Tuesday, January 1, 2013

Pengunaan Kalimah 'Allah' : Sampai Bila Polimik Ini Akan Berakhir?

Gereja Katolik Roman tempatan sedang menunggu Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan mengenai hak untuk menggunakan perkataan “Allah” sebagai rujukan kepada tuhan Kristian dalam penerbitan mereka, selepas Putrajaya merayu terhadap penghakiman 2009 yangmengatakan gereja mempunyai hak berperlembagaan untuk berbuat demikian.

Minggu lalu, Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menegaskan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2010 tidak terpakai kepada bukan Islam.

Dalam satu kenyataan, presiden MGC Jagir Singh menegaskan majlis tersebut tidak mempunyai bidang kuasa langsung ke atas orang bukan Islam dan tidak boleh mengeluarkan fatwa melarang masyarakat lain dari menggunakan perkataan tertentu.

Setiausaha Agung DAP mencetuskan kegemparan apabila beliau menggesa kerajaan persekutuan untuk membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam Bible Kristian versi Bahasa Melayu.

Beliau menegaskan bahawa ini dibenarkan di Sabah dan Sarawak semenjak 50 tahun lalu dan diamalkan di Timur Tengah selama lebih daripada seribu tahun.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mempertahankan rakan partinya mengingatkan masyarakat Muslim selain Kristian, terdapat juga agama lain menggunakan perkataan “Allah”.

Walaupun pelbagai penjelasan dan langkah dibuat bagi menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada istilah 'God' ataupun tuhan namun sehingga kini masih tiada penyelesaiannya. Apa yang pasti tiada perbahasan terbuka antara ketua-ketua agama yang dapat kita saksikan. Kita melihat tidak ada kesungguhan dan tiada yang berani tampil terutama sekali pihak yang berkuasa.

Mungkin dialog antara agama bukan menjadi budaya kita. Ataupun orang Islam yang majoritinya Melayu dinegara ini beranggapan Islam itu agama orang Melayu dan orang lain tidak berhak berbicara tentang Islam. Akibatnya Islam di negara ini seolah-oleh menjadi hak eksklusif orang Melayu. Sedangkan ianya tidak ilmiah dan gagal menyelesaikan persoalan diatas.

Kini kita berdepan dengan orang bukan Islam yang mahir tentang hukum, undang-undang, perlembagaan dan Islam itu sendiri. Kita tidak boleh menggunakan hujah hukum yang mana hukum Islam di negara ini tidak terpakai kepada orang bukan Islam. Sebagai contohnya orang Islam berzina tidak sama hukumannya kepada orang bukan Islam.... Ataupun memang tiada hukuman kepada orang bukan Islam yang berzina.

Atas dasar itulah orang bukan Islam beranggapan apa-apa hukum atau fatwa yang dikeluarkan oleh institusi agama ini tidak diguna pakai kepada orang bukan Islam. Jadi, apakah jalan penyelesaiannya? Ataupun masalah ini sebenarnya memberi kelebihan politik kepada pejuang bangsa dan digunakan sebagai modal mendapatkan sokongan orang Melayu dan Islam.

Namun, kita melihat ianya masih ada jalan penyelesaian.... dan sememangnya ada. Allah akan tunjukkan jalan. Cuma orang yang memperjuangkan bangsa tidak mahu isu agama ini selesai dan mereka takut hilang modal. Dan yang paling menghantui mereka adalah hilang kuasa.

Hujah yang biasa kita dengar ialah orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah 'Allah' kerana orang Melayu menggunakan perkataan Allah untuk semua perkara yang melibatkan ketuhanan. Oleh itu mereka ingin menggunakan kalimah tersebut dalam buku terjemahan bahasa Melayunya. Supaya mereka yang berbahasa Melayu yang menganut agama bukan Islam boleh memahaminya.

Persoalannya yang kita bangkitkan ialah orang bukan Islam terutamanya Kristian mahu menggunakan kalimah 'Allah' itu dalam buku-buku terjemahan agamanya termasuk Bible. Sedangkan tuhan yang dirujuk di dalam Bible dan buku agama bukan Islam tidak sama dengan Allah yang digunakan oleh orang Melayu dan Islam.

Jadi apakah penyelesaiannya?

Orang selalu memperdebatkan kalimah 'Allah' sama ada boleh digunakan atau tidak namun berapa ramai yang membicarakan apakah makna kalimah 'Allah' itu dalam bahasa Melayu.

Cuba kita bayangkan ketua Paderi berdailog dengan ketua agama Islam (mungkin pengerusi majlis fatwa kebangsaan) secara langsung di TV pukul 8.30 malam.Cuba kita bayangkan apakah jawapan yang akan keluar sekiranya persoalan berikut diutarakan:
  1. Kenapa orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah 'Allah'?
  2. Dimana mereka mahu gunakan kalimah 'Allah' itu?
  3. Apalah pengertian Allah pada bahasa Melayu?
  4. Bagaimana kalimah Allah itu digunakan oleh orang Melayu?
  5. Boleh tak kita terjemahkan kalimah Allah yang difahami oleh orang Melayu didalam kitab agama bukan Islam dan kitab Bible?
  6. Boleh tak kita perbincangkan kalimah Allah bersama perbahasan tauhid rububiah dan uluhiah sebagaimana yang orang Melayu faham didalam kitab agama bukan Islam.
  7. Apakah Allah yang dirujuk oleh orang Melayu adalah tuhan yang sama yang dirujuk oleh orang bukan Islam?
Sekiranya kesemua persoalan di atas dijawab dengan ikhlas dan jujur, insyallah persoalan ini dapat diselesaikan dengan baik dan tuntas.... Namun adakah itu yang diharapkan oleh orang politik yang memperjuangkan bangsa dan mengharapkan isu Melayu dan agama sebagai modal politik mereka.

Mungkin kini kita faham kenapa isu ini tidak pernah selesai.

No comments: