Friday, September 20, 2013

Cina Melayu mahu BN jalin kerjasama dengan PR - UMCEDEL

Majoriti masyarakat Melayu dan Cina mahu melihat pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) menjalinkan kesepakatan dengan Pakatan Rakyat (PR) selepas  pilihan raya umum baru-baru ini, menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL).

Dalam pembentangan kajian terbaru hari ini di UM (Universiti Malaya), 69% daripada keseluruhan 1,546 orang responden yang ditemui oleh pengkaji pilihan raya tersebut mahu melihat Datuk Seri Mohd Najib Razak (gambar) melibatkan PR dalam kerajaan persekutuan.

"Mereka mahu pemimpin kedua-dua belah pihak bekerja untuk membangunkan negara.

"Orang ramai dah terlalu penat, sejak menunggu tarikh pilihan raya sehinggalah selepas berakhir pilihan raya," kata pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam pembentangan hari ini.

Lebih mengejutkan, sebanyak 70% responden Melayu bersetuju dengan hasrat untuk melihat kerjasama BN dan PR, manakala 67% lain adalah kaum Cina, hasil daripada kajian yang dijalankan daripada 15 Ogos ke 10 September baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohammad Redzuan menekankan langkah kerjasama tersebut tidak boleh hanya terarah kepada satu parti dalam PR sahaja, sebaliknya BN perlu menjalin hubungan dengan PKR dan juga DAP.

"Kerjasama mesti dengan semua parti dalam PR. Mereka tidak boleh pilih salah satu parti dalamnya," kata beliau lagi.

Mohammad Redzuan turut berkata kerajaan BN perlu memberi perhatian utama kepada dua parti dalam PR, iaitu PKR dan DAP memandangkan kedua-duanya mempunyai sokongan akar umbi yang kuat daripada kaum Cina.

"Saya tidak fikir BN hanya memfokuskan untuk hanya menjalin kerjasama dengan PAS, kerana sokongan masyarakat Melayu kepada mereka sememangnya sudah kuat.

"Yang perlu difikirkan adalah penglibatan masyarakat Cina, kerana tiada wakil kumpulan tersebut dalam kerajaan," katanya lagi.

Kenyataan Mohammad Redzuan tersebut hadir bagi mengulas mengenai cadangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mewujudkan kerjasama dengan PAS.

Beliau juga menegaskan sepanjang hampir 50 tahun lebih negara merdeka, kerajaan yang mentadbir Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan tidak hanya didominasi oleh satu bangsa sahaja.

"Ia sesuatu yang tidak masuk akal, saya tidak boleh bayangkan kerajaan yang didominasi oleh satu bangsa sahaja.

"Kaum Cina mengawal ekonomi negara, cuba bayangkan kerajaan yang tiada wakil Cina. Apa akan terjadi?" kata Mohammad Redzuan lagi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.

Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Umno secara jelas menolak rundingan damai antara BN dan PR.

Beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding.

Dalam kajian tersebut lagi, UMCEDEL juga mendedahkan sebanyak 63% responden mengakui suara rakyat bertambah susulan peningkatan ahli parlimen PR selepas pilihan raya lalu.

Selain itu, 55 peratus responden juga mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengemudi PR walaupun gagal untuk merampas Putrajaya pada pilihan raya lalu.

Mengenai persepsi orang ramai terhadap prestasi Najib yang gagal memperoleh majoriti dua pertiga, Mohammad Redzuan mengakui ada pihak yang juga mahukan perdana menteri tersebut mengikut jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletak jawatan.

"Kalau dahulu Abdullah dipaksa letak jawatan sebab tidak dapat majoriti dua pertiga, sekarang juga ada pihak yang mahukan Najib lakukan perkara sama," katanya lagi.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan PR memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Mohammad Redzuan pada akhir pembentangan berkata rakyat majoritinya ketika ini mahu melihat keadaan tenang dan aman dalam negara, serta kurang berpolitik. - 19 Sept, 2013.MI.

No comments: