam menghadapi ujian sebesar ini. PAS WP memahami kesulitan yang dialami oleh penduduk dan mendoakan kesejahteraan mereka. Semoga krisis ini berlaku hanya sekali dan tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Kase sokong cadangan Pakatan batal saman AES

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menyokong cadangan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang mahu membatalkan semua saman membabitkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak ia dilaksana September 2012.

Menurut Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar, cadangan itu adalah satu kebaikan kepada rakyat memandangkan pelaksanaan AES oleh kerajaan Umno BN dibuat secara tergesa-gesa.

Sambil merayu rakyat agar terus mematuhi undang-undang meskipun AES suatu hari nanti ditangguh sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, Mahfuz juga menegaskan satu kajian akan dilakukan terhadap pelaksanaan AES .

"Kajian termasuklah dalam isu perjanjian dengan dua syarikat yang mendapat kontrak AES ini," katanya lagi.

Kata beliau lagi, Kase memandang serius isu AES membabitkan rakyat kerana sehingga kini lebih 400,000 saman telah dikeluarkan.

Pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan Pakatan Rakyat untuk membatalkan semua saman AES sejak sistem itu bermula.

Kata Anwar lagi, jika menerajui negara selepas PRU13, Pakatan Rakyat akan mengumumkan penangguhan AES untuk menjalankan kajian terhadap pelaksanaan sistem tersebut.

Monday, January 7, 2013

TG Hj Hadi vs Majlis Mufti

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi berkenaan keputusan mengenai ‘Amanat Haji Hadi’.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah, beliau menafikan menerima sebarang surat daripada mufti tersebut.

“Saya tidak menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Dia (Majlis Fatwa) tak panggil saya.

“Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu…bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama,” tegasnya.

Beliau berkata ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong 31 tahun yang lalu.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.

“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk Umnolah.

“Bukan saya menamakan ‘amanat’, ia petikan ucapan saya selepas itu dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Ketua Biro Agama Umno bentang dan saya bangun (jawab)…betul, itu ucapan saya. Masa itu kenapa tidak hujah, selepas 30 tahun baru hendak hujah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan isu penjelasan amanat tersebut bukan sekadar pilihan raya tetapi kerana hari akhirat.

Menurutnya, jika Perdana Menteri atau mufti enggan bersemuka di atas dunia, maka tunggulah pada hari akhirat ketika mengadap Allah SWT.

“Saya akan mati, mufti-mufti juga akan mati, Perdana Menteri mati, saya mati…kita mengadap Tuhan. Tuhan yang akan menentukan betul atau pun salah. Jika tidak atas dunia ini..akhiratlah. Kita bertemu dengan Tuhan jika atas dunia tak mahu bertemu,” tegasnya.

Justeru, Ustaz Abdul Hadi tetap bertegas mahukan ruang penjelasan selama satu jam bersiaran di RTM milik kerajaan kerana PAS tidak memiliki media yang menyeluruh.

“Saya tetap mahukan (siaran langsung) supaya masyarakat berlaku adil. Adil ini kena dengar semua pihak dan dengan cara itulah, sebab kita tiada media.

“Biar rakyat tahu…dia (rakyat) dengar semua barulah (faham). Ini dengar sebelah pihak, macam mana.

“ Kena dengar dulu apa yang saya hendak kata, supaya masyarakat dengar betul atau tidak apa yang saya hendak kata,” ujarnya.