Friday, January 11, 2013

#HKR112 : Perhimpunan Sabtu kekal di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, Jan 11 — Perhimpunan besar-besaran Himpunan Kebangkitan Rakyat akan diteruskan seperti dirancang di Stadium Merdeka esok, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesahkan, memberitahu bahawa polis secara tidak rasmi meminta agar mereka memindahkan acara itu ke Stadium Bukit Jalil.

Beliau memberitahu malam tadi satu perjanjian dengan polis telah dicapai dan juga dimeterai, dengan kedua-dua pihak bersetuju dengan tempat acara dan keadaan keselamatan tertentu yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan.

“Tiada arahan polis dikeluarkan menyuruh kami berpindah. Saya sudah bercakap dengan OCPD (ketua polis daerah) Dang Wangi dan ia adalah perbincangan yang baik, dan semuanya teratur,” tegas beliau apabila dihubungi melalui telefon.

“Perhimpunan kita akan diadakan di Stadium Merdeka,” kata pemimpin popular PAS yang dikenali sebagai Mat Sabu lebih awal semasa berucap di majlis makan malam pengumpulan dana Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di kuil Thean Hou di sini malam tadi.

Beliau merespon kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh yang menyarankan malam tadi supaya penganjur perhimpunan menggunakan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai tempat berhimpun kerana ia lebih sesuai dan mampu menampung kapasiti lebih besar berbanding Stadium Merdeka.

“Dengan melihat matlamat penganjur perhimpunan  untuk mengumpulkan satu juta peserta, adalah logik untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata pegawai polis itu dalam satu kenyataan.

Tetapi Mat Sabu menegaskan ini adalah bukan lagi satu isu, menyatakan berulang kali perjanjian yang ditandatangani antara penganjur perhimpunan dan polis sebelum itu.

Beliau mengakui bahawa jemputan ke Bukit Jalil ada disebut, tetapi berkata pemilik Stadium Merdeka yang ikonik sudah memberi lampu hijau kepada penganjur bagi menggunakan tempat tersebut untuk perhimpunan esok.

Apabila ditanya tentang rancangan penganjur jika polis bertegas dengan pertukaran tempat, pemimpin PAS tersebut mengingatkan lagi perjanjian yang ditandatangani dengan polis itu.

“Tetapi jangan bimbang, tidak akan ada masalah,” beliau memberi jaminan. “Perhimpunan akan berjalan dengan aman, detik bersejarah bagi Malaysia.”

Naib Presiden PKR N Surendran, yang turut berucap di majlis makan malam itu menegaskan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman.

“Kerajaan harus faham mereka tidak boleh membuli rakyat Malaysia lagi,” kata beliau diiring dengan tepukan dan sorakan dalam dewan yang penuh itu.

“Sama ada mereka benarkan kita ke Stadium Merdeka atau tidak pada Sabtu 12 Januari, kita semua akan ke Stadium Merdeka,” tambah Surendran yang juga seorang peguam.

Buat masa ini, masih belum jelas mengapa pihak berkuasa memilih untuk mendapatkan perubahan tempat menghampiri tarikh perhimpunan yang dirancang sama ada permintaan adalah arahan rasmi atau hanya dibuat secara memberi nasihat.

Akan tetapi, jika penganjur enggan memindahkan tempat perhimpunan, aksi dengan polis masih boleh berlaku, walaupun terdapat jaminan daripada pihak berkuasa untuk memastikan peristiwa April tahun lalu semasa perhimpunan Bersih di ibu negara tidak berulang. Perhimpunan 12 Januari akan menyaksikan pengelibatan pelbagai gerakan masyarakat sivil membuat tuntutan menjelang pilihan raya umum tahun ini, termasuk menutup kilang Lynas di Kuantan, menuntut bayaran royalti lebih adil kepada negeri pengeluar minyak, pendidikan percuma dan pilihan raya yang adil.

Penganjur perhimpunan mensasarkan satu juta orang akan hadir dengan pelbagai warna melambangkan kumpulan - hijau mewakili kumpulan anti-Lynas, kuning mewakili gabungan menuntut pilihan raya adil Bersih 2.0, oren untuk anti-Felda Global Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk menuntut royalti petroleum.

Dalam pertemuan dengan penganjur perhimpunan pada Selasa, polis berikrar untuk memudahkan acara raksasa itu, yang juga disahkan oleh

Pakatan Rakyat (PR) akan berusaha menjadikan perhimpunan tersebut aman.

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan ini akan menjadi “peristiwa bersejarah” di mana mereka belajar dari peristiwa lepas.

Beliau menerangkan perbincangan selama satu jam di ibu pejabat Bukit Aman sebagai “kondusif”, dan berkata perbincangan adalah sekitar perhimpunan dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Semalam, polis juga berikrar untuk memastikan keselamatan wartawan yang bertugas semasa perhmpunan.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata hasil daripada pengalaman lepas mengendalikan demonstrasi yang menyaksikan wartawan dikasari dan ditangkap, PDRM mahu perhimpunan kali ini yang paling sempurna tanpa sebarang insiden buruk menimpa.

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 pernah mencuba untuk menganjurkan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada tahun 2011 akan tetapi ditolak oleh Kabinet Najib pada saat akhir.

Perhimpunan tetap diteruskan dengan berduyun-duyun manusia di jalan-jalan di ibu negara pada 9 Julai, 2011, mengakibatkan insiden huru-hara apabila polis anti rusuhan menyerang dengan gas pemedih mata dan meriam air.

Acara tersebut menandakan kejayaan dalam pertumbuhan masyarakat sivil di Malaysia dan kutukan antarabangsa meluas terhadap tindakan keras kerajaan atas penunjuk perasaan, menyebabkan pentadbiran Najib perlu melakukan sesuatu.

Dua perubahan utama berlaku - Akta Perhimpunan Aman 2011 telah digubal untuk mengawal perhimpunan awam dan kerajaan membentuk satu jawatankuasa parlimen untuk reformasi pilihan raya bagi melihat ke permintaan Bersih 2.0.

Tetapi Bersih 2.0 menganjurkan satu lagi perhimpunan tahun lepas, selepas mendakwa pembaharuan tidak mencukupi dan tidak ikhlas, dan walaupun terdapat peruntukan dalam Akta baru pada perhimpunan awam, acara 28 April bertukar menjadi lebih ganas daripada perhimpunan sebelumnya.

Kali ini, perserta perhimpunan melakukan protes “duduk bantah” secara aman di tempat bersejarah Dataran Merdeka, mana pihak berkuasa mengepung selepas mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang peserta daripada memasuki kawasan tersebut. MI.

No comments: