Tuesday, September 24, 2013

Macam ini Punya Menteri Pun Ada?

Putrajaya tidak pernah menaikkan harga minyak sebaliknya ia adalah berdasarkan pasaran global semasa kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen hari ini menegaskan, kerajaan hanya mengurangkan jumlah subsidi sedia ada kerana majoriti yang mendapat manfaat daripada subsidi bahan api adalah golongan berpendapatan tinggi.

"Sebenarnya kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia. Kerajaan cuma mengurangkan subsidi.

"Lain...mana sama daripada RM1 subsidi untuk diesel kita kurangkan RM0.80, daripada RM0.83 subsidi untuk RON95, kita kurangkan kepada RM0.63, itu fakta dan hakikat yang sebenar, harga minyak ditentukan oleh turun naik harga pasaran dunia," katanya menjawab soalan ahli Parlimen Kangar Shaharuddin Ismail.

Jelas ahli Parlimen Pontian itu lagi, selain mereka berpendapatan tinggi, warga asing turut menikmati kadar subsidi bahan api.

"RM2,000 juta sebulan wang rakyat telah hangus, dan satu lagi mengikut kajian IMF 80% subsidi ini dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi, kita bagi subsidi kepada orang kaya," katanya.

"Struktur subsidi sekarang adalah banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi yang berkemampuan serta warga asing, mereka menggunakan kenderaan berkuasa tinggi berbanding dengan golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan bermotosikal," katanya lagi.

Justeru Ahmad Maslan menegaskan Putrajaya perlu menstruktur semula subsidi agar kumpulan sasar benar-benar mendapat manfaat daripada perbelanjaan kerajaan menanggung subsidi berkenaan.

"Sehubungan itu kaedah pemberian subsidi di Malaysia perlu distruktur semula agar pemberian subsidi lebih fokus dan menepati kumpulan sasar. Subsidi bersasar bukan subsidi tersasar," katanya.

Pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebelum ini berkata inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3 peratus tahun ini selepas kenaikan harga minyak.

Ramalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu selari dengan beberapa kajian kewangan yang menyatakan kadar semasa inflasi Malaysia pada 2 peratus akan meningkat berikutan harga bahan bakar lebih mahal.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan pemotongan subsidi bahan api dn menyaksikan kenaikan harga minyak sebanyak RM0.20 sen bagi petrol RON95 menjadi RM2.10 seliter manakala diesel kepada RM2 seliter itu boleh menjimatkan kerajaan sebanyak RM3.3 bilion setahun.

Petrol berkualiti tinggi RON97 bagaimanapun kekal berdasarkan kepada harga pasaran. – MI 23 September, 2013.

No comments: