Friday, December 20, 2013

Kasanova baru kahwin pun tidak mungkir janji secepat ini

Apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam menaikkan harga barang dan perkhidmatan selepas pilihanraya ini memperlihatkan wajah sebenar kerajaan yang sedang memerintah negara ini. Ia juga memperlihatkan gambaran sebenar wajah Perdana Menteri, Najib Razak dan hati perutnya dalam memimpin negara ini. Kini tidak terselindungkan lagi hakikat wujudnya perbezaan bagaikan langit dengan bumi dalam diri dan perasaannya antara sebelum dengan selepas pilihanraya.

Jika sebelum pilihanraya 5 Mei lalu dan dalam manifesto pilihanraya atau rayuannya meminta sokongan, begitu banyak janji-janji indah yang dihamburkan, kini semuanya bagai tinggal kata-kata saja. Hanya setelah enam bulan memperolehi kuasa yang membolehkannya terus kekal di puncak kuasa dan mendiami lagi Seri Perdana, bukan saja pembaziran dan kemewahan terus diamalkan tetapi juga menunjukkan sudah begitu banyak janjinya sendiri mulai dimungkiri.

Terlalu banyak janji yang dibuatnya barang kali menyebabkan beliau lupa apa yang pernah diucapkannya. Lantaran itu, tanpa rasa berdosa, selepas mengumumkan kenaikan harga minyak sebaik saja pilihanraya umum lalu berakhir, satu demi satu kenaikan terus berlaku. Harga gula, tarif elektrik, cukai pintu, pengenalan cukai GST, kenaikan kadar tol adalah antara kenaikan yang mula meresahkan kehidupan rakyat sekarang ini.

Tidak cukup dengan itu, isterinya Rosmah Mansor juga terus bergentayangan terbang ke serata dunia dengan jet eksekutif kerajaan serta berbelanja mewah menggunakan wang pembayar cukai tanpa rasa bersalah atau ada sedikit pun perasaan belas kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah yang kian terhimpit kehidupannya.

Walaupun Ahmad Maslan berhujah bahawa kenaikan letrik tidak membebankan kehidupan rakyat bawahan berikutan mereka yang mempunyai bil RM70 ke bawah didakwanya tidak mengalami sebarang perubahan, sebaliknya lebih memberi kesan kepada kelompok industri tetapi sedarkah beliau bahawa sekiranya kos industri meningkat, ia juga akan menyebabkan harga barangan meningkat.

Apabila harga barangan meningkat, siapakah yang menerima kesannya?

Tindakan Najib dan kerajaan begitu cepat mengumumkan pelbagai kenaikan sekarang ini telah mengundang kegelisahan yang tiada taranya kepada rakyat. Di mana-mana juga suara resah dan bimbang itu boleh didengari. Tidak saja golongan kritikal dan mereka yang memang dikenali sebagai penyokong pembangkang yang bersuara, bahkan sekarang ini suara yang dulunya menyokong juga sudah berubah nadanya.

Bagi mereka yang dulunya menyokong segala usaha UMNO dan kerajaan, pelbagai kenaikan ini menyebabkan mereka tidak berupaya lagi mencari kata-kata untuk mempertahankan janji-janji yang pernah dibuat dulu. Janji yang dilakukan kerajaan nampaknya bukan lagi untuk ditepati, tetapi lebih untuk dimungkiri dengan pelbagai hujah yang direka-reka.

Kajian Merdeka Center mengenai prestasi Najib jelas menunjukkan hakikat ini. Menurunnya kedudukan beliau daripada 62 peratus kepada 52 peratus setelah pelbagai kenaikan sejak kebelakangan ini, adalah gambaran sebenar suara keluh-kesah rakyat terhadap Najib dan kerajaan sekarang ini.

Ia juga adalah bukti penolakan terhadap janji-janji yang dimungkiri sendiri oleh Najib. Dalam tempoh hanya enam bulan setelah memperolehi kuasa, sudah begitu banyak janji yang dimungkiri, menunjukkan bahawa Najib memang tidak mahu berpegang kepada kata-katanya sendiri.

Janji-janjinya kelihatan lebih teruk daripada janji seorang lelaki ketika memikat seorang wanita yang ingin dikahwininya. Tetapi setelah berkahwin, kebanyakan janji itu tetap cuba dipenuhi dengan sedaya-upaya dan kalau ada pun yang hendak dimungkiri, ia mungkin hanya telah memperolehi dua atau tiga orang anak. Selebihnya mungkin janji itu hanya lewat untuk ditunaikan saja.

Namun Najib nampaknya telah memungkiri janjinya lebih pantas daripada itu. Hanya setelah enam bulan dan mungkin ketika seorang isteri sedang mengandung anak sulung, beliau sudah pun memungkiri banyak janjinya. Bayangkan dalam tempoh pilihanraya akan datang yang akan diadakan sebelum 2018, berapa banyak lagi janji yang akan dimungkiri Najib?

Kalau dalam kehidupan berumahtangga, lelaki seumpama itu boleh dianggap lelaki yang tidak bertanggungjawab dan sesetengah orang mungkin memanggilnya "lelaki haprak" atau "kasanova cinta" tetapi oleh kerana janji-janji Najib dilontarkan kepada rakyat yang berjuta-juta jumlahnya, label dan kategori beliau mungkin lebih buruk daripada itu.

Apa saja boleh gelaran boleh dilemparkan kepada Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya.

Tetapi apa pun label, kategori atau gelaran yang mahu mahu tujukan kepadanya, rakyat kini dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana Najib memungkiri janji-janjinya. Rakyat tidak seharusnya lagi berfikir lebih daripada sekali untuk menolak pemimpin seperti ini. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

No comments: