Tuesday, December 17, 2013

Tol naik: Abim anggap Wahid biadap, wajar mohon maaf

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sebarang cadangan untuk menaikkan kadar tol kerana ia membebankan rakyat terbanyak.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, cadangan untuk menaikkan kadar tol seperti yang diuar-uarkan oleh pemegang konsesi lebuh raya amat dikesali.

“Alasan untuk menaikkan kadar tol kerana perjanjian konsesi jelas mengenepikan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Abim menilai akibat daripada kenaikan kadar tol ini, rakyat yang telah sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini akan terus dalam keadaan tertekan.

Katanya, kenaikan kadar tol akan turut menyumbang kepada kenaikan tambang pengangkutan awam yang kebanyakannya digunakan oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kenyataan angkuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, yang menyarankan agar sesiapa yang tidak setuju dengan kenaikan kadar tol memilih laluan lain yang tidak bertol, adalah amat dikesali,” ujarnya.

Menurutnya, Abim menilai kenyataan sebegini jelas sebagai satu penghinaan terhadap rakyat terbanyak.

“Beliau sewajarnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas keceluparan yang begitu biadab,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau Abim menyeru agar rakyat membantah kenaikan kadar tol demi kehidupan yang lebih baik.

“Dalam hal ini, Abim akan mengerakkan kempen bagi mengangkat suara rakyat terbanyak yang semakin risau dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilihat menjerut leher golongan marhaen,” tegasnya.

No comments: